9 bintang untuk filem Train To Busan!

Sunday, September 18, 2016 Ana 0 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera....


Train To Busan. Busanhaeng.

Catat rekod 10 juta penonton dalam masa kurang sebulan ditayangkan di pawagam.

Sana sini saya terbaca komen dan review mengenai filem zombie pertama Korea Selatan ini. Ramai orang yang dah menonton kata filem Train To Busan ini best. Semalam, terpampang di newsfeed FB saya ialah link untuk tonton filem ini. Di share kan oleh seorang sahabat. Macam orang mengantuk disorongkan bantal, maka malam semalam ialah malam 'zombie' saya setelah menonton Train To Busan di FB sehingga jam 1 pagi. Tertanya-tanya juga macam mana lah filem ini dah ada copy nya di FB sedangkan filem masih lagi ditayangkan di pawagam. Rekod 10 juta penonton mungkin lebih daripada itu jika dikira yang menonton di medium luar pawagam.


train to busan

Kisah zombie dalam drama atau filem bukan lah satu topik yang baru. Yang pernah saya tonton berkaitan dengan zombie (selain Zombie Kampung Pisang yang mana saya tengok separuh jalan saja) ialah World War Z dan sebuah drama bersiri bertajuk Antidot. Zombie dalam World War Z memilih mangsa yang hendak digigitnya (gigit manusia yang normal dan sihat saja) manakala dalam drama Antidot seorang kanak-kanak perempuan yang telah jadi zombie mampu pulih seperti sediakala dan darahnya dijadikan bahan ujikaji untuk selamatkan manusia yang lain. Beza yang paling jelas antara cerita-cerita zombie ini ialah ialah Train To Busan bukan sekadar cerita pasal zombie, tapi banyak mesej yang disampaikan secara tak langsung.

Seok Woo, watak utama lakonan Gong Yoo, seorang workaholic yang tak banyak luangkan masa untuk anaknya Soo-An (lakonan Kim Su-An). Setelah dipujuk rayu akhirnya Seok Woo bersetuju untuk menaiki KTX (bullet train di Korea) bersama anaknya ke Busan untuk menemui bekas isterinya, sebagai hadiah harijadi Soo-An. Dan di sinilah bermulanya kisah zombie yang sangat mendebarkan.

Train To Busan bergerak dari satu babak ke satu babak dengan aksi yang buatkan saya rasa berdebar-debar apa yang akan berlaku seterusnya, Tambah mendebarkan ialah hampir 90% babak-babaknya berlaku di dalam tren. Itu dah cukup untuk buatkan jantung berdegup kencang sebab tak ada tempat nak larikan diri. Tersepit antara zombie-zombie yang memang laju gila berlari mengejar nak gigit manusia yang masih terselamat. (berbeza dengan zombie dalam Walking Dead dan Antidot yangvjalan perlahan). Jalan cerita pun pantas sebab untuk seorang manusia normal yang telah digigit zombie, ambil masa sekejap saja dah bertukar jadi zombie. Menakutkan tengok adegan zombie-zombie tercampak keluar dari tingkap kaca di stesen keretapi Daejeon dan adegan ribuan zombie mengejar Seok Wo, Soo-An dan Seong-Kyeong yang mengejar keretapi untuk menyelamatkan diri di stesen East Daegu.

train to busan

train to busan


Selain Seok Woo yang jadi watak utama dalam Train To Busan ini, watak-watak lain pun tak kurang menariknya. Soo-An yang rindukan masa-masa dengan ayahnya, watak Sang-Hwa yang berani dan isterinya yang mengandung, Seong-Kyeong, watak CEO yang kaya tapi menyakitkan hati dan pentingkan diri sendiri, Yon-Suk, adik beradik warga emas, In-gil dan Jon-gil, watak Yon-guk dan Jin-hee yang merupakan ahli pasukan baseball pelajar sekolah, seorang gelandangan (yang pada mulanya saya sangkakan akan timbulkan masalah) dan juga pemandu tren ke Busan.

Selain banyak bermain dengan emosi dan perjalanan plot yang menyentuh perasaan, Train To Busan juga sarat dengan mesej kemanusiaan. Antaranya ialah tanggungjawab seorang bapa terhadap anaknya, pengorbanan seorang suami untuk isterinya dan bagaimana sikap manusia sama ada sanggup berkorban atau pentingkan diri sendiri bila berhadapan dengan perkara yang melibatkan nyawa.

train to busan


Watak Seok Woo dan Sang-Hwa tak perlu kuasa ajaib untuk berlawan dengan zombie-zombie, cuma perlukan semangat yang kental dan kerjasama antara satu sama lain. Si kaya Yon-Suk memang watak yang menjengkelkan tapi mungkin juga watak ini lah yang ada dalam diri kita dan terserlah bila berdepan dengan keadaan cemas sebegitu. Kasih sayang antara adik beradik warga emas In-gil dan Jon-gil serta antara teman Yon-gul dan Jin-hee dibawa ke mati bila sanggup bersama bila salah seorang telah bertukar jadi zombie.


train to busan

Menonton Train To Busan sedikit pun tidak membosankan. Banyak plot luar jangka yang menjadikan filem ini lain daripada cerita-cerita zombie yang terdahulu.

Siapa yang dapat menjangka punca merebaknya virus zombie itu adalah disebabkan aktiviti yang dijalankan oleh syarikat Seok Woo?

Siapa sangka yang Jon-gil akan membuka pintu tren dan menyebabkan semua zombie masuk menyerang hanya kerana kasihkan adiknya In-gil yang telah bertukar jadi zombie?

Siapa sangka watak berani dan sasa, Sang-Hwa akhirnya kecundang juga di tangan zombie?

Siapa sangka Yon-Suk, CEO yang pentingkan diri itu sangat-sangat lah jahat dan sanggup buat apa saja untuk selamatkan diri sendiri. Bukan sekali dua tapi banyak kali! Kali pertama ialah tak sabar-sabar nak suruh tren berlepas walaupun masih ada yang dikejar zombie dan belum sempat naik tren. Kali kedua bila sanggup tutup dan kunci pintu tak bagi penumpang yang lari selamatkan diri masuk ke gerabak sebab takut dijangkiti. Kali ketiga dan keempat ialah bila sanggup korbankan atendan tren dan Jin-Hee untuk elak dirinya sendiri digigit zombie. Kali kelima ialah sanggup biarkan konduktor tren digigit zombie sedangkan konduktor itu sanggup turun dari keretapi untuk menyelamatkan dirinya. Ok, sangat hitam watakYon-Suk ini ya!

Siapa sangka watak gelandangan yang pada mulanya kelihatan macam orang kurang waras akhirnya sanggup mengorbankan dirinya untuk selamatkan wanita mengandung dan anak kecil?

Dan paling tak disangka ialah watak utamanya Seok Woo bertukar jadi zombie dan mati di akhir cerita!

15 minit terakhir filem ini adalah momen yang menyayat hati. Jika anda belum menonton dan bercadang hendak menonton, sediakan tisu terlebih dahulu.

train to busan

Daripada 10, saya berikan 9 bintang untuk Train To Busan (kurang 1 bintang sebab ending yang sedih dan hero nya mati :P )

Tak sabar menantikan Train To Busan 2!



0 comments: