Melontar di Jamrah, patuhi arahan, jangan ikut macam saya....

Monday, September 12, 2016 Ana 0 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera....


Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar....
Laa ilaaha illallahu wallahu akbar.....
Allahu Akbar wa lillahilhamd....



Bergema khemah kami di Mina dengan lafaz takbir pada 10 Zulhijjah 1429H itu. Hilang segala rasa penat dengan perjalanan dari Muzdalifah yang sebelum itu berwukuf di Arafah.

Hari ini hari raya. Sedikit janggal juga rasanya ketika itu kerana saya tidak pernah beraya di perantauan. Takbir selalunya ditonton di tv di rumah atau di masjid. Kali ini rasanya berbeza. Kali ini hari raya Aidiladha kami di sini. Di bumi Mina.


khemah di Mina
Pemandangan dari khemah di Mina

Selesai kuliah pagi itu oleh mutawwif  Ustaz Razak, kami menikmati sarapan pagi yang disediakan oleh pihak muassassah. Aktiviti selepas itu terpulang kepada jemaah sendiri, Hendak pergi melontar tidak digalakkan kerana jemaah haji ramai dijangkakan akan ke jamrah untuk melontar tengahari nanti sempena mengambil waktu afdal melontar. Kami dijadualkan untuk melontar pada waktu malam nanti.


kuliah dalam khemah di Mina
Kuliah dalam khemah di Mina

kuliah dalam khemah di Mina
kuliah dalam khemah di Mina oleh Ustaz Razak yang kecil molek


"Kak, nak pergi melontar jamrah tak tengahari nanti?" Seorang jemaah wanita dari rombongan kami bertanyakan pada emak saya.

"Eh, boleh ke? Kita kan patut pergi melontar malam nanti?"

""Itu kalau nak pergi beramai-ramai, dengan Ustaz. Kami cadang nak pergi melontar tengahari nanti. Lambat sangat nak tunggu malam. Malam nanti boleh rehat-rehat je kat khemah kak"

Ada betul juga kata-kata kakak itu. Memang lama nak menunggu malam baru nak melontar. Lagi cepat melontar lagi bagus rasanya. Rasa selesai satu tanggungjawab.


melontar di Mina

"Selamat ke kita pergi tengahari ni? Tak sesak?"

"Kita pergi dalam kumpulan kak. Ini pun dia orang yang ajak saya dan suami saya ni tadi. Akak dengan anak akak ni nak join tak?"

Tengahari itu saya dan emak mengikut kumpulan kakak itu dan suami nya. Bukan mereka berdua saja rupa-rupanya, ada lagi enam orang yang merupakan 3 pasangan suami isteri pun turut serta. Rasa yakin kami bertambah sedikit.

Kami berjalan lebih kurang 3 km jauhnya dari khemah ke tempat melontar. Berjalan kaki melalui terowong Muassim mengingatkan saya kepada beberapa tragedi rempuhan yang mengorbankan jemaah haji suatu ketika dulu. Bertambah laju mulut saya  membaca doa dan sekali sekali melafazkan takbir raya. Semakin lama, semakin ramai jemaah yang berjalan menuju ke tempat melontar. Keadaan semakin sesak. Helikopter berlegar-legar di langit membuat pemantauan.

Setibanya kami di Jamrah Aqabah @ Jamrah Kubra, keadaan semakin sesak. Menyelit-nyelit di antara jemaah haji yang bertubuh besar, akhirnya kumpulan kami sampai juga ke bahagian depan sekali, betul-betul mengadap jamrah. Pasangan suami isteri tadi melontar terlebih dahulu. Saya dan emak menunggu di belakang mereka. Tiba giliran saya dan emak, ketiga-tiga orang jemaah lelaki (dari pasangan suami isteri tadi) membuat 'tembok' dengan berdiri di belakang saya dan emak, untuk lindungi kami  dari terkena lontaran batu oleh jemaah dari belakang, Terasa juga seketul batu kecil singgah di kepala saya. Alhamdulillah, di sebalik kesesakan jutaan jemaah haji yang berpusu-pusu untuk melontar, perjalanan kami pulang semula ke khemah selamat tanpa sebarang masalah.


berjalan menuju tempat melontar di Mina
Berjalan menuju tempat melontar di Mina

Pada hari kedua, saya dan emak sekali lagi pergi melontar pada waktu tengahari, di Jamrah Sughra@Ula, Jamrah Wusta dan Jamrah Aqabah@Kubra. Alhamdulillah, dipermudahkan juga perjalanan kami. Masuk hari ketiga, kami ambil keputusan untuk melontar bersama-sama kumpulan dan mutawwif pada waktu malam. Selesa rupa-rupanya melontar pada waktu malam. Dengan cuaca yang tidak panas, dan jemaah yang tidak berapa ramai, melontar juga lebih selesa, selamat dan tenang pada waktu malam. Setiap yang telah dirancangkan oleh pihak pengurusan pasti ada sebabnya. Melontar pada waktu malam lebih selesa, tapi kerana hendak cepat selesai, bersesak-sesak di siang hari itu juga yang jadi pilihan saya, dan sesetengah jemaah yang lain. Kalau anda terpilih menunaikan haji tahun depan, jangan ikut cara saya ini ya!

Baca juga :
Cerita haji saya dan emak...
Boleh ke pergi haji lebih awal dari yang dijangka?
Cerita haji : Pengalaman di Arafah dan Muzdalifah...

Pada hari terakhir, kami sekali lagi pergi bersama kumpulan sendiri. Semakin hari, berjalan kaki sejauh 6 km pergi dan balik dari tempat melontar itu tidak terasa jauhnya bagi kami. Malah semakin hari semakin bersemangat untuk melaksanakan ibadah melontar ini.


khemah-khemah di Mina
Khemah-khemah di Mina


khemah-khemah di Mina
Khemah-khemah di Mina

Bumi Mina juga menguji kesabaran setiap jemaah haji untuk bertolak ansur antara satu sama lain. Ujian pertama setiap hari ialah ketika beratur menunggu giliran di tandas. 

Jam menunjukkan pukul 5:30 pagi. Berjalan menuju ke tandas untuk mandi, Tiba di tandas, di hadapan setiap pintu tandas itu sudah ada ramai yang beratur. Saya beratur di pintu yang ketiga. Ada lagi 4 orang di hadapan saya. Tak apa. Sabar menunggu.

Selesai 2 orang, Tinggal lagi 2 orang sebelum tiba giliran saya. Sabar menunggu.

Selesai lagi 2 orang. Yes! Sekarang hanya beberapa minit saja lagi sebelum saya pula yang akan melangkah masuk ke dalam tandas. Saya hanya tunduk memandang lantai, mengira detik-detik itu.

Tiba-tiba....

"Nak...boleh bagi makcik masuk dulu tak nak....makcik sakit perut....."

Muncul seorang makcik berdiri di sebelah saya sambil memegang perut nya.

"Eh! Mana boleh. Lepas ni giliran saya! Saya dah lama tunggu tau makcik!"

Ok, ayat di atas hanya khayalan dan itu hanya mainan perasaan. Tak sampai hati nak katakan tidak pada makcik itu. Maka sekali lagi saya terpaksa menunggu....


khemah-khemah di Mina
Selamat tinggal Mina....
Khemah-khemah yang didirikan oleh jemaah haji yang datang sendiri
tanpa pengurusan tertentu

Di bumi Mina juga lah berlakunya jejak kasih antara emak saya dan adik tirinya. Pada hari ke-3 kami di bumi Mina,  sedang kami berehat di dalam khemah selepas makan tengahari, tiba-tiba kedengaran suara ketua rombongan memanggil nama emak saya. Khabarnya adik tiri emak saya itu pergi dari khemah ke khemah mencari emak saya. Bagaimana pula adik tiri emak saya itu tahu emak saya mengerjakan haji pada tahun itu? Oh, panjang ceritanya!

Baca juga :
Cerita haji saya dan emak...
Boleh ke pergi haji lebih awal dari yang dijangka?
Cerita haji : Pengalaman di Arafah dan Muzdalifah...
Cerita Haji : Ujian berkaki ayam dari Masjidil Haram ke hotel...
Cerita Haji : Saya bangga jadi jemaah haji paling muda!

Bumi Mina meninggalkan bermacam-macam kisah yang tak dapat hendak saya ceritakan kesemuanya di sini. Yang pastinya, kenangan di Mina tetap terpahat selama-lamanya di ingatan....

Selamat Hari Raya Aidiladha....😃



0 comments: