Dah hantar borang cukai pendapatan anda?

Friday, March 18, 2016 Ana 0 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera...

Anda dah hantar borang cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2015?

Semasa melalui LHDN cawangan Wangsa Maju tempoh hari, saya nampak ramai yang mengerumuni kaunter LHDN, mungkin untuk menghantar borang atau perlukan bantuan mengisi borang cukai pendapatan. Baguslah, awal-awal lagi dah mula peka untuk isi dan hantar borang, tak tunggu hingga saat-saat akhir. Tarikh akhir untuk menghantar borang cukai pendapatan (borang BE) bagi individu yang tidak mempunyai punca pendapatan perniagaan ialah pada atau sebelum 30 April setiap tahun manakala bagi individu yang mempunyai punca pendapatan perniagaan, tarikh akhir menghantar borang B ialah pada atau sebelum 30 Jun setiap tahun. Kalau nak mudah, gunakanlah e-filing, isi maklumat cukai secara elektronik melalui Internet.


hantar borang cukai pendapatan

Dan yang saya tahu, seorang sahabat saya yang mempunyai cukai terlebih bayar dan telah menghantar borang cukai nya melalui e-filing pada 1 Mac yang lepas, telah pun menerima bayaran balik cukai terlebih bayar tersebut yang dikreditkan ke akaun banknya pada 15 Mac. Bestnya! Bagi individu yang enggan mendedahkan maklumat akaun bank, bayaran balik cukai terlebih bayar akan dibayar melalui baucar mulai 1 April, dan tidak lagi menggunakan cek seperti tahun-tahun sebelum ini.

Saya baru saja menggunakan kaedah e-filing sejak 2 tahun yang lepas. Sebelum ini saya lebih suka isi borang cukai dan hantar sendiri ke kaunter LHDN. Lebih puas hati sebab diterima terus oleh pegawai LHDN dan dicop tarikh terima borang tersebut. Tapi, sejak insiden menghantar borang untuk tahun taksiran 2013 yang lalu, saya dah beralih arah kepada e-filing.

Baca juga :
Saya dah dapat balik cukai terlebih bayar, anda bila lagi?

Untuk tahun taksiran 2013 tersebut, macam biasa lah saya akan buat salinan/fotokopi  borang cukai pendapatan yang telah lengkap saya isi sebagai rujukan dan simpanan saya. Awal-awal lagi (berminggu-minggu sebelum tarikh tutup hantar borang) saya dah pergi hantar sendiri ke kaunter LHDN. Dan pegawai di kaunter tersebut telah cop tarikh terima pada borang saya itu. Malangnya, saya tak perasan rupa-rupanya borang yang saya hantar itu adalah borang salinan dan bukan borang asal.

Saya perasan pun setelah terima surat daripada LHDN mengatakan saya tidak menghantar borang cukai yang asal. Itu memang betullah, salah saya. Tapi yang tak bestnya dalam surat itu juga tulis yang saya dikenakan penalti kerana tidak menghantar borang sebelum tarikh tutup! Yang ini memang tak betul lah sebab saya hantar borang sebelum tarikh tutup, cuma bukan borang yang asal, tapi salinannya (dah nama pun salinan, sama saja kandungannya!). Puas juga lah kena buat surat rayuan dan tunjuk bukti resit bagai untuk elakkan penalti itu. Malangnya saya tetap kena penalti juga, tapi dikurangkan sedikit jumlahnya. Memang kalau saya nak salahkan pegawai yang terima borang saya itu pun boleh kan, sebab pegawai tersebut pun tak perasan yang saya hantar borang salinan, dia terus saja cop tarikh terima. Malas nak panjang kan cerita, saya pun redha saja lah dengan penalti itu, Jadi cukai terlebih bayar saya tahun itu dapat sikit saja sebab dah tolak dengan penalti :(

'Trauma' dengan insiden itu, memang saya terus beralih gunakan e-filing. Memang mudah, senang, cepat dan tepat gunakan e-filing ini!

Jadi, anda pun jangan tunggu lama-lama, mula lah mengisi dan hantar borang cukai pendapatan anda hari ini juga, Anda boleh klik di sini untuk senarai pelepasan dan rebat cukai untuk rujukan anda.



0 comments: