Hari ini dalam sejarah : Ulangtahun pertama saya hantar surat cinta!
Assalamualaikum & salam sejahtera.....
Hari ini dalam sejarah. Hari ini adalah ulangtahun pertama saya hantar surat 'cinta'. Surat 'cinta' kepada siapa ya?
Pada tarikh 27 Mac 2015, saya telah menghantar surat 'cinta' yang pertama sepanjang tempoh saya bekerja selama 13 tahun. Surat 'cinta' kepada boss saya. Surat berhenti kerja.
Sengaja saya pilih tarikh 27 Mac 2015 kerana ia nya jatuh pada hari Jumaat. Penghulu segala hari. Lagi pun dengan hantar surat kepada boss pada hari Jumaat sempat lah saya nak mempersiapkan diri pada hujung minggu memikirkan jawapan-jawapan yang bakal ditanya oleh boss pada hari Isnin nanti!
Susah sebenarnya hendak hantar surat 'cinta' itu. Menggigil tangan nak hantar surat 'cinta' untuk bagitahu yang saya akan tinggalkan tempat tumpah darah dan airmata selama 13 tahun ini. Saya dah atur masa untuk letakkan surat itu di meja boss kira-kira 10 minit sebelum waktu habis bekerja (supaya saya sempat cabut balik sebelum sempat disoal boss!). Kebetulan boss juga tiada di tempatnya kerana menghadiri mesyuarat. Kawan-kawan yang nampak surat di tangan saya masing-masing cuba menghalang saya letakkan surat itu di meja boss. Sampai ada kawan-kawan yang kata mereka akan ambil dan buang surat itu sebelum boss nampak!
Sms di handphone dan mesej pesanan dari kawan-kawan tak berhenti-henti terpapar di skrin komputer. Ada kawan-kawan yang tahu terlebih awal tentang keputusan saya ini tapi ramai juga yang tak percaya saya akan hantar surat 'cinta' itu. Mungkin kah sebab saya nampak macam pekerja yang sungguh setia hingga hujung nyawa? Akhirnya, selamat juga surat 'cinta' itu sampai di meja boss saya. Saya pun balik ke rumah dengan perasaan yang Tuhan saja yang tahu.
Ingatkan segalanya akan jadi mudah selepas itu. Tapi bila saya jumpa boss pada hari Isnin, lain pula ceritanya. Boss saya kata dia tak buka pun surat itu. Dia kata dia takut nak baca! Dan surat itu telah di pass kan kepada boss kepada boss saya. Beminggu-minggu juga saya berusaha untuk dapatkan tandatangan boss pada surat berhenti kerja itu. Boss saya tak nak sign, boss kepada boss saya pun tak nak sign. Katanya saya masih boleh tarik balik keputusan saya. Akhirnya setelah campur tangan pihak HR, baru lah berjaya selesaikan masalah surat 'cinta' saya itu. Surat 'cinta' saya untuk berhenti kerja dengan notis selama 3 bulan.
Selepas saya yang memulakan hantar surat 'cinta', ramai pula yang ikut jejak langkah saya selepas itu. Dan akhirnya, boss saya menerima sejumlah 7 surat 'cinta' pada tahun lepas!
Dan setelah setahun berlalu, kenangan hantar surat 'cinta' berulang kembali. Sebabnya, ramai kawan-kawan saya yang juga telah buat keputusan hantar surat 'cinta' bulan ini. Mungkin sudah tiba masanya boss saya buat kajian kenapa setiap tahun ramai yang akan hantar surat 'cinta' kepadanya!
Semoga mereka berjaya dan dipermudahkan segalanya....
0 comments: