Hari ini genap 19 tahun...

Tuesday, October 25, 2016 Ana 0 Comments


Hari ini genap 19 tahun...



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Hari ini genap 19 tahun pemergian arwah Mak Long saya.

Pada tarikh ini, 19 tahun yang lepas, lebih tepat lagi pada 25 Oktober 1997, selepas waktu Asar, saya telah kehilangan arwah Mak Long saya buat selama-lamanya. Mak Long saya mengidap kanser payudara, kanser yang paling ditakuti oleh golongan wanita.

penyakit kanser pembunuh nombor satu


Arwah Mak Long saya ialah orang yang banyak berkorban untuk orang lain. Semasa zaman remaja nya, arwah tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang tinggi selepas sekolah menengah demi memberi peluang buat adik-adiknya yang lain. Zaman itu zaman susah. Arwah Mak Long tugasnya bantu arwah nenek menjual kuih-muih. Pengorbanan Mak Long bukan setakat itu saja. Arwah Mak Long juga lah yang menjaga saya adik-beradik ketika kami masih kecil. Arwah Mak Long tidak berkahwin hingga ke akhir usianya..

Mak Long saya sakit tak lama. Atau itu lah yang saya sangka kan. Masih jelas lagi waktu itu saya masih menuntut di peringkat matrikulasi di UKM dan hujung minggu itu saya pulang ke rumah seperti biasa. Dalam beg dah siap saya beli kan 2 potong kek coklat, yang saya tahu merupakan kegemaran emak dan Mak Long saya. Setibanya di rumah, yang menanti terbaring di ruang tengah rumah ialah Mak Long saya. Beliau sudah tak mampu bergerak. Dan ketika itu lah baru saya tahu mengenai kanser yang dideritainya. Betapa selama ini Mak Long saya hanya berubat sendiri menggunakan minyak turut dan ubat-ubatan traditional. Betapa selama ini tiada seorang pun antara ahli keluarga yang perasan keadaan Mak Long saya. Betapa Mak Long saya telah sedaya upaya menyorokkan penyakit nya daripada kami....:(

Saat-saat akhir Mak Long ialah di katil di wad Hospital Kuala Lumpur walaupun pada mulanya beliau keberatan untuk ke hospital. Saat-saat akhir Mak Long sempat dikelilingi oleh adik-adik dan anak-anak saudara nya. Saat doktor berbangsa Cina itu datang menghampiri kami yang berkumpul di katil Mak Long, sememangnya hanya Tuhan yang tahu perasaan saya ketika itu.

"Saya minta maaf. Kami tak boleh buat apa-apa lagi...."

Mendengar kata-kata doktor itu rasa seperti dalam drama. Ya, dah banyak kali saya dengar dialog itu dalam drama tv. Bezanya pada waktu itu ia bukan lagi drama. Ia adalah kenyataan yang perlu diterima walau pun pahit. Membisikkan syahadah di telinga Mak Long saya bukan sesuatu yang berlaku dalam drama. Ia adalah realiti. Benar-benar berlaku. Dan walaupun  telah hampir 2 dekad berlalu, terasa seperti baru semalam Mak Long meninggal kan kami.

Pada hari itu, kek coklat kegemaran Mak Long itu tinggal tidak terusik...

Kehilangan Mak Long sememangnya memberikan kesan yang mendalam buat kami. Terutamanya kepada adik saya yang dapat dengan arwah, berubah menjadi terlalu kurus kering sehingga cengkung mukanya seperti orang yang dah lama sakit. Puas ke klinik tapi keadaan adik saya tetap sama. Hinggalah suatu hari kami ke sebuah klinik di Kg Baru. Doktor meminta untuk bercakap dalam bilik rawatan dengan adik saya seorang saja. Tak tahu lah apa yang dicakapkan oleh doktor itu, Alhamdulillah adik saya kembali berat badannya seperti sediakala tidak lama kemudian.


Baca juga :
Kanser hati dan perginya Pak Uda...

Apa saja yang berkaitan dengan kanser jika saya terbaca di media pasti akan mengingatkan saya pada arwah Mak Long. Pemergian Mak Long menyedarkan kami akan pentingnya untuk berjaga-jaga dalam soal pemakanan dan gaya hidup yang lebih sihat. Meskipun kanser payudara sehingga kini belum dapat dipastikan sebenar-benar puncanya, namun antara faktor yang sering dikaitkan dengan kanser ini ialah sejarah kanser dalam keluarga, faktor umur, genetik, berat badan berlebihan dan gaya hidup yang kurang aktif. Faktor genetik dan sejarah kanser dalam keluarga ialah perkara yang di luar kawalan. Jadi apa yang mampu dibuat ialah mengubah cara hidup yang lebih sihat walaupun kadang-kadang itu 'terbabas' juga dalam pengambilan makanan kurang berkhasiat secara berlebihan dan kurang aktif dalam kehidupan seharian.


Kanser merupakan pembunuh utama dan dijangka menjadi pembunuh lebih besar dengan peningkatan 54 peratus bagi kes baharu menjelang 2025 sekiranya ia tidak ditangani. (sumber: mstar.com.my)


Sumber : mstar.com.my


Mencegah lebih baik daripada mengubati.

Jom sama-sama kita lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala dan berubah ke arah gaya hidup yang lebih sihat...


0 comments: