Jangan pindahkan sekolah saya.....
Assalamualaikum & salam sejahtera....
Meriah sungguh gambar-gambar sambutan Hari Sukan Negara yang dikongsikan oleh rakan-rakan di FB. Selain acara-acara sukan yang telah disusun di seluruh negara, banyak juga sekolah-sekolah yang mengambil kesempatan menyambut Hari Sukan Negara dengan mengadakan kejohanan sukan di sekolah masing-masing pada hari ini.
Sebut pasal sekolah, ada satu berita yang tak seronok untuk bacaan saya dan rakan-rakan yang bersekolah sama dengan saya suatu ketika dahulu.
"Parent Oppose Relocation Of CBN And Landowner Says Not Selling"
(sumber : themalaysianreserve.com)
Terkejut. Betul ke berita ini? Ada cadangan nak pindahkan CBN ke tempat lain? CBN tak di kira sebagai tapak warisan @sejarah ke? Sekolah CBN kan dah berusia 117 tahun?
Sumber : says.com |
Saya ialah bekas pelajar CBN atau Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur. Satu-satunya all-girls school yang masih wujud di ibu kota.
Saya mula belajar di sekolah rendah Convent Bukit Nanas (1) dari darjah (tahun) 1 hingga darjah (tahun) 6. Selepas tamat darjah 6 dan UPSR, di saat ada pelajar-pelajar lain bercadang untuk menyambung tingkatan satu di sekolah berasrama yang lain, saya telah menolak tawaran ke tingkatan satu di sekolah Sri Puteri. Memang saya tak pernah terfikir hendak ke sekolah lain pun (ok, faktor lain ialah saya tak nak masuk sekolah asrama!). Saya hanya terbayangkan saya di tingkatan satu di sekolah menengah Convent Bukit Nanas, Muktamad.
Banyak kenangan di sekolah rendah yang saya masih ingat sampai sekarang.
Bukan senang nak lupa yang semasa darjah satu saya menangis semasa perhimpunan kerana tak tahu nyanyi lagu 'Malaysia Berjaya'.
Bukan senang nak lupa rasa 'cemas' bila tiba-tiba saya 'blank' dan terlupa macam mana nak eja perkataan 'chocolate' semasa ujian spelling.
Bukan senang nak lupa gilir-gilir (setiap 6 bulan kalau tak silap) gunakan dewan untuk perhimpunan antara Convent Bukit Nanas (1) dan Convent Bukit Nanas (2). Walaupun ada CBN 1 dan CBN 2, kami semua bersekolah satu sesi, iaiatu sesi pagi sahaja, Dan kami akan bergilir-gilir guna 2 dewan yang ada iaitu Dewan Merah dan Dewan Putih.
Bukan senang nak lupa acara sukan tahunan (yang saya tak pernah menang!) yang seronok walaupun dibuat di padang sekolah yang kecil.
Bukan senang nak lupa ketika saya bertugas jaga gerai masa acara Hari Keluarga diadakan. Masa ini juga lah selain ibu bapa, ramai pelajar lelaki dari jiran kami iaitu sekolah St John yang datang sama meraikan. Dan masa itu juga lah masa untuk 'mencuci mata!'
Bukan senang nak lupa bagaimana saya belajar untuk bercakap dengan lebih yakin selepas insaf dengan 'peristiwa berdiri di luar kelas' yang pernah saya ceritakan di sini.
Dan baaaaanyak lagi kenangan-kenangan yang tak mudah dilupakan di sekolah rendah.
Di sekolah menengah pula?
Di hari pertama sesi persekolahan lagi, mengenali kawan-kawan baru yang dahulunya belajar di sekolah rendah yang lain dan mendengar mereka menceritakan betapa seronoknya mereka berjaya mendapat tempat di sekolah menengah ini. saya sedar betapa pilihan saya tidak ke sekolah Sri Puteri adalah pilihan yang tepat.
Kenangan latihan kawad untuk hari sukan akan saya ingat sampai bila-bila. Latihan berhari-hari yang keras dengan senior yang tegas menjadi bekalan saya ketika sesi orientasi di universiti. Masa itu dah tak hairan bila senior menjerit-jerit beri arahan sebab saya dah biasa semasa latihan kawad di sekolah menengah lagi!
Kenangan giliran buat kerja-kerja kebersihan pun 'seronok' juga. Setiap kelas ada giliran untuk bersihkan seluruh kawasan sekolah untuk seminggu. Tapi bukanlah kena cuci longkang dan kerja-kerja berat. Cuma pelajar dalam kelas yang bertugas akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan kawasan sekolah yang perlu dikutip sampah, kalau ada lah.
Kenangan 'pilihanraya' memilih pengawas sekolah. Di CBN (masa zaman saya), pengawas adalah dilantik melalui proses pilihanraya, Untuk peringkat awal, calon-calon pengawas akan dipilih oleh guru. Selepas itu, untuk proses seterusnya, calon-calon ini tadi kena kenalkan diri masing-masing semasa perhimpunan. Proses yang paling seronok ialah bila calon-calon ini sibuk melobi supaya pelajar-pelajar akan mengundi mereka dan kawasan sekolah yang meriah dengan perang poster. Dan yang paling seronok ialah apabila semua pelajar akan membuat proses mengundi, sama macam mengundi pilihanraya yang sebenar. Tengok lah, di CBN kami dah diajar dan tahu cara-cara mengundi seawal usia 13 tahun!
Kenangan berlatih untuk pertandingan choral speaking ketika di tingkatan 4 (ya, selepas menolak untuk ke asrama selepas UPSR, sekali lagi saya menolak untuk ke asrama selepas PMR) sememangnya sangat menyeronokkan. Bukan mudah ya nak ingat 'skrip' dan pada masa yang sama nak kena ingat 'aksi' untuk skrip itu.
Ok, kalau nak disenaraikan satu persatu kenangan memang tidak akan habis.
Sumber gambar : says.com POS Malaysia Berhad mengabadikan CBN dalam setem Kenang-kenangan Sekolah Premier pada 16 Disember 2008 |
Alasan Kementerian Pendidikan untuk memindahkan itu buatkan saya lebih tersentap. Alasannya ialah lokasi CBN yang berada di kawasan yang pesat membangun dan kesesakan lalulintas yang boleh membuatkan pelajar terdedah kepada kemalangan.
Atau adakah ia nya lebih kepada lokasi sekolah itu yang terletak di segitiga emas ibu kota mempunyai nilai komersial yang tinggi?
Terus saja saya teringat nasib Sekolah Bukit Bintang (BBGS) yang telah dipindahkan ke Taman Shamelin, Cheras pada tahun 2000. Bukan setakat fizikal sekolah itu dipindahkan, malah namanya turut ditukar kepada Sekolah Seri Bintang Utara. Dan sekarang apa yang berada di tapak lama sekolah ini? Itu lah dia bangunan Pavillion yang tersergam megah.
Walaupun sudah puluhan tahun meninggalkan zaman sekolah, kini saya masih lagi berulang alik ke sekolah St John menghantar anak saidara ke sekolah. Ya, memang saya akui ada berlaku kesesakan setiap kali waktu datang atau balik sekolah di kawasan tersebut. Tapi, keadaan adalah terkawal. Belum pernah lagi rasanya timbul masalah atau isu besar akibat daripada kesesakan tersebut. Ibu bapa atau penjaga malah pemandu bas sekolah yang terlibat dengan kesesakan itu pun sama-sama membantu dan saling memudahkan keadaan.
Pastinya nama-nama besar yang lahir dari CBN akan turut terusik memori mereka dengan berita pemindahan ini. Antara yang dilahirkan daripada CBN ialah bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz, selebriti seperti Adibah Nor, Ogy Ahmad Daud, ahli sukan seperti Farah Hani Imran, pemenang Amazing Race Asia musim pertama, Zabrina Fernandez, pengasas produk makanan tambahan Ephyra, Amiza Amiruddin dan Naib Presiden dan Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar. Sekadar menyebut beberapa nama.
Tahu kah anda, anak bekas Perdana Menteri kita yang kelima iaitu Tun Abdullah Badawi juga bersekolah di CBN? Dan tahu kah anda yang anak Perdana Menteri kita sekarang, juga pernah bersekolah di CBN?
Dan sekiranya CBN dipindahkan maka sekolah jirannya St John juga sudah pasti akan dipindahkan. Takkan Perdana Menteri kita yang merupakan bekas pelajar St John sampai hati biarkan segala kenangan di sekolah lamanya itu 'dipindahkan' juga?
CBN...
Sinar bintang hidupku...
Bercahaya di sanubari...
Sering bergemerlapan...
Pancar sinar untuk semua...
Percaya atau tak, perkara pertama yang bermain dalam fikiran saya bila tahu mengenai berita pemindahan ini ialah secara automatik terus teringat lirik lagu sekolah dan terus nyanyi seorang diri!
Buku panduan dan peraturan sekolah yang masih saya simpan sampai sekarang... |
Setelah 117 tahun berdiri megah di Bukit Nanas, adakah akhirnya CBN akan menerima nasib yang sama dengan BBGS?
:(
0 comments: