Terowong terpanjang di dunia, Gotthard Base dibuka 1 Jun ini

Monday, May 30, 2016 Ana 2 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera....

Terpegun sekejap bila tengok berita mengenai terowong keretapi terpanjang di dunia, Gotthard Base yang bakal dibuka pada 1 Jun ini,

Terowong Gotthard Base dengan jarak panjang 57 km mengatasi Terowong Seikan di Jepun (yang menghubungkan Pulau Honshu dan Hokkaido sejauh 53 km). Terowong yang mula dibina pada tahun 1996 dan terletak merentasi banjaran pergunungan Alps di Switzerland ini akan mengurangkan masa perjalanan selama 1 jam bagi jarak perjalanan dari Zurich ke Milan yang ketika ini mengambil masa 3 jam setengah. Kagum bila tengok gambar-gambar, terutama gambar mesin gerudi yang sebesar-besarnya itu ketika kerja penggalian dilakukan.

Sumber : Astroawani.com


Sumber : Astroawani.com

Sumber : Astroawani.com


Fakta menarik Terowong Gotthard Base (sumber: thelocal.ch):
1. Dengan 2300 meter batu di atasnya, Gotthard Base juga akan menjadi terowong kereta api paling dalam di dunia
2. Terowong ini adalah sebahagian daripada New Rail Link melalui Alps ( NRLA ) termasuk dua terowong asas lain iaitu Lötschberg dan Ceneri - yang telah berada dalam perancangan sejak beberapa dekad yang lalu.
3. Keseluruhan laluan terowong ini akan menjadi lengkap dengan pembukaan terowong asas Ceneri pada tahun 2020 , yang mana selepas itu masa perjalanan antara Zurich dan Milan akan dipendekkan oleh hampir sejam.
4. Kira-kira 12.2 bilion francs ( $ 12.3bn ) dibelanjakan bagi Terowong Gotthard Base sahaja, menjadikan 23 bilion jumlah untuk keseluruhan projek termasuk Lötschberg ( yang dibuka pada tahun 2007) dan terowong Ceneri.

Tak pasti bagaimana dengan anda, tapi saya seram juga nak tempoh perjalanan yang panjang dalam terowong. Rasa macam terkepung. Rasa macam-macam boleh jadi. Paling lama pun saya dalam terowong ialah melalui Channel Tunnel (Terowong Selat dengan jarak 50 km) bila naik Eurostar dari London ke Paris. Itu pun duduk diam sahaja sebab fikir macam-macam perkara yang negatif boleh berlaku. Jangan kata kan terowong keretapi, bila saya pandu melalui Terowong SMART di Jalan Tun Razak yang jaraknya lebih kurang 4 km itu pun kadang-kadang rasa cuak. Boleh pula terfikir macam mana kalau berlaku kemalangan dalam terowong ini. Macam mana kalau ada kebakaran? Macam mana kalau banjir dalam terowong? 'Hasilnya', bila melalui terowong SMART, mula lah pandu 'agak' laju supaya cepat keluar dari terowong. Lega bila nampak cahaya di hujung terowong!

Bagi yang berminat hendak merasai pengalaman melalui terowong terpanjang di dunia ini, pada 4 dan 5 Jun ini akan disediakan trip preview khas (tiket perlu ditempah) yang mana festival juga akan diadakan di kedua-dua belah hujung terowong. Selain trip khas ini, penumpang hanya boleh mula menggunakan perkhidmatan melalui terowong pada Disember 2016, iaitu selepas 6 bulan ujian percubaan dijalankan.



2 comments:

  1. bila pikir consequences terlalu lama dalam terowong, rasa cuak pulak.. huk2

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tq ya singgah blog saya :)
      Memang fikir mcm2 bila ada dalam terowong...mungkin kita claustrophobia agaknya?

      Delete