Cerita haji : Pengalaman di Arafah dan Muzdalifah...

Friday, September 09, 2016 Ana 0 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera...

8 Zulhijjah 1429H

"Lepas makan malam nanti, semua diminta berkumpul di lobi hotel. Kita akan bertolak ke Arafah malam ini, jangan lewat ya!"

Ringkas saja pesanan daripada ketua pakej haji kami tengahari itu. Lain-lain penerangan tentang apa yang nak dibawa, aktiviti sewaktu wukuf dan lain-lain persiapan dah pun berulang kali diterangkan sebelum ini.

"Kata lepas Isyak nak bertolak, ini dah pukul 11 lebih ni!"

Kedengaran sedikit rungutan daripada jemaah lelaki yang berdiri di belakang kami. Malam itu, selesai saja solat Isyak di Masjidil Haram, kami bergegas pulang ke hotel untuk makan malam dan kemudiannya bersiap-siap untuk bertolak ke Arafah, Tepat jam 9 malam, lobi hotel dah dipenuhi dengan rombongan jemaah haji kami yang bersemangat hendak bertolak ke Arafah. Disebabkan ruang lobi tidak begitu luas, maka kehadiran kami beramai-ramai di situ agak menyesakkan keadaan. Akhirnya kami semua bergerak dan menunggu di bahagian luar hotel.

Menunggu dan menunggu bas yang belum nampak bayangnya. Salah satu ujian kesabaran di tanah suci ini. Kelihatan ada antara kami yang sudah menguap beberapa kali menahan rasa mengantuk. Hendak kembali ke bilik hotel bimbang pula terlepas bas nanti.

Jarum jam menginjak ke pukul 12 tengah malam dan bas yang dinanti-nantikan akhirnya tiba. Dua buah bas untuk membawa kami seramai lebih kurang 80 orang, Jarak antara Mekah dan Arafah tidaklah begitu jauh, dalam anggaran 25 km sahaja, Sempat terlena seketika dalam perjalanan singkat itu, kami akhirnya tiba di bumi Arafah sekitar jam 1:30 pagi.


wukuf di arafah

Perasaan pertama bila sampai di Arafah, entah lah saya pun tak tahu nak gambarkan. Mungkin belum dapat gambaran jelas kerana keadaan pagi yang masih gelap. Tapi dalam hati ternanti-nantikan pengalaman berwukuf nanti. Kami terus saja dibawa ke khemah untuk berehat sementara menunggu azan Subuh dalam pukul 4 pagi nanti.

Berada dalam khemah di Arafah itu mengujakan saya, Rasa seperti dalam khemah di padang pasir. Macam yang pernah saya tonton dalam drama Arab di tv. Tanah beralas dengan kain. Khemah ditegakkan dengan tengahnya dipancang kayu. Bila berbaring, perlu adjust-adjust kan badan untuk dapat baringan yang sesuai dengan keadaaan muka bumi yang tak rata.

wukuf di arafah
Di luar khemah di Arafah

Waktu ketika itu dirasakan berlalu dengan cepat sekali. Sekejap saja dah masuk waktu Subuh, dan sekejap saja dah tengahari menghampiri waktu Zuhur, bermulanya waktu wukuf. Waktu afdal berwukuf ialah bermula dari sebahagian waktu siang hari pada 9 Zulhijjah sehingga sebahagian dari malam 10 Zulhijjah, Dari pagi lagi selepas Subuh, di setiap penjuru khemah masing-masing khusyuk dengan ibadah seperti solat sunat, membaca Al-Quran dan berzikir. Al-Quran dan buku-buku doa menjadi teman rapat sepanjang perjalanan haji ini. Sesaat pun dirasakan rugi untuk dibazirkan dengan berbual kosong. Masuk saja waktu Zuhur, khutbah Arafah diadakan di setiap khemah @ maktab diikuti dengan solat berjemaah serta doa Arafah. Ramai jemaah yang mengambil tempat di luar khemah menadah tangan berdoa di bawah langit yang terbuka dalam salah satu waktu mustajabnya doa itu. Masing-masing dengan penuh pengharapan berdoa memohon dari hati yang paling dalam, mengharap keampunan dan memohon doa dan hajat kepada Yang Maha Esa. Sayu. Mengharap. Menyesal. Mengadu. Merayu. Segalanya kepada Yang Satu. Segala macam rasa ada ketika itu, Suasana di Arafah digambarkan seumpama padang Mahsyar, tempat kita semua berkumpul pada hari pengadilan nanti.

*Sebenarnya setiap kali pulang dari Masjidil Haram menuju ke hotel, suasana ketika itu pun sudah saya bayangkan seperti di padang Mahsyar. Lautan manusia. Anda bayangkan laut yang luas itu dipenuhi manusia. Ya, lautan manusia yang bergerak keluar dari masjid itu memang akan membuatkan saya terbayangkan beginikah suasana di padang Mahsyar nanti? *

Keadaan cuaca panas agak mencabar juga bagi jemaah haji yang kurang sihat termasuk saya. Sayang sekali tidak dapat bersama-sama jemaah lain berada di luar khemah. Tiga kotak besar tisu saya habiskan untuk mengelap selesema yang tidak henti-henti mengalir. Mujur batuk sudah agak berkurangan ketika itu. Aktiviti berdoa dan beribadat bersendirian atau berkumpulan diteruskan sehingga masuk waktu Maghrib, Selesai mengerjakan solat Maghrib secara jamak dan tamam dengan solat Isyak, kami bersiap sedia pula menunggu bas untuk bertolak ke Muzdalifah.....

Baca juga:
Cerita haji saya dan emak...
Boleh ke pergi haji lebih awal dari yang dijangka?
Cerita Haji : Kenapa perlu pergi haji di usia muda?


Jarak dari Arafah ke Muzdalifah cuma 9 km. Sekali lagi kesabaran diuji ketika ini, Bas hanya tiba pada jam 11 malam. Dengan kesesakan pergerakan jemaah ketika itu, kami akhirnya tiba di Muzdalifah pada jam 1 pagi. Muzdalifah adalah satu kawasan lapang dan disunatkan untuk bermabit @ bermalam di sini walaupun untuk seketika dan disunatkan juga untuk mengutip anak-anak batu untuk melontar jamrah di Mina nanti. Jika di Arafah ada khemah disediakan, di Muzdalifah hanyalah satu kawasan lapang yang beralaskan tanah dan beratapkan langit. Satu pengalaman baru. Mata sedikit pun tidak rasa mahu terlelap. Leka memerhatikan keadaan sekeliling hingga sesekali diingatkan oleh emak untuk tidak lupa berzikir, Sempat juga mengambil gambar, seperti yang di bawah, Bila saya tunjukkan gambar ini kepada seorang sahabat, katanya ada 'sesuatu tertulis' di dalam tompok-tompok cahaya itu. Entahlah, puas juga saya amati, tak nampak pula apa yang dimaksudkan.

bermalam di muzdalifah
Bermalam di Muzdalifah

Masuk waktu Subuh, kami beramai-ramai menunaikan solat Subuh di kawasan yang luas mata memandang itu. Belum pernah lagi seumur hidup solat jemaah berbumbungkan langit. Pengalaman yang sangat indah. Kami seterusnya menaiki bas yang tiba lebih kurang 10 minit kemudian membawa kami ke Mina, tempat melontar jamrah. Selepas 5 km perjalanan, kami akhirnya tiba di Mina sekitar jam 8 pagi.

Wah, ini lah entry saya yang paling panjang rasanya! Ada ke orang yang baca? Tak apa, sebagai catatan pengalaman sebagai kenangan pun boleh :)

Saya kongsikan nanti pengalaman melontar di Mina dan adakah 'kedegilan' tak ikut arahan waktu melontar memberi pengajaran kepada saya...

0 comments: