Standard Chartered KL Marathon 2016, jangan redah jalan yang ditutup!

Wednesday, August 03, 2016 Ana 0 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera.....


Bulan Syawal dah tiba di penghujungnya hari ini. Rasa sekejap saja masa berlalu. Pejam celik pejam celik tengok-tengok dah sebulan kita berpuasa dan sekarang dah sebulan pula beraya. Nanti sekejap saja dah sampai pula ke bulan Zulhijjah dan dah nak sambut Hari Raya Aidiladha pula.

Mungkin tak jalanraya dan lebuhraya utama akan kurang sesak dan kembali normal di hujung minggu dengan tamatnya aktiviti beraya di rumah terbuka hari ini? Mungkin juga. tapi jangan terkejut jika ada antara lebuhraya dan laluan-laluan utama di pusat bandar akan ditutup pada hujung minggu ini.

Sempena Standard Chartered KL Marathon 2016 pada Ahad, 7 Ogos ini, ada 24 laluan akan ditutup bermula jam 2 pagi hingga 11 pagi. Kalau tak silap saya, larian Standard Chartered ini telah dibatalkan pada tahun lepas disebabkan masalah jerebu yang melanda negara. Kali ini, larian ini kembali dengan laluan melibatkan 42 kilometer. Laluan yang terlibat akan ditutup secara berperingkat dan orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif atau pengangkutan awam.


Standard Chartered KL Marathon 2016
Marathon terulung di Malaysia......


Teringat saya kembali ketika 'terperangkap' dalam penutupan jalanraya sempena larian ini pada tahun 2014, seperti yang pernah saya ceritakan di entry ini.  Saya sangkakan akan diberikan laluan jika saya redah juga jalan yang ditutup itu, tapi saya silap. Memang jalan ditutup dan tak diberi peluang atau laluan untuk 'menyelit' langsung walaupun pasa masa itu belum ada dan tiada pun peserta yang melalui jalan tersebut. Berpusing-pusing juga lah saya mencari jalan keluar di Jalan Tuanku Abdul Rahman ketika itu. Patah balik ke jalan menuju Lebuh Ampang dengan menongkah arus, nasib baik belum banyak kereta masa itu. Siap tanya kepada polis yang bertugas menjaga laluan itu ke mana harus saya ikut jika hendak pulang ke rumah. Polis pun terangkan kepada saya untuk ikut jalan ini, ikut jalan itu. Tapi itu lah, saya yang 'kurang pandai' jalan di Kuala Lumpur selain jalan yang saya biasa lalui akhirnya ikut jalan yang sangat-sangat jauh untuk sampai ke rumah. Siap tersesat hingga ke tol SMART!

Memang cemas bila tak bersedia dengan jalan alternatif ketika itu. Macam mana tak cemas, bila saya dah jumpa jalan alternatif dan mula rasa lega, tiba-tiba jalan di depan sana pun ditutup. Masa itu boleh relax lagi, Pandu terus. Bila di depan sana tinggal nak belok ke kiri dan hanya 15 minit lepas itu akan sampai di rumah, tengok-tengok simpang ke kiri itu ditutup. Masa ini dah mula cemas sikit (sikit lah). Pandu ke depan lagi dan harapkan simpang kiri di depan sana tak ditutup tapi malangnya simpang itu juga turut ditutup. Cemas masa itu mungkin sebab dah tinggal sekangkang kera saja lagi, tapi satu demi satu jalan nak ke rumah saya telah ditutup!

Pengajarannya untuk saya (atau sesiapa yang tak berapa mahir dengan jalan alternatif), sila alert dan siap sedia dengan laluan alternatif bila ada acara-acara penutupan jalan macam ini. Kenapa tak guna saja GPS/Google Maps/Waze, kan mudah? Err, saya ada sikit masalah dengan alat pandu arah ini. Dan kebanyakan masa bila saya guna alat-alat ini. selalunya saya akan sesat. GPS memang bukan untuk saya. (GPS : Guna Pun Sesat)

Untuk info penutupan jalan dan lauan alternatif sempena KL Standard Chartered Marathon 2016 ini, anda boleh klik di sini atau di bawah ialah makluman daripada laman web Prolintas untuk rujukan. Selain makluman oleh Prolintas untuk lebuhraya AKLEH, lain-lain jalan yang terlibat dengan penutupan ialah Jalan Raja (Dataran Merdeka), Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan P Ramlee, Jalan Raja Chulan, Jalan Bukit Bintang, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Kuching, Jalan Tuanku Abdul Halim (Duta), Jalan Langgak Tunku, Jalan Bukit Tunku, Jalan Tunku, Jalan Tun Ismail, Jalan Dato' Onn, Jalan Sultan Salahuddin, Jalan Parlimen (dari Bank Negara menghala ke Jalan Tanglin), Jalan Damansara, Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Kinabalu, Jalan Sultan Hishamudin (KTM), Jalan Parlimen (dari Bank Negara menghala ke Lebuhraya Sultan Iskandar) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

Maklumat lanjut boleh diperolehi di FB SCKLmarathon (klik di sini)


PENUTUPAN SEMENTARA LEBUHRAYA BERTINGKAT AMPANG – KUALA LUMPUR (AKLEH) BERSEMPENA ACARA LARIAN STANDARD CHARTERED KL MARATHON 2016

Untuk siaran segera 
Kuala Lumpur, 3 Ogos 2016 – Bagi menjayakan acara Larian Standard Chartered KL Marathon 2016, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) akan ditutup sementara bermula jam 1.30 pagi sehingga jam 10.30 pagi pada 7 Ogos 2016 (Ahad).
Kesemua susur masuk dan susur keluar Lebuhraya AKLEH akan ditutup untuk memberi laluan kepada acara larian peringkat antarabangsa ini. Butir-butir penutupan adalah seperti berikut:
Tarikh & Masa : 7 Ogos 2016 (Ahad), 1.30 pagi hingga 10.30 pagi
Laluan terlibat:

Susur masuk
Susur masuk dari Jalan Sultan Ismail (JSI 1)
Susur masuk dari Jalan Raja Abdullah (JRA)
Susur masuk dari Tempat Letak Kereta KLCC
Susur masuk dari Jalan Tun Razak Utara (JTR3)
Susur masuk dari Jalan Tun Razak Utara (JTR4)
Susur masuk dari Jalan Tun Razak Selatan (JTR 1)
Susur masuk dari Jalan Jelatek arah KL (JJ 1)
Susur masuk dari Jalan Jelatek
berhampiran Balai Bomba (JJ 2)
Susur masuk dari Jalan Lingkaran Tengah 2
berhampiran Hotel Flamingo (JUK 2)
Susur masuk dari Jalan Kerja Air Lama berhampiran Petronas
Susur masuk Taman Ahmad Razali di Jalan Ampang

Susur keluar
Susur keluar ke Jalan Sultan Ismail (JSI 2)
Susur keluar ke Jalan Ampang berhampiran Menara
Sunway
Susur keluar ke Tempat Letak Kereta KLCC
Susur keluar ke Jalan Tun Razak Selatan (JTR2)
Susur keluar ke Jalan Tun Razak Utara (JTR3)
Susur keluar ke Jalan Jelatek arah Wangsa Maju
berhampiran Balai Bomba (JJ 3)
Susur keluar ke Jalan Lingkaran Tengah 2 berhampiran
kuil Sikh (JUK 1)
Susur keluar ke Jalan Kerja Air Lama (JKAL 1)
Susur keluar ke Jalan Memanda 9 berhampiran Tiara Condominium

Oleh yang demikian orang ramai dinasihatkan agar menggunakan laluan alternatif sepanjang tempoh penutupan. Bagi tujuan pemantauan keselamatan orang awam, pihak penganjur akan menempatkan anggota keselamatan dan pasukan polis trafik di laluan yang terlibat. Notis pemberitahuan akan dipasang oleh pihak penganjur untuk makluman pengguna lebuh raya sebelum tarikh larian.
Pihak AKLEH memohon kerjasama orang ramai agar mematuhi semua panduan keselamatan dan arahan sepanjang penutupan tersebut. Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi talian bebas tol 1-300-88-1012 manakala info trafik terkini boleh didapati di Twitter – AKLEHtrafik. Sebarang maklumat lanjut berhubung AKLEH, sila layari laman web www.prolintas.com.my atau Facebook di PROLINTAS Highways.

Selamat merancang perjalanan anda dan jangan terperangkap macam saya ya!


Sumber : FB SCKLmarathon

Sumber : FB SCKLmarathon


0 comments: