Mana satu pilihan hati: Harimau Malaya atau Harimau Malaysia?

Tuesday, February 02, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera...

Harimau Malaya atau Harimau Malaysia?

Hari ini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan penggunaan nama baru untuk pasukan kebangsaan, iaitu daripada Harimau Malaya ditukar kepada Harimau Malaysia.

Menurut FAM, rasional di sebalik penggunaan nama gelaran baru itu ialah kerana gelaran Harimau Malaya tidak lagi sesuai digunakan setelah pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Dan menurut sumber di fam.org.my, gelaran Harimau Malaya itu asalnya merujuk kepada gelaran yang diberikan oleh Presiden Sukarno kepada seorang penyerang kebangsaan Allahyarham Dollah Don setelah menyaksikan kehebatan pemain tersebut beraksi dalam sebuah perlawanan.

Oh, selama ini saya ingatkan gelaran Harimau Malaya itu melambangkan semangat juang dan keberanian dan merujuk kepada spesies harimau iaitu Harimau Malaya atau Malayan Tiger. Ada ek Malaysian Tiger?

Saya tidak terniat langsung nak mengetepikan Sabah dan Sarawak kerana sememangnya skuad kebangsaan adalah 'milik' semua rakyat Malaysia, tapi pada saya nama Harimau Malaya itu bunyinya lebih menarik. Atau mungkin juga sebab telah terbiasa dengan gelaran ini sejak sekian lama.

gelaran harimau malaya ditukar kepada harimau malaysia
Sumber : FB FAMalaysiaOfficial

Ramai juga peminat bolasepak yang tidak berapa setuju dengan penggunaan nama baru Harimau Malaysia untuk pasukan kebangsaan ini. Ramai juga yang 'sefahaman' dengan saya mengenai asal usul penggunaan gelaran Harimau Malaya itu adalah sempena spesies harimau. Tapi tidak kurang juga yang bersetuju dengan penggunaan gelaran baru Harimau Malaysia itu kerana berpendapat ia mengambil kira Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian daripada Malaysia.

Tapi yang paling penting di sebalik penggunaan gelaran baru Harimau Malaysia adalah:

Adakah dengan gelaran Harimau Malaysia ini akan lebih melonjakkan semangat dan prestasi pemain untuk beraksi dalam pasukan kebangsaan?

Addakah dengan gelaran Harimau Malaysia ini akan mampu memperbaiki kedudukan Malaysia yang berada di tangga 171 ketika ini?

Di ketika Malaysia berada di ranking 171 dunia, tiadakah perkara yang lebih penting daripada sekadar menukar gelaran untuk pasukan kebangsaaan?

Sekadar bertanya. Mungkin juga FAM telah ada jawapannya untuk semua soalan di atas.

Sempena dengan gelaran baru Harimau Malaysia ini, FAM juga telah mengadakan pertandingan yang terbuka kepada semua warganegara Malaysia untuk merekacipta logo Harimau Malaysia. Hadiah menarik RM10,000 dan peluang untuk bersama skuad kebangsaan pada kejohanan AFF Suzuki menanti pemenang yang bertuah. Maklumat lanjut boleh dirujuk di laman web fam.org.my atau FB FAMalaysiaOfficial

Selamat mencuba!

#HarimauMalayaSelamanya



Lazada Malaysia

0 comments: