Aiskrim boleh dijadikan 'senjata' untuk menyerang?

Monday, March 06, 2017 Ana 0 Comments



Aiskrim boleh dijadikan 'senjata' untuk menyerang?



Assalamualaikum & salam sejahtera.....


Tengahari tadi seperti biasa saya akan menunggu di luar pagar sekolah menantikan loceng tamat sekolah berbunyi. Sambil menantikan anak saudara saya berlari-lari anak keluar dari kelasnya, saya khusyuk 'merenung' skrin handphone membaca berita-berita terkini.

"Warghhhh....warghhh!"

Tiba-tiba dengar bunyi orang menangis sambil menjerit. Toleh kiri kanan akhirnya terlihat seorang pelajar darjah satu (cam melalui warna tanda namanya) sedang terduduk di lantai sambil menangis. Tak perlu tertanya-tanya apa punca pelajar itu menangis sebab di hadapannya ada satu kon aiskrim yang telah terbalik. Cuma yang buat saya tertanya-tanya dan saya terlepas pandang tadi ialah bagaimana pelajar itu boleh terjatuh hingga bahagian belakang dan depan bajunya kotor teruk dengan aiskrim coklat dan aiskrim kon itu pula dah tertonggeng di atas lantai. Ada pelajar lain yang berlari-lari dan terlanggar pelajar tersebut atau mungkin juga dia terjatuh sendiri?

Semuanya kerana aiskrim itu...


Pelajar-pelajar yang lain hanya memandang dan ada juga seorang dua yang datang memujuk. Hinggalah datang seorang pengawas yang baik hati menggantikan aiskrim yang baru untuk pelajar tersebut, baru lah si pelajar darjah satu tadi berhenti menangis. Masih lagi duduk di lantai, pelajar tersebut menikmati aiskrim yang baru itu sambil matanya melihat kon aiskrim lama yang masih ada di atas lantai.

Perlahan-lahan, pelajar itu mencapai kon aiskrim yang terbalik di atas lantai itu yang masih bersisa aiskrim di dalamnya. Sambil tangan kanan memegang kon aiskrim yang baru manakala tangan kiri memegang kon aiskrin yang sudah tidak elok itu, perlahan-lahan dia mengatur langkah, Sangka saya mungkin ingin mencari tong sampah untuk dibuangnya kon aiskrim yang sdah tidak boleh dimakan itu.

Sangkaan saya meleset sama sekali.

Apa yang dibuatnya dengan kon aiskrim itu?

Tanpa disangka-sangka, pelajar itu seakan-akan 'mengamuk' dan 'menyerang' sesiapa saja yang berada di laluannya menggunakan kon aiskrim yang masih bersisa itu. Seorang pelajar yang kemas berpakaian lengkap dengan kot, mungkin pengawas pusat sumber agaknya, telah diserang oleh pelajar darjah satu itu dan 'selamat' 'dicop' dengan aiskrim coklat di sebelah kanan kot nya. Seorang pelajar yang sedang asyik bersembang dengan kawannya juga telah 'selamat dicop' dengan aiskrim di bahagian seluarnya, Seorang lagi pelajar yang lebih malang telah 'diserang' pada telinganya oleh pelajar darjah satu itu dengan kon aiskrim tersebut. Habis ditenyehnya telinga pelajar yang terkejut dengan 'serangan' yang tak diduga itu dengan aiskrim. Pelajar darjah satu itu seperti orang yang sedang melepaskan geram dan marah dengan orang di sekelilingnya!

😲😲😲

'Drama serangan' itu akhirnya berakhir dengan pelajar darjah satu itu terjatuh buat kali kedua, Aiskrim di tangan kanannya juga turut terbalik di lantai. Kelihatan pelajar-pelajar lain mula mengelilinginya dan ada juga yang mentertawakan pelajar tersebut. Api kemarahan pelajar itu sampai kemuncaknya apabila dia melempar kedua-dua aiskrim nya ke arah mereka yang mentertawakannya dan akhirnya dia terus lari hilang entah ke mana....

"Biasa lah budak lelaki nakal, apa nak dihairankan!"

"Tak payah nak ditegur sangat, biasa lah budak lelaki memang nakal, dah besar nanti ok lah tu!"

Ayat-ayat di atas memang biasa saya dengar. Dan sepanjang saya menjemput anak saudara di sekolahnya memang biasa juga saya nampak kelakuan-kelakuan nakal pelajar-pelajar lelaki ini seperti tolak-menolak, pijak-pijak kasut kawan, sepak-sepak botol air mineral macam main bola sepak dan hampir melantun atas kereta cikgu dan yang seumpamanya. Tapi aksi nakal dan kejadian 'serangan menggunakan kon aiskrim' ini pertama kali saya saksikan depan mata!

anak nakal


Adakah kelakuan menggunakan aiskrim untuk 'menyerang' itu termasuk dalam kategori nakal? Mungkin ya. Mungkin juga boleh dikategorikan sebagai nakal terlampau 😕😕😕

Anak-anak zaman sekarang...memang luar dari jangkaan...😏😏😏


0 comments: