Masalah rumah tangga : Sampai bila mahu bertahan?
Assalamualaikum & salam sejahtera....
Anda pernah dengar atau tahu mengenai rakan-rakan atau saudara-mara yang terlibat dengan masalah penderaan atau keganasan rumah tangga?
Baru semalam dapat panggilan sahabat yang bemasalah dengan rumah tangga nya, Saya pun tak pasti kenapa saya dikelilingi dengan individu yang mempunyai masalah dengan rumah tangga mereka. Mungkin saya antara bertuah dapat dengar dan kongsi kisah masalah mereka?
Kisah 1:
Sahabat saya ini memang bagi saya banyak rahsia. Bila berkahwin pun kami di pejabat tidak tahu dan tidak dijemput. Tahu-tahu saja sudah ada cincin di jari. Bila nampak cincin kahwin itu saya ingatkan saya nak merajuk dan kecil hati lah konon-kononnya kerana tidak dijemput ke kenduri kahwinnya, rupa-rupanya kawan-kawan lain pun tak tahu dan tidak dijemput ke majlisnya.
Tak mengapalah, mungkin ada alasannya tersendiri.
Tapi kisah ini tidak berakhir di situ.
Suaminya seorang yang panas baran dan kuat cemburu. Kalau balik lambat sikit dari pejabat, mulalah bertanya dan syak kawan saya ini keluar dengan lelaki lain. Dan satu masalah lagi, suaminya ini tidak mempunyai kerja tetap.
Sahabat saya ini kerap juga mengadu mengenai masalah rumah tangganya. Nak dikatakan tidak bahagia, anak dah ada 5 orang. Masalah duit memang selalu jadi masalah utama. Puas sahabat saya ini menebalkan muka meminjam duit dengan saya dan kawan-kawan di pejabat.
Selain sahabat saya ini yang sering dipukul dan didera fizikal dan mental, agak menyedihkan bila anak-anaknya turut terlibat sama dipukul oleh si suami.
Kisah 2:
Seorang lagi sahabat saya ini suaminya kuat berbelanja. Hasilnya, hutang pun banyak. Kalau beli barang-barang keperluan keluarga dan anak-anak tidak mengapalah, ini barang yang lebih kepada kehendak dirinya saja. Sampi buat pinjaman peribadi untuk beli barang yang tidak perlu.
Hari minggu dihabiskan bersama kawan-kawan dengan konvoi menaiki motorsikal besar. Kawan-kawan di tempat pertama, isteri dan anak-anak di tangga kedua.
Kawan saya ada mengadu yang dia pernah terfikir nak lari tinggalkan rumah. Dan orang yang dia terfikir untuk minta tolong menjayakan misi melarikan diri itu ialah saya!
Kisah 3:
Seorang sahabat yang merupakan isteri kedua kepada seorang lelaki yang lebih berusia daripadanya. Bahagia dengan seorang anak perempuan. Memang tiada masalah dengan isteri pertama. Sahabat saya yang bergaji lumayan ini kemudiannya berhenti kerja kerana stress dengan pekerjaannya dan memulakan bisnes. Tidak sampai setahun, bisnes yang dijalankan tidak berjaya dan terpaksa ditutup. Rumah kedua yang dibelinya bersama suami dijual kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan. Hasil jualan rumah diserahkan kesemuanya kepada si suami.
Bermulalah kisah tidak gembira apabila suaminya mula buat hal. Ya lah, sahabat saya sudah tidak bekerja kan. Mungkin si suami mula merasakan sahabat saya ini sebagai beban kepadanya.
Dalam semua kisah di atas, ketiga-tiga sahabat saya ini tidak pernah berani untuk mengadukan masalah mereka kepada jabatan agama. Mereka tidak berani mengambil apa-apa tindakan. Mereka masih cuba dan cuba untuk menyelesaikan masalah rumahtangga mereka sendiri. Mereka masih mengharapkan keajaiban berlaku.
Kasihan.
Kisah yang tidak akan berkesudahan selagi si emak masih menaruh harapan kepada si ayah yang tidak bertanggungjawab.
Jawapannya di tangan wanita yang menjadi mangsa dera itu sendiri. Selagi mereka tidak berani untuk berhadapan dengan masalah dan berani untuk melangkah keluar daripada masalah, selagi itu lah tiada apa yang akan berubah.
Saya hanya mampu melihat.
(Panjang pula entry kali ini)
0 comments: