Kenapa perlu pergi haji di usia muda?

Tuesday, June 27, 2023 Ana 0 Comments

KENAPA PERLU PERGI HAJI DI USIA MUDA?


Assalamualaikum & salam sejahtera...

Selamat berpuasa kepada semua yang berpuasa Tarwiyah pada hari ini. Semoga amalan kita semua diterima oleh Yang Maha Esa..

Memperbanyakkan amal soleh pada 10 hari terawal bulan Zulhijjah adalah sangat digalakkan kerana 10 hari terawal ini merupakan hari-hari yang paling dicintai oleh Allah SWT bagi orang yang melakukan amal soleh padanya. Bagi kita yang tak berpeluang menunaikan haji pada tahun ini, jom rebut peluang untuk berpuasa sunat pada hari Tarwiyah dan Arafah. Jom Kita!

Khemah di Mina


Sebut pasal tak berpeluang menunaikan haji tahun ini, tak apa, banyakkan sabar dan berdoa, InsyaAllah ada rezeki juga untuk jadi tetamu Allah satu hari nanti.  Selain berdoa, usaha pun kena ada juga ya. Dah mendaftar atau belum di Tabung Haji untuk dapatkan giliran tunaikan haji? Untuk info, jika anda mendaftar tahun ini di Tabung Haji, maka tempoh menunggu giliran haji adalah selama 148 tahun. 😭. Setakat tahun ini sudah ada 3.8 juta pendeposit Tabung Haji sudah mendaftar dan menunggu giliran untuk tunaikan haji.

"Lamanyaaaaaa nak kena tunggu!"

Lama tak lama itu di luar kawalan Kita. Apa yang penting, pastikan kita dah daftar dahulu. Jika ada niat dan kesungguhan, pasti akan dimudahkan jalannya. Teringat saya kisah Ustazah Norhafizah Musa ketika ceritakan yang beliau berpeluang untuk tunaikan haji sebab anak saudaranya (kalau tak silap) menang tilawah AlQuran maka berpeluang membawa bersama beberapa ahli keluarga untuk tunaikan haji. Kalau ikutkan bukan giliran Ustazah lagi untuk tunaikan haji tahun itu.  Jadi jangan putus asa bila lihat tempoh menunggu giliran yang lama. Kita dapat menjadi tetamu Allah atas jemputan-Nya. Bukan sebab duit simpanan dah cukup atau giliran dah tiba. Ada saja orang yang dah cukup simpanan tapi tak dapat pergi ke Tanah Suci di saat akhir kerana masalah kesihatan. Ada saja orang yang dah sampai gilirannya untuk tunaikan haji tapi tak dapat pergi kerana masalah tertentu. Yang penting ialah usaha, doa dan tawakal. InsyaAllah akan dipermudahkan jalannya!

Baca juga:
Cerita haji saya dan emak...
Cerita Haji : Pengalaman di Arafah dan Muzdalifah
Boleh ke pergi haji lebih awal dari yang dijangka?
Cerita Haji : Ujian berkaki ayam dari Masjidil Haram ke hotel....

"Ala, takpe la, kita ni muda lagi, banyak masa lagi boleh pergi haji. Nanti-nanti lah daftar!

Masa muda ini lah masa yang terbaik untuk tunaikan haji. Ibadah haji sebenarnya lebih kepada aktiviti fizikal seperti tawaf, saei, bermalam, wukuf dan melontar. Mungkin tawaf dan saei kini sudah semakin mudah dengan ada nya scooter, wheelchair malah 'buggy', tapi tak sama perasaannya dengan berjalan kaki sendiri mengelilingi Kaabah. Berwukuf sudah pastinya memerlukan kesihatan yang baik kerana perlu berkumpul bersama jutaan jemaah haji di seluruh dunia. Beratur lama dan panjang tunggu giliran nak masuk tandas di Mina pun perlu kesihatan yang baik ya 😊 Melontar jamrah ketika saya tunaikan haji dulu perlu berjalan sejauh 3 km pergi dan balik.  Salah seorang daripada teman sebilik saya dan emak ketika tunaikan haji dulu ialah seorang nenek berusia 80-an. Walaupun dah berusia, nenek itu lah yang paling awal di antara kami keluar dari hotel menuju ke Masjidil Haram untuk solat Subuh. Pukul 2 pagi dah bersiap dan cergas melangkah seorang diri ke masjid! Tapi kesihatan beliau sedikit merosot menjelang waktu melontar jamrah hingga terpaksa diwakilkan untuk melontar. Memang kerja-kerja haji banyak memerlukan tenaga dan fizikal yang baik jadi banyak kebaikannya jika berpeluang untuk tunaikan haji di usia muda.

Pengalaman di Mina


"Eh, muda lagi dah nak pergi haji? Nanti balik tak takut ke buat dosa balik!"

🤔🤔🤔

Ayat di atas ni memang ayat dari kisah benar ya. Ketika beberapa hari sebelum mula cuti untuk ke Tanah Suci, saya sempat jumpa beberapa rakan se ofis untuk bersalaman memohon maaf. Macam-macam ragam ketika itu. Ada rakan yang **menitiskan air mata ketika bersalaman. Ada yang tumpang gembira Dan tumpang doa. Dan yang paling pelik seorang kakak ni lah. Boleh pula cakap macam ayat kat atas tu. Setiap daripada kita adalah pendosa. Pendosa lah yang paling patut sangat berhajat ke Tanah Suci untuk penyucian jiwa agar kembali ke jalan yang lurus. Dan alangkah baiknya jika bakal haji itu didoakan kemudahan, haji yang mabrur dan istiqamah sekembaliny ke tanahair nanti. Entahlah. Mungkin kakak tu bergurau, kot?


**Ada satu soalan yang pernah ditanya kepada saya. Kenapa bila kita bersalaman dengan orang yang bakal tunaikan haji, kita akan sedih, sebak dan berpelukan erat bila berpisah macam tak akan jumpa lagi? Kenapa bila kita pergi bercuti lama ke luar negara macam London contohnya, tak ada pun orang nak sedih-sedih berpisah dengan kita? Hmm...saya pun tak tau nak jawab macam mana 🤔**

Jadi, anda termasuk dalam team yang mana satu?

Yang belum daftar Haji?

 ➡️ Jom cepat daftar Haji!

Yang dah daftar dan tunggu giliran?

➡️ Sabar, doa dan tawakal!


0 comments: