Tale as old as time ...

Monday, March 20, 2017 Ana 0 Comments



Tale as old as time ...


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Tale as old as time ...
True as it can be...
Barely even friends ...
Then somebody bends...
Unexpectedly....

Pertama kali menonton filem animasi Beauty & The Beast ialah di pawagam ketika berusia 12 tahun. Selepas itu menontonnya untuk kali kedua di bilik pandang dengar @ bilik media (saya tak ingat dah apa nama bilik itu) ketika di sekolah menengah. Waktu itu, kelab atau persatuan di sekolah kerap ada kan sesi tontonan filem-filem yang menarik di bilik tersebut dengan bayaran masuk RM1 untuk tujuan mengutip derma bagi kelab.

Lagu tema bagi filem animasi ke-30 Walt Disney Pictures itu serta kisah cinta sejati antara Belle dan Beast dan si pengacau Gaston masih melekat di kepala hingga ke hari ini. Tak ingat pula ada sebarang kontroversi semasa filem animasi ini ditayangkan di pawagam dahulu.

beauty and the beast


Tahun 2017,  Beauty & The Beast muncul kembali di pawagam dan menjadi antara filem yang dinanti-nantikan. Kali ini ia kembali sebagai filem live action dan bukan lagi animasi. Malangnya, filem itu yang sepatutnya ditayangkan di pawagam di Malaysia bermula 16 Mac yang lalu telah ditangguhkan tayangannya tanpa sebarang maklumat mengenai tarikh baru ia akan ditayangkan.

Semuanya gara-gara karekter Le Fou dalam filem tersebut yang membawa watak yang kurang sesuai untuk tontonan sesetengah golongan. Ditambah pula dengan pengarah filem itu sendiri mengatakan Le Fou itu adalah watak g*y. Dilaporkan bahawa sebuah panggung di Alabama, Amerika Syarikat turut mengharamkan filem itu daripada ditayangkan manakala Rusia melarang kanak-kanak berusia bawah usia 16 tahun untuk menontonnya.

Babak tidak sesuai yang berdurasi 4 minit itu telah melalui proses tapisan oleh pihak Lembaga Penapisan Negara dan mensyaratkan babak tersebut disunting untuk tayangan di Malaysia. Namun pihak Disney pula enggan mengikut arahan tersebut

Kebetulan hari Sabtu yang lalu ketika saya sedang mencari-cari saluran yang ada cerita menarik untuk ditonton,  salah satu saluran di Astro sedang menayangkan kembali filem animasi Beauty and The Beast.

"Haa, adik dah tengok dah cerita ni masa kat Singapore hari tu tapi yang bukan kartun punya lah!"

"Ada kan, dalam cerita tu kan, dia tunjuk ada orang lelaki tu joget dengan lelaki lain lepas tu macam suka kat lelaki tu macam love love!"

Itu ayat-ayat yang keluar dari mulut anak saudara saya yang berusia 5 tahun, 'hasil' menonton filem 'Beauty & The Beast' di pawagam di Singapura baru-baru ini. Pergi Singapura tak sampai sehari pun di sana sempat lagi pergi menonton di pawagam. 'Pandai' sebut pasal love love pula anak saudara saya ni!

Saya tak tahu nak kata apa. Betul ke ada babak sebegitu? Atau anak saudara saya itu tersilap tengok? Macam mana agaknya aksi yang nampak macam love love di mata anak kecil berusia 5 tahun? Nak komen pun agak susah sebab saya belum tonton sendiri filem tersebut. Harap-harap aksi sebegitu (jika betul ada) dalam babak tersebut tak dianggap sebagai aksi yang boleh diamalkan dan tak melekat dalam kotak fikiran anak-anak saudara saya itu. Bimbang juga jika 'diaplikasikan' di luar sana.

Beauty and the beast

Ada rakyat Malaysia yang menyokong dan tak kurang juga yang membantah pemotongan babak hingga menyebabkan penayangan filem itu ditangguhkan. Bagi yang menyokong pemotongan, mungkin mereka juga berkongsi kebimbangan yang sama seperti saya. Mungkin bagi mereka yang membantah itu perlu juga fikirkan kan kenapa agaknya pawagam di Alabama mengharamkan filem ini.

Bila sebut Disney, pastinya yang terlintas ialah cerita, filem dan segala yang berkaitan dengan kanak-kanak.Tak dinafikan sebelum ini telah banyak juga filem-filem Disney yang diselitkan babak yang kurang sesuai untuk kanak-kanak tetapi dengan adegan yang dikaitkan dengan g*y yang kontroversi dalam Beauty and The Beast ini, adakah masih sesuai lagi filem Disney menjadi tontonan anak-anak kita di masa akan datang?


0 comments: