Anda berani ambil risiko?

Monday, September 26, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera....



Hidup ini penuh risiko...

Pagi semalam saya tertonton filem 'Jurassic World' di saluran 411 HBO Astro. Pilih-pilih channel akhirnya terbuka saluran ini. Filem Jurassic World yang merupakan sekuel kepada filem Jurassic Park tahun 1993 ini telah ditayangkan di pawagam pada bulan Jun tahun lepas.

Saya bukanlah hendak mengulas kehebatan filem ini cuma semasa menonton terfikir macam mana jika saya yang berada dalam babak-babak cemas dikejar dinosaur Indominus Rex dalam filem itu.

Dalam filem ini, pengunjung Jurassic World yang dibina di tapak lama Jurassic Park di Isla Nublar berpeluang melihat secara dekat dinosaur-dinosaur yang ada di taman itu. Ada dua adik-beradik yang ambil risiko dan degil tak ikut arahan untuk kembali ke stesen setelah diberitahu oleh pihak pengurusan. Maka bermula lah detik-detik cemas mereka dikejar dinosaur Indominus Rex yang terlepas dari kurungan. Selain itu ada juga risiko yang diambil dengan melepaskan Velociraptor untuk hapuskan Indominus walaupun terdapat kebarangkalian usaha itu akan gagal atau cetuskan masalah yang lain pula.


hidup penuh risiko

Dalam hidup ini secara realiti nya juga begitu. Berani ambil risiko maka harus juga berani untuk berhadapan dengan akibat nya. Samada akibat atau hasilnya buruk atau baik, itu semua harus diterima oleh si pengambil risiko, harus redha.

Berani ambil risiko berhenti kerja walaupun masih belum ada kerja lain sebagai punca rezeki? Maka perlu berani juga lah untuk berhadapan risiko masalah kewangan (jika tiada wang simpanan sebagai bekalan) di kemudian hari.

Berani ambil risiko melabur dalam skim atau MLM yang tak tahu hujung pangkalnya, malah tiada dokumen atau pengesahan dari pihak berkuasa? Maka perlu berani dan bersiap sedia juga lah untuk hadapi kemungkinan wang pelaburan anda lesap satu hari nanti.

Berani ambil risiko buat kerja haram dan salah di sisi undang-undang sebab nak kaya cepat? Maka perlu berani dan bersiap sedia juga lah untuk ditangkap pihak berkuasa dan dihadap ke muka pengadilan.

berani hadapi risiko


Dalam hidup ini risiko ada di mana-mana, samada kita sedari atau tidak. Bukan hanya dalam perkara-perkara besar, malah perkara yang kita ambil mudah pun ada juga risikonya. Antara risiko tidak sedar atau tidak perasan atau tak fikir panjang yang pernah saya ambil ialah ketika saya dan keluarga ke Taman Safari Bogor, Jakarta pada tahun 2010 yang lepas. Di Safari ini kita boleh pandu kereta masuk dan boleh beri makan haiwan yang hulurkan muncungnya masuk ke dalam kereta kita! Memang sangat seronok. Tapi tak perasan dan tak terfikir pula macam mana kalau haiwan itu tiba-tiba bad mood dan gigit tangan kita yang tengah hulurkan carrot ke mulutnya itu? Berani ambil risiko hulurkan tangan maka berani lah tanggung jika tangan putus digigit!

Apabila melalui kawasan singa di Safari itu, pengunjung diingatkan untuk tutup tingkap kereta dan tidak gunakan flash semasa ambil gambar singa. Ok, tingkap kereta dah tutup. Selamat. Jarak antara kereta kami dan singa hanya 2 depa. Perlahan-lahan kereta dipandu oleh Pak Muslim (nama pemandu pelancong kami) melalui kawasan itu untuk boleh kan kami ambil gambar singa. Tapi saat saya menekan butang kamera untuk ambil gambar sang singa yang tengah gah posing di atas batu yang lebih tinggi daripada kereta, tiba-tiba keluar lah cahaya flash itu! Maka bertentang mata lah saya dan singa itu buat seketika. Mujur tiada apa yang berlaku. Eh, berani ambil risiko nak tangkap gambar singa, berani lah tanggung akibat nya! Sayang sekali tak dapat saya nak kongsikan di sini gambar singa dengan flash di wajah nya itu. Sebab apa? Sebab gambar-gambar kenangan berharga saya semasa bercuti di Jakarta (malah di Pulau Langkawi, Hong Kong dan Jepun) telah 'selamat' di delete oleh anak saudara saya. Itu lah risiko nya bila tak buat / tak rajin backup gambar dalam kamera!



[Iklan] Usah biarkan hidup anda diselubungi misteri kebimbangan!  Nak tahu cara atasi kebimbangan sebelum ia menguasai diri? Klik di sini dan dapatkan buku 'How To Stop Worrying and Start Living (edisi Bahasa Melayu)' dan ketahui cara atasi rasa bimbang dengan contoh yang diambil dari kisah benar! 

Satu lagi risiko tak cerdik yang saya ambil ialah ketika menaiki bot untuk aktiviti Islam Hopping di Pulau Langkawi. Saya ialah seorang yang tak pandai berenang. Kalau dicampak ke laut memang tenggelam lah jawab nya. Saya sangka kan bot itu akan bergerak secara 'santai' untuk menikmati keindahan pulau-pulau di sekitar Pulau Langkawi. Tapi saya silap. Bersempena nama Island Hopping itu agaknya, bot itu pun 'hopping' dan dipandu laju sampai terangkat-angkat dan melompat-melompat hingga air laut masuk ke dalam bot! Masa itu lah baru nak teringat yang diri sendiri tak pandai berenang. Life jacket yang dipakai pun macam tak berapa nak yakin dapat membantu di masa kecemasan. Itu lah kali pertama dan terakhir saya akan sertai aktiviti Island Hopping!

Selagi hidup selagi itu lah kita akan terus berhadapan dengan risiko. Kecil atau besar risiko nya yang penting cara kita fikir panjang dan buat timbang tara sebelum ambil sebarang risiko dan cara kita berhadapan dengan risiko tersebut. Boring juga kan hidup tanpa risiko. Hidup yang sentiasa ambil jalan selamat.

Baik atau buruk kesan daripada risiko yang diambil adalah sebahagian daripada pengalaman hidup. Yang baik jadikan tauladan dan buruk jadikan sempadan. Yang penting hidup mesti terus!

 

0 comments: