Mampukah kita 'Terkenal Di Langit' ?

Saturday, February 27, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera...


Niat di hati nak cari buku 'Lelaki Terakhir Menangis di Bumi' tulisan saudara Musa Nuwayri di kedai buku, tapi tak jumpa. Memang lah tak akan jumpa sebab saya cari di kedai buku Popular. Penulisnya dah pesan buku ini hanya boleh didapati di kedai buku MPH, Kinokuniya, Dubook Press, SMO atau buat belian secara pesanan whatsapp.

Akhirnya, terbeli buku 'Terkenal Di Langit' tulisan saudara Khairul Hakimin Muhammad. Itu pun setelah pilih-pilih antara nak beli buku 'Terkenal Di Langit' atau buku 'Kisah Orang Menang' karya saudara Saiful Nang. InsyaAllah, lain kali ke Popular, buku 'Kisah Orang Menang' akan ada dalam tangan.


buku terkenal di langit

Buku 'Terkenal Di Langit' ini simple saja. Isi kandungan buku ini ialah status-status Facebook penulisnya yang dikumpulkan oleh pihak penerbit dan dibukukan.
Ada status atau entry penulis ini yang pernah viral di seluruh negara. Saya pun mula mengenal penulis ini setelah terbaca post viral penulis mengenai rancangan 'Terlajak Puteh Nampak' baru-baru ini.

Buku yang simple tetapi kandungannya banyak menjentik hati, perasaan dan pemikiran. Saya rasa penulis ini sangat bertuah kerana banyak kali berpeluang menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan atau di saat-saat kesusahan seperti yang diceritakan dalam kisah minyak motorsikal habis, kisah anak kecil yang mencuri kerana terpaksa, kisah makcik jual keropok, kisah pakcik yang kehilangan anak isteri, kisah pasangan suami isteri dengan tikus mereka, kisah kereta rosak di tengah jalan dan banyak lagi kisah yang menarik.

Adakah penulis ini yang sangat bertuah atau saya yang tak perasan semua kisah-kisah ini di sekeliling saya?

Tak perasan atau buat-buat tak perasan?

Memang betul-betul membuka minda bila membaca buku ini. Penulis membuatkan kita terfikir pelbagai jalan-jalan untuk buat kebaikan. Mudah sebenarnya. Semudah menceriakan pekerja tol dengan membelikan mereka sarapan pagi!

buku terkenal di langit

Ayat dalam buku ini yang paling saya akan ingat ialah:

"Kalau Tuhan berikan kita duit yang sangat sikit, dan kita nampak kesusahan depan mata, waktu itu ialah waktu yang paling indah dan seronok untuk berbuat kebaikan. Dan lihatlah hadiah daripada Tuhan kembali kepada kita. Subhanallah."

Tidak perlu syarahan atau ceramah, penulis menyampaikan dakwah membuat kebaikan dengan cara yang santai, yang dekat dengan kehidupan kita sehari-hari, dengan cara contoh melalui teladan. Penulis menunjukkan bahawa tiada sempadan dalam membuat kebaikan. Kebaikan itu universal, menerobos sempadan agama, bangsa, usia malah kepada haiwan sekalipun kita mampu berbuat kebaikan jika ruang-ruang kesempatan berbuat baik itu direbut dan dimanfaatkan.

Memang berbaloi untuk anda dapatkan buku ini di pasaran. Semoga kita semua mampu menjadi 'terkenal di langit' nanti....

Misi seterusnya ialah untuk dapatkan 'Lelaki Terakhir Menangis di Bumi'. Bukan misi untuk dapatkan lelaki itu. Misi untuk dapatkan bukunya.




0 comments: