SPM lagi sebulan, dah bersedia kah anda?

Wednesday, October 05, 2016 Ana 0 Comments




SPM lagi sebulan, dah bersedia kah anda?


Assalamualaikum & salam sejahtera.....


Tinggal lebih kurang sebulan saja lagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan bermula. Dah bersediakah adik-adik bakal calon SPM ini agaknya? Sebelum SPM, debaran juga turut dirasai oleh pelajar-pelajar yang akan duduki peperiksaan bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang akan bermula pada 10 Oktober nanti.

dah bersedia untuk SPM?

Bagi calon-calon SPM, masih sempat lagi untuk buat persiapan-persiapan akhir sebelum duduki peperiksaan bertulis pertama iaitu kertas Bahasa Melayu pada 7 November 2016 nanti. Pada waktu ini antara perkara yang perlu diperbanyakkan ialah berlatih menjawab soalan-soalan peperiksaan tahun-tahun yang lalu dan cuba berlatih seperti keadaan sebenar dalam peperiksaan nanti.


Dah bersedia nak jawab kertas Bahasa Melayu pada 7 November ini?

Seingat saya ketika zaman saya menduduki SPM dulu (berpuluh tahun yang lepas!), sebulan sebelum peperiksaan sebenar , banyak masa dihabiskan dengan hadiri seminar demi seminar di pusat tuisyen. Antara yang paling penting semasa seminar ini ialah membincangkan soalan 'bocor' atau soalan yang dijangkakan akan keluar semasa peperiksaan sebenar nanti. Adalah juga soalan-soalan dalam peperiksaan sebenar yang sipi-sipi sama dengan soalan-soalan yang dibincangkan di pusat tuisyen.

Lain subjek, lain cara pembelajarannya, Contoh seperti kertas-kertas yang perlukan penulisan seperti Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, tiada cara mudah melainkan banyak membaca bahan bacaan seperti isu-isu semasa dan pengetahuan am serta melihat contoh-contoh karangan SPM yang lalu. Bagi subjek yang lebih kepada pemahaman, teori dan aplikasi seperti Sains, Fizik, Kimia dan Biologi, penting untuk pastikan kita benar-benar faham formula dan teori (dan bukan sekadar menghafal) supaya mudah kita menjawab sebarang soalan yang dikemukakan dalam bentuk cara bagaimana aplikasi teori atau formula tersebut. Bagi saya sendiri, antara subjek Fizik, Kimia dan Biologi, yang paling susah nak masuk dalam kepala ialah subjek Biologi. Tak tahu lah kenapa. Buku latihan dan ulangkaji saya yang paling banyak, cuba teka buku subjek apa? Subjek Biologi! Itu pun masih susah lagi nak hadam dan faham kan.

Bagi sesetengah pelajar, subjek Matematik adalah subjek yang paling sukar sedangkan hakikatnya subjek Matematik lah subjek yang paling senang! Sebabnya setiap soalan Matematik itu telah ada jawapan yang pasti jika kita menggunakan formula pengiraan yang betul. Berbeza dengan Bahasa Melayu penulisan contohnya, kadang-kadang ada lebih daripada satu jawapan yang boleh diterima pakai.

matematik ialah subjek yang paling senang!

Sebut pasal Matematik, memang saya dulu pun hadapi masalah juga dengan subjek Matematik Tambahan. Satu-satunya subjek yang saya pernah gagal semasa di sekolah. Tak tahu kenapa, mungkin susah sangat soalan peperiksaan penggal itu, sampai lebih daripada separuh pelajar dalam kelas saya yang gagal. Hanya ada 2 tau 3 orang yang lulus dengan markah yang cukup makan. Markah saya? 25/100. Memang teruk betul perasaan masa itu, Malu pun ada juga, Tapi hikmah di sebaliknya ialah saya telah lebihkan berlatih menjawab soalan Matematik Tambahan, Selepas peristiwa gagal itu, saya memang 'insaf' dan setiap kali ada waktu terluang memang saya habiskan dengan buat latih tubi Matematik Tambahan.

Matematik Tambahan subjek yang susah? Gandakan latih tubi anda dan lihat hasilnya!


Subjek yang perlu hafalan seperti Sejarah pun tidak kurang pentingnya. Tambah pula dengan aspek Kemahirna Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang telah diterapkan. Mungkin subjek Sejarah ini agak bosan bagi sesetengah pelajar, tapi mungkin teknik belajar Sejarah itu yang perlu diperbaiki. Cuba jadikan setiap peristiwa dalam buku teks Sejarah itu sebagai sebuah kisah yang menarik. Jadikan seperti sebuah cerita dan ceritakan kepada orang lain siap dengan gaya bercerita. Err...mungkin tiada orang yang berminat nak dengar cerita sejarah dari anda. Tapi tak apa. Apa yang saya buat dulu ialah saya baca dan bayangkan peristiwa sejarah itu dan saya ceritakan kembali kepada...diri sendiri! Lebih kurang macam bercakap seorang diri lah. Bercakap atau bercerita kepada diri sendiri dengan bersungguh-sungguh, Saya seronok guna cara ini sampaikan masa tunggu bas balik dari sekolah pun saya baca dan cakap seorang diri. Percayalah, ia akan buat anda lebih ingat dengan semua fakta-fakta sejarah dalan buku teks itu! Dan InsyaAllah, datanglah apa juga bentuk soalan Sejarah akan dapat anda jawab dengan mudah.

Baca juga:
Keputusan SPM 2015: Gagal bukan untuk selama-lamanya
Lepasan SPM : Pening fikirkan ke mana hendak sambung belajar?

Mungkin ada juga yang memilih untuk belajar dalam kumpulan sebagai persiapan terakhir sebelum peperiksaan sebenar, Ada baik dan buruknya juga, Kebaikannya jika semua ahli dalam kumpulan fokus dengan apa yang hendak dibincangkan, Yang buruknya jika ada ahli kumpulan yang kurang fokus dan melalut sembang topik yang tak berkaitan. Adalah lebih baik jika belajar dalam kumpulan ini dimulakan sejak dari awal penggal lagi, Bagi saya secara peribadi, saya lebih suka mengulangkaji sendirian.


Apa-apa pun, semoga segala persiapan persedian menghadapi peperiksaan anda berjalan lancar. Gunakan masa yang ada dengan sebaik-baiknya. Seimbangkan ulangkaji dengan aktiviti riadah untuk elakkan terlalu stress dan tertekan. Jaga pemakanan dan elakkan aktiviti-aktiviti fizikal yang berisiko.

Akhir sekali, buat yang terbaik supaya apa pun keputusannya nanti kita tak berasa kecewa kerana telah buat apa yang termampu....

Selamat berjaya!







0 comments: