Ujian berkaki ayam dari Masjidil Haram ke hotel....

Wednesday, September 14, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera...


"Makcik nak ikut awak tawaf sekali boleh?"

Kasihan pada jemaah haji wanita yang saya kenali dengan nama mak cik Salmah ini. Sebelum ini, hampir ke mana-mana saja, sama ada ke masjid, tawaf, saie, melontar, wukuf pasti berdua dengan suaminya. Namun semuanya berubah sejak kami kembali ke Mekah setelah selesai melontar jamrah di Mina. Sekembalinya ke Mekah, ada tawaf, saie dan bergunting yang kami perlu selesaikan sebelum boleh bertahalul (melepaskan diri daripada pantang larang semasa berihram).

Sebaik tiba di Mekah dari Mina, suami makcik itu dikhabarkan sakit-sakit badan. Nak dikatakan demam, suhu badannya tak panas, normal saja. Cuma dirasakan badannya lemah-lemah hingga tak mampu nak buat ibadah tanpa bantuan. Ada 'cakap-cakap'  yang mengatakan pakcik itu jatuh sakit selepas didekati oleh 2 orang pemuda ketika solat di Masjidil Haram. Entah lah, saya pun kurang pasti sebab musabab sakit pakcik itu. Tapi disebabkan itu lah, makcik Salmah kini terpaksa mencari 'geng' di kalangan jemaah lain untuk bersama-sama menyempurnakan ibadah haji.

Pagi itu lebih kurang jam 10 pagi, saya dan rombongan yang diketuai oleh Ustaz Razak beramai-ramai menuju ke Masjidil Haram untuk bertawaf, saie dan akhirnya bergunting. Keadaan di masjid ketika itu penuh sesak dengan jemaah haji yang lain. Ustaz dah siap pesan awal-awal supaya peka dengan keadaan sekitar dan tidak terpisah antara jemaah, terutamanya bagi jemaah yang telah lanjut usia.

Kebetulan pada hari itu makcik Salmah terlupa membawa beg kasut (beg atau uncang kecil kami gunakan untuk letakkan kasut yang tidak dipakai semasa berada dalam masjid).

"Boleh tak makcik nak tumpang kasut makcik ni dalam uncang kasut awak? Makcik tertinggal uncang makcik kat hotel"

"Oh , boleh makcik"

"Tapi Salmah, pastikan jangan sampai terpisah masa tawaf nanti. Ikut belakang kami ya". Emak saya menambah pesan sebelum kami mula bertawaf. Seperti biasa, sebelah tangan saya akan memegang tangan emak dan sebelah lagi memegang buku doa. Sesekali saya toleh juga ke belakang untuk pastikan makcik Salmah ada di belakang kami. Setelah menghampiri 5 pusingan tawaf dan makcik Salmah sentiasa ada di belakang kami, saya agak yakin makcik Salmah tak akan terpisah dengan kami dan akhirnya saya tak menoleh lagi ke belakang hinggalah habis pusingan tawaf yang ketujuh.


ribuan jemaah haji mengerjakan tawaf
Bagaimana hendak mencari jika terpisah dalam lautan jemaah haji begini...

Baitullah yang tidak pernah sepi
Subuh di Masjidil Haram....

tawaf di Baitullah
Semakin lama semakin bertambah jemaah haji yang yang mengerjakan tawaf...

"Alamak, makcik Salmah dah hilang lah mak!"

Cemas rasanya bila lihat bayang makcik Salmah tiada di belakang kami. Menyusur perlahan-lahan ke tempat saie, saya dan emak mencari-cari kelibat makcik Salmah dalam ribuan jemaah haji yang sedang bertawaf itu. Hampa. Makcik Salmah hilang entah ke mana.

Selesai saie dan bergunting, saya dan emak menunggu di pintu keluar berhampiran Marwah dengan harapan makcik Salmah juga akan keluar melalui pintu tersebut. Dalam hati memang risau bukan kepalang, Kasut makcik Salmah ada dengan saya, macam mana makcik Salmah nak berjalan balik ke hotel tanpa kasut? Berkaki ayam dalam cuaca panas terik itu?

Hampir 1 jam juga kami menunggu di situ sebelum akhirnya kami ambil keputusan untuk pulang ke hotel. Pada fikiran saya dan emak, mungkin makcik Salmah akan meminjam kasut yang ada di masjid atau mungkin juga makcik Salmah akan singgah beli kasut di kedai yang berdekatan, Tiba saja di hotel, cepat-cepat kami ke bilik makcik Salmah dengan harapan beliau dah selamat balik. Alangkah risaunya bila teman-teman sebilik beliau kata kan makcik Salmah belum balik ke hotel lagi!

Perkara itu kami adu kan kepada ketua rombongan haji kami dan juga kepada Ustaz Razak. Tak banyak juga yang dapat mereka lakukan melainkan turut sama menunggu makcik Salmah di hotel. Saya dan emak kembali ke bilik untuk berehat tetapi dengan hati yang berat. Di mana makcik Salmah? Selamat kah dia?

Menjelang tengahari, sekali lagi kami bertemu dengan Ustaz Razak di lobi hotel untuk tahu kalau-kalau ada berita makcik Salmah. Dari jauh lagi Ustaz Razak tersenyum melihat kami dua beranak. Belum sempat kami bertanya, Ustaz dah tahu soalan kami kepadanya.

"Makcik Salmah dah selamat sampai ke hotel, dalam 30 minit tadi. Dia jalan kaki ayam saja dari masjid sampai hotel!"

Tercengang juga kami mendengar kata-kata Ustaz Razak. Macam mana makcik Salmah boleh jalan kaki ayam dalam cuaca panas terik itu?

Terus saja kami bergegas ke bilik makcik Salmah untuk lihat keadaannya, Mujur beliau tak salahkan kami. Katanya memang salah beliau agak lambat semasa tawaf sehingga terpisah dengan kami, Hendak cari selipar atau kasut untuk dipinjam, tak tahu di mana. Hendak beli kasut baru, duit pula tak dibawanya, Akhirnya, redah sajalah berkaki ayam dari masjid ke hotel. Pijar kakinya kepanasan Tuhan saja yang tahu, Kasihan juga melihat tapak kaki beliau yang kemerah-merahan itu,

Sememangnya ujian itu datang dalam pelbagai bentuk. Ujian berkaki ayam di bumi Mekah buat makcik Salmah.....


**Untuk mengelakkan keadaan sebegini terjadi, jemaah haji boleh rancang awal-awal di mana hendak menunggu sekiranya terpisah antara satu sama lain **

**Bawa juga sedikit bekalan wang untuk kegunaan di saat-saat memerlukan...**



0 comments: