Satu pagi di Klinik Ortopedik...

Thursday, March 23, 2017 Ana 0 Comments


Satu pagi di Klinik Ortopedik...


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Setelah hampir sebulan menunggu, hari ini ialah hari temujanji emak saya di Klinik Ortopedik di Klinik Pakar dan Rawatan Harian (SCACC) Hospital Kuala Lumpur (HKL). Walaupun trafik agak lancar ketika cuti sekolah minggu ini, tapi mengenangkan orang ramai di HKL dan kemungkinan perlu menunggu lama giliran bertemu doktor, awal-awal pagi lagi kami dah bertolak ke HKL.

Sampai saja di perkarangan Klinik Ortopedik, telah ada staf yang membantu menawarkan kerusi roda untuk digunakan. Emak saya masih boleh berjalan tetapi agak lambat dan gunakan kerusi roda lebih membantu. Selesai daftar dan ambil nombor giliran di Klinik Ortopedik di Aras 1, kami kemudiannya diminta pula ke Klinik Ortopedik di Aras 2. Jika anda pertama kali datang untuk mendapatkan rawatan, jangan tersilap naik lif untuk ke Aras 2 seperti yang berlaku kepada kami. Pastikan anda pergi ke lif yang terdapat di bahagian tengah bangunan SCACC itu dan bukannya lif yang terletak betul-betul berhampiran dengan pintu masuk ke Klinik Ortopedik tersebut.. Klinik Ortopedik di Aras 2 terletak di sebelah kiri sebaik saja keluar daripada lif. Agak mencabar juga menyorongkan emak menggunakan kerusi roda ini. Bukan semua orang yang sudi untuk bertolak ansur memberi ruang kepada kami untuk masuk ke dalam lif terlebih dahulu.



temujanji di klinik ortopedik hospital kuala lumpur

kerusi roda tersedia di luar klinik ortopedik


Tiba saja di klinik tersebut, kami perlu menunggu hingga nombor giliran dipanggil. Suasana dalam klinik ini luas, lapang dan selesa meskipun ramai orang yang sedang menunggu giliran. Ya, waktu itu ialah jam 8 pagi dan sudah ramai yang telah berada di klinik tersebut. Nombor 'bertuah' kami ialah 6028 dan nombor yang tertera di skrin ketika itu ialah 6009. Maka dengan sabarnya kami pun menunggu.


temujanji di klinik ortopedik hospital kuala lumpur

temujanji di klinik ortopedik hospital kuala lumpur


Satu jam setengah kemudian, 'panggilan' yang dinanti-nantikan hampir tiba. Nombor giliran dipanggil semakin cepat juga. Daripada 6020, 6021, 6022, 6023, 6024, 6025, 6026, 6027 dan saya pun dah siap sedia berdiri untuk nombor 6028. Selesai saja giliran pesakit dengan nombor 6027 itu berurusan di kaunter 2, saya pun ingat nak terus saja melangkah dan bila nombor 6028 dipanggil saya dah siap sedia di depan kaunter. Tapi agak kecewa bila nombor seterusnya dipanggil ialah 6030. Eh, nombor giliran saya macam mana?

"Tumpang tanya, nombor 6028 belum panggil lagi kan?"

"Tadi Cik ada bagi kad pengenalan kat Aras 1 kan? Kalau ada bagi kad pengenalan, yang itu kaunter 1 akan uruskan. Ada banyak prosedur Cik"

"Oh..."

Maka sekali lagi kami menunggu. Pesakit dengan nombor giliran 6029 juga saya nampak sudah tak senang duduk kerana nombornya tak dipanggil. Lebih kurang 10 minit kemudian barulah giliran kami dan sekali lagi perlu menunggu untuk dipanggil masuk ke bilik nombor 13.


klinik ortopedik hospital kuala lumpur


temujanji di klinik ortopedik hospital kuala lumpur

klinik ortopedik hospital kuala lumpur


Jika diikutkan pada papan tanda, ada 35 bilik kesemuanya di klinik tersebut tapi saya tak pasti pula sama ada kesemuanya ialah bilik rawatan. Hampir 30 minit juga perlu menunggu sebelum akhirnya berjaya masuk ke bilik nombor 13. Bilik tersebut menempatkan 2 orang doktor bermakna 2 orang pesakit dirawat pada masa yang sama. Agak sukar bila pesakit yang seorang lagi sedikit 'teruja'  dan suara nya yang agak tinggi ketika menerangkan penyakitnya kepada doktor yang merawat.

"Daripada x-ray ni nampak tulang makcik agak berusia. Saya dah check tadi kaki makcik peredaran darah ok tak ada masalah. Tapi makcik kata kaki makcik rasa sejuk-sejuk kan? Saya suspect saraf ni makcik. Saya akan bagi makcik ubat saraf dan makcik kena datang lagi untuk fisioterapi..."



temujanji di klinik ortopedik hospital kuala lumpur

Selesai urusan di bilik nombor 13, perlu turun semula ke Aras 1 untuk membuat temujanji yang seterusnya dan ambil ubat di farmasi. Temujanji yang seterusnya ialah pada 14 September nanti. Melihatkan tarikh temujanji seterusnya yang dicatatkan pada kad temujanji itu rasa nya seperti berkurun lama lagi perlu menunggu. Sekarang baru bulan Mac!

Urusan seterusnya ialah ambil ubat di farmasi. Di bahagian farmasi juga perlu ambil nombor giliran. Melihatkan begitu ramai yang menunggu giliran, maka ketika beratur untuk ambil nombor, di fikiran saya sudah 'bersiap sedia' untuk satu lagi cabaran menunggu giliran. Eh, sekejap. Ada lorong atau nombor giliran khas untuk pesara lah. Ya, jika anda ialah seorang pesara kerajaan, gunakan lah keistimewaan anda itu di sini. Memang sepantas kilat nombor giliran anda akan dipanggil.

Baca juga:
Satu pagi di Hospital Kuala Lumpur...
Bila badan tak sihat....


Banyak juga ubat yang dibekalkan untuk emak saya. Ubat tersebut hanya untuk 3 bulan dan perlu datang semula ke farmasi itu pada bulan 6 nanti untuk ambil bekalan ubat yang seterusnya. Hmm...terus terbayang di kepala mana nak di 'park' kan kereta sementara pergi ambil ubat pada bulan 6 nanti. Ambil ubatnya sekejap saja, cari parking yang lebih ambil masa.

Kenapa emak saya dapatkan rawatan di HKL? Kalau boleh memang tak mahu ke HKL dan lebih suka ke hospital swasta yang berdekatan dengan rumah. Tapi atas sebab-sebab yang berikut maka ke HKL juga lah nampaknya....

- Salah satu ubat yang dibekalkan ada tertera harga ubat tersebut pada bekas ubatnya. Memang mahal juga bila dikira-kira tapi disebabkan guna kad pesara maka ia nya percuma. Rugi kan kalau tak guna benda percuma ni?

- Sebelum ini emak saya pernah menjalani fisioterapi di hospital swasta di Wangsa Maju. Kos untuk satu sesi fisioterapi (saya lupa sama ada satu atau dua jam) ialah RM80. Dan kebiasaannya fisioterapi perlu dilakukan berkali-kali. Katakan paling kurang pun 5 kali, maka jumlahnya dah RM400. Di HKL, fisioterapi adalah percuma untuk pesara (juga untuk warga emas kalau saya tak silap). Tapi satu perkara yang tak best ialah perlu tunggu giliran yang lama untuk dapat giliran temujanji fisioterapi itu.

- Salah seorang kenalan yang juga pernah bertugas di HKL sebelum ini dengan yakinnya mengatakan kepada kami bahawa meskipun di HKL ramai pesakit, tapi di HKL juga ada ramai doktor yang sedia untuk merawat. Beliau percaya laporan perubatan seperti x-ray, MRI, CT-scan dan lain-lain lebih cepat diperolehi di HKL jika hendak dibandingkan dengan hospital swasta yang lain.

Setiap penyakit pasti ada penawarnya kecuali mati. Setelah lama juga berulang alik ke klinik dan hospital swasta dalam usaha mencari penawarnya, kali ini kami cuba pula berulang alik ke HKL...

😊😊😊

0 comments: