Ubat yang menyakitkan?

Saturday, March 09, 2019 Ana 1 Comments



Ubat yang menyakitkan?



Assalamualaikum & salam sejahtera...


Ubat.

Siapa tak pernah makan ubat?

Hampir semua orang pernah jatuh sakit sekali dalam hidup dan pernah makan ubat kan?

Tak kira lah sama ada ubat bagi penyakit yang ringan seperti ubat batuk, ubat selesema mahu pun ubat demam. Atau pun ubat bagi penyakit berat seperti ubat darah tinggi, kencing manis mahu pun penyakit jantung. Biasanya sebagai pesakit kita diberi ubat-ubatan sebegini setelah berjumpa doktor untuk pemeriksaan kesihatan atau pun kita dapatkan di farmasi yang berdekatan. Seperti biasa, pada ubat-ubatan tersebut akan ditulis arahan cara pengambilan, dos yang diperlukan, kekerapan pengambilan dan juga peringatan tertentu seperti ubat yang boleh mengakibatkan mengantuk setelah dimakan.

Ini semua biasa.

Bagaimana pula dengan ubat yang disertakan sekali dengan leaflet/pamplet atau kertas yang tertulis penerangan panjang lebar mengenai maklumat sesuatu ubat? Rasa-rasanya ramai tak pesakit yang akan baca penerangan panjang lebar itu sebelum makan ubat tersebut?

Saya mengaku saya bukanlah jenis orang yang akan baca kertas tersebut. Ya lah, kan dah diterangkan dengan ringkas oleh doktor/ahli farmasi cara pemakanan ubat dan kesan-kesannya, nak buat apa 'menyusahkan' diri baca penerangan panjang lebar itu, betul tak?

Tak betul. Itu adalah satu kesilapan yang besar.

Saya belajar sendiri kesilapan itu setelah melihat pengalaman yang dilalui emak saya kesan pengambilan sejenis ubat.

"Doktor, saya tak tak tahan lah doktor. Kaki saya ni rasa sejuk sangat-sangat kat dalam , rasa macam ada ais batu bergantung dalam kaki saya ni!"

Panik doktor itu apabila emak saya menangis-nangis mengadu kaki yang terasa sangat sejuk di dalam (bahagian luar kaki tak sejuk) ketika satu sesi temujanji dengan doktor tersebut.

"Ok, ok. Kita buat pemeriksaan x-ray dulu. Tengok jika tulang masih menghimpit saraf. Lepas tu kita akan bagi ubat yang sesuai"

Pemeriksaan x-ray pun dibuat walaupun dalam hati saya berkata-kata dapat ke dilihat tulang menghimpit saraf hanya melalui filem x-ray? Bukan kena buat MRI ke? Kenapa doktor tak nak buat MRI? Mungkin ke doktor takut melalui MRI akan nampak yang pembedahan bagi spinal stenosis yang dilakukannya ke atas mak saya dulu tidak berjaya?

Macam-macam yang saya fikir waktu itu.

"Ha, tengok ni, x-ray ni tunjukkan tak ada masalah pada tulang dan saraf. Mungkin masih ambil masa untuk pulih lepas operate hari tu. Tak apa, saya akan bagi ubat ni, cuba makan dan kita tengok apa kesannya"

Lyrica. Itu lah nama ubat "ajaib" yang diberikan oleh doktor.

Kenapa saya kata ubat ajaib? Sebab lepas makan ubat tersebut, mak saya terus hilang rasa sejuk di kakinya! Ajaib betul.

Kami sekeluarga pun gembira. Mak tak lagi menangis-nangis menahan sejuk. Hidup diteruskan seperti biasa. Mak masih lagi menjalani fisioterapi sebab masih belum boleh berdiri dan berjalan selepas pembedahan tulang belakang.

2 bulan berlalu. Saya perasan kaki mak semakin keras. Sukar nak diangkat. Kerap juga kejang otot dan 'tarik' seperti terkena renjatan elektrik. Kaki terasa kebas. Mak makin kerap berpeluh. Gatal-gatal badan. Perut kembung dan berat badan semakin bertambah walaupun selera makan tak seberapa. Mata semakin kabur. Malam sukar tidur. Penyakit apa pula ni?

Mak ada salah makan kah? Atau ada salah makan ubat?

Kotak ubat Lyrica mula saya bongkar. Kertas penerangan mengenai ubat saya baca satu persatu.

Ya. Lyrica boleh menyebabkan otot kejang (muscle cramps). Lyrica boleh menyebabkan kaki bergerak @ tertarik sendiri (twitching @ jerking). Lyrica boleh menyebabkan peluh berlebihan (excessive sweating). Lyrica boleh menyebabkan perut kembung (bloating). Lyrica boleh menyebabkan sukar tidur malam (insomnia).



pregabalin


pregabalin

Tapi, Lyrica kan dah hilangkan rasa sejuk kaki mak?

Tak. Lyrica tak hilangkan rasa sejuk. Lyrica cuma menghalang signal rasa sejuk itu daripada sampai ke otak. Rasa sejuk itu sebenarnya masih ada!

Pada temujanji doktor yang seterusnya, saya tunjukkan info pada leaflet itu kepada doktor.

"Doktor, saya baca kat leaflet ni Lyrica boleh sebabkan muscle cramps lah doktor"

Doktor hanya membelek-belek kertas yang saya tunjukkan.

"Tak ada apa ni. Kalau macam tu, kurangkan makan daripada 2 kali sehari kepada sekali saja sehari"

Begitulah seterusnya. Doktor seperti kurang maklumat mengenai kesan Lyrica. Apabila kaki masih keras dan kejang setelah dikurangkan kepada 50mg saja sehari, dicadangkannya pula supaya makan 75mg sehari.

"Kita pun tak tahu apa puncanya. Kita cuba dan tengok"

Mak saya bukan 'tikus makmal' untuk dicuba-cuba ubat ke atasnya.

Amat menakutkan apabila membaca maklumat di Internet mengenai Lyrica dan kesannya.Amat amat menakutkan. Menakutkan kerana ubat ini memberi kesan kepada otak. Apa yang paling menakutkan ialah kurangnya penerangan daripada pihak doktor @ ahli farmasi mengenai kesan ubat ini kepada pesakit.

Antara info mengenai Lyrica di sini:

https://mentalhealthdaily.com/2014/08/06/lyrica-withdrawal-symptoms-duration/

https://www.everydayhealth.com/drugs/lyrica/reviews

https://www.livestrong.com/article/119084-lyrica-side-effects-muscle-/

Link yang di bawah ini menarik untuk dibaca kalau nak tahu apa yang berlaku pada otak kita apabila makan ubat-ubatan yang seumpama Lyrica.

http://www.benzobuddies.org/forum/index.php?PHPSESSID=17llucl8v92nvau6tmiev8rsr2&topic=66397.0


Kini dah masuk 72 hari mak saya berhenti makan Lyrica. Seperti mana makan Lyrica memberi kesan buruk, berhenti makan Lyrica juga ada kesannya. Badan mak saya sakit-sakit. Perubahan mood yang tak menentu. Tidur malam masih jadi masalah.

Ya. Simptom 'withdrawal' Lyrica adalah menyakitkan. Sistem badan yang telah bergantung kepada Lyrica semasa pengambilannya kini menjadi huru-hara setelah mak saya berhenti makan ubat tersebut.

Menakutkan juga sebab ia membuatkan saya kadangkala terfikir sama ada tindakan berhenti makan Lyrica itu adakah betul atau salah. Ada satu saja petunjuk yang buat saya yakin Lyrica adalah penyebab kepada semua yang emak saya alami selama ini.

Kaki emak saya yang keras mulai lembut dan boleh diluruskan. Kaki kanan mulai lembut setelah 4 minggu berhenti makan Lyrica dan kaki kiri kini mula untuk lembut walaupun sedikti mengambil masa dan sakit.

Lyrica. Ubat yang menyakitkan.

Jika anda atau sesiapa yang anda kenali telah atau akan mengambil ubat ini, berhati-hatilah. Mungkin bagi sesetengah orang, ubat ini tidak mendatangkan masalah (untuk makluman, ubat ini pun bukannya murah. Satu papan yang ada 18 biji pil berharga lebih kurang RM80). Namun jika anda mulai terasa ada sesuatu yang tidak kena, rujuk lah kepada mereka yang pakar sebelum masalah kesihatan yang lebih berat berlaku.

😢😢😢😢😢

1 comment:

  1. salam..setelah stop lyrica mak makan ubat apa n mcmner sejuk kaki tu hilang? saya pon dh 3 bulan simtom yg sama sejuk kaki dan baru makan lyrica sejak sebulan tp x da perubahan pada kaki sy..bole share tips petua kaki mak sedara sembuh..

    ReplyDelete