Boleh ke pergi haji lebih awal dari yang dijangka?

Sunday, August 28, 2016 Ana 0 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera.....

Pagi ini saya terbaca info yang dikongsikan sahabat di FB mengenai tips pergi haji lebih awal daripada yang dijangka. Sangat-sangat menarik info yang anda boleh baca di FB saudari Nor Sajidah Zulkafli (klik di sini) ini. Musim haji pun dah bermula dan kemuncaknya pada 10 Zulhijjah pun tinggal lebih kurang 2 minggu saja lagi. Boleh praktikkan tips-tips pergi haji lebih awal yang dikongsikan dan ambil semangat haji sempena Hari Raya Aidiladha yang tak lama lagi ini.

Saya juga sebenarnya dapat pergi menunaikan haji lebih awal daripada yang dijadualkan. Setelah daftar untuk pergi haji pada tahun 2006, saya dan emak dijadualkan untuk pergi tunaikan haji pada tahun 2012, iaitu 6 tahun selepas mendaftar. Disebabkan emak saya telah pun bersara pada tahun 2006 dan sementara kesihatan mengizinkan, maka kami pun sepakat untuk menghantar surat rayuan untuk mempercepatkan giliran menunaikan haji.Surat rayuan kami hantar sendiri by hand di pejabat Tabung Haji Jalan Tun Razak, tingkat 30 atau tingkat 38 (pada masa itu), kalau saya tak silap. Format surat nya biasa saja seperti surat rasmi yang lain dan contoh surat yang baik boleh dirujuk contoh yang diberikan di laman alkahfi.com.my (klik di sini). Secara asasnya perlu ada maklumat pemohon dan sebab untuk merayu cepatkan giliran haji.

Baca juga:
Tunggu 70 hingga 77 tahun untuk tunaikan haji

Pengesahan pendaftaran haji di Tabung Haji, Daftar pada tahun 2006
dan giliran tunaikan haji dijadualkan pada tahun 2012

Setelah daftar haji itu saya dan emak memang bersemangat nak ikuti kursus haji. Sangat bersemangat sampai hadiri kursus haji di dua tempat, iaitu di Masjid Ubaidah Al Jarrah di Taman Sri Rampai oleh Ustaz Hasnil pada hari Sabtu dan di Masjid Al-Ansar di Taman Sri Keramat oleh Ustaz Kamal pada hari Ahad. Semangat kan! Seronok hadiri kursus haji ini sebab banyak perkara yang selama ini kita tak tahu mengenai cara mengerjakan haji, sejarah haji, permasalahan haji dan macam-macam lagi yang buatkan rasa tak sabar hendak sampai di depan Kaabah!

persediaan tunaikan haji
Kursus haji bersiri di masjid-masjid di Wilayah Persekutuan


Bila kami hantar surat rayuan pada tahun 2006, memang tak pernah jangka yang rayuan tersebut akan dipertimbangkan pada tahun itu juga. Ya lah, sebab dah selalu dengar ramai orang terpaksa menunggu lama untuk giliran tunaikan haji, walaupun buat rayuan. Jadi bila surat dari Tabung Haji sampai yang mengatakan kami dimasukkan dalam kumpulan Standby (menunggu dalam senarai dan akan berpeluang untuk tunaikan haji tahun tersebut bila ada tambahan kuota dan kekosongan tempat), memang sangat terkejut dan teruja! Tapi yang sedihnya belum ada rezeki untuk tunaikan haji kerana kebetulan pada tahun tersebut kekurangan bajet kerana perbelanjaan telah diperuntukkan untuk hal yang lain (bajet kurang tapi nak merayu awalkan giliran haji :P). Maka pada tahun 2007 sekali lagi kami ke pejabat Tabung Haji untuk hantar surat rayuan. Mungkin disebabkan pernah menolak ( mungkinlah, maaf jika tidak tepat.) ketika dimasukkan dalam senarai Standby pada tahun 2006, maka tiada sebarang surat yang kami terima dari Tabung Haji pada tahun 2007.

Baca juga:
Cerita haji saya dan emak...
Cerita haji : Panggilan telefon dari Malaysia 2 hari sebelum wukuf...
Cerita Haji : Kenapa perlu pergi haji di usia muda?

senarai standby tunaikan haji
Tawaran tunaikan haji sebagai jemaah haji menunggu (standby)

Pada tahun 2008 sekali lagi kami menghantar surat rayuan untuk cepatkan giliran menunaikan haji. Dan kali ini Alhamdulillah berjaya! Segala yang berlaku selepas terima surat berjaya itu, semuanya berlaku dengan pantas. Daripada buat pemeriksaan kesihatan yang diadakan di Pusat Islam, ambil suntikan tambahan yang diadakan di pejabat Tabung Haji di Maju Junction, hadiri kursus intensif selama 2 hari di Masjid Negara sehinggalah akhirnya berada di Kelana Jaya menunggu untuk bertolak ke KLIA. Cuma satu yang sedikit kecewa ialah tak dapat nak hadiri kursus haji perdana di Masjid Putrajaya kerana sama tarikh dengan kenduri perkahwinan adik saya. Jadi, disebabkan tak hadiri kursus perdana dan tak lallui latihan yang diadakan semasa kursus tersebut, maka pertama kali menjejakkan kaki di bumi Mekah dan Madinah dan segala pengalaman di sana sememangnya satu 'kejutan' (kejutan yang baik!) buat saya dan emak.

Terpilih menunaikan haji pada tahun 2008, Alhamdulillah...

Kesimpulannya di sini ialah tak perlu bimbang jika anda dimaklumkan perlu menunggu hingga 60-80 tahun lagi untuk tunaikan haji. Usahakan selagi boleh untuk menbuat rayuan dan selebihnya serahkan pada Allah!





0 comments: