Cerita haji saya dan emak...

Tuesday, September 06, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Cepat saja waktu berjalan dan hari ini dah masuk 4 Zulhijjah. Jika di 'campak belakang' (throwback) sejauh 8 tahun yang lalu, ketika ini saya dan emak sedang berada di tanah suci Mekah Al-Mukarramah. Kami telah selamat mendarat dengan nombor penerbangan KT69 dan nombor pesawat SV5007 pada 24 November 2008 di Lapangan Terbang Antarabangsa King AbdulAziz Jeddah, kurang seminggu sebelum masuknya bulan Zulhijjah tahun 1429 Hijrah.

kenangan mengerjakan haji


Perjalanan mengerjakan haji berdua bersama emak (selain jemaah haji dalam rombongan yang sama) adalah suatu pengembaraan yang banyak pengalamannya. Sudah pasti ketika itu saya lah yang menjadi 'pengurus peribadi merangkap setiausaha' buat emak. Antara tugas rasmi saya ketika itu ialah:

1. Saya lah yang pastikan ubat darah tinggi emak dimakan ikut jadual. Siapkan reminder di handphone untuk ingatkan waktu makan ubat. Pastikan yang inhaler lelah/asthma emak sentiasa dibawa bersama setiap kali keluar dari hotel untuk ke masjid atau aktiviti ziarah.

kenangan di tanah suci
Menunggu bas untuk ke Mekah, di airport Jeddah

kenangan di tanah suci
Ruang menunggu untuk jemaah haji di airport Jeddah


2. Saya lah yang akan pastikan kelengkapan emak seperti gelang tanda pengenalan jemaah haji sentiasa dipakai sebelum keluar dari hotel, beg atau uncang untuk letakkan kasut sebelum masuk ke dalam masjid mesti ada dibawa bersama. Tisu dan botol kecil berisi air untuk wuduk sentiasa tersedia di dalam beg galas. Bukan mudah hendak berulang alik ke tandas dalam keadaan jutaan jemaah haji ketika itu. Tak lupa juga ubat sakit tekak yang perit ketika cuaca panas di sana. Pernah sekali kami hampir 'lemas' dalam kesesakan yang berlaku dalam tandas wanita. Waktu masuk ke ruang depan tandas tak nampak sangat keadaan yang sesak. Bila mula bergerak hingga ke ruang dalam baru nampak keadaan yang sangat-sangat sesak! Sukar nak nampak cari jalan keluar dari tandas ditambah dengan jemaah haji wanita yang bertubuh besar turut sama bersesak-sesak.

3. Saya juga yang siapkan jubah dan telekung yang hendak dipakai esok hari supaya tak terlambat ke masjid. Solat Subuh yang pertama kami di Masjdil Haram memang pengalaman yang 'menarik'  kerana sujud hampir-hampir di atas kaki jemaah di saf depan kami! Kami sangka kan dah awal sangat lah bangun pagi untuk ke masjid Subuh itu, rupa-rupanya Masjidil Haram dah pun dipenuhi jemaah sehingga kami hanya mampu menyelit-nyelit di ruang dekat dengan tempat saie.

4. Handphone saya perlu pastikan telah penuh di charge dan dibawa bersama ke masjid (hanya ke Masjid Nabawi saja saya tinggalkan handphone di hotel kerana pemeriksaan agak ketat di pintu masuk masjid). Penting kegunaan handphone ini kalau-kalau kami terpisah dan tersesat. Tambahan  pula jarak antara hotel dan Masjidil Haram agak jauh ketika itu. Berbeza dengan di Madinah, jarak antara hotel kami menginap dengan Masjid Nabawi sangat dekat dan jika terpisah tidak begitu sukar hendak cari sendiri jalan pulang ke hotel.

5. Buku-buku nota, doa dan Al-Quran kecil mesti ada dalam beg sebagai bacaan dalam perjalanan atau sementara menunggu masuk waktu solat di masjid. Saya perlu pastikan juga cermin mata emak tidak tertinggal di bilik hotel. Pengalaman menarik ketika kami membeli Al Quran di sebuah kedai tidak jauh dari Masjidil Haram, dapat satu 'bonus' yang tak disangka-sangka. Bukan saja kami keluar dari kedai itu dengan 2 mushaf Al Quran, tapi dapat juga 15 buah Al Quran yang disedekahkan oleh Tuan kedai yang baik hati! Hadiah Al Quran itu kami agih-agihkan kepada jemaah haji yang lain.

6. Walaupun emak bawa bersama buku doa yang bersaiz kecil itu semasa mengerjakan tawaf, saya sebagai 'setiausaha' emak lah yang sebenarnya akan membacakan doa semasa tawaf itu dan emak akan aminkan. Ini bagi memudahkan emak untuk fokus bertawaf dan tak perlu susah payah nak baca doa dengan bercermin mata. Begitu juga dengan segala dokumen penting seperti pas pengenalan dan buku rekod kesihatan yang saya pastikan sentiasa ada dalam beg galas kami.

7. Sepanjang berada di tempat-tempat yang penuh sesak seperti di tempat tawaf, saya dan emak akan sentiasa berpegang tangan. Memang ketika pertama kali melakukan tawaf ada juga perasaan bimbang jika kehilangan antara satu sama lain dan sesat. Pernah juga sekali itu setelah selesai saie dan bergunting dan hendak balik menuju ke hotel, saya berhenti seketika untuk isi refill botol air dengan air zam-zam. Saya siap pesan kepada emak supaya tunggu saya di tepi dinding kerana orang agak ramai di tempat mengisi air zam-zam tersebut. Selesai refill botol dan berpaling ke arah dinding, saya lihat emak tiada di situ, Berderau dan cemas masa itu Tuhan saja yang tahu. Melilau cari di sekitar dan saya nampak emak dah jalan ke depan terlebih dahulu. Kata emak, ingatkan saya nampak beliau dah jalan ke depan. 'Marah' juga saya dengan emak waktu itu, bukannya apa, marah sebab risau hilang, sesat dan sebagainya.

8. Segala urusan perbelanjaan saya sebagai 'pengurus' juga lah yang menguruskan. Belanja beli sim kad baru, bayar tambang teksi/van ketika buat umrah (yang tak termasuk dalam pakej) bersama jemaah lain, bayar dam haji tamattu', bayar korban sembelihan, dan tentu sekali belanja membeli barang-barang buah tangan untuk saudara mara di tanahair.

9. Sebagai 'pengurus' juga saya lah yang menguruskan hal-hal berkaitan beg. Yang ini agak susah sikit sebab kena menguruskan beg untuk 2 orang. Paling susah ketika membawa persiapan ke untuk wukuf di Arafah. Memang sudah dipesan oleh ketua rombongan supaya bawa apa yang perlu saja untuk kegunaan sepanjang berada di Arafah-Muzdalifah-Mina nanti. Tapi biasa lah, orang perempuan ini banyak sangat keperluannya dan bila balik dari Mina menuju semula ke Mekah, beg dah 'beranak -pinak' sikit setelah beli 'satu-dua' barang di Mina...


kenangan di tanah suci
Beg yang 'beranak-pnak'

10. Pernah juga saya dan emak teringin makan KFC ketika di sana. Hendak makan lain yang lain kononnya sempena hari lahir emak saya pada 29 November itu. Jadi saya redah saja lah buat pesanan di KFC. Lama juga saya tenung papan menu yang tertulis bahasa Arab itu. Akhir sekali nampak satu menu yang saya faham, Dinner Plate. Maka kami berdua makan dinner plate lah waktu tengahari itu. Sampai sekarang saya tertanya-tanya kenapa lah saya tak cuba tanya staff KFC itu dalam bahasa Inggeris. Dalam kepala saya masa itu agaknya memang dah set yang staff itu cuma tahu bercakap bahasa Arab saja! Entah-entah bahasa Melayu pun dia faham agaknya sebab ramai penjual di Mekah dan Madinah malah Jeddah yang fasih berbahasa Melayu. Saya tak teringat langsung masa itu!

Baca juga :
Boleh ke pergi haji lebih awal dari yang dijangka?
Cerita haji : Panggilan telefon dari Malaysia 2 hari sebelum wukuf...
Cerita haji : Pengalaman di Arafah dan Muzdalifah
Melontar di Jamrah, patuhi arahan, jangan ikut macam saya....


Puas hati dapat uruskan semua perkara di atas untuk emak. Selain tugasan di atas, banyak lagi coretan dan pengalaman haji yang saya nak kongsikan di sini. Antaranya ialah:

- Cerita Haji: Tinggal 2 hari lagi sebelum wukuf, dapat panggilan telefon dari Malaysia....
- Cerita Haji : Kisah makcik-makcik dan jejak kasih di bumi Mina
- Cerita Haji : Tak ikut arahan waktu melontar, nyaris kepala dilontar batu?
- Cerita Haji : Berkaki ayam pulang ke hotel di Mekah

Pengalaman mengerjakan haji sekali (mungkin kah ada peluang kali kedua?) seumur hidup yang tak akan dilupakan sampai bila-bila!

Nantikan cerita saya ya! :)







0 comments: