Seronok tersangkut dalam kesesakan jalanraya!

Friday, August 05, 2016 Ana 0 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera....


Dalam kesesakan jalan raya ada juga kebaikan rupa-rupanya.

Rutin hantar anak saudara ke sekolah setiap hari persekolahan telah jadi satu perkara biasa bagi saya. Disebabkan dah jadi perkara biasa itu lah saya terlepas pandang perkara-perkara menarik sepanjang perjalanan pergi dan balik dari sekolah itu. Hari ini, bila kesesakan jalan raya agak teruk daripada biasa bila memandu pulang dari sekolah, daripada merungut seorang diri dalam kereta, saya memilih untuk 'enjoy' kesesakan jalan raya itu dengan melihat apa yang ada di sekeliling saya.

Episod 'enjoy' saya bermula hanya beberapa tapak saja dari kawasan sekolah. Baru saja mula memandu untuk pulang ke rumah saya dah pun tersekat bila beberapa kereta di hadapan tak bergerak. Nampak dari jauh ada beberapa orang sedang berdiri-diri dan tengah tengok sesuatu. Macam serius saja. Ada kemalangan ke? Ada orang bergaduh ke? Ada kes ragut ke? Macam-macam tekaan yang terlintas di hati. Kereta di depan saya mula bergerak sedikit demi sedikit. Baru lah nampak apa yang berlaku sebenarnya.

Sebuah kereta Myvi merah di 'parking' di sebelah kanan bahu jalan  dengan cara yang tak sesuai hingga sebabkan kenderaan lain susah nak lalu. Susah, tapi masih boleh lalu perlahan-lahan. Ditambah pula dengan sebuah kereta Gen2 silver yang sedang berhenti di sebelah kiri jalan mungkin sedang menunggu anak pulang dari sekolah. Untuk burukkan lagi keadaan, ada pula sebuah lagi kereta Altis yang baru saja keluar dari tempat letak kereta kawasan pejabat di sebelah kiri sedang bersungguh-sungguh cuba pelbagai cara nak keluar dari keadaan sempit yang disebabkan oleh Myvi dan Gen2 itu tadi. Sudah lah susah hendak bergerak, apa lah salahnya beri saja laluan pada deretan kenderaan yang lain yang ada di laluan saya ini. Bila pemandu Altis itu sedang terkial-kial, cepat-cepat saya memintas dan 'berjaya' melepaskan diri dari keadaan tersepit itu. Dari cermin pandang belakang saya nampak akhirnya pemandu Altis itu keluar dari kenderaan dan menuju ke arah pemandu Myvi tersebut, Sudah naik angin agaknya!

Rasa lega terlepas dari keadaan tersepit hanya seketika saja. Sekali lagi tersangkut pula di Jalan Raja Chulan. Kereta mengengsot-engsot seperti siput di sini. Sabar saja lah. Toleh ke sebelah kiri jalan ternampak lukisan dinding @ mural yang sangat kreatif. Sudah lama perasan sebenarnya lukisan ini cuma tak pernah dapat lihat dengan lebih teliti sebelum ini. Lukisan karikatur yang pada pandangan saya bertemakan Malaysia, siap ada orang sedang bermain wau, rumah kampung dan KLCC di latarbelakangnya. Selain lukisan ini, satu lagi lukisan mural yang besar di dinding bertemakan kampung ialah di bangunan Wisma Allianz di Jalan Gereja. Bukan calang-calang orang boleh melukis dan mewarna lukisan sebegini besar di dinding kan. Tapi sayang lukisan di Wisma Allianz itu agak tersorok dan rasanya  tak ramai yang sedar kewujudan lukisan yang siap pada tahun 2014 ini.

lukisan dinding yang cantik

lukisan dinding yang cantik


Tengah ralit tengok lukisan tiba-tiba terdengar bunyi hon motorsikal yang kuat dan agak lama bunyinya. Menjengah ke sebelah kanan, sempat saya terlihat dalam kesesakan kenderaan yang berderet-deret, sebuah kereta Persona berwarna putih secara tiba-tiba hendak masuk ke lorong sebelah kiri. Apa lagi, penunggang motorsikal yang datang laju dari belakang terus saja membunyikan hon dengan kuat. Tak tahu lah samada tak dengar atau saja buat-buat tak dengar, pemandu Persona itu masih cuba hendak menyelit di lorong kiri. Penunggang yang dah begitu hampir dengan kereta tersebut terpaksa berhenti seketika. Dan di sini lah saya lihat sesuatu yang tidak begitu menarik berlaku,

Dalam keadaan di atas, bila dalam keadaan marah selalunya yang kita lihat mungkin penunggang motorsikal itu akan tunjuk isyarat penumbuk atau mungkin sekadar akan berhenti di tepi kereta itu dan marah-marah kepada pemandu kereta yang halang laluannya. Tapi lain pula kes nya dengan penunggang motorsikal ini. Sambil perlahan-lahan menunggang di tepi kereta itu, si penunggang sempat melu*ah ke arah kereta tersebut! Wah marah sungguh nampaknya!

Mengengsot-engsot memandu hingga sampai berhampiran hotel Shangri-La, ternampak pula seorang makcik sedang duduk di sebalik pasu bunga besar di bahu jalan. Tengok sekali imbas nampak macam tengah menyorok pula makcik ini. Bila saya perhatikan betul-betul baru lah jelas rupa-rupanya makcik itu sedang berniaga jual air. Berbekalkan sebuah kerusi, sebuah meja dan sebuah kotak putih styrofoam, makcik itu tak henti-henti memandang di sekelilingnya. Beberapa botol air pelbagai warna disusun di atas kotak styrofoam itu dan terdapat tulisan yang kurang jelas pada kotak tersebut. Tapi kenapa makcik ini duduk di belakang pasu besar, kan terselindung tu? Macam mana orang nak nampak dan beli? Terus terlintas di hati, mungkin makcik ini bimbang ditangkap oleh pihak berkuasa kerana menjual di kawasan tersebut tanpa lesen agaknya?

Seronok juga bila sekali sekala cuba positifkan sesuatu yang kita tak suka. Siapa yang suka tersangkut dalam kesesakan jalan raya kan? Tapi itu lah, selain berzikir, ada juga kisah masyarakat yang boleh kita 'tonton' dan pelajari sepanjang traffic jam itu.

Letak kereta sesuka hati dan susahkan orang lain bukan lah satu perkara yang baik. Tapi bila ada juga orang yang bersikap macam ini, apa yang boleh kita buat ialah cari jalan keluar dari masalah dan bukannya marah-marah!

Lukisan kreatif di dinding ialah satu usaha yang bijak untuk mengindahkan pemandangan terutamnya bangunan lama yang terbiar kosong, Tambahan pula bangunan ini letaknya dekat dengan pusat tarikan pelancong, Menara Kuala Lumpur. Tapi biarlah insiatif ini bersungguh-sungguh dan tidak sekadar melepaskan batuk di tangga...

Tak ada siapa yang suka dengan sikap pemandu yang gemar 'menyelit-nyelit' ketika jalan raya sesak. Sekejap ke kanan, sekejap ke kiri macam dia seorang saja yang hendak cepat. Lebih-lebih lagi jika sikap suka menyelit itu menyusahkan malah boleh bahayakan pula orang lain. Tapiiiiii.....marah macam mana sekali pun, tak kan lah sampai hendah melu*ah!

Ya, berniaga tanpa lesen adalah salah di sisi undang-undang, Selain dikenakan tindakan adalah lebih baik jika dicadangkan atau diberikan juga jalan untuk memudahkan makcik itu berniaga kan?


Kalau anda tersangkut dalam traffic jam nanti, cuba-cuba lah perhatikan di sekeliling. Ada banyak cerita menarik yang boleh hayati....


Sekian cerita saya untuk hari ini :)


0 comments: