Ramainya rakyat Jepun berusia 100 tahun!

Saturday, September 17, 2016 Ana 0 Comments



Ramainya rakyat Jepun berusia 100 tahun!



Assalamualaikum & salam sejahtera...

Ramainya penduduk yang berusia lebih 100 tahun di Jepun!

Tengahari tadi saya hadiri jemputan kenduri kahwin, di sebuah dewan berhampiran dengan rumah. Pengantin perempuannya ialah anak kepada doktor sebuah klinik yang selalu saya kunjungi kalau ada masalah kesihatan. Walaupun beliau seorang doktor, tapi biasalah sebagai orang Melayu memang tidak boleh lari daripada lauk-lauk kenduri yang 'kaya dan tinggi' kandungan lemaknya.

Daripada daging masak cili, ayam percik, kari ikan dan tak lupa juga nasi beriani, hinggalah kepada laksa, cendol, apam balik, kuei tiau dan kuih bakar, kesemuanya hidangan yang memang menyelerakan. Mungkin sekali sekala tak mengapa, tapi jika setiap hari menghadap hidangan sebegini, hasrat nak tandingi rakyat Jepun yang kebanyakannya berusia lebih 100 tahun, mungkin hanya tinggal angan-angan saja!

Saya kagum sebenarnya bila baca tajuk akhbar pagi ini :  '65,692 rakyat Jepun 100 tahun' . Dan lebih mengkagumkan ialah jumlah itu dijangka akan mencapai 100,00 orang pada hujung tahun ini. Daripada jumlah 65,692 orang itu, 12.4 % adalah lelaki dan baki 87.6% adalah wanita.



rahsia rakyat jepun panjang usia
Sumber : Utusan Malaysia 17 September 2016

Apa rahsia ramai rakyat Jepun berusia lebih 100 tahun?

Yang saya lihat sendiri ketika ke Osaka 2 tahun lepas, masyarakat Jepun kebanyakannya sangat aktif bergerak. Di mana-mana saja boleh nampak orang berbasikal. Bukan saja pelajar atau pun wanita yang ber kimono naik basikal, malah yang bekerja pejabat siap pakai sut dan tali leher pun ramai yang berbasikal ke pejabat, Pengangkutan tren nya  yang efisien (dan boleh sedikit peningkan kepala orang yang tak biasa naik tren  macam saya!) juga jadi pilihan orang ramai untuk bergerak. Selain banyak bergerak sudah pasti aspek pemakanan menjadi salah satu penyumbang kepada ramai rakyat Jepun yang panjang usianya.


1. Menu utama dalam diet rakyat Jepun ialah ikan, soya, nasi, sayur dan buah-buahan. Dan bahan-bahan ini disediakan juga dengan cara yang berkhasiat seperti ikan yang di gril, nasi yang dikukus, sayur yang direneh beserta sup, teh hijau dan buah-buahan. Bukannya kasi kepala ikan, nasi beriani, sayur goreng, sup daging beserta dengan air berkarbonat atau teh tarik ya!


2. Makanan disediakan dalam kuantiti yang sedikit. Perasan tak bekal makanan orang Jepun yang dipanggil bento? Sangat comel dan kreatif kan cara bento itu disediakan. Dan semua bahan-bahan bento itu disediakan dalam kuantiti yang sedikit. Bento yang dihias dengan kreatif itu sendiri dikatakan menjadikan si pemakan lebih menghayati makanannya dan makan dengan lebih perlahan. Secara automatiknya seseorang itu akan mengunyah makanan dengan lebih lama dan lebih cepat berasa kenyang. Malah Jepun ada pepatah nya sendiri iaitu 'makan hingga anda 80% kenyang'. Bagus kan? Rakyat Jepun mengamalkan apa yang telah lama diajarkan oleh Rasulullah saw iaitu berhenti makan sebelum kenyang.


gaya hidup sihat rakyat Jepun
Sumber : Wikipedia


3. Masyarakat Jepun juga amat menitikberatkan cara penyediaan makanan yang tidak libatkan makanan dimasak dalam suhu tinggi untuk tempoh yang lama. Cara memasak yang jadi pilihan ialah mengukus, menggril, menumis, mereneh atau menggoreng dalam kuali untuk tempoh yang sekejap. Makanan segar juga lebih diutamakan dan bahan makanan tambahan juga dikurangkan. Berbeza dengan kita, kalau boleh semua makanan hendak kita tambah 'aksesori' nya. Contoh mudah ialah pisang goreng. Daripada sebiji pisang yang tidak berdosa yang segar, digoreng dalam kuali dengan minyak yang penuh. Tak cukup dengan pisang berminyak, ditambah pula dengan cheese, maka jadilah pisang goreng cheese. Tak cukup lagi, tambah pula coklat menjadi pisang goreng cheese coklat. Maka lengkap lah 'khasiat' nya di situ : berminyak + berlemak + bergula !


4. Biasanya sesetengah orang kalau nak berdiet tak makan nasi tapi makan roti kan? (saya lah tu!). Bagi masyarakat Jepun, nasi menjadi pilihan berbanding roti dalam diet harian mereka. Ini secara tak langsung dapat mengurangkan pengambilan tepung gandum yang telah diproses dalam pemakanan. Antara nasi kegemaran masyarakat Jepun ialah nasi kepal iaitu nasi yang dikukus atau dikenali juga sebagai onigiri atau rice ball. Sempat tengok Meiko masak pelbagai jenis nasi kepal dalam drama 'Bon Appetit' di tv Alhijrah.

Anda juga boleh baca artikel menarik mengenai rahsia panjang usia rakyat Jepun dengan klik di sini.

Ingin cuba cara pemakanan sihat seperti rakyat Jepun? Mungkin sedikit susah pada awalnya hendak ubah cara pemakanan kita, tapi tak mustahil kan. Saya pernah cuba ikut kawan-kawan ke restoran Jepun tapi tekak Melayu saya ini hanya mampu telan udang tempura yang digoreng saja! Tak perlu lah ikut seratus peratus cara pemakanan rakyat Jepun. Nanti ada pula ahli keluarga anda terkejut kenapa tiba-tiba ada nasi kepal pula sebagai hidangan tengahari! Ubah apa yang mampu. Daripada makanan diproses kepada makanan segar. Daripada makanan bergoreng kepada makanan dikukus atau panggang.

Rahsia ramai rakyat Jepun berusia 100 tahun sebenarnya bukan rahsia lagi.

Selamat mencuba!



0 comments: