Masih selamatkah menggunakan pengangkutan udara?

Wednesday, May 11, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera...

Menarik bila membaca kandungan artikel 'Coretan Marhaen' dalam akhbar Utusan Malaysia yang bertajuk 'Cukuplah disambar petir sekali..' (klik sini untuk bacaan lanjut). Secara ringkasnya dalam artikel ini bertanyakan apakah langkah yang telah diambil untuk mengurangkan risiko kemalangan udara yang masih menghantui rakyat Malaysia secara khususnya, terutama sekali selepas insiden nahas helikopter yang terbaru di Sebuyau, Sarawak.

Tragedi terkini di Sebuyau menambahkan senarai detik sedih negara dalam perkara yang melibatkan pengangkutan udara. Memang sedikit sebanyak tiga kemalangan udara yang berlaku pada tahun 2014, bermula dengan kehilangan MH370, tragedi nahas MH17 ditembak jatuh di Ukraine, tragedi pesawat AirAsia QZ8501 dan nahas helikopter di Kampung Pasir Baru Semenyih pada tahun 2015 telah membuatkan orang ramai mulai 'tergugat' keyakinannya untuk menggunakan pengangkutan udara. Mungkin tidak semua, tapi berdasarkan pengalaman sendiri dan pengalaman kawan-kawan, perasaan nervous untuk menggunakan pengangkutan udara sedikit meningkat rentetan daripada tragedi demi tragedi yang berlaku.

Saya ada seorang kawan yang dahulunya seronok naik kapal terbang, tapi kini bila naik kapal terbang ketika melancong ke luar negara atau untuk pulang ke kampungnya di Langkawi, beliau hanya duduk diam di tempat duduknya, tak berani nak bergerak walaupun untuk ke tandas.

Tragedi pesawat AirAsia QZ8501 yang berlaku pada 28 Disember 2014 berlaku betul-betul seminggu selepas adik saya membuat tempahan tiket untuk percutian kami sekeluarga ke Perth, Australia. Cuak juga hendak meneruskan rancangan bercuti ketika itu. Ditambah pula dengan beberapa laporan di tv dan media sosial yang kurang prihatin dengan perasaan keluarga mangsa bila memaparkan gambar mayat mangsa-mangsa yang terlibat terapung di lautan. Macam-macam yang saya fikirkan bila melihat gambar-gambar tersebut. Alhamdulillah, kami semua selamat tiba di Perth tanpa sebarang masalah dalam penerbangan. Lega.

Bila tiba pula saat hendak pulang, perasaan nervous sekali lagi bertandang. Nak dijadikan cerita, sewaktu di balai berlepas lapangan terbang Perth, tv yang ada di situ sedang menyiarkan berita. Berita nya pula mengenai laporan terkini kapal terbang TransAsia ATR72 yang hilang kawalan dan terputus hubungan dengan pusat kawalan sebelum melanggar jejambat jalan raya dan terhempas ke dalam Sungai Keelong, Taiwan pada 4 Feb 2015. Kalau ikutkan pada tarikh saya hendak berlepas pulang itu ialah 7 Feb 2015, sudah 3 hari kejadian tersebut berlaku, Memang berita ini sangatlah tidak sesuai disiarkan di balai berlepas lapangan terbang di saat semua orang sedang menanti hendak naik kapal terbang!


di balai berlepas lapangan terbang perth
menanti di balai berlepas lapangan terbang perth

di balai berlepas lapangan terbang perth
menanti di balai berlepas lapangan terbang perth


Tiada sebarang rancangan bercuti yang melibatkan pengangkutan udara untuk tahun 2016 setakat ini.
Jadi boleh lah 'jimatkan masa' daripada berasa nervous hehhe. Apa-apa pun, ajal dan maut di tangan Tuhan, kalau dah sampai waktunya, duduk di kerusi tengah menonton tv pun boleh pergi dipanggil mengadap Ilahi...

Baca juga:
Penerbangan terakhir MH19....
Menjelang genap 2 tahun kehilangan MH370...


Semoga penyiasatan yang terperinci akan dilakukan untuk mengenalpasti punca nahas helikopter di Sebuyau. Diharapkan tiada perkara yang melibatkan masalah pada helikopter, seperti masalah roda kiri pendaratan pada helikopter yang terlibat dengan nahas di Semenyih tahun lalu.

Memetik kata-kata penulis dalam artikel tersebut seperti di bawah, pihak yang berwajib mungkin boleh berkongsi dengan rakyat jelata mengenai langkah-langkah penambahbaikan keselamatan pengangkutan udara yang telah dilaksanakan semenjak berlakunya tragedi-tragedi yang lalu.

Apakah pula langkah dan strategi untuk memperbaiki dan menambah baik keadaan agar dapat mengelak daripada berlakunya kemalangan udara khususnya yang membawa maut?Penulis sebagaimana rakyat marhaen lain ada banyak so­alan yang bersarang di kepala. Kami tidak ada jawapannya, apatah lagi bagi persoalan berbentuk teknikal seperti ini.Justeru kami mengharapkan jawapan ‘telus dan bijaksana’ daripada pihak-pihak yang mempunyai kepakaran khusus dalam bidang teknikal untuk menghuraikan perso­alan tersebut - sumber : Utusan Malaysia

Kita pastinya tidak mahu menjadi sudah terhantuk baru terngadah, menunggu sehingga satu lagi peristiwa berlaku baru hendak senaraikan langkah-langkah penambahbaikan kepada sistem pengangkutan udara yang sedia ada.



0 comments: