Yang terbaik untuk orang yang sabar!

Friday, March 31, 2017 Ana 0 Comments


Yang terbaik untuk orang yang sabar!


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Salam hari Jumaat, salam sayyidul ayyam. Jom kita perbanyakkan berselawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad saw...

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ



Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya


Sumber : FB Nour Academy

Hidup ini bagaikan roda, kadangkala kita di atas dan kadangkala kita di bawah. Ada kalanya kita gembira dan adakalanya kita sedih. Ada tak agaknya orang yang hidupnya sentiasa gembira sepanjang masa? Bertuahnya! (err..bertuah ke?)

Setiap daripada kita berbeza-beza babak dalam episod perjalanan hidupnya.

Ada orang yang rezekinya tak pernah putus, atau cukup-cukup dan tak pernah lagi sampai terpaksa meminjam dengan orang lain atau buat pinjaman dengan along...

Tapi....
Dalam hati itu sekali sekala ada juga teringin nak rasa hidup yang lebih 'mewah' sedikit...


Ada orang yang telah bertemu jodoh dengan pasangan yang diidam-idamkan dan alam perkahwinan yang sedar tak sedar dah masuk tahun kelima sentiasa bahagia dan aman sentosa....

Tapi...
Bayangan cahayamata masih belum kunjung tiba dan rumah masih sunyi daripada suara anak kecil yang dinanti-nantikan....


Ada orang yang baginya duit tak pernah jadi masalah, apa yang terdetik di hati dan terbayang di kepala boleh saja diperolehi pada bila-bila masa. Nak kereta mewah? Nak rumah sebesar mahligai? Nak bercuti di luar negara sepanjang tahun? Semuanya mampu untuk direalisasikan....

Tapi...
Semua itu tiada makna apabila hidup sentiasa sendiri dan tidak pernah ada damai dalam keluarga yang sentiasa bercakaran tanpa persefahaman...


Ada orang yang kita nampak seperti ada segala-galanya. Keluarganya hidup bahagia. Hidup sentiasa mewah atau cukup dengan apa yang ada. Anak-anak berjaya dalam hidup. Pasangan hidup yang sehati dan sejiwa serta berjanji hidup mati bersama...

Tapi...
Masih ada yang kurang bila mana hidup nya sentiasa bergantung kepada ubat-ubatan disebabkan pelbagai penyakit dihidapi bertahun-tahun lamanya yang masih belum ketemu dengan penawarnya....


Sebagai manusia biasa, bagi setiap kekurangan yang ada dalam hidup, kita pastinya akan berusaha (atau sekurang-kurangnya pernah terfikir) untuk memperbaikinya.

Dah lama dah berusaha dan berusaha dan berusaha lagi serta ditambah dengan doa yang tak pernah putus kepada Yang Maha Esa namun masih belum lagi dapat apa yang dihajati.

Apa lagi yang mampu kita lakukan?

Teruskan saja usaha itu. Teruskan saja berdoa, bertawakal dan bersabar.

Tidak ada sabar yang sia-sia. Apa saja masalah yang kita hadapi ketika ini, InsyaAllah akan berlalu juga akhirnya.

Sumber : akuislam.com


Semoga dengan sabar itu kita akan dianugerahkan dengan perkara yang lebih baik daripada apa yang kita impi-impikan.

😊😊😊

 

0 comments:

Pertama kali tengok terbang lintas pesawat pejuang!

Wednesday, March 29, 2017 Ana 0 Comments


Pertama kali tengok terbang lintas pesawat pejuang!


Assalamualaikum & salam sejahtera...

Apabila saya baca laporan malam semalam mengenai kumpulan pesawat pejuang Black Eagles, T-50 milik tentera udara Korea Selatan akan membuat terbang lintas di KLCC hari ini, rasa macam teruja nak pergi tengok. Ya lah, nak ke Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa di Langkawi (LIMA'17) pada 21 hingga 25 Mac yang lalu tak berkesempatan pula. Kali ini dah dekat, di KLCC. Tapi sayangnya terbang lintas di KLCC ini dibuat pula bukan pada hujung minggu, jika tidak memang saya dah awal-awal lagi tercegat di KLCC pagi tadi.

Ini adalah kali pertama Korea Selatan menyertai LIMA'17 dan pasukan supersonik Black Eagles adalah antara yang paling mencuri perhatian di pertunjukan udara dwi-tahunan di Langkawi itu. Selepas terbang lintas di KLCC, pesawat tersebut akan meneruskan perjalanan ke pangkalan tentera udara Republik Korea (ROKAF) di Gangwon, Korea Selatan.

Kira-kira jam 10.45 pagi tadi, tiba-tiba terdengar 'deruman' enjin yang kuat betul bunyinya memenuhi ruang langit di sekitar kawasan tempat tinggal saya. Apa lagi, terus saja saya berlari keluar rumah dan mendongak ke langit. Wah, pesawat pejuang itu terbang lintas atas rumah saya lah!

Kekaguman melihat formasi aksi aerobatik yang dilakukan oleh 9 buah pesawat pejuang tersebut buatkan saya terlupa saya sedang berdiri di tengah-tengah panas terik. Deruman enjin yang sangat kuat hinggakan apabila pesawat dah terbang jauh pun bunyinya masih kedengaran jelas. Banyak kali juga pesawat-pesawat itu terbang lintas di sekitar 'langit' di kawasan perumahan saya dan akhirnya tidak lagi kelihatan setelah 20 minit kemudian. Pertama kali saya tengok pesawat pejuang seperti 'betul-betul' di atas kepala saya memang rasa sangat teruja. Itu baru tengok terbang lintas saja, kalau betul-betul berada di LIMA'17 pasti pengalamannya lebih menarik!

Ketika tenggelam dalam rasa kekaguman itu, satu perkara yang paling merugikan ialah saya boleh pula terlupa nak tangkap gambar! Apabila tersedar, baru lah kelam kabut capai handphone dan hasilnya hanyalah gambar pesawat-pesawat yang sedang terbang lintas nampak macam gambar nyamuk saja 😞😞😞


terbang lintas pasukan black eagles korea selatan

Kecewa. Tengok video-video lintas terbang yang diupload di YouTube saja lah nampaknya.

Gambar-gambar di bawah yang dikongsikan di laman siakapkeli.my ini sangat menarik!


terbang lintas pasukan black eagles korea selatan
Sumber : siakapkeli.my

Pertama kali tengok terbang lintas pesawat pejuang dan saya sangat teruja. Harap-harap ada rezeki nak ke Langkawi pada bulan Mac tahun 2019 nanti!

😊😊😊

 

0 comments:

Ahlan Wa Sahlan Ya Rejab...

Tuesday, March 28, 2017 Ana 0 Comments



Ahlan Wa Sahlan Ya Rejab...



Assalamualaikum & salam sejahtera....


Malam ini malam yang istimewa. Malam pertama di bulan Rejab. Salah satu malam yang mustajabnya doa...

Tiba nya lagi bulan Rejab juga menandakan kita semakin hampir dengan bulan yang penuh dengan ganjaran dan peluang melipatgandakan amalan, bulan yang dinanti-nantikan, bulan Ramadhan..



malam pertama bulan rejab
Sumber : FB Nur El-Hikmah


Jom kita sama-sama banyakkan berdoa malam ini..

banyakkan istighfar di bulan rejab
Sumber : FB Majlis Ta'lim Darul Murtadza

jom ulangkaji!


Jom kita sama-sama jadikan bulan Rejab dan Syaaban sebagai bulan-bulan persediaan menjelang Ramadhan. Bulan untuk 'memanaskan enjin', sebelum membuat 'pecutan' hingga ke garisan penamat di bulan Ramadhan nanti. Lebih baik lagi jika kita sama-sama dapat teruskan pecutan itu bukan sekadar hingga hujung Ramadhan, tapi hingga ke hujung nyawa...

Kurang daripada 2 bulan lagi, bulan Ramadhan akan kembali. Sempatkah agaknya kita bertemu Ramadhan lagi? 😭


doa bulan rejab
Sumber : FB Majlis Ta'lim Darul Murtadza









0 comments:

Nyamuk aedes dan pintu yang ditutup...

Sunday, March 26, 2017 Ana 0 Comments


Nyamuk aedes dan pintu yang ditutup...


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Rasa macam dalam mimpi sekejap bila tengok luar rumah penuh berkabus.

Fogging atau semburan kabus

Fogging atau semburan kabus


"....sila pastikan pintu utama rumah anda dibuka untuk membolehkan semburan sampai ke dalam rumah dan bekas makanan telah ditutup..."

Lebih kurang macam itu lah pengumuman yang dibuat oleh pegawai dari Kementerian Kesihatan menggunakan pembesar suara sambil kereta tersebut melalui kawasan perumahan saya petang tadi. Semburan asap atau 'fogging' adalah aktiviti biasa dan beberapa kali dilakukan dalam setahun setiap kali ada dilaporkan kes denggi di kawasan berhampiran.

Jika saya tak silap dengar, begitulah lebih kurang bunyi pengumumannya. Diminta untuk buka pintu utama rumah. Betul lah tu, supaya dapat tercapai matlamat fogging itu iaitu semburan untuk membunuh nyamuk aedes yang berada di dalam rumah. Nyamuk aedes itu sendiri ialah nyamuk yang malas (terbang sekitar 100 hingga 200 meter sahaja) dan dikenali sebagai 'Indoor Mosquitos'. Tapi seperti biasa, kebanyakan (hampir semua) penghuni rumah (termasuk saya) tidak akan membuka  pintu malah mengunci rapat pintu rumah ketika aktiviti fogging ini dijalankan.

Seingat saya beberapa tahun yang lepas, pernah petugas yang melakukan fogging di luar kawasan rumah bertanyakan kepada penduduk di kawasan perumahan saya itu jika ada yang mahu kan fogging dilakukan di dalam rumah. Selain rumah saya, ada beberapa lagi rumah yang 'merelakan' untuk rumah mereka di 'fogging'. Dan sehingga kini saya tak akan lupa kan betapa lama nya kesan seperti berminyak di lantai, tangga dan permukaan yang bersimen  hasil fogging tersebut dapat dihilangkan. Sejak hari itu, setiap kali ada nya aktiviti fogging, memang semua pintu akan dikunci rapat tapi masih ada juga bau asap yang berjaya mencelah ke dalam rumah.

Tapi bila difikirkan kembali, terasa gerun juga bila melihatkan statistik kes denggi yang dicatatkan setiap hari di laman web rasmi idengue (klik di sini). Di Selangor contohnya, terdapat 129 kes denggi dicatatkan dalam satu hari (24 Mac) dan jumlah kes terkumpul daripada 1 Mac hingga 24 Mac ialah sebanyak 11,421 kes. Itu jumlah kes untuk sebulan (belum cukup sebulan pun)!


Statistik kes denggi
Sumber: idengue


Bila lihat statistik ini saya jadi 'insaf'. Baru terfikir tak boleh ke saya bertahan dengan asap dan kesan berminyak selepas fogging itu jika itu dapat menyelamatkan saya dan keluarga daripada gigitan nyamuk aedes? Sanggup saya tak buka pintu untuk elakkan semburan asap dan lebih rela nyamuk aedes bermaharajalela di dalam rumah? Elakkan lantai rumah berminyak lebih penting daripada elak penyakit denggi?

Baca juga:
Awas bahaya denggi dan strok haba!

Sanggup peristiwa kehilangan makcik saudara akibat denggi berdarah (saya pernah ceritakan di post ini) berulang kembali kepada ahli keluarga yang lain, atau pun kepada diri saya sendiri?

😓😓😓
Baru tersedar. Baru terfikir.

Semburan asap atau fogging seterusnya, InsyaAllah pintu utama rumah saya akan terbuka luas.

Tiada Aedes, Tiada Denggi!

0 comments:

Ringan di lidah tapi.....

Friday, March 24, 2017 Ana 0 Comments



Ringan di lidah tapi.....



Assalamualaikum & salam sejahtera....


Salam hari Jumaat, salam sayyidul ayyam. Jom kita perbanyakkan berselawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad saw...

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ



Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya

Sabar itu separuh daripada iman. Cakap memang mudah, tapi nak betul-betul amalkan sikap sabar itu tak semua orang mampu.

Sabar menjaga orang sakit

Pagi semalam setelah selesai urusan di Klinik Ortopedik Hospital Kuala Lumpur, sebelum pulang, saya menuju ke kaunter/meja kecil di sebelah kiri pintu masuk bangunan SCACC itu untuk memulangkan kerusi roda yang dipinjam. Untuk pinjam kerusi roda tersebut perlu ditinggalkan kad pengenalan atau tanda pengenalan lain seperti lesen memandu yang akan dipulangkan setelah kerusi roda itu kita pulangkan semula di tempatnya. Dalam pada saya sedang menyimpan kad pengenalan di dalam beg duit, tiba-tiba kedengaran suara kuat menjerit...

"Lepas lah tangan tu! Hoi, lepas kan lah tangan tu!!"

Saya menoleh ke belakang mencari-cari empunya suara itu. Milik seorang lelaki yang berkaca mata. Usia dalam lingkungan 40-an dan sedang memapah seseorang (mungkin seorang pesakit) yang tangannya kelihatan berbalut untuk masuk ke dalam teksi yang menunggu. Lelaki yang dipapah itu tidak bergerak. Tangannya masih memegang bahagian atas pintu teksi itu, seperti tidak yakin untuk masuk dan duduk di ruang penumpang hadapan teksi tersebut.

Saya percaya pada ketika itu semua mata mereka yang berada di luar bangunan SCACC itu sedang memerhatikan situasi tersebut. Seorang pak cik yang agak berusia dengan topi keledar tersarung di kepala menghampiri lelaki yang menjerit itu bertanyakan sesuatu. Pada ketika ini, lelaki yang dipapah itu telah selamat berada di dalam teksi. Si lelaki yang menjerit sudah nampak kurang tertekan dan kelihatan beliau berkata sesuatu kepada pak cik yang menghampirinya itu sambil menggeleng-gelengkan kepala.

Jika melihat dari jauh, apa yang saya kira berlaku ketika itu ialah si pesakit yang tangannya berbalut itu mungkin kurang yakin nak duduk atau mungkin rasa posisinya masih belum selesa untuk duduk di kerusi penumpang hadapan teksi tersebut. Mungkin sebab itu dia masih tidak melepaskan tangannya yang masih berpaut pada pintu teksi itu. Si lelaki yang memapah (yang menjerit) itu pula mungkin sudah agak kurang sabar, mungkin juga penat menguruskan pesakit tersebut dan mungkin (pada ketika itu) menjerit itu saja lah caranya untuk beliau segera menguruskan keadaan pada masa itu.

Ya, memang bukan mudah menguruskan orang yang sakit.

Sabar menjaga orang sakit

Orang yang sakit kebiasaannya menjadi lebih sensitif. Kadangkala jika tersilap sedikit malah untuk seremeh-remeh perkara sekalipun, si pesakit akan mudah kecil hati dan merajuk. Mahu tak mahu, si penjaga perlu jadi lebih 'kental' dan tidak mudah ambil hati dengan rajuk si pesakit.

Orang yang sakit biasanya inginkan lebih perhatian. Kadangkala perkara mudah yang mampu dilakukannya sendiri pun akan dimintanya pertolongan orang lain dengan tujuan untuk dapatkan lebih perhatian. Mahu tak mahu, si penjaga perlu faham dengan keadaan ini dan tidak mudah melabel pesakit sebagai mengada-ngada.

Orang yang sakit biasanya banyak berfikir tentang penyakit yang dihidapinya dan mungkin juga banyak mengeluh dan bimbang sentiasa. Mahu tak mahu, si penjaga perlu rajin 'melayan' atau bersembang dengan si pesakit untuk mengalihkan fikirannya daripada perkara-perkara yang merisaukan.

Baca juga:
Satu pagi di Klinik Ortopedik...
Satu pagi di Hospital Kuala Lumpur...

Dalam situasi pagi tadi, tak ada sesiapa pun yang bersalah. Si pesakit dengan sakitnya dan si penjaga dengan penatnya.

Untuk kedua-duanya, apa yang mampu diucapkan oleh orang di sekeliling hanya lah banyakkan bersabar.

S A B A R. Ringan di lidah tapi berat untuk dilaksanakan.

Apa yang pasti, hari ini kita membantu jaga orang yang sakit, di masa hadapan bila tiba giliran kita, InsyaAllah akan ada yang sudi untuk menguruskan.....

😊😊😊


0 comments:

Satu pagi di Klinik Ortopedik...

Thursday, March 23, 2017 Ana 0 Comments


Satu pagi di Klinik Ortopedik...


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Setelah hampir sebulan menunggu, hari ini ialah hari temujanji emak saya di Klinik Ortopedik di Klinik Pakar dan Rawatan Harian (SCACC) Hospital Kuala Lumpur (HKL). Walaupun trafik agak lancar ketika cuti sekolah minggu ini, tapi mengenangkan orang ramai di HKL dan kemungkinan perlu menunggu lama giliran bertemu doktor, awal-awal pagi lagi kami dah bertolak ke HKL.

Sampai saja di perkarangan Klinik Ortopedik, telah ada staf yang membantu menawarkan kerusi roda untuk digunakan. Emak saya masih boleh berjalan tetapi agak lambat dan gunakan kerusi roda lebih membantu. Selesai daftar dan ambil nombor giliran di Klinik Ortopedik di Aras 1, kami kemudiannya diminta pula ke Klinik Ortopedik di Aras 2. Jika anda pertama kali datang untuk mendapatkan rawatan, jangan tersilap naik lif untuk ke Aras 2 seperti yang berlaku kepada kami. Pastikan anda pergi ke lif yang terdapat di bahagian tengah bangunan SCACC itu dan bukannya lif yang terletak betul-betul berhampiran dengan pintu masuk ke Klinik Ortopedik tersebut.. Klinik Ortopedik di Aras 2 terletak di sebelah kiri sebaik saja keluar daripada lif. Agak mencabar juga menyorongkan emak menggunakan kerusi roda ini. Bukan semua orang yang sudi untuk bertolak ansur memberi ruang kepada kami untuk masuk ke dalam lif terlebih dahulu.



temujanji di klinik ortopedik hospital kuala lumpur

kerusi roda tersedia di luar klinik ortopedik


Tiba saja di klinik tersebut, kami perlu menunggu hingga nombor giliran dipanggil. Suasana dalam klinik ini luas, lapang dan selesa meskipun ramai orang yang sedang menunggu giliran. Ya, waktu itu ialah jam 8 pagi dan sudah ramai yang telah berada di klinik tersebut. Nombor 'bertuah' kami ialah 6028 dan nombor yang tertera di skrin ketika itu ialah 6009. Maka dengan sabarnya kami pun menunggu.


temujanji di klinik ortopedik hospital kuala lumpur

temujanji di klinik ortopedik hospital kuala lumpur


Satu jam setengah kemudian, 'panggilan' yang dinanti-nantikan hampir tiba. Nombor giliran dipanggil semakin cepat juga. Daripada 6020, 6021, 6022, 6023, 6024, 6025, 6026, 6027 dan saya pun dah siap sedia berdiri untuk nombor 6028. Selesai saja giliran pesakit dengan nombor 6027 itu berurusan di kaunter 2, saya pun ingat nak terus saja melangkah dan bila nombor 6028 dipanggil saya dah siap sedia di depan kaunter. Tapi agak kecewa bila nombor seterusnya dipanggil ialah 6030. Eh, nombor giliran saya macam mana?

"Tumpang tanya, nombor 6028 belum panggil lagi kan?"

"Tadi Cik ada bagi kad pengenalan kat Aras 1 kan? Kalau ada bagi kad pengenalan, yang itu kaunter 1 akan uruskan. Ada banyak prosedur Cik"

"Oh..."

Maka sekali lagi kami menunggu. Pesakit dengan nombor giliran 6029 juga saya nampak sudah tak senang duduk kerana nombornya tak dipanggil. Lebih kurang 10 minit kemudian barulah giliran kami dan sekali lagi perlu menunggu untuk dipanggil masuk ke bilik nombor 13.


klinik ortopedik hospital kuala lumpur


temujanji di klinik ortopedik hospital kuala lumpur

klinik ortopedik hospital kuala lumpur


Jika diikutkan pada papan tanda, ada 35 bilik kesemuanya di klinik tersebut tapi saya tak pasti pula sama ada kesemuanya ialah bilik rawatan. Hampir 30 minit juga perlu menunggu sebelum akhirnya berjaya masuk ke bilik nombor 13. Bilik tersebut menempatkan 2 orang doktor bermakna 2 orang pesakit dirawat pada masa yang sama. Agak sukar bila pesakit yang seorang lagi sedikit 'teruja'  dan suara nya yang agak tinggi ketika menerangkan penyakitnya kepada doktor yang merawat.

"Daripada x-ray ni nampak tulang makcik agak berusia. Saya dah check tadi kaki makcik peredaran darah ok tak ada masalah. Tapi makcik kata kaki makcik rasa sejuk-sejuk kan? Saya suspect saraf ni makcik. Saya akan bagi makcik ubat saraf dan makcik kena datang lagi untuk fisioterapi..."



temujanji di klinik ortopedik hospital kuala lumpur

Selesai urusan di bilik nombor 13, perlu turun semula ke Aras 1 untuk membuat temujanji yang seterusnya dan ambil ubat di farmasi. Temujanji yang seterusnya ialah pada 14 September nanti. Melihatkan tarikh temujanji seterusnya yang dicatatkan pada kad temujanji itu rasa nya seperti berkurun lama lagi perlu menunggu. Sekarang baru bulan Mac!

Urusan seterusnya ialah ambil ubat di farmasi. Di bahagian farmasi juga perlu ambil nombor giliran. Melihatkan begitu ramai yang menunggu giliran, maka ketika beratur untuk ambil nombor, di fikiran saya sudah 'bersiap sedia' untuk satu lagi cabaran menunggu giliran. Eh, sekejap. Ada lorong atau nombor giliran khas untuk pesara lah. Ya, jika anda ialah seorang pesara kerajaan, gunakan lah keistimewaan anda itu di sini. Memang sepantas kilat nombor giliran anda akan dipanggil.

Baca juga:
Satu pagi di Hospital Kuala Lumpur...
Bila badan tak sihat....


Banyak juga ubat yang dibekalkan untuk emak saya. Ubat tersebut hanya untuk 3 bulan dan perlu datang semula ke farmasi itu pada bulan 6 nanti untuk ambil bekalan ubat yang seterusnya. Hmm...terus terbayang di kepala mana nak di 'park' kan kereta sementara pergi ambil ubat pada bulan 6 nanti. Ambil ubatnya sekejap saja, cari parking yang lebih ambil masa.

Kenapa emak saya dapatkan rawatan di HKL? Kalau boleh memang tak mahu ke HKL dan lebih suka ke hospital swasta yang berdekatan dengan rumah. Tapi atas sebab-sebab yang berikut maka ke HKL juga lah nampaknya....

- Salah satu ubat yang dibekalkan ada tertera harga ubat tersebut pada bekas ubatnya. Memang mahal juga bila dikira-kira tapi disebabkan guna kad pesara maka ia nya percuma. Rugi kan kalau tak guna benda percuma ni?

- Sebelum ini emak saya pernah menjalani fisioterapi di hospital swasta di Wangsa Maju. Kos untuk satu sesi fisioterapi (saya lupa sama ada satu atau dua jam) ialah RM80. Dan kebiasaannya fisioterapi perlu dilakukan berkali-kali. Katakan paling kurang pun 5 kali, maka jumlahnya dah RM400. Di HKL, fisioterapi adalah percuma untuk pesara (juga untuk warga emas kalau saya tak silap). Tapi satu perkara yang tak best ialah perlu tunggu giliran yang lama untuk dapat giliran temujanji fisioterapi itu.

- Salah seorang kenalan yang juga pernah bertugas di HKL sebelum ini dengan yakinnya mengatakan kepada kami bahawa meskipun di HKL ramai pesakit, tapi di HKL juga ada ramai doktor yang sedia untuk merawat. Beliau percaya laporan perubatan seperti x-ray, MRI, CT-scan dan lain-lain lebih cepat diperolehi di HKL jika hendak dibandingkan dengan hospital swasta yang lain.

Setiap penyakit pasti ada penawarnya kecuali mati. Setelah lama juga berulang alik ke klinik dan hospital swasta dalam usaha mencari penawarnya, kali ini kami cuba pula berulang alik ke HKL...

😊😊😊

0 comments:

Antara i, iols, u dan uols....

Tuesday, March 21, 2017 Ana 0 Comments




Antara i, iols, you dan uols....


Assalamualaikum & salam sejahtera.....

"Morng uols! Uols watpe hr ni? Iols otw g shoppng, jgn jeles taw muahhaha! Jgn lp like stts kita okeh. Syg uols, muah cked!"

"Ko nk p mn? Ak nk ikt!"


Pening tak baca kalau ada orang tulis macam ni di status FB nya? Atau pun bila terima sms yang susah nak faham maksudnya?

Tak pening? Oh mungkin faktor umur agaknya, saya pening bila baca tulisan macam ini!

Ada orang kata tulis gaya macam ini tak ada apa nak dihairankan, memang gaya tulisan budak-budak muda zaman sekarang. Alasan tulis macam ini sebab nak jimat masa dan malas nak tulis panjang-panjang atau tulis dengan perkataan penuh. Maklumlah zaman ini kan zaman semuanya nak cepat dan ekspres hingga kan tulisan pun jadi 'mangsa' keadaan. Tapi kan, kalau betul tulis ringkas macam itu sebab nak jimatkan masa, kenapa boleh pula perkataan 'I' itu boleh jadi 'Iols', daripada satu huruf menjadi 4 huruf? Rajin pula di situ!

Gaya penulisan sebegini juga dikatakan lebih moden dan menampakkan sifat ceria dan up-to-date si penulis dengan trend semasa. Dan tak salah juga jika dikatakan sesetengah individu menganggap gaya penulisan begini lebih digemari dan mudah untuk tarik perhatian pembaca (atau like).

Bahasa sms

Sebenarnya saya juga ketika awal-awal dulu menulis blog ada juga dalam entry yang saya gunakan perkataan-perkataan yang diringkaskan. dan ada juga yang ejaannya tak guna ejaan yang betul. Masih ada lagi entry-entry tersebut di blog ini dan saya biarkan sebagai kenangan ketika mula belajar menulis blog. Mujur juga pada waktu itu masih belum ada penggunaan 'iols' dan 'uols', jika tidak mungkin saya juga akan gunakan perkataan macam itu dalam blog ini agaknya.

Saya mula terinspirasi menulis dengan gunakan perkataan yang dieja dengan penuh dan betul selepas mula mengikuti / follow Tuan Khairul Hakimin Muhammad di FB (jom follow FB beliau!). Saya mula ikuti beliau selepas pertama kali baca post beliau yang menarik mengenai rancangan 'Terlajak Puteh Nampak' yang dihoskan oleh Aznil Hj Nawawi. Gaya beliau menulis dan mengulas mengenai rancangan itu sangat tersusun, jelas dan menarik sehingga rasa tak sabar nak baca setiap patah perkataan yang ditulisnya.

Bukan setakat gaya penulisan beliau malah isi cerita yang disampaikan juga berjaya buat saya ingin terus baca sehingga ke penghujung cerita.  Dan dari situ saya nampak yang beliau bukan saja gunakan ayat yang tersusun tetapi juga turut gunakan ejaan yang penuh dan betul. Tak ada sebarang perkataan yang dipendekkan hingga hampir tak faham apa yang ditulis (atau hingga boleh timbulkan salah faham pula) dan tak ada juga bahasa slanga seperti kipidap, dongibab yang digunakan.

Dengan gaya penulisan beliau yang sebegitu masih ramai pengguna media sosial yang tertarik untuk membaca, like, share dan komen post beliau malah bilangan pengikutnya di FB semakin bertambah dari hari ke hari. Jadi, terbukti yang content adalah perkara utama dalam penulisan (sekali pun cuma menulis status di FB) dan ia di'indah' kan lagi dengan penggunaan bahasa dan ejaan yang betul.

Bahasa pelik di facebook

Err, entry saya ini bukanlah bertujuan mengecam dan mengatakan mereka yang gemar menulis dengan gaya 'moden' itu semuanya salah. Cuma dibimbangi ada sedikit 'penganiayaan' berlaku di situ terhadap bahasa yang digunakan (sama ada Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris) dan dibimbangi akan terbawa-bawa gaya tersebut dalam penulisan di sekolah mahu pun di medium formal yang lain. Atau pun tersasul hantar sms dengan gaya bahasa begini kepada mak atau ayah. Pening kepala mereka nak menjawabnya!

Bagi anda yang inginkan panduan menulis dengan gaya yang mampu membawa sama emosi penonton dalam penulisan tersebut, buku 'Rahsia Penulisan Berpengaruh' (saya dah baca buku ini!) dan buku 'Rahsia Bapa Viral Kebangsaan' tulisan Tuan Khairul wajib ada dalam senarai bacaan.
 👍👍👍

"Iols dh mgntk uols, iols tdo dlu!"

Susah tak nak faham bila saya tulis macam ayat yang di atas ini?

😁😁😁




0 comments:

Tale as old as time ...

Monday, March 20, 2017 Ana 0 Comments



Tale as old as time ...


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Tale as old as time ...
True as it can be...
Barely even friends ...
Then somebody bends...
Unexpectedly....

Pertama kali menonton filem animasi Beauty & The Beast ialah di pawagam ketika berusia 12 tahun. Selepas itu menontonnya untuk kali kedua di bilik pandang dengar @ bilik media (saya tak ingat dah apa nama bilik itu) ketika di sekolah menengah. Waktu itu, kelab atau persatuan di sekolah kerap ada kan sesi tontonan filem-filem yang menarik di bilik tersebut dengan bayaran masuk RM1 untuk tujuan mengutip derma bagi kelab.

Lagu tema bagi filem animasi ke-30 Walt Disney Pictures itu serta kisah cinta sejati antara Belle dan Beast dan si pengacau Gaston masih melekat di kepala hingga ke hari ini. Tak ingat pula ada sebarang kontroversi semasa filem animasi ini ditayangkan di pawagam dahulu.

beauty and the beast


Tahun 2017,  Beauty & The Beast muncul kembali di pawagam dan menjadi antara filem yang dinanti-nantikan. Kali ini ia kembali sebagai filem live action dan bukan lagi animasi. Malangnya, filem itu yang sepatutnya ditayangkan di pawagam di Malaysia bermula 16 Mac yang lalu telah ditangguhkan tayangannya tanpa sebarang maklumat mengenai tarikh baru ia akan ditayangkan.

Semuanya gara-gara karekter Le Fou dalam filem tersebut yang membawa watak yang kurang sesuai untuk tontonan sesetengah golongan. Ditambah pula dengan pengarah filem itu sendiri mengatakan Le Fou itu adalah watak g*y. Dilaporkan bahawa sebuah panggung di Alabama, Amerika Syarikat turut mengharamkan filem itu daripada ditayangkan manakala Rusia melarang kanak-kanak berusia bawah usia 16 tahun untuk menontonnya.

Babak tidak sesuai yang berdurasi 4 minit itu telah melalui proses tapisan oleh pihak Lembaga Penapisan Negara dan mensyaratkan babak tersebut disunting untuk tayangan di Malaysia. Namun pihak Disney pula enggan mengikut arahan tersebut

Kebetulan hari Sabtu yang lalu ketika saya sedang mencari-cari saluran yang ada cerita menarik untuk ditonton,  salah satu saluran di Astro sedang menayangkan kembali filem animasi Beauty and The Beast.

"Haa, adik dah tengok dah cerita ni masa kat Singapore hari tu tapi yang bukan kartun punya lah!"

"Ada kan, dalam cerita tu kan, dia tunjuk ada orang lelaki tu joget dengan lelaki lain lepas tu macam suka kat lelaki tu macam love love!"

Itu ayat-ayat yang keluar dari mulut anak saudara saya yang berusia 5 tahun, 'hasil' menonton filem 'Beauty & The Beast' di pawagam di Singapura baru-baru ini. Pergi Singapura tak sampai sehari pun di sana sempat lagi pergi menonton di pawagam. 'Pandai' sebut pasal love love pula anak saudara saya ni!

Saya tak tahu nak kata apa. Betul ke ada babak sebegitu? Atau anak saudara saya itu tersilap tengok? Macam mana agaknya aksi yang nampak macam love love di mata anak kecil berusia 5 tahun? Nak komen pun agak susah sebab saya belum tonton sendiri filem tersebut. Harap-harap aksi sebegitu (jika betul ada) dalam babak tersebut tak dianggap sebagai aksi yang boleh diamalkan dan tak melekat dalam kotak fikiran anak-anak saudara saya itu. Bimbang juga jika 'diaplikasikan' di luar sana.

Beauty and the beast

Ada rakyat Malaysia yang menyokong dan tak kurang juga yang membantah pemotongan babak hingga menyebabkan penayangan filem itu ditangguhkan. Bagi yang menyokong pemotongan, mungkin mereka juga berkongsi kebimbangan yang sama seperti saya. Mungkin bagi mereka yang membantah itu perlu juga fikirkan kan kenapa agaknya pawagam di Alabama mengharamkan filem ini.

Bila sebut Disney, pastinya yang terlintas ialah cerita, filem dan segala yang berkaitan dengan kanak-kanak.Tak dinafikan sebelum ini telah banyak juga filem-filem Disney yang diselitkan babak yang kurang sesuai untuk kanak-kanak tetapi dengan adegan yang dikaitkan dengan g*y yang kontroversi dalam Beauty and The Beast ini, adakah masih sesuai lagi filem Disney menjadi tontonan anak-anak kita di masa akan datang?


0 comments:

Betul ke 'Best Buy'?

Sunday, March 19, 2017 Ana 0 Comments



Betul ke 'Best Buy'?


Assalamualaikum & salam sejahtera...

Best Buy.

Kalau nampak perkataan 'Best Buy' ini di rak barangan di pasaraya, apa yang terlintas di fikiran anda?

Pada saya sebagai pengguna yang nak-cari-barang-yang-murah-selagi-boleh tapi tak kompromi dengan kualitinya, perkara pertama yang saya terfikir bila nampak 'Best Buy' ialah 'Mesti barang ni murah daripada jenama yang lain' atau 'Kalau beli barang ni banyak mesti lebih murah dan jimat berbanding beli satu!"

Hati-hati dengan jualan murah dan promosi


Pagi tadi saya ke sebuah pasaraya besar di Wangsa Maju untuk rutin biasa beli barang dapur. Pasaraya itu memang jarang sekali tak ramai orang, jadi kalau nak dapatkan tempat letak kereta yang hampir dengan pintu masuk memang kena datang seawal yang mungkin. Kurang pasti pula pukul berapa ia dibuka tapi ketika saya sampai jam 9 pagi tadi, deretan kereta dah pun penuh di tempat parking. Malah, ketika saya baru saja keluar dari kereta setelah berjaya dapat tempat parking, dah ada pelanggan yang sedang menyorong troli dengan barang penuh di dalam nya. Pukul berapa agaknya mereka ni sampai, mungkin dah siap tercegat depan pintu pasaraya sebelum dibuka lagi agaknya.

Antara barang yang saya beli di pasaraya tadi ialah susu pekat manis dalam tin. Err, memang dah banyak fakta mengenai kurang baik minum susu pekat manis, tapi sekali sekali apa salahnya kan? 😝

Berbekalkan fahaman yang semua susu pekat manis itu sama saja (iaitu sedap digunakan untuk buat teh tarik tapi kaya dengan kandungan gula dan lemak yang tinggi berbanding susu sejat dan susu skim 😓), maka saya pun mencari susu pekat manis yang termurah. Satu demi satu tanda harga di rak saya teliti dalam misi mencari susu pekat manis yang termurah. Sehingga lah bila sampai ke hujung rak, ada satu jenama susu pekat manis yang termurah dengan harga RM2.15 untuk satu tin 500ml. Baru saja nak ambil dan letak dalam troli, saya ternampak pula di sebelah nya susunan susu pekat manis jenama yang sama tapi telah siap di pek dengan 6 tin dalam satu pek.

Baca juga:
Betul ke 'Harga Promosi?'

Tertulis di situ, 'Best Buy'. Oh, mesti lagi murah ni. Saya mula berkira-kira hendak ambil satu pek itu sedangkan cadangan awalnya hendak ambil 3 tin saja. Rasa rugi kalau tak beli 'Best Buy' itu, ya lah kalau dah ada yang lagi murah, kenapa nak lepaskan, kan?

Eh, sekejap. Betul ke beli satu pek dengan 6 tin susu pekat manis ni harganya lebih murah?

Pantas tangan menyeluk poket seluar untuk keluarkan handphone dan terus saja saya kira di kalkulator harga untuk 6 tin susu pekat. 6 x 2.15 = 12.90

Berapa harga yang tertulis di sebelah perkataan 'Best Buy' di rak itu untuk satu pek susu pekat manis?

RM12.90

Hmmm, bahagian mana yang best buy nya? Kalau best buy mesti lah ada pengurangan harga jika beli dalam kualiti yang banyak, kan? Ingatkan bila best buy, harga satu tin susu pekat manis tersebut akan jadi kurang daripada RM2.15.

Best buy di pasaraya


Itu mungkin betul pada fahaman saya saja. Takrifan 'Best Buy' itu sebenarnya ada pelbagai. Carian di Google antaranya yang saya jumpa di businessdictionary.com, takrifan bagi 'Best Buy' ialah:

Purchase that offers an optimal combination of delivery, price,quality and other benefits in meeting a buyer's specific need.

@

(Pembelian yang menawarkan kombinasi optimum bagi penghantaran, harga, kualiti dan faedah lain dalam memenuhi keperluan khusus pembeli)

Kalau ikutkan takrifan di atas dan aplikasikan pada kes 'Best Buy' susu pekat manis ini, tak ada apa pun yang best untuk saya sebagai pelanggan 😒😒😒

Jadi, betul ke penggunaan perkataan 'Best Buy' untuk susu pekat manis itu?

Macam mana pula 'fahaman' anda bagi perkataan'Best Buy'?


0 comments:

Meh, Sandar Pada Aku!

Sunday, March 19, 2017 Ana 0 Comments



Meh, Sandar Pada Aku!


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Syed Nadzhan yang sentiasa berkerut keningnya dan stressed memanjang. Afnan Tasneem yang comel tapi kadangkala kuat berangan dan terlebih ber'drama'. Sharifah Aleesya yang tersangatlah over dan obses dengan Syed Nazhan yang dianggap sebagai 'penyelamatnya' dalam satu insiden di zaman kanak-kanak.

Tiga watak utama lakonan Aliff Aziz, Mira Filzah dan Jaja Illiyes dalam drama 'Meh, Sandar Pada Aku' yang kini bersiaran di tv3. Drama adaptasi novel dengan tajuk yang sama ini adalah karya penulis Aifa Batrisya dan ini adalah novel kedua beliau yang diadaptasi kepada drama selepas 'Duda Terlajak Laris'.



meh sandar pada aku


Jalan cerita yang ringan dan santai dan seperti juga drama yang lain pasti akan ada cerita berebut cinta dan dengki mendengki. Yang saya pertama kali lihat dalam drama ini berbanding adaptasi yang lain ialah kelainan dari segi karier watak utama sebagai research engineer dan latar belakang atau lokasi penggambaran yang diadakan di makmal (atau kalau ada pun, mungkin saya yang tak pernah tonton). Tapi tak banyak juga babak yang dilakonkan di makmal.


drama meh sandar pada aku

drama meh sandar pada aku

Drama 'Meh, Sandar Pada Aku' juga jadi kegemaran anak-anak saudara saya. Bukan suka menonton drama nya tapi suka tengok bahagian lagu di permulaan drama yang ala-ala permainan video 'Super Mario Bros' itu.

drama meh sandar pada aku

drama meh sandar pada aku

drama meh sandar pada aku


Kalau anda nak tonton drama yang ringan dan tak serabut kepala di hujung minggu, tontonlah 'Meh, Sandar Pada Aku' !


Tajuk Lagu : Sandar Padaku 
Penyanyi : Aliff Aziz feat Mira Filzah  
Komposer : Panji  Penulis Lirik : Marr Mohamad 

Kata orang semua wanita sama saja 
Tapi tidak dengan mu 
Pernah merasa jauh untuk bersama kamu 
Hanya dalam khayal ku 

Namun kau selalu hadir dan mengganggu 
Hati ku setiap waktu 

Walau semua kata lelaki sama saja 
Tapi tidak dengan ku 
Mesti sempat benci enggan untuk bertemu 
Mungkin dalam angan ku 

Namun ku selalu hadir dan mengganggu 
Hati mu setiap waktu 

Kamu, kamu, kamu saja 
Jadikan ku sandaran cinta 
Saat hati resah, resah, resah 
Bersandarlah di bahu ku 

Dulu benci tapi selalu merindu 
Ku damba kita bahagia 
Agar masanya tiada mampu bertahan 
Bersandarlah di bahu ku



0 comments: