Betul ke 'Best Buy'?
Betul ke 'Best Buy'?
Assalamualaikum & salam sejahtera...
Best Buy.
Kalau nampak perkataan 'Best Buy' ini di rak barangan di pasaraya, apa yang terlintas di fikiran anda?
Pada saya sebagai pengguna yang nak-cari-barang-yang-murah-selagi-boleh tapi tak kompromi dengan kualitinya, perkara pertama yang saya terfikir bila nampak 'Best Buy' ialah 'Mesti barang ni murah daripada jenama yang lain' atau 'Kalau beli barang ni banyak mesti lebih murah dan jimat berbanding beli satu!"
Pagi tadi saya ke sebuah pasaraya besar di Wangsa Maju untuk rutin biasa beli barang dapur. Pasaraya itu memang jarang sekali tak ramai orang, jadi kalau nak dapatkan tempat letak kereta yang hampir dengan pintu masuk memang kena datang seawal yang mungkin. Kurang pasti pula pukul berapa ia dibuka tapi ketika saya sampai jam 9 pagi tadi, deretan kereta dah pun penuh di tempat parking. Malah, ketika saya baru saja keluar dari kereta setelah berjaya dapat tempat parking, dah ada pelanggan yang sedang menyorong troli dengan barang penuh di dalam nya. Pukul berapa agaknya mereka ni sampai, mungkin dah siap tercegat depan pintu pasaraya sebelum dibuka lagi agaknya.
Antara barang yang saya beli di pasaraya tadi ialah susu pekat manis dalam tin. Err, memang dah banyak fakta mengenai kurang baik minum susu pekat manis, tapi sekali sekali apa salahnya kan? 😝
Berbekalkan fahaman yang semua susu pekat manis itu sama saja (iaitu sedap digunakan untuk buat teh tarik tapi kaya dengan kandungan gula dan lemak yang tinggi berbanding susu sejat dan susu skim 😓), maka saya pun mencari susu pekat manis yang termurah. Satu demi satu tanda harga di rak saya teliti dalam misi mencari susu pekat manis yang termurah. Sehingga lah bila sampai ke hujung rak, ada satu jenama susu pekat manis yang termurah dengan harga RM2.15 untuk satu tin 500ml. Baru saja nak ambil dan letak dalam troli, saya ternampak pula di sebelah nya susunan susu pekat manis jenama yang sama tapi telah siap di pek dengan 6 tin dalam satu pek.
Baca juga:
Betul ke 'Harga Promosi?'
Tertulis di situ, 'Best Buy'. Oh, mesti lagi murah ni. Saya mula berkira-kira hendak ambil satu pek itu sedangkan cadangan awalnya hendak ambil 3 tin saja. Rasa rugi kalau tak beli 'Best Buy' itu, ya lah kalau dah ada yang lagi murah, kenapa nak lepaskan, kan?
Eh, sekejap. Betul ke beli satu pek dengan 6 tin susu pekat manis ni harganya lebih murah?
Pantas tangan menyeluk poket seluar untuk keluarkan handphone dan terus saja saya kira di kalkulator harga untuk 6 tin susu pekat. 6 x 2.15 = 12.90
Berapa harga yang tertulis di sebelah perkataan 'Best Buy' di rak itu untuk satu pek susu pekat manis?
RM12.90
Hmmm, bahagian mana yang best buy nya? Kalau best buy mesti lah ada pengurangan harga jika beli dalam kualiti yang banyak, kan? Ingatkan bila best buy, harga satu tin susu pekat manis tersebut akan jadi kurang daripada RM2.15.
Itu mungkin betul pada fahaman saya saja. Takrifan 'Best Buy' itu sebenarnya ada pelbagai. Carian di Google antaranya yang saya jumpa di businessdictionary.com, takrifan bagi 'Best Buy' ialah:
Purchase that offers an optimal combination of delivery, price,quality and other benefits in meeting a buyer's specific need.
@
(Pembelian yang menawarkan kombinasi optimum bagi penghantaran, harga, kualiti dan faedah lain dalam memenuhi keperluan khusus pembeli)
Kalau ikutkan takrifan di atas dan aplikasikan pada kes 'Best Buy' susu pekat manis ini, tak ada apa pun yang best untuk saya sebagai pelanggan 😒😒😒
Jadi, betul ke penggunaan perkataan 'Best Buy' untuk susu pekat manis itu?
Macam mana pula 'fahaman' anda bagi perkataan'Best Buy'?
0 comments: