Mangga muda dan peperiksaan akhir tahun...

Wednesday, October 26, 2016 Ana 0 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera...


Tinggal lebih kurang sebulan saja lagi sebelum sesi persekolahan untuk 2016 berakhir. Ada sekolah yang dah pun selesai peperiksaan akhir tahun dan ada yang baru bermula. Saya pun turut sama terasa 'demam' peperiksaan akhir tahun walaupun yang duduki peperiksaan itu bukannya saya tapi anak saudara saya yang belajar di tahun satu :P

"Mak Ngah, mangga muda tu masam ke manis?"

"Mangga muda? Mangga muda rasanya masam"

"Alaaa, semalam masa periksa Bahasa Melayu, abang jawab mangga muda rasa dia manis..."

"Tak apa lah, nak buat macam mana, dah tersilap..."

Begitulah soalan anak saudara saya yang mana soalan peperiksaan yang dijawabnya semalam teringat-ingat sampai ke hari esoknya.

peperiksaan akhir tahun


Melihat sukatan pelajaran anak-anak zaman ini memang jauh bezanya seperti langit dengan bumi berbanding zaman saya di tahun satu dulu (berpuluh-puluh tahun yang lepas!).  Tambahan pula soalan-soalan bukan lagi bersifat terus atau straight forward tapi memerlukan pelajar berfikir lebih dari apa yang tersurat selaras dengan pengaplikasian Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Memang besar cabarannya bagi pelajar-pelajar zaman sekarang. Seawal umur 4 tahun dah didaftarkan di tadika. Belajar di tadika selama 3 tahun sehingga mencapai usia 6 tahun. Di tadika pun sudah ada expectation yang tinggi daripada ibu bapa yang mengharap anak-anak kecil ini dah mahir membaca, mengira dan menulis serta dah bersedia untuk melangkah ke sekolah rendah. Kalau masih merangkak-rangkak mengeja dan membaca ketika berusia 5 tahun, anak akan dihantar ke kelas tuisyen. Samada kelas tuisyen secara peribadi di rumah atau kelas tambahan di tadika itu sendiri.

Memang sebelum ini saya rasa kelakar juga bila dengar ada kelas tuisyen untuk kanak-kanak sekolah rendah , apa tah lagi tadika. Tapi bila anak saudara saya yang berusia 5 tahun sendiri ikuti kelas tambahan di tadika nya setiap hari Selasa dan Khamis, dari jam 2 hingga 4 petang (tidak balik ke rumah dan bersambung dari waktu normal belajar di tadika iaitu dari pukul 8:30 pagi hingga 11 pagi) maka baru lah saya sedar yang sememangnya zaman sudah jauh banyak berubah.

Zaman tadika bukan lagi setakat zaman untuk main jongkang-jongkit dan gelongsor. Bukan lagi setakat zaman seronok nyanyi-nyanyi lagu 'Bapaku Pulang Dari Kota'. Bukan lagi setakat zaman seronok main kejar-kejar dengan kawan-kawan. Bukan lagi setakat zaman seronok main Play Doh dan mewarna gambar kucing dan layang-layang. Bukan lagi setakat zaman seronok main-main conteng tangan dengan water colour dan crayon.

Jika di zaman saya dulu, tuisyen hanya mula difikirkan setelah memasuki alam sekolah menengah. Jarang atau rasanya tak pernah pula saya dengar kawan-kawan saya yang hadiri kelas tuisyen semasa di sekolah rendah, ini kan pula semasa di tadika.

Jauh benar bezanya dengan sistem pendidikan di Jepun yang mana tiada sebarang peperiksaan untuk pelajar sekolah sehinggalah mereka berusia 10 tahun. Yang lebih ditekankan pada awal peringkat persekolahan ialah membina jati diri, pembentukan peribadi dan pendidikan moral. Teringat pula pada salah satu musim rancangan Fattabiouni yang disiarkan di tv AlHijrah mengenai masyarakat Jepun. Salah satunya ialah cara sistem persekolahan di sana yang unik. Antaranya ialah pengetua akan tunggu di pintu pagar sekolah setiap pagi untuk sambut kedatangan pelajar ke sekolah, pelajar-pelajar membersihkan sendiri kelas mereka, ada jadual giliran kumpulan pelajar yang bertugas untuk hidangkan makanan (makanan dimasak di sekolah), gosok gigi selepas makan di sekolah dan banyak lagi yang berjaya membentuk masyarakat Jepun yang tinggi tahap disiplin dan kebersihan nya.

Anak saudara saya duduki peperiksaan akhir tahun semasa di tahun satu pun saya dah terasa 'demamnya' macam mana agaknya kalau duduki UPSR, PT3  dan SPM nanti?

peperiksaan akhir tahun


Memang penting untuk lulus dalam peperiksaan, tapi lulus dalam peperiksaan itu bukanlah segala-galanya. Tidak lulus atau keputusan kurang baik bukan bererti dunia sudah berakhir ya!

Untuk adik-adik yang akan/sedang hadapi peperiksaan akhir tahun, selamat menduduki peperiksaan dan semoga dapat menjawab dengan tenang!




0 comments: