Salah ke jika kita beli sijil cuti sakit?
Salah ke jika kita beli sijil cuti sakit?
Assalamualaikum & salam sejahtera...
"Saya kalau ada apa-apa hal yang urgent dan kena ambil cuti, saya pergi je klinik depan rumah tu. Boleh beli MC (Medical Certificate @ sijil cuti sakit), murah je lima belas ringgit..."
Itu antara isi sembang saya dengan seorang kenalan yang bekerja di sebuah syarikat swasta.
Persoalannya, boleh ke atau dalam kata lain, tak salah ke beli sijil cuti sakit sedangkan kita tak sakit?
Ok, mula-mula sekali kena tengok juga kenapa orang beli sijil cuti sakit. Antara sebab yang selalu digunapakai ialah cuti tahunan dah habis digunakan atau mungkin juga sayang nak gunakan cuti tahunan yang diperuntukkan sedikit saja untuk pekerja. Atau mungkin juga pekerja itu tidak sihat tapi tak cukup teruk keadaannya untuk diberikan sijil cuti sakit oleh doktor. Bos pula sukar nak terima alasan kurang sihat melainkan ada sijil cuti sakit sebagai sokongan.
Tak semua alasan untuk dapat sijil cuti sakit boleh diterima oleh sesetengah bos dan juga rakan sekerja. Ada seorang rakan sekerja saya dahulu yang mengambil cuti sakit setelah diberikan sijil cuti sakit oleh doktor yang merawat dengan alasan rakan saya itu 'stressed' atau tertekan dengan beban kerja. Seperti yang dijangka, walaupun bos terima juga sijil cuti sakit tersebut namun diiringi juga dengan sedikit senyum sinis dan tambahan kata-kata sindiran "MC sebab stressed? Orang lain pun banyak kerja dan stressed juga, tapi tak ada pun sampai dapat MC". Rakan sekerja lain yang kurang simpati pun menambah lagi sakit di hati dengan kata-kata "Eh, kerja aku lagi banyak daripada dia, aku pun stressed juga, tak dapat MC pun!"
Ada juga seorang lagi rakan sekerja yang mendapat sijil cuti sakit hampir berminggu-minggu lamanya kerana badan yang lemah semasa mengandung. Yang itu pun masih ada juga orang yang mempersoalkan dan berasa tak puas hati. Err, susah sangat ke nak rasa simpati terhadap seorang ibu mengandung?
Sebab-sebab lain yang popular untuk dapatkan sijil cuti sakit ialah muntah-muntah, migrain, demam dan cirit-birit disebabkan keracunan makanan. Berbanding sebab-sebab yang disebutkan ini, sijil cuti sakit yang disebabkan stressed di tempat kerja adalah lebih bahaya kerana melibatkan tekanan emosi yang tak nampak jelas secara luaran berbanding demam dan sebagainya. Kalau tak ditangani dengan baik, tak mustahil pekerja yang kerap ambil cuti sakit disebabkan stress akan menunjukkan kemerosotan dalam prestasi kerja dan komunikasi dengan rakan sepejabat. Lebih bahaya jika stress yang terpendam itu tidak diuruskan dengan cara yang betul dan akhirnya 'meletup' dengan mengamuk di pejabat!
"Seorang penjaga tempat letak kereta dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas dia mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan bersubahat membekalkan sijil sakit palsu hospital kerajaan" - Sumber : Astroawani.com
Ada juga orang yang ambil kesempatan raih keuntungan dengan bekalkan sijil sakit palsu begini. Tak boleh juga nak disalahkan individu ini seratus peratus. Kalau tak ada permintaan, takkan ada bekalan. Kalau tak ada orang yang mencari-cari untuk beli sijil sakit palsu, takkan ada lah orang yang akan menjualnya.
"Individu yang mengemukakan sijil MC palsu boleh disabitkan dengan kesalahan di bawah seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan tuntutan palsu. Doktor yang mengeluarkan MC palsu juga boleh disabitkan kesalahan yang sama" - Sumber : drzubaidi.com
Bila cuti tahunan dah habis, ada orang yang beli sijil sakit bila terpaksa cuti untuk jaga anak atau ahli keluarga yang tak sihat dalam tempoh yang lama.
Bila cuti tahunan dah habis, ada orang yang terpaksa beli sijil sakit sebab terpaksa uruskan kes kecemasan dalam keluarga seperti perkara yang melibatkan urusan pengebumian.
Bila cuti tahunan dah habis, ada orang yang 'terpaksa' beli sijil sakit sebab baru perasan cuti tak cukup sedangkan tiket melancong ke luar negara (yang beli secara tiba-tiba sebab tiba-tiba ada jualan tiket murah!) dah dibeli (ada ke kes macam ni?)
Jadi, salah atau tidak jika kita beli sijil cuti sakit?
0 comments: