Buang air kecil dalam tong sampah di pasaraya?
Assalamualaikum & salam sejahtera.,,,
Selesai urusan di TM cawangan Titiwangsa tengahari tadi, saya singgah di pasaraya beli barang sebelum pulang ke rumah. Semasa beratur di kaunter untuk membayar, saya teringat kembali 'insiden' yang tak seronok dilihat semasa beli keperluan dapur di pasaraya yang sama pada hari Ahad lepas.
Tengahari Ahad itu pasaraya penuh sesak dengan orang ramai. Maklumlah, esok nak raya haji, macam-macam nak beli . Orang ramai berderet beratur panjang di setiap kaunter pembayaran yang dibuka (ada juga kaunter yang tak dibuka di waktu-waktu sibuk begitu ya). Troli pasangan suami isteri di hadapan saya ini saya perhatikan penuh dengan pampers, susu bayi, barang keperluan dapur dan bahan-bahan mentah. Kalau diteliti macam bahan-bahan mentah untuk masak rendang nampaknya, Sampai begitu sekali lama nya perlu beratur sampai sempat saya buat 'kajian' barang-barang yang ada di troli orang lain!
Tengah ralit perhatikan troli orang lain, tiba-tiba saya terdengar suara kecoh-kecoh di belakang. Menoleh ke arah suara itu, saya nampak seorang ibu yang sedang mendukung anak lelakinya yang berusia lingkungan 3 ke 4 tahun. Bukan dukung sebenarnya, lebih kepada mengangkat anak nya dengan cara pegang di bawah ketiak, dan anaknya menghadap ke hadapan, tidak menghadap si ibu. Boleh bayangkan macam mana?
Laju saja si ibu itu berjalan ke arah hadapan dan berhenti di tepi sebuah tong sampah kecil, di hujung rak barangan peralatan dapur. Hanya beberapa tapak saja dari saya yang masih tak lepas memandang gelagatnya, Dan apa yang berlaku lepas itu ada lah sesuatu yang saya tak jangka.
Si ibu mengangkat anak nya tinggi sedikit dari tong sampah kecil itu. Penutup tong sampah itu dibuka (tong sampah jenis penutup berayun atau flip top, lebih kurang macam dalam gambar di bawah) dan si anak pun buang air kecil dalam tong itu! Sedikit sisa-sisa air kencing nya menitik di penutup tong sampah itu dan juga di lantai. Si ibu dan anak selamba saja berlalu pergi setelah selesai 'urusan' mereka. Selamba macam tak ada apa yang peliknya dengan apa yang baru mereka lakukan tadi.
Tong sampah bukan tempat buang air kecil! |
Saya terpegun sekejap.
Di pasaraya itu, setiap selang 2 rak barang, memang ada tong sampah kecil disediakan untuk kemudahan pelanggan membuang sampah.
Adakah kini tong sampah itu juga berfungsi sebagai tempat buang air kecil?
Mungkin dah tak sempat sangat hendak ke tandas agaknya. Kalau tak buang air kecil dalam tong sampah, mungkin akan meleleh pula merata-rata sepanjang berjalan ke tandas.
Mana yang lebih baik? Buang air kecil dalam tong sampah atau berlari-lari ke tandas dan sebabkan kencing merata-rata?
Err, macam kedua-dua pilihan di atas tak berapa menarik.
Saya harap anak itu tadi faham yang buang air kecil dalam tong sampah di pasaraya adalah tindakan untuk keadaan kecemasan saja. Dan tidak diamalkan hingga beliau meningkat remaja dan dewasa!
Saya harap si ibu tadi berbuat demikian disebabkan takut tak sempat nak bawa anak ke tandas dan bukan sebab malas nak bawa anak ke tandas!
Dan saya harap selepas ini, kita sama-sama beringat untuk pegang penutup tong sampah di pasaraya. Mana lah tau, ada juga anak kecil yang baru selesai 'urusan' nya di tong sampah itu!
0 comments: