Lelaki Terakhir Menangis Di Bumi - Kisah Dari Hati
Assalamualaikum & salam sejahtera...
Buku 'Lelaki Terakhir Menangis di Bumi' akhirnya berada dalam tangan.
Helaian demi helaian diselak. Mata tidak berganjak membaca satu persatu kisah penderitaan pelarian Syria di bumi Jordan. Bumi yang disangkakan akan memberi sinar harapan buat mereka setelah meninggalkan tanahair tercinta, Syria yang bergolak.
Tapi mereka silap. Penderitaan di Syria seakan-akan disambung pula episodnya di bumi Jordan.
Sedang asyik membaca, tiba-tiba..
Eh, dah sampai ke bahagian penutup. Dah mukasurat terakhir?
Membaca buku ini rasa tidak cukup. Tidak puas. Rasa seperti banyak lagi kisah dan pengalaman tidak ternilai penulis, saudara Musa Nuwayri yang masih belum tercoret dalam buku ini. Masih sarat lagi kisah pilu pelarian Syria di bumi Jordan yang hanya penulis dan sahabat-sahabatnya sahaja yang tahu. Kerana mereka sendiri yang menyaksikan kisah-kisah pilu ini di depan mata.
Kisah Abu Husin lelaki tabah yang kehilangan sebelah kaki apabila rumahnya dibom rejim Assad.
Kisah Hassan, anak kecil berusia 12 tahun yang bekerja mengambil upah mengangkat barang. Apa yang pilunya dengan kisah Hassan? Hassan berjalan kaki sejauh 3km setiap hari dari rumah ke tempat kerjanya!
Kisah Puan Ramaah yang menyaksikan mayat bersepah, darah pekat dan daging bercerai dari jasad di depan matanya sendiri bila kawasan perumahannya dibom.
Kisah 4 beradik Qusair, Lu'ai, Abir dan Raghod yang bekerja menjual gula-gula getah di jalanan (pelarian lelaki dewasa Syria tidak dibenarkan bekerja di Jordan!) yang tidak akan pulang ke rumah (takut dimarahi bapa) selagi hasil jualan yang ditetapkan bapa mereka belum mencukupi. Berapa umur anak-anak ini? Paling tua 12 tahun dan paling kecil 6 tahun. Pada usia 12 tahun, saya masih mengharapkan duit belanja dari ibu bapa!
Kisah kanak-kanak kecil berusia 6 tahun, Ammar Yasir yang tidak menyangka bermain riang di padang lapang pada suatu pagi adalah kali terakhir untuknya apabila dia kehilangan kaki dan tangannya setelah tentera Basyar menjatuhkan bom di padang tersebut.
Perjuangan pertubuhan Tangisan Syria di Bumi Jordan yang diasaskan oleh penulis gigih dan sabar menempuh segala dugaan dan cabaran yang datang dari saudara seagama sendiri. Daripada kerenah kerajaan Jordan, penipuan yayasan Arab sehinggalah kepada pendakwah terkemuka dari tanahair sendiri.
Sedikit petikan dari buku 'Lelaki Terakhir Menangis di Bumi':
"Kami orang-orang Melayu di Jordan juga sudah lali dengan kegilaan bangsa Arab.Dengan perangai kanak-kanak Arab yang hobinya membaling batu apabila ternampak orang Melayu. Kami bersangka baik. Anak-anak ini mungkin sedang berlatih melontar jamrah."
Foto-foto yang disertakan dalam buku ini juga cukup menginsafkan. Terasa betapa saya tidak mampu untuk setabah kanak-kanak pelarian Syria ini dalam menghadapi ujian Tuhan. Jangankan melihat foto Ammar yang hilang kaki dan tangannya, melihatkan foto kanak-kanak Syria tidur dihurungi lalat pun sudah cukup untuk buat saya termenung. Betul, Lama saya termenung melihat foto itu. Macam-macam perasaan yang timbul. Itu baru lihat foto. Kalau saya melihatnya sendiri di depan mata? :(
Teruskan perjuangan saudara Musa Nuwayri dan sahabat-sahabat. Kami di sini hanya mampu menyumbang rezeki yang ada dan doa yang tidak putus, Semoga pengorbanan kalian dibalas dengan sebaik-baik ganjaran di dunia dan di akhirat. InsyaAllah..
Lelaki Terakhir Menangis di Bumi. Saya masih tidak mendapat jawapannya kenapa buku ini bertajuk sedemikian. Tapi saya dapat pengajaran yang lebih dari itu. Pengajaran agar tidak terleka dengan kehidupan dunia yang melalaikan dan untuk membuka mata lebih luas melihat apa yang berlaku di dunia hari ini. Ada satu rasa di hati yang tak boleh nak gambarkan sepanjang membaca buku ini. Penulis berjaya membawa saya merasakan seperti saya sendiri berada di bumi Jordan.
Anda juga boleh selami sendiri kisah perjuangan membantu pelarian rakyat Syria di bumi Jordan ini Dapatkan buku ini di pasaran sekarang atau whatsapp ke 0196623560.
Saya menantikan buku 'Lelaki Terakhir Menangis di Bumi 2'.
Baca juga :
Lelaki Terakhir Menangis Di Bumi
Buat saudara Musa Nuwayri, semoga anda terus kuat!
Perjuangan ini bukanlah hak Musa seorang...
0 comments: