Mana lebih stress: Tiada air atau tiada elektrik?

Thursday, October 13, 2016 Ana 2 Comments




Mana lebih stress: Tiada air atau tiada elektrik?


Assalamualaikum & salam sejahtera.....

Memang stress bila bekalan air terganggu. Tiada air untuk satu atau dua hari mungkin boleh sabar lagi. Kalau sampai tangki di rumah dah kering dan pili tak keluar air sampai seminggu, rasanya tak ramai yang boleh sabar lagi!

Bila baca mengenai penduduk kawasan Hulu Langat yang dilanda masalah gangguan bekalan air akibat pencemaran bau di loji rawatan sumber air mentah baru-baru ini, saya memang faham sangat bagaimana perasaan mereka yang terlibat.

Kalau diminta pilih antara bekalan elektrik dan bekalan air, bagi saya bekalan air lebih kritikal dan sangat-sangat diperlukan. Kalau tiada bekalan elektrik dan kepanasan, masih boleh pasang aircond dalam kereta atau duduk lepak di kedai mamak. Kalau tiada bekalan air? Tuhan saja yang tahu stress nya nak fikirkan cara nak cari bekalan air di sana sini.

bila berlaku gangguan bekalan air


Krisis bekalan air yang agak teruk pernah berlaku sekitar tahun 1998 yang melibatkan 600,000 penduduk di Lembah Klang. Punca nya pada waktu itu ialah berkaitan dengan faktor cuaca yang kering dan panas mengakibatkan kemerosotan paras air di empangan.

Ketika itu pelbagai cara saya dan keluarga cari bekalan air. Tidak cukup jika hanya mengharapkan bekalan air yang dibawa oleh lori tangki. Sekali sekala bawa tong-tong air ke rumah saudara dan isi penuh air di sana, Sekali sekala mandi di pejabat emak dan bawa balik air sebagai bekalan di rumah. Pernah juga saya ambil air daripada pili air tepi jalan di Wangsa Maju. Entah milik siapa lah pili air itu tapi bila melihat ramai yang beratur untuk penuhkan tong air masing-masing, saya pun turut tumpang sekaki.

Baca juga:
Gangguan bekalan air, sampai bila harus begini....
Syabas untuk Syabas!
4 juta pengguna 'bertuah' bakal alami gangguan bekalan air...

Keadaan rumah memang agak tidak terurus di masa-masa berlaku gangguan bekalan air ini. Selain dalam bilik air yang penuh tong air, kawasan luar bilik air pun berderet-deret tong air untuk digunakan. Makan hanya gunakan pinggan kertas atau pinggan yang dialas dengan plastik. Susah hati bila 'sakit perut'. Terbayang-bayang di mata, cukup ke bekalan air yang disimpan? Macam mana pula dengan air bersih untuk minum dan masak? Di waktu tiada air memang selalunya suri rumah akan kurangkan aktiviti memasak. Tapi tidak mampu pula hendak beli makanan di luar setiap hari.

bekalan air bersih ketika berlaku gangguan bekalan air


Macam-macam masalah dan rasa tak selesa bila ada masalah bekalan air. Kalau isi rumah itu ramai memang susah nak catu dan berjimat gunakan air. Tambah pula kalau rumah yang ada anak-anak kecil. Tambah lagi kalau rumah yang terputus bekalan air itu ialah rumah pangsa di tingkat 5 yang tiada kemudahan lif. Tambah kan lagi penghuni rumah itu ialah mereka yang keluar bekerja dan hanya balik lewat malam. Bila masanya nak cari bekalan air? Jika ada lori tangki yang hantar bekalan air sekali pun, tentunya lori itu datang semasa penghuni itu bekerja di pejabat. Macam mana pula jika penghuni rumah ialah warga emas? Warga kelainan upaya? Kan jadi masalah besar dan membebankan mereka sekiranya bekalan air terganggu. Dan lebih kronik bila masa bekalan air terganggu itu lah masanya penghuni rumah dah siap rancangan untuk adakan kenduri kahwin!


'Trauma' setelah berhadapan dengan krisis air beberapa kali sebelum ini, maka tong-tong air di rumah saya sentiasa terisi dengan air bagi bersiap sedia jika bekalan air terganggu secara tiba-tiba. Bukan sekali dua berlaku buka paip air dan air tiada. Bila hubungi Puspel, katanya tiada masalah gangguan di kawasan perumahan saya. Tiada sebarang aduan pun diterima daripada penduduk lain katanya, Tapi tengoklah, selang beberapa minit (atau jam) selepas itu akan ada notis di FB Puspel mengatakan ada gangguan bekalan air di kawasan perumahan saya sebab ada paip itu dan paip ini pecah di sana sini!



2 comments:

  1. Tak de api boleh pasang lilin. Tak de air, susahnya nak memerut.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu Azwan. Memang sangat stress bila takde air!

      Delete