Showing posts with label tips. Show all posts

Your savings for today....


Your savings for today....



Assalamualaikum & salam sejahtera....


Anda ada nampak apa-apa yang menarik kat resit di bawah?

Teknik menarik pelanggan


Bagi saya, semestinyalah ayat manis 'Your savings for today' ialah benda yang paling menarik kat resit tersebut. Kebiasaannya di resit-resit selalunya tertera point yang terkumpul jika kita ialah ahli sesebuah pasaraya/restoran/kedai. Yang paling tak menarik untuk dilihat di resit ialah jumlah cukai perkhidmatan yang dikenakan untuk servis atau barangan yang dibeli!

Ayat manis itu secara tak langsung menjadi penarik kepada pelanggan untuk berkunjung lagi ke pasaraya tersebut. Yang pastinya, barangan di pasaraya tersebut memang betul-betul murah semasa tempoh promosi jualan murahnya dan bukan sekadar promosi semata-mata. Ada pasaraya yang saya kunjungi semasa promosi jualan murahnya tak seperti yang dijanjikan. Harga barang di pasaraya tersebut semasa tempoh jualan murahnya lebih mahal daripada harga barangan yang sama (tanpa harga murah) di pasaraya yang lain.

Selain faktor harga, ambience atau suasana premis dan juga kakitangan yang bertugas turut memainkan peranan utama. Kunjungan saya ke kedai tekstil terkenal di pusat bandar tidak lama dahulu sedikit agak 'merimaskan'. Jurujual yang menyambut 'ketibaan' saya di kedai tersebut terus saja mengekori saya ke mana saja saya pergi. Rasa tidak puas membelek-belek kain yang dipamerkan apabila berterusan diekori begitu.

"Err, adik, tak payah ikut saya, nanti ada kain yang saya berkenan saya panggil adik ye"

"Tak boleh kak. Nanti bos nampak saya tak ikut akak nanti saya yang kena marah. Setiap customer kena ada staf yang ikut kak"

Oh macam tu pula. Sudahnya saya tak beli apa-apa pun di kedai tersebut. Terpulang pada individu, mungkin ada yang suka diiringi dan dilayan khas sebegitu. Bagi saya layanan semacam itu buat saya sedikit kurang selesa!

Kedai yang kurang terkenal mungkin ada sedikit masalah daripada segi pemasaran atau untuk tarik pelanggan. Betul ke?

Malam Ahad yang lalu saya lihat sendiri betapa hebatnya 'kuasa' pemasaran melalui tv.

"Eh, ni gerai roti john kat simpang tiga tu lah. Wah, glamer betul dapat masuk rancangan 'Jalan-jalan Cari Makan' !"

Tak sangka betul gerai roti john yang terletak 5 minit dari rumah saya itu disiarkan dalam rancangan yang digemari ramai di tv3 itu. Pasti ada yang istimewa sehingga dapat masuk rancangan tersebut. Sejujurnya saya sendiri tak pernah singgah lagi di gerai tersebut. Apabila dah disiarkan di tv ada hati pula nak tumpang bangga sebab gerai iu dekat dengan rumah 😃😃😃

Hebatnya pemasaran melalui tv terbukti apabila saya lihat sendiri barisan panjang orang ramai beratur menunggu giliran di gerai tersebut. Ketika itu lebih kurang jam 7.45 malam. Semasa saya sekali lagi lalu di gerai tersebut sekitar jam 9 lebih malam, orang masih lagi ramai beratur menunggu giliran. Tak menang tangan nampaknya pekerja menyiapkan pesanan-pesanan roti john!

Daripada sekecil-kecil perkara seperti info di resit, layanan one to one bagi setiap pelanggan hinggalah kepada promosi di kaca tv, pastinya setiap teknik memikat dan menarik pelanggan adalah hasil perah otak si pengusaha. Kadangkala tak perlu perah otak dengan teknik yang berlebihan pun, cukup dengan perkara asas saja seperti harga berpatutan dan servis yang mesra pastinya pelanggan tak akan serik untuk berkunjung lagi!




Ubat yang menyakitkan?



Ubat yang menyakitkan?



Assalamualaikum & salam sejahtera...


Ubat.

Siapa tak pernah makan ubat?

Hampir semua orang pernah jatuh sakit sekali dalam hidup dan pernah makan ubat kan?

Tak kira lah sama ada ubat bagi penyakit yang ringan seperti ubat batuk, ubat selesema mahu pun ubat demam. Atau pun ubat bagi penyakit berat seperti ubat darah tinggi, kencing manis mahu pun penyakit jantung. Biasanya sebagai pesakit kita diberi ubat-ubatan sebegini setelah berjumpa doktor untuk pemeriksaan kesihatan atau pun kita dapatkan di farmasi yang berdekatan. Seperti biasa, pada ubat-ubatan tersebut akan ditulis arahan cara pengambilan, dos yang diperlukan, kekerapan pengambilan dan juga peringatan tertentu seperti ubat yang boleh mengakibatkan mengantuk setelah dimakan.

Ini semua biasa.

Bagaimana pula dengan ubat yang disertakan sekali dengan leaflet/pamplet atau kertas yang tertulis penerangan panjang lebar mengenai maklumat sesuatu ubat? Rasa-rasanya ramai tak pesakit yang akan baca penerangan panjang lebar itu sebelum makan ubat tersebut?

Saya mengaku saya bukanlah jenis orang yang akan baca kertas tersebut. Ya lah, kan dah diterangkan dengan ringkas oleh doktor/ahli farmasi cara pemakanan ubat dan kesan-kesannya, nak buat apa 'menyusahkan' diri baca penerangan panjang lebar itu, betul tak?

Tak betul. Itu adalah satu kesilapan yang besar.

Saya belajar sendiri kesilapan itu setelah melihat pengalaman yang dilalui emak saya kesan pengambilan sejenis ubat.

"Doktor, saya tak tak tahan lah doktor. Kaki saya ni rasa sejuk sangat-sangat kat dalam , rasa macam ada ais batu bergantung dalam kaki saya ni!"

Panik doktor itu apabila emak saya menangis-nangis mengadu kaki yang terasa sangat sejuk di dalam (bahagian luar kaki tak sejuk) ketika satu sesi temujanji dengan doktor tersebut.

"Ok, ok. Kita buat pemeriksaan x-ray dulu. Tengok jika tulang masih menghimpit saraf. Lepas tu kita akan bagi ubat yang sesuai"

Pemeriksaan x-ray pun dibuat walaupun dalam hati saya berkata-kata dapat ke dilihat tulang menghimpit saraf hanya melalui filem x-ray? Bukan kena buat MRI ke? Kenapa doktor tak nak buat MRI? Mungkin ke doktor takut melalui MRI akan nampak yang pembedahan bagi spinal stenosis yang dilakukannya ke atas mak saya dulu tidak berjaya?

Macam-macam yang saya fikir waktu itu.

"Ha, tengok ni, x-ray ni tunjukkan tak ada masalah pada tulang dan saraf. Mungkin masih ambil masa untuk pulih lepas operate hari tu. Tak apa, saya akan bagi ubat ni, cuba makan dan kita tengok apa kesannya"

Lyrica. Itu lah nama ubat "ajaib" yang diberikan oleh doktor.

Kenapa saya kata ubat ajaib? Sebab lepas makan ubat tersebut, mak saya terus hilang rasa sejuk di kakinya! Ajaib betul.

Kami sekeluarga pun gembira. Mak tak lagi menangis-nangis menahan sejuk. Hidup diteruskan seperti biasa. Mak masih lagi menjalani fisioterapi sebab masih belum boleh berdiri dan berjalan selepas pembedahan tulang belakang.

2 bulan berlalu. Saya perasan kaki mak semakin keras. Sukar nak diangkat. Kerap juga kejang otot dan 'tarik' seperti terkena renjatan elektrik. Kaki terasa kebas. Mak makin kerap berpeluh. Gatal-gatal badan. Perut kembung dan berat badan semakin bertambah walaupun selera makan tak seberapa. Mata semakin kabur. Malam sukar tidur. Penyakit apa pula ni?

Mak ada salah makan kah? Atau ada salah makan ubat?

Kotak ubat Lyrica mula saya bongkar. Kertas penerangan mengenai ubat saya baca satu persatu.

Ya. Lyrica boleh menyebabkan otot kejang (muscle cramps). Lyrica boleh menyebabkan kaki bergerak @ tertarik sendiri (twitching @ jerking). Lyrica boleh menyebabkan peluh berlebihan (excessive sweating). Lyrica boleh menyebabkan perut kembung (bloating). Lyrica boleh menyebabkan sukar tidur malam (insomnia).



pregabalin


pregabalin

Tapi, Lyrica kan dah hilangkan rasa sejuk kaki mak?

Tak. Lyrica tak hilangkan rasa sejuk. Lyrica cuma menghalang signal rasa sejuk itu daripada sampai ke otak. Rasa sejuk itu sebenarnya masih ada!

Pada temujanji doktor yang seterusnya, saya tunjukkan info pada leaflet itu kepada doktor.

"Doktor, saya baca kat leaflet ni Lyrica boleh sebabkan muscle cramps lah doktor"

Doktor hanya membelek-belek kertas yang saya tunjukkan.

"Tak ada apa ni. Kalau macam tu, kurangkan makan daripada 2 kali sehari kepada sekali saja sehari"

Begitulah seterusnya. Doktor seperti kurang maklumat mengenai kesan Lyrica. Apabila kaki masih keras dan kejang setelah dikurangkan kepada 50mg saja sehari, dicadangkannya pula supaya makan 75mg sehari.

"Kita pun tak tahu apa puncanya. Kita cuba dan tengok"

Mak saya bukan 'tikus makmal' untuk dicuba-cuba ubat ke atasnya.

Amat menakutkan apabila membaca maklumat di Internet mengenai Lyrica dan kesannya.Amat amat menakutkan. Menakutkan kerana ubat ini memberi kesan kepada otak. Apa yang paling menakutkan ialah kurangnya penerangan daripada pihak doktor @ ahli farmasi mengenai kesan ubat ini kepada pesakit.

Antara info mengenai Lyrica di sini:

https://mentalhealthdaily.com/2014/08/06/lyrica-withdrawal-symptoms-duration/

https://www.everydayhealth.com/drugs/lyrica/reviews

https://www.livestrong.com/article/119084-lyrica-side-effects-muscle-/

Link yang di bawah ini menarik untuk dibaca kalau nak tahu apa yang berlaku pada otak kita apabila makan ubat-ubatan yang seumpama Lyrica.

http://www.benzobuddies.org/forum/index.php?PHPSESSID=17llucl8v92nvau6tmiev8rsr2&topic=66397.0


Kini dah masuk 72 hari mak saya berhenti makan Lyrica. Seperti mana makan Lyrica memberi kesan buruk, berhenti makan Lyrica juga ada kesannya. Badan mak saya sakit-sakit. Perubahan mood yang tak menentu. Tidur malam masih jadi masalah.

Ya. Simptom 'withdrawal' Lyrica adalah menyakitkan. Sistem badan yang telah bergantung kepada Lyrica semasa pengambilannya kini menjadi huru-hara setelah mak saya berhenti makan ubat tersebut.

Menakutkan juga sebab ia membuatkan saya kadangkala terfikir sama ada tindakan berhenti makan Lyrica itu adakah betul atau salah. Ada satu saja petunjuk yang buat saya yakin Lyrica adalah penyebab kepada semua yang emak saya alami selama ini.

Kaki emak saya yang keras mulai lembut dan boleh diluruskan. Kaki kanan mulai lembut setelah 4 minggu berhenti makan Lyrica dan kaki kiri kini mula untuk lembut walaupun sedikti mengambil masa dan sakit.

Lyrica. Ubat yang menyakitkan.

Jika anda atau sesiapa yang anda kenali telah atau akan mengambil ubat ini, berhati-hatilah. Mungkin bagi sesetengah orang, ubat ini tidak mendatangkan masalah (untuk makluman, ubat ini pun bukannya murah. Satu papan yang ada 18 biji pil berharga lebih kurang RM80). Namun jika anda mulai terasa ada sesuatu yang tidak kena, rujuk lah kepada mereka yang pakar sebelum masalah kesihatan yang lebih berat berlaku.

😢😢😢😢😢

Tutup saja laptop itu dan tidur!


Tutup saja laptop itu dan tidur!


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Kalau tak ada idea nak tulis apa di blog, tutup saja laptop itu dan tidur!

Dah banyak kali saya dengar dan baca nasihat di atas tapi masih lagi ikut kan keras kepala degil nak termenung juga depan laptop. 'Hasil kedegilan dan keras kepala itu', bukan lah idea yang mencurah-curah untuk dikongsikan di blog tapi tidur yang tak cukup dan tengkuk yang sakit akibat lama berteleku depan laptop!

Tak ada idea tulis blog


Bukan nak paksa diri menulis walaupun kering idea, tapi sebenarnya memang pun kena paksa diri untuk menulis untuk elakkan blog bersawang. Selain itu, kalau dah mula berhenti menulis, kebarangkalian untuk dijangkiti virus 'M' amatlah tinggi dan virus ini kalau dibiarkan melarat alamatnya memang susah nak menulis lagi. Bahaya!

Sangat beruntung bagi blogger mahu pun individu yang kaya dengan idea untuk menulis. Menulis bukan setakat 'asalkan menulis' tapi menulis untuk kongsikan idea, pengalaman dan tips yang berguna. Bagi individu yang punya cara penulisan yang menarik dan mampu menarik membaca, contohnya di Facebook, apa saja yang ditulis pasti akan dapat perhatian dan Like dari pengikutnya. Rasanya jika individu itu letak kan satu huruf atau satu noktah sekali pun di status FB nya, tak mustahil ada juga yang akan komen dan Like! Sama juga dengan blogger. Seorang blogger terkenal menulis mengenai cara goreng ikan saja pun mampu untuk tarik minat orang bukan saja untuk membacanya tapi juga memberi komen!

Baca juga:
Tambah pendapatan dengan hobi menaip dan menulis!
Ada ke orang nak baca blog awak?
Apa yang buatkan anda bersemangat nak tulis blog?
Tulis, tulis dan tulis!

Nak banyak idea menulis? Banyak sudah rahsia (yang bukan rahsia lagi) untuk mendapat ilham dan idea menulis yang tentu kita pernah dengar. Paling mudah ialah keluar ke tempat awam dan lihat pelbagai ragam manusia yang boleh dijadikan 1001 cerita. Atau nak mudah lagi ialah ilham daripada apa yang kita tonton di tv mahupun ilham daripada apa yang berlaku ke atas diri kita sendiri yang bermanfaat dikongsikan bersama.

Nak mudah lagi ialah idea menulis daripada berita-berita terkini yang sedang hangat diperkatakan. Cara berkesan untuk dapat idea mengulas peristiwa semasa yang berlaku ialah dengan dapatkan input daripada orang ramai. Macam mana tu, takkan tiba-tiba jadi wartawan dan buat interview secara rambang? Tak perlu. 'Wartawan segera' dah sedia ada untuk membantu. Untuk setiap cerita dan berita dalam blog mahu pun  media sosial, semak saja ruangan komen untuk dapatkan idea menulis. Pasti ramai netizen yang  tinggal kan komen yang bernas dan boleh dijadikan input untuk entry di blog anda. Daripada situ sahaja dah boleh buat entry yang panjang lebar!

Tak ada idea tulis blog

Tapi ada ketika nya dah cuba cara-cara dapatkan idea menulis seperti di atas dan otak masih lagi 'jammed' dan seperti mogok tak mahu bekerja sama. Mungkin protes agaknya, penat bekerja perah otak dan dah tiba rasanya untuk kurangkan 'paksaan' dalam mencari idea dan cuba jadi lebih relaks.

Dalam situasi yang lebih relaks mungkin baru idea sudi datang mencurah-curah!

Tak ada idea nak menulis?

Berhenti termenung depan laptop dan jom tidur dulu!




Masih gigih berusaha menyimpan 'Si Hijau'!



Masih gigih berusaha menyimpan 'Si Hijau'!


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Dalam banyak-banyak cara dan tips untuk menyimpan duit yang banyak dikongsikan di Internet mahu pun media sosial, saya paling suka cara simpan duit mengikut warna duit. Salah satunya yang telah lama diamalkan oleh kebanyakan orang ialah 'Kempen Si Hijau' iaitu simpan duit kertas RM5 setiap kali kita terima baki selepas beli barang.

Simpan duit dengan cara yang seronok!

Kenapa simpan duit kertas RM5 dan bukan RM1 atau RM20 yang lebih besar nilainya? Lebih besar nilai lebih cepat bertambah simpanan kan? Ikutkan pandangan saya sendiri, duit RM5 ialah nilai yang 'sederhana' besarnya dan tak terasa sangat rasa 'sayang' nak simpan. Maksud saya dengan rasa 'sayang' nak simpan itu ialah berat hati nak ketepikan duit RM5 sebab rasa ada nak digunakan untuk tujuan yang lain. Simpan RM5 lebih mudah jika nak dibandingkan dengan duit RM1 yang lebih kerap kita gunakan dan RM20 yang agak besar nilainya dan mungkin kita akan terasa sedikit 'kesempitan' wang bila kita asyik ketepikan RM20 untuk disimpan.

Kena cekal hati juga nak menyimpan si hijau ini walaupun adakalanya saya terbabas juga 'terguna' duit RM5 yang disimpan. Tapi sebagai hukuman untuk diri sendiri, saya akan ganti balik duit yang telah digunakan dengan 2 kali ganda nilai yang saya dah gunakan. Adakalanya saya gantikan juga dengan RM1 dan lepas itu buat azam bersungguh-sungguh tak nak terguna RM5 lagi. Duit kertas RM5 tak boleh digunakan walau apa pun yang terjadi!

Pernah juga saya cuba (konon-kononnya) nak 'naiktaraf' dengan menyimpan duit RM20 pula tapi tak berjaya. Dapat lah simpan sekeping dua tapi lepas itu ada saja barang yang nak dibeli dan terpaksa lah 'berkorban' duit RM20 yang baru mula nak disimpan.

menabung dengan cara simpan baki duit syiling


Memang ada banyak cara yang disyorkan untuk menyimpan wang seperti simpan 10% daripada wang pendapatan, simpan dalam akaun yang tiada kad ATM seperti Tabung Haji dan ASB, simpan baki yang diterima dalam bentuk duit syiling dan banyak lagi. Terpulang pada keselesaan dan kemampuan masing-masing. Cuma bagi saya bila menyimpan ikut warna duit kertas ini rasa seronok lihat berkeping-keping duit yang sama warna dan bagi semangat untuk simpan lagi dan lagi dan lagi....

Harap-harap saya mampu untuk teruskan Kempen Si Hijau ini untuk jangka masa panjang. Harap-harap duit RM5 yang telah banyak terkumpul setakat ini tak akan masuk pula ke dalam sampul duit raya menjelang hari raya yang akan datang!

Masih belum terlewat untuk menyimpan, jom mulakan Kempen Si Hijau hari ini juga!

😊😊😊

 

Pakcik jual aiskrim dan pendapatan 4 angka...



Pakcik jual aiskrim dan pendapatan 4 angka...


Assalamualaikum & salam sejahtera.....

Jual aiskrim dekat dengan kawasan sekolah memang untung. Sambil menunggu anak saudara habis kelasnya, saya perhatikan pakcik yang jual aiskrim dengan menaiki motorsikal di luar pagar sekolah itu tak menang tangan nak layan kanak-kanak sekolah rendah yang minta aiskrim itu dan ini.

Setiap hari lebih kurang jam 12 tengahari pakcik itu akan sampai di luar pagar sekolah. Sesuai sangat waktu itu sebab pelajar sekolah sesi petang dah ramai juga yang tiba di sekolah. Sementara tunggu loceng mula sekolah bermula, kanak-kanak riang ini akan bermain kejar-kejar, tolak-tolak, pijak-pijak kasut dan baling-baling botol air mineral ('kreatif' kan budak-budak ini bila tak ada gajet di tangan?). Dah penat bermain, tak cukup dengan minum air saja, jadi pakcik aiskrim lah yang jadi 'sasaran'. Jam 12:30 tengahari nanti giliran pelajar sekolah sesi pagi yang pulang sekolah pula 'menyerbu' pakcik jual aiskrim itu,

bisnes aiskrim

Aiskrim yang jadi kegemaran kanak-kanak ini selalunya ialah aiskrim kon biskut/wafer dengan 3 skup aiskrim di atas nya. Yang ini ialah aiskrim yang murah sekali dengan harga RM1. Bagi pelajar sesi petang yang tunggu loceng kelas mula, tangan-tangan kecil kanak-kanak sekolah rendah ini hanya menghulur duit dari celah pagar sekolah dan disambut oleh pakcik aiskrim. Pakcik itu pun dah dikenali ramai dan ramai juga ibu bapa mahupun pekerja pejabat yang berdekatan akan menyapa pakcik itu bila bertemu.

Malangnya baru-baru ini pakcik aiskrim itu telah dikenakan tindakan oleh pihak penguatkuasa. Banyak mata orang ramai yang menunggu anak masing-masing hanya mampu melihat bagaimana pakcik aiskrim itu menyorong motorsikal nya dengan diiringi beberapa orang pegawai penguatkuasa.

Itu cerita sebelum tahun baru cina yang lalu.

Tapi semalam, masa saya melangkah menuju ke pagar utama sekolah, ternampak kelibat seseorang yang macam familiar. Eh, itu pakcik aiskrim itu kan? Pakcik itu berani datang jual aiskrim semula? Tak takut kena saman dengan pegawai penguatkuasa lagi ke?


"Kalau adik nak tau, pakcik kena bayar RM400 sebab nak dapatkan balik motorsikal pakcik tu. Aiskrim pakcik semua kena ambil oleh pegawai penguatkuasa, tak tahu lah apa yang dibuat dengan aiskrim-aiskrim pakcik tu...."


Lebih kurang macam itu lah maklumat yang saya dapat tahu daripada kawan-geng-tunggu-anak-balik-sekolah yang lain.

Baca juga:
Aiskrim tak laku di musim hujan?
8 jenis aiskrim yang sedap!
Mari jual aiskrim!
Cara sediakan aiskrim Malaysia dengan lebih cepat!

Daripada apa yang saya baca, dalam undang-undang pihak berkuasa tempatan, penjualan makanan dan minuman dalam lingkungan 40 meter daripada pagar sekeliling sekolah adalah dilarang bagi semua penjaja statik, penjaja beredar dan penjaja sementara. Bagi penjaja statik atau gerai sedia ada yang berlesen dalam lingkungan 40 meter dari kawasan sekolah pula dibenarkan menjual tetapi perlu patuh kepada senarai makanan dan minuman yang dilarang dijual.

Dan aiskrim ialah salah satu daripada makanan yang tidak digalakkan untuk dijual di kawasan sekolah!
bisnes aiskrim

Agak berani juga lah pakcik itu ambil risiko datang berniaga di kawasan itu sekali lagi. Nak buat macam mana kan, mungkin itu saja sumber pendapatan tetapnya.

Tapi rupa-rupanya boleh juga kalau nak jual aiskrim tanpa tunggang motorsikal ke sana sini dan bunyikan loceng atau lagu Mat Kool itu. Bukan saja tak perlu tunggang motorsikal ke sana sini malah boleh pula jual sehingga 1000 kon aiskrim dalam masa 2 ke 3 jam sahaja, Boleh dapat pendapatan 4 angka dengan jual aiskrim!

Macam tak percaya kan? Tapi itu lah yang dikongsikan dalam ebook 'Bisnes Aiskrim', khas untuk sesiapa yang ada rancang nak jual aiskrim sebagai pendapatan tambahan mahupun untuk tingkatkan lagi jualan aiskrim mereka.

Hmmm....sesuai ke agaknya saya cadangkan pakcik jual aiskrim di luar pagar sekolah itu untuk dapatkan ebook 'Bisnes Aiskrim' ini? Berminat tak agaknya pakcik itu nak tingkatkan jualan aiskrim beliau dan dapat pendapatan 4 angka dengan jual aiskrim?


😊😊😊


Apa yang buatkan anda bersemangat untuk tulis blog?


Apa yang buatkan anda bersemangat untuk tulis blog?


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Semangat untuk tulis blog datang daripada....

1. Komen yang diterima daripada pembaca.
- Bukan mudah nak ajak orang baca blog kita apa tah lagi nak tulis komen. Sekalipun komen yang pendek, ia amat bermakna kerana ada yang sudi nak baca apa yang telah dicoretkan. Saya sendiri mengaku kurang beri komen bila buat blogwalking. Sebagai menghargai pembaca yang sering menulis komen di blog saya, blog penulis komen tersebut (jka penulis komen itu ada blog) saya letakkan di bahagian 'Blog Yang Best' di sidebar. Semoga pembaca lain yang nampak blog penulis komen itu akan melawat blog penulis komen itu pula!



2. Jumlah visitor atau unique view yang bertambah
- Ada kala nya pelawat atau visitor tidak sebrapa dalam hari-hari tertentu tapi satu yang saya nampak ialah semakin kerap menulis maka semakin meningkat jumlah visitor dan unique view. Ada juga hari-hari yang menimbulkan kemusykilan bila tiba-tiba visitor kebanyakannya datang dari Amerika Syarikat. Musykil juga bila post yang telah lama ditulis tiba-tiba menjadi post yang paling popular untuk bulan tertentu sedangkan kata kunci yang paling banyak dicari untuk bulan itu tidak berkait dengan post yang popular tersebut. Selain daripada info atau cerita dalam entry, gambar juga memainkan peranan sebagai penarik pembaca ke sesebuah blog melalui pencarian image di Google. Bertambahnya visitor memang menaikkan semangat untuk lebih rajin menulis.

motivasi tulis blog
Sumber : theblogstarter.com


3. Entry/post yang ditulis muncul di laman pertama carian Google
- Yang ini memang sangat bagus sebagai motivasi untuk terus tulis blog. Saya pernah terbaca satu status di FB yang ditulis begini (maaf saya lupa pula nama tuan punya FB). Lebih kurang begini ayatnya kalau saya tak silap:
Di Google, orang cari produk. Di FB, produk cari orang.
Betul juga kata-kata tu. Di mana lagi anda akan search kalau nak cari sesuatu maklumat? Semestinya bagi kebanyakan orang akan cari di Google. Taip saja kata kunci maka berderet-deret lah senarai laman yang berkaitan akan dipaparkan. Dan yang bestnya maklumat ini kekal di situ sampai bila-bila. dan mudah dibaca. Tak dinafikan juga ada yang mencari maklumat di FB. Tapi mana yang lebih mudah, cari maklumat di Google atau di FB? Jadi bila entry saya berada di laman pertama Google memang rasa sangat teruja!



4.  CPUV dari Nuffnang dan earning dari Google Adsense
- Kalau pasal duit siapa yang tak bersemangat kan! Walaupun sikit tetapi bermakna sebab bukan mudah untuk saya-budak-baru-belajar nak dapat walau satu sen pun daripada program sebegini! Jadi semangat untuk tulis blog pun bertambah up sikit lagi.
semangat menulis blog


5. Tahniah - Anda mendapat jualan!
- Ha, bagi saya yang tak mahir ayat-ayat meyakinkan orang ini, nak dapat email daripada affiliate dengan tajuk 'Tahniah - Anda mendapat jualan!' memanglah tak mudah. Sesekali dapat kejutan bila terima email macam ini tersangatlah gembira dan bersyukur. Terus berkobar-kobar cari cara nak dapatkan jualan lagi. Caranya? Terus menulis blog!

Baca juga:
Tulis, tulis dan tulis!
Ada ke orang nak baca blog awak?
Tambah pendapatan dengan hobi menaip dan menulis!


6. Post di share di media sosial
- Antara aktiviti yang hendak saya tingkatkan dalam tahun baru ini ialah jadi lebih aktif di media sosial sambil-sambil promosikan blog. Kagum juga saya bila lihat individu-individu yang saya follow di FB boleh memuatnaik status yang baru setiap jam. Ada saja idea yang bernas dan berguna ataupun sekadar sebaris dua ayat status yang mampu menarik follower mereka untuk Like dan Share. Entry /post saya  yang pernah di Share di FB oleh pembaca ialah entry mengenai tukar kad debit. Gembira dapat membantu dengan info yang ada. Jadi lebih bersemangat untuk cari lebih info dan tulis di blog untuk sama-sama dikongsikan dengan pembaca blog saya!


Adakah anda juga penulis blog? Nak kongsi apa yang buatkan anda bersemangat untuk tulis blog?

😊😊😊



Jika anda bercita-cita jadi penulis....


Jika anda bercita-cita jadi penulis....


Assalamualaikum & salam sejahtera....

ingin jadi penulis
Sumber : FB Prof Muhd Kamil Ibrahim


Menarik kan nasihat dari Dr Muhd Kamil ini?

Seorang sahabat saya telah share kan satu status FB yang menarik dari Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim. Prof Dr Muhd Kamil pertama kali saya kenali melalui buku beliau bertajuk 'Travelog Haji : Mengubah Sempadan Iman' yang sangat menarik menceritakan pengalaman beliau sebelum, semasa dan selepas mengerjakan haji di tanah suci Mekah. Lama juga saya tak ikuti perkembangan Prof dan buku Prof yang terakhir saya baca ialah buku 'Bersyukur Saat Diuji'.

prof dr muhd kamil ibrahim


Nasihat daripada Prof yang sangat menarik untuk sesiapa yang bercita-cita hendak jadi penulis. Sebenarnya nasihat Prof itu bukan saja untuk mereka yang teringin nak jadi penulis malah sesuai juga jadi renungan untuk semua (termasuk saya sendiri).

Baca, baca dan baca. Membaca itu jambatan ilmu. Membaca itu bagaikan suatu pengembaraan rohani bagi mengisi keperluan jiwa yang dahagakan ilmu.

Memang betul bila malas membaca akan kekurangan idea bagi seorang penulis. Sukar nak kembangkan idea dan imaginas jadi terhad.

Apabila malas membaca, minda jadi tertutup dan susah nak terima pandangan orang lain.

Apabila malas membaca, pandangan jadi sempit dan hilang rasa peduli dengan apa yang berlaku dalam dunia luar.

Apabila malas membaca, kemahiran yang ada akan kekal di takuk lama dan jadi ketinggalan.

Apabila malas membaca, kurangnya pengetahuan akan buatkan diri mudah ditindas dan dipermain-mainkan.

susah dapat ilham untuk menulis?
Kecanggihan teknologi masa kini sedikit sebanyak menyumbang kepada sikap rajin dan malas seseorang itu untuk membaca. Ya, gajet yang canggih memudahkan kita untuk klik sana sini dan sumber bacaan amat mudah sekali untuk diakses di mana-mana. Tapi gajet yang canggih itu juga lah yang adakalanya menjadikan kita lalai dengan menghadap FB berjam-jam, bermain game sehingga larut malam atau pun asyik dengan movie yang di muat turun dengan mudahnya,

Kekangan masa juga kadang kala menjadi salah satu sebab kita kurang membaca. Begitu juga dengan saya (atau mungkin sekadar alasan??). Walaupun bahan bacaan kini hanya dengan klik di hujung jari, bagi saya kedai buku masih lagi jadi pilihan utama. Beza rasanya membaca di skrin berbanding membaca dengan memegang buku fizikal. Tapi bila sekali dah masuk ke kedai buku, memang susah sekali saya nak keluar dari sana, rambang mata dan rasa nak beli semua buku yang ada.

Menyimpan cita-cita tanpa usaha dan tindakan itu dinamakan angan-angan.

Jom kita sama-sama mulakan langkah pertama untuk jadi penulis hari ini juga.

Jom kita banyakkan membaca!







5 tips mudah untuk mulakan bisnes food truck



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Sejak kebelakangan ini, saya perhatikan semakin banyak peniaga berasaskan food truck berniaga di sekitar kawasan rumah kedai dan pejabat berhampiran rumah saya. Bermula dengan sebuah food truck yang jual air kopi (lebih kurang macam kopiesatu), sehingga hari ini dah ada pula food truck jual makanan segera (macam burger, spagheti, kebab) dan food truck jual pelbagai jenis nasi (nasi campur, nasi goreng). Tapi saya belum berkesempatan lagi hendak mencuba menu di food truck-food truck tersebut.

Mesti banyak untung bisnes guna food truck ini kan?

Untung atau rugi itu perkara yang subjektif. Dalam berniaga, jika kena cara dan strategi nya, untung akan datang dengan sendirinya, Cuma ada satu kelebihan bagi bisnes berasaskan food truck ini ialah tidak perlukan modal besar untuk miliki kedai fizikal. Dari sudut itu saja dah banyak yang dapat dijimatkan dalam proses nak mulakan bisnes.

Tapi, adakah bisnes food truck ini sesuai untuk semua orang yang hendak mula berniaga? Asalkan terlintas di hati hendak berniaga guna food truck maka dah terbayangkan keuntungan yang bakal dijana?

Bisnes food truck ini sesuai untuk semua orang. Sesuai untuk semua orang yang mampu laksanakan sekurang-kurangnya 5 perkara asas di bawah:


1. Ada identiti tersendiri
- Dengan ada identiti yang unik, bisnes food truck anda akan mudah diingati dan dikenali. Biarpun anda adalah peniaga food truck yang kesepuluh yang jual air kopi di kawasan yang sama, jika food truck anda ada identiti yang tersendiri dan unik (dan semestinya kena ada air kopi yang sedap!), pasti anda akan mampu mengumpul pelanggan yang setia  (regular customer) dengan produk anda. Selain trak yang dijadikan food truck itu sendiri harus dihias se kreatif yang mungkin untuk memikat pelanggan, tak lupa juga pentingnya tagline untuk bisnes food truck anda. Macam mana produk Kopiesatu boleh dikenali dan diingati dengan mudah? Sebab perkataan 'kopi satu ' itu sendiri adalah perkataan yang biasa disebut bila kita pesan air di restoran atau warung kan?

Identiti yang unik dan kreatif untuk food truck memang satu perkara yang penting. Cuma jangan sampai terlebih unik seperti coffee truck yang menyerupai kereta kebal @ perang baru-baru ini!

Sumber : FB Malaysian Food Truck


2. Bijak mengurus dan merancang
- Selain faktor menu, orang ramai memilih untuk beli makanan di food truck kerana faktor masa. Jadi, memang sangatlah penting untuk peniaga food truck untuk sentiasa bersedia melayan pelanggan yang datang menyerbu secara tiba-tiba. Pekerja harus saling bekerjasama kerana pekerja food truck tidak lah seramai pekerja di restoran. Peniaga food truck juga harus bijak untuk mengesan bila tempat-tempat yang jadi tumpuan ramai akan jadi sesak dengan bakal pelanggan anda. Pandai uruskan stok dan sentiasa pastikan bahan-bahan mentah untuk menu yang digemari ramai sentiasa mencukupi.


Baca juga :
Trend bisnes food truck di mana-mana
Lebih banyak peluang untuk peniaga berasaskan food truck
Bisnes food truck: Menu ringkas dan peluang di bazar..


3. Rasa yang sama dan konsisten
- Jika tidak menggunakan resipi yang sama setiap hari, iaitu anda guna kaedah campak-campak-dalam-kuali-dan-siap untuk sediakan makanan, pasti nya rasa makanan juga akan berbeza. Tanpa rasa yang konsisten, bukan saja akan buat pelanggan lari, tapi juga akan sebabkan masalah lebihan kos bahan mentah dan sukarkan latihan untuk pekerja anda. Rasa makanan yang-hari-ini-sedap-esok-tak-sedap akan buatkan pelanggan kurang percaya dengan produk anda dan mula cari yang lain!

Sumber : thestar.com.my



4. Menu yang ringkas dan menarik
- Jarang (atau tidak mungkin) orang yang mengunjungi food truck dengan harapan nak beli makanan yang dihidang dan dihias cantik bertaraf hotel. apa yang penting kerjasama pada pelanggan ialah makanan yang dibeli dari food truck mestilah sedap, murah dan cepat disediakan. Untuk permulaan bisnes food truck, penting untuk pastikan menu disediakan dalam bahagian yang kecil dan tidak terlalu complicated. Setelah semakin maju dan semakin bertambah kepakaran anda dalam sediakan makanan, tambah pilihan menu untuk pelanggan dari semasa ke semasa.
Sumber : thestar.com.my



5. Elakkan isu dan komen buruk dari pelanggan
- Yang ini pastinya isu yang sangat ditakuti. Tak kira berniaga makanan di restoran atau di food truck, kepuasan pelanggan tetap jadi keutamaan. Sebagai peniaga berasaskan food truck, anda tetap perlu pastikan makanan yang dijual menepati selera pelanggan. Perlu ada sekurang-kurangnya satu (kalau lebih lagi bagus!) makanan yang tersangat istimewa dan jadi trademark bisnes food truck anda. Sebut saja makanan tersebut, terus teringatkan food truck anda. Ada beberapa komen di ruangan forum yang saya ikuti mengatakan antara salah satu punca bisnes food truck gagal ialah peniaga food truck mengambil mudah soal kualiti makanan. Kurang wajar hanya disebabkan harga makanan food truck kebanyakannya murah sedikit berbanding di restoran, maka kualiti makanan food truck pun 'dimurahkan' sekali.


Sumber : thevocket.com


Antara FB yang anda boleh follow untuk dapatkan info berkaitan bagaimana memulakan perniagaan food truck ialah FB Malaysian Food Truck (klik di sini). Pelbagai info menarik dikongsikan antaranya seperti modal memulakan bisnes food truck, lesen dan permit yang diperlukan untuk bisnes food truck, jenis-jenis food truck yang sesuai,  idea menu untuk bisnes food truck, cara uruskan bahan mentah dan stok untuk food truck, pekerja untuk uruskan food truck, cara menguruskan trak, lokasi strategik untuk bisnes food truck, waktu sesuai untuk operasi food truck dan cara-cara untuk mempromosikan bisnes food truck. Macam-macam info ada!


Selamat memulakan bisnes food truck!




Ramainya rakyat Jepun berusia 100 tahun!



Ramainya rakyat Jepun berusia 100 tahun!



Assalamualaikum & salam sejahtera...

Ramainya penduduk yang berusia lebih 100 tahun di Jepun!

Tengahari tadi saya hadiri jemputan kenduri kahwin, di sebuah dewan berhampiran dengan rumah. Pengantin perempuannya ialah anak kepada doktor sebuah klinik yang selalu saya kunjungi kalau ada masalah kesihatan. Walaupun beliau seorang doktor, tapi biasalah sebagai orang Melayu memang tidak boleh lari daripada lauk-lauk kenduri yang 'kaya dan tinggi' kandungan lemaknya.

Daripada daging masak cili, ayam percik, kari ikan dan tak lupa juga nasi beriani, hinggalah kepada laksa, cendol, apam balik, kuei tiau dan kuih bakar, kesemuanya hidangan yang memang menyelerakan. Mungkin sekali sekala tak mengapa, tapi jika setiap hari menghadap hidangan sebegini, hasrat nak tandingi rakyat Jepun yang kebanyakannya berusia lebih 100 tahun, mungkin hanya tinggal angan-angan saja!

Saya kagum sebenarnya bila baca tajuk akhbar pagi ini :  '65,692 rakyat Jepun 100 tahun' . Dan lebih mengkagumkan ialah jumlah itu dijangka akan mencapai 100,00 orang pada hujung tahun ini. Daripada jumlah 65,692 orang itu, 12.4 % adalah lelaki dan baki 87.6% adalah wanita.



rahsia rakyat jepun panjang usia
Sumber : Utusan Malaysia 17 September 2016

Apa rahsia ramai rakyat Jepun berusia lebih 100 tahun?

Yang saya lihat sendiri ketika ke Osaka 2 tahun lepas, masyarakat Jepun kebanyakannya sangat aktif bergerak. Di mana-mana saja boleh nampak orang berbasikal. Bukan saja pelajar atau pun wanita yang ber kimono naik basikal, malah yang bekerja pejabat siap pakai sut dan tali leher pun ramai yang berbasikal ke pejabat, Pengangkutan tren nya  yang efisien (dan boleh sedikit peningkan kepala orang yang tak biasa naik tren  macam saya!) juga jadi pilihan orang ramai untuk bergerak. Selain banyak bergerak sudah pasti aspek pemakanan menjadi salah satu penyumbang kepada ramai rakyat Jepun yang panjang usianya.


1. Menu utama dalam diet rakyat Jepun ialah ikan, soya, nasi, sayur dan buah-buahan. Dan bahan-bahan ini disediakan juga dengan cara yang berkhasiat seperti ikan yang di gril, nasi yang dikukus, sayur yang direneh beserta sup, teh hijau dan buah-buahan. Bukannya kasi kepala ikan, nasi beriani, sayur goreng, sup daging beserta dengan air berkarbonat atau teh tarik ya!


2. Makanan disediakan dalam kuantiti yang sedikit. Perasan tak bekal makanan orang Jepun yang dipanggil bento? Sangat comel dan kreatif kan cara bento itu disediakan. Dan semua bahan-bahan bento itu disediakan dalam kuantiti yang sedikit. Bento yang dihias dengan kreatif itu sendiri dikatakan menjadikan si pemakan lebih menghayati makanannya dan makan dengan lebih perlahan. Secara automatiknya seseorang itu akan mengunyah makanan dengan lebih lama dan lebih cepat berasa kenyang. Malah Jepun ada pepatah nya sendiri iaitu 'makan hingga anda 80% kenyang'. Bagus kan? Rakyat Jepun mengamalkan apa yang telah lama diajarkan oleh Rasulullah saw iaitu berhenti makan sebelum kenyang.


gaya hidup sihat rakyat Jepun
Sumber : Wikipedia


3. Masyarakat Jepun juga amat menitikberatkan cara penyediaan makanan yang tidak libatkan makanan dimasak dalam suhu tinggi untuk tempoh yang lama. Cara memasak yang jadi pilihan ialah mengukus, menggril, menumis, mereneh atau menggoreng dalam kuali untuk tempoh yang sekejap. Makanan segar juga lebih diutamakan dan bahan makanan tambahan juga dikurangkan. Berbeza dengan kita, kalau boleh semua makanan hendak kita tambah 'aksesori' nya. Contoh mudah ialah pisang goreng. Daripada sebiji pisang yang tidak berdosa yang segar, digoreng dalam kuali dengan minyak yang penuh. Tak cukup dengan pisang berminyak, ditambah pula dengan cheese, maka jadilah pisang goreng cheese. Tak cukup lagi, tambah pula coklat menjadi pisang goreng cheese coklat. Maka lengkap lah 'khasiat' nya di situ : berminyak + berlemak + bergula !


4. Biasanya sesetengah orang kalau nak berdiet tak makan nasi tapi makan roti kan? (saya lah tu!). Bagi masyarakat Jepun, nasi menjadi pilihan berbanding roti dalam diet harian mereka. Ini secara tak langsung dapat mengurangkan pengambilan tepung gandum yang telah diproses dalam pemakanan. Antara nasi kegemaran masyarakat Jepun ialah nasi kepal iaitu nasi yang dikukus atau dikenali juga sebagai onigiri atau rice ball. Sempat tengok Meiko masak pelbagai jenis nasi kepal dalam drama 'Bon Appetit' di tv Alhijrah.

Anda juga boleh baca artikel menarik mengenai rahsia panjang usia rakyat Jepun dengan klik di sini.

Ingin cuba cara pemakanan sihat seperti rakyat Jepun? Mungkin sedikit susah pada awalnya hendak ubah cara pemakanan kita, tapi tak mustahil kan. Saya pernah cuba ikut kawan-kawan ke restoran Jepun tapi tekak Melayu saya ini hanya mampu telan udang tempura yang digoreng saja! Tak perlu lah ikut seratus peratus cara pemakanan rakyat Jepun. Nanti ada pula ahli keluarga anda terkejut kenapa tiba-tiba ada nasi kepal pula sebagai hidangan tengahari! Ubah apa yang mampu. Daripada makanan diproses kepada makanan segar. Daripada makanan bergoreng kepada makanan dikukus atau panggang.

Rahsia ramai rakyat Jepun berusia 100 tahun sebenarnya bukan rahsia lagi.

Selamat mencuba!



Puasa, kurangkan berat badan dan RM55,646...



Assalamualaikum & salam sejahtera...

Hari ini 1 Jun. Tinggal kurang 5 hari lagi untuk umat Islam menyambut bulan penuh keberkatan, bulan Ramadhan. Semoga kita semua dipanjangkan usia dan berkesempatan untuk meraih ganjaran pahala di bulan yang mulia ini. InsyaAllah.

Bulan puasa adalah peluang untuk sistem pencernaan kita mendapat sedikit masa rehat setelah sepanjang tahun bekerja keras untuk memproses segala yang kita makan dan minum selama ini. Tempoh lebih 13 jam menahan makan dan minum ketika berpuasa sebulan di bulan Ramadhan seharusnya dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi melatih diri kita untuk mengurangkan makan dan mengamalkan pemakanan seimbang. Tapi selalunya apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila waktu berbuka dijadikan masa untuk 'membalas dengan' atau waktu untuk meng qada semula sarapan pagi dan makan tengahari. Akibat nya, objektif berpuasa sebagai salah satu rukun Islam yang lima itu sendiri tidak tercapai dan manfaat kesihatan pun tersasar.

Kawal selera makan di bulan puasa
Segalanya nampak menyelerakan di bulan puasa...

Berpuasa mampu kurangkan berat badan
Mampukah kurangkan berat badan di bulan puasa?

Sebuah hospital di Abu Dhabi menawarkan wang sebanyak 50,000 dirham (RM55,646) kepada sesiapa yang sanggup menyahut cabaran mengurangkan berat badan sebanyak 15kg sepanjang bulan Ramadhan ini. Individu yang berminat perlu mendaftar kan diri mereka dan sepanjang cabaran itu berlangsung pihak hospital akan membantu dari segi pemakanan, senaman dan cara mengelakkan tekanan. Tawaran yang telah pun bermula pada 29 Mei yang lalu adalah sebahagian daripada kempen menggalakkan cara hidup sihat di kalangan masyarakat.

Kempen turunkan berat badan
Sumber : Utusan Malaysia
Menarik juga. Tawaran wang sebagai motivasi untuk kurangkan berat badan, di samping mengambil kesempatan kurangkan berat badan ketika berpuasa. Cuma diharapkan niat untuk berpuasa itu tidak lah berubah menjadi niat untuk kurus semata-mata. Kalau tidak ada tawaran begini sekalipun sememangnya berpuasa dapat membantu dalam mengurangkan berat badan jika kena dan betul caranya.

Selain matlamat utama mengejar ganjaran pahala yang berlipat kali ganda, tak salah jika bulan puasa juga dijadikan bulan untuk berlatih memulakan cara hidup yang sihat dan pemakanan yang seimbang untuk kurangkan berat badan. Mungkin kita tiada tawaran wang sebagai motivasi untuk kurangkan berat badan, tapi rasanya boleh juga kalau kita jadikan baju raya sebagai sumber inspirasi. Jika sekarang kita pakai saiz XL, apa kata kita cuba beli baju raya bersaiz L. Saya tidak lah hendak menggalakkan anda berpakaian ketat dan sendat.  Teruskan amalan pemakanan seimbang di bulan puasa dan tetapkan target untuk muat pakai baju saiz L itu di pagi raya nanti. Mesti kita akan cuba sedaya upaya untuk kurangkan berat badan supaya muat pakai baju raya itu nanti kan.

Bagi kita yang berlebihan berat badan, mampukah kita mengurangkan sehingga 15kg berat badan di bulan puasa nanti?

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan!

***Tapi kan, tak terlalu drastik ke turun 15kg berat badan dalam masa sebulan?***


Baru nak mulakan bisnes biskut raya?




Assalamualaikum & salam sejahtera...

Kalau di pejabat selalunya waktu-waktu dekat nak puasa ini adalah 'saat-saat akhir' untuk rasa sample atau contoh biskut raya dan buat tempahan. Maklumlah di bulan puasa nanti dah tak boleh nak rasa biskut contoh lagi. Waktu merasa biskut contoh kadang-kadang itu rambang mata, rasa ini nak beli, rasa yang itu nak beli. Lama-lama panjang lah senarai tempahan biskut nya!

Bagi saya,antara biskut raya yang wajib ada masa raya ialah jem tart @ tart nenas. Memang favourite saya. Tart nenas pun ada macam-macam jenis. Ada yang jenis gulung, ada jenis bentuk bunga dengan jem tart di tengah, ada jenis yang bungkus jem tart di dalam dan tutup habis tak nampak tart nya, ada juga yang bentuk nanas dan bentuk landak! Selain tart nenas, satu lagi biskut raya yang jadi favourite ialah biskut chip coklat. Yang ini saya buat sendiri, ikut resepi Biskut Chocolate Chip Famous Amos dari blog sitidelima.com (klik sini untuk resepi lengkap). Resepi nya mudah dan hasilnya memang tak tahan lama. Maksud saya tak tahan lama dalam balang kuih (kadang kala tak sempat masuk balang pun!), keluar saja dari ketuhar terus habis dimakan!

Biskut tat nenas yang sedap
Tat nenas Mat Gebu yang sedap!
Sumber : tiffinbiru.com

Lain-lain biskut @ kuih raya yang memenuhkan meja ialah seperti almond london, rempeyek, popia mini, kerepek ubi, kuih makmur, maruku, samperit dan biskut nestum. Tak lupa juga kuih bahulu dan dodol. Semuanya biskut-biskut @ kuih 'lama' kan? Memang saya kurang gemar biskut-biskut moden yang berwarna warni dan bentuk yang canggih tapi sebenarnya rasa lebih kurang saja.

Bagi yang menerima tempahan biskut raya, pastinya sudah mula sibuk dengan persediaan untuk menyiapkan tempahan. Bahan-bahan untuk buat biskut semestinya sudah ada dalam stok, bukan macam saya yang 'terhegeh-hegeh' cari bahan untuk buat biskut di pasaraya bila puasa tinggal baki lagi seminggu saja. Memang banyaklah bahan yang tak ada. Selain pasaraya, antara tempat yang saya suka cari bahan untuk buat biskut atau kek ialah di pusat bakeri Bagus di Taman Melawati. Kalau masuk saja kedai Bagus ini, memang rasa semua nak beli. Asalnya nak beli bahan untuk coklat chip saja, akhirnya keluar dari kedai dengan bahan-bahan untuk buat kek dan muffin bagai!

Bagi yang baru nak mulakan bisnes biskut raya, ada beberapa perkara yang mungkin perlu diambil kira, selain mengejar matlamat untuk cari duit lebih pada hari raya ini:

1. Tidak menerima tempahan secara berlebihan.
- Berpada-pada menerima tempahan biskut raya supaya tidak menghadapi masalah untuk menyiapkan tempahan. Yang paling penting, tempahan biskut raya yang terlalu banyak tidak menyebabkan kita mengabaikan fokus utama kita di bulan Ramadhan iaitu untuk berlumba-lumba menggandakan amal ibadat.

2. Membuat satu jenis biskut raya sahaja.
- Selain memudahkan penyediaan bahan-bahan kerana hanya perlu fokus pada satu jenis biskut saja, ini juga akan memudahkan kita yang baru memulakan bisnes biskut raya ini untuk menguruskan tempahan yang banyak.

3. Buat biskut yang tak bermusim
- Mungkin ada orang hanya makan jem tart ketika hari raya saja. Tapi tak hairan kalau jem tart jadi bahan kudapan ketika minum petang atau di pejabat. Di pejabat dulu, ada seorang kakak yang memang jadi tempat kami order biskut raya. Kakak ini tak buat biskut-biskut raya tersebut, cuma tolong ambil tempahan untuk kawan-kawan nya yang buat bisnes biskut raya. Biskut-biskut nya memang sedap dan mendapat permintaan walaupun di luar musim raya. Antaranya ialah biskut makmur, jem tart dan cheese tart.

4. Buat biskut yang kita sendiri rasa nak makan
- Maksudnya saya, hasilkan biskut dengan penuh keikhlasan. Buat biskut sebaik mungkin seperti kita hendak sediakan untuk dihidangkan kepada ahli keluarga kita sendiri. Pembeli yang berpuas hati pasti akan repeat orders dan akan menyebarkan promosi percuma dari mulut ke mulut mengenai biskut raya anda!

5. Kekalkan rasa biskut anda (sedap sepanjang hayat masa)
- Pastikan adunan biskut adalah sama setiap kali dihasilkan. Secara tak langsung anda menghargai pembeli tetap @ regular customer anda yang setia membeli biskut-biskut anda. Dan dah tak perlu lah hendak sediakan sample biskut (kecuali untuk tarik pelanggan baru) sebab pembeli dah biasa dan percaya dengan hasil biskut anda yang maintain sedap!

Raya setahun sekali dan bisnes biskut raya memang tak dinafikan antara bisnes yang mampu meraih pendapatan yang tinggi. Apa-apa pun, akhir sekali dan yang paling penting, dalam keghairahan dan kerancakan buat bisnes biskut raya jangan dilupakan Ramadhan juga hanya setahun sekali maka bertindak bijaklah dalam membahagikan masa untuk mengejar perkara akhirat dan duniawi...
 

Iklankan produk anda di CSR Bazar Ramadhan TV Alhijrah dengan harga yang murah!





Assalamualaikum & salam sejahtera....


Tawaran serendah RM2500 untuk iklankan produk jenama anda di tv? Saya tak tahu berapa harga 'biasa' atau harga normal untuk iklankan produk di tv, tapi RM2500 memang murah kan? Tapak bazar Ramadhan melalui sistem tender terbuka pun berharga RM13K lebih! Jadi tawaran iklan tv ini memang murah, sebab itu lah setakat ini lebih 200 usahawan telah merebut peluang sertai tawaran CSR Bazar Ramadhan ini (klik sini untuk baca lebih lanjut).

Banyak kelebihan yang ditawarkan oleh CSR Bazar Ramadhan ini, antaranya:

1. sasaran untuk 1000 pengiklan di kalangan usahawan dan peniaga kecil
2. semua produk yang menyertai  program ini akan tersiar sepanjang 24 jam siaran tv AlHijrah pada bulan Ramadhan
3. ruang iklan termasuk pada waktu puncak
4. usahawan boleh menyediakan iklan sendiri dan pihak Alhijrah juga akan membantu sekiranya para usahawan memerlukan poster untuk pengiklanan
(sumber: mynewshub.cc)

“Tawaran serendah ini tidak mungkin wujud di mana-mana pun stesyen penyiaran. Kami berikan promosi ini tanda ihsan pada usahawan IKS sempena semangat kemurahan rahmat Ramadan,” kata Pengurus Pemasaran TVAlhijrah, Saifulizan Sidek. (sumber : FB TVAlhijrah)


Bagi usahawan yang sememangnya telah bersiap sedia dengan plan dan rancangan untuk menggiatkan promosi bagi menggandakan jualan menjelang musim perayaan nanti, ini adalah peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan. Pengiklanan di tv, jangkauan audiens nya lebih luas, maka promosi bisnes anda lebih berkesan dan produk anda akan lebih dikenali. Adakah peluang iklan ini dibuka untuk semua jenis perniagaan seperti pakaian, makanan, produk kecantikan, barang kelengkapan rumah dan aksesori yang mendapat permintaan tinggi setiap kali menjelang raya? Boleh kah peniaga kecil-kecilan kuih-muih tradisional juga menyertai CSR Bazar Ramadhan AlHijrah ini?

Untuk pertanyaan lanjut dan permohonan, bolehlah menghubungi nombor yang berikut:
• airtimesouq@tvalhijrah.com (Email)
• +6011-2172 1211 (PM/Whatsapp)

Selamat beriklan!



Aplikasi tapis panggilan misteri




Assalamualaikum & salam sejahtera....

Anda pernah tak mendapat panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali? Itu perkara biasa kan. Kalau yang menelefon itu tersalah dail boleh dimaafkan lagi. Tapi jika panggilan yang diterima itu adalah panggilan yang menawarkan untuk beli insurans, beli pakej saluran tv, tawaran untuk beralih ke pakej pasca bayar yang lebih 'menarik' , pastinya kita malas hendak melayan jika tidak berminat. Tambah-tambah lagi jika panggilan tersebut adalah panggilan untuk membuat survey @ tinjauan pendapat yang mana kita perlu menjawab beberapa soalan daripada pemanggil, lagi lah bertambah malas hendak melayan! Dari mana agaknya pihak-pihak ini mendapat nombor telefon kita?

Saya terbaca info yang menarik mengenai aplikasi tapis panggilan misteri di dalam akhbar pagi ini. Aplikasi tersebut boleh mengenalpasti nombor yang kita tidak kenali itu dan yang lebih menarik aplikasi tersebut akan memaparkan info mengenai lokasi panggilan itu dibuat. Selain itu, jika nombor yang tidak dikenali itu adalah nombor yang memang telah dikenalpasti sebagai nombor yang terlibat dengan sindiket penipuan, aplikasi ini akan memaparkan perkataan scam dan tanda merah! Anda boleh klik gambar di bawah untuk baca lebih lanjut info dari Utusan Malaysia ini.



Aplikasi ini sangat bermanfaat untuk mengelak daripada kita sebagai pengguna menjadi mangsa sindiket yang giat melakukan penipuan melalui panggilan telefon. Saya tak pasti jika apa yang saya alami minggu lepas adalah satu bentuk penipuan. Pada minggu lalu, saya telah mendapat panggilan daripada seorang yang memperkenalkan dirinya sebagai staf sebuah syarikat insurans. Panggilan yang dibuatnya kepada saya itu adalah daripada telefon bimbit dan bukan talian tetap.

Menurut si pemanggil, insurans saya telah tamat sebagaimana dalam perjanjian untuk tempoh 3 tahun. Jadi beliau memerlukan saya untuk mengesahkan beberapa maklumat seperti nama, nombor telefon dan lain-lain maklumat peribadi sebelum 'membuat pembayaran balik'.Katanya lagi saya telah membuat pembayaran melalui kad kredit setiap tahun untuk insurans tersebut. Pada masa itu saya agak blur sedikit kerana seingat saya tidak pernah pula saya ada mengambil insurans yang disebutkan oleh pemanggil itu tadi dan seingat saya memang saya tidak pernah membuat sebarang pembayaran insurans melalui kad kredit. Sebelum hendak membuat apa-apa pengesahan, saya telah meminta beberapa maklumat seperti nombor polisi insurans yang saya ambil itu dan jika boleh emelkan juga kepada saya salinan polisi insurans saya itu sebab saya memang betul-betul tak pasti mengenai insurans tersebut dan 'pembayaran balik' yang dinyatakan itu.

Saya juga telah memeriksa segala fail yang ada di rumah dan tiada satu pun insurans yang berkaitan dengan nombor polisi yang diberikan oleh si pemanggil itu tadi. Selang beberapa minit saya mendapat sms mengatakan beliau telah pun menghantar emel dengan info yang saya minta. Apabila saya periksa emel, saya dapati hanya terdapat borang yang di attached kan di dalam emel tersebut. Borang tersebut adalah borang kosong yang memerlukan saya untuk mengisi maklumat peribadi termasuk maklumat kad kredit. Pelik dengan borang yang diterima, saya meminta si pemanggil itu tadi untuk menghantar maklumat seperti yang saya minta, dan bukannya borang kosong tersebut. Itu lah komunikasi terakhir dan selepas itu tiada lagi sebarang sms atau panggilan daripada pemanggil berkenaan.

Sehingga hari ini saya masih tertanya-tanya juga apakah pembayaran balik yang dimaksudkan dan mengapa tiada lagi sebarang berita daripada pemanggil itu. Mungkin kalau saya ada aplikasi ini di telefon bimbit saya, saya boleh mengenalpasti identiti dan lokasi si pemanggil itu tadi! Selain lokasi, aplikasi ini juga boleh memaparkan nama yang digunakan oleh si pemanggil di laman sosial atau WhatsApp, jadi mungkin dari situ boleh dapat serba sedikit gambaran mengenai pemanggil itu tadi.

Selain elak daripada jadi mangsa penipuan, menurut info itu tadi lagi, aplikasi ini juga berguna bagi anda yang ada peminat misteri, jenis yang call tapi lepas tu senyap tak nak cakap!

Di zaman yang serba moden dan canggih ini, berhati-hatilah dengan pelbagai taktik licik supaya kita tidak menjadi mangsa penipuan yang seterusnya!



Idea bisnes daripada penyakit OCD!




Assalamualaikum & salam sejahtera....


Necessity is the mother of invention. Keperluan adalah punca@sumber kepada penciptaan.

Memang betul. Manusia perlukan alat untuk berhubung, maka terciptalah telefon. Manusia perlukan alat sebagai sumber cahaya,maka terciptalah mentol. Manusia perlukan alat untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat, maka terciptalah kereta. Daripada keperluan atau masalah, maka terciptalah sesuatu yang baru. Masalah wanita berkulit gelap nak kelihatan cerah, maka terciptalah lambakan produk kecantikan untuk putihkan kulit. Masalah orang zaman sekarang tak ada masa nak keluar beli barang, maka terciptalah peluang pekerjaan sebagai runner.

Tapi pernahkah kita dengar sesuatu peluang tercipta daripada sesuatu penyakit? Ya. Kita pernah dengar pelbagai kajian dilakukan untuk hasilkan vaksin atau penawar sesuatu penyakit, maka terciptalah ubatan, mesin atau peluang pekerjaan dalam usaha menghasilkan penawar tersebut. Tapi yang saya baca di akhbar hari ini kes istimewa sikit. Seorang pesakit OCD (Obsessive Compulsive Disorder) yang mana pengidapnya tak boleh tengok keadaan bersepah dan sentiasa akan pastikan semuanya dalam keadaan teratur telah berjaya menjadikan penyakitnya itu satu sumber pendapatan untuk dirinya!

Seorang gadis China berjaya memanfaatkan penyakit Obsessive Compulsive Disorder (OCD) yang dihidapinya apabila memilih untuk memulakan perniagaan menguruskan almari pakaian orang-orang kaya di bandar Chengdu, di  wilayah Sichuan - sumber Utusan Malaysia - (klik gambar di bawah untuk bacaan lanjut)



Baguskan. Daripada bersusah hati atau termenung fikirkan penyakitnya, gadis itu bijak ambil peluang 'tukar' penyakitnya jadi wang! Kalau ikutkan simple saja kan, gadis itu ada penyakit suka mengemas. Orang-orang kaya pula tak ada masa hendak mengemas. Jadi memang 'bertemu buku dengan ruas' (eh boleh ke guna pepatah ni?). Rasanya belum pernah ada lagi khidmat uruskan almari pakaian macam ni. Mungkin lebih kurang macam khidmat tukang kemas atau maid harian tapi dalam kes ini spesifik kepada kemas almari. Dan rasanya hasil kerja gadis itu tak perlu dipertikaikan kerana disebabkan penyakit OCD yang dihidapinya, mesti almari yang dikemasnya tersangatlah kemas!

Kisah gadis ini boleh dijadikan pembakar semangat bukan saja buat mereka yang mengidap penyakit yang sama tetapi juga untuk kita semua. Cuba untuk lihat sesuatu masalah dari sudut yang positif (memang bukan suatu yang mudah nak dibuat!) dan hasilkan sesuatu yang lebih baik daripada masalah tersebut!