Mesti tengah sibuk check FB lah tu!

Monday, October 31, 2016 Ana 2 Comments


Mesti tengah sibuk check FB lah tu!


Assalamualaikum & salam sejahtera...

Petang semalam saya ke Aeon Big Wangsa Maju beli barang dapur. Aeon Big ini memang sentiasa ramai orang, tempat letak kereta pun penuh memanjang. Memang jarang-jarang lah dapat park dekat dengan pintu masuk. Dah habis beli barang, nak bayar di kaunter pun satu hal lagi, panjang betul barisannya, Kaunter ekspress yang dikhaskan untuk pelanggan yang beli 10 item ke bawah pun panjang juga barisannya. Jadi nak tak nak terpaksa juga lah beratur tunggu giliran.

Semasa tengah beratur ini lah ada satu perkara berlaku yang secara automatiknya buatkan saya teringat pada iklan Deepavali Petronas, I Am Muniandy. Jangan menilai dari penampilan luaran sahaja.....

Baca juga:
Deepavali dan I Am Muniandy...


Dua kaunter di hujung adalah antara kaunter ekspress yang dibuka. Beraturlah saya sambil tunggu lebih kurang lagi 6 orang pelanggan sedang buat bayaran di kaunter. Sambil-sambil beratur itu saya sibuk check handphone untuk jawab mesej whatsapp dan scroll-scroll cerita di FB. Saya perasan ada seorang remaja lelaki yang beratur di barisan sebelah saya pun turut sama khusyuk pandang skrin handphone nya. Dari cara berpakaiannya dengan seluar fit berwarna terang yang ada corak-corak yang saya tak pasti apa bentuknya, t-shirt putih dengan lukisan kartun @ karikatur dan topi di kepala yang dipakai secara terbalik, rasa-rasanya remaja (atau belia?) itu lebih kurang dalam lingkungan umur 20-an. Dalam hati saya kata, "saya yang tak berapa remaja ini pun sibuk check whatsapp dan FB, mesti lah budak remaja itu lebih-lebih lagi. Mesti tengah sibuk check FB, IG atau Tweeter lah tu. Kalau tak pun mesti tengah sibuk baca whatsapp dalam group....."

apa yang remaja lihat di handphone


Sambil barisan beratur saya itu bergerak sedikit demi sedikit menghampiri kaunter, barisan remaja tadi pun turut bergerak sama. Dan entah macam mana, sempat pula saya mengintai (ok, agak penyibuk pula saya di situ!) skrin handphone remaja tadi, teringin pula nak tahu apa yang khusyuk ditenungnya di handphone.

Apa yang saya nampak di skrin handphone remaja itu buatkan saya tersentak.

Jangkaan saya untuk nampak skrin FB yang dipenuhi dengan post bergambar, atau IG yang meriah dengan selfie atau gambar-gambar artis pujaan, atau skrin yang penuh dengan tweeter, di skrin handphone remaja itu, sama sekali meleset.

Apa yang khusyuk direnung dan ditenung oleh remaja itu di handphone nya ialah yang jarang-jarang sekali direnung dan ditenung oleh kebanyakan kita (termasuk saya) semasa beratur panjang di pasaraya.

Di skrin handphone remaja itu terpapar surah-surah dalam aplikasi Al-Quran atau Al-Quran digital.

Dan baru saya perasan yang bibir remaja itu bergerak-gerak sedang membaca Al-Quran digital tersebut.....

Silap saya menilai dari penampilan luaran. Silap saya apabila ambil mudah dan sangka yang dunia remaja kini hanya dikelilingi oleh FB, IG dan Tweeter sahaja. Silap saya apabila menyangka remaja kini hanya berminat kepada hiburan dan duniawi saja. Silap saya sebab menyangka orang lain sama seperti saya (yang sibuk dengan whatsapp dan FB!).

:(

Satu pengajaran untuk diri sendiri. Akan cuba untuk tak silap menilai lagi selepas ini....







2 comments:

Catat rekod paling banyak laksa Sarawak dibuang?

Sunday, October 30, 2016 Ana 2 Comments


Catat rekod paling banyak laksa Sarawak dibuang?



Assalamualaikum & salam sejahtera....


Laksa Sarawak. Pertama kali dalam hidup saya makan laksa Sarawak ialah pada 17 Oktober yang lalu.

Pada mulanya saya tak tahu menu di hadapan saya ialah laksa Sarawak. Menu dipesan secara delivery dari atiefooddelivery (klik di sini) oleh adik ipar saya. Nampak seperti bihun yang ada telur goreng dipotong kecil-kecil memanjang, ada potongan kecil ayam, ada udang dan sedikit sambal. Kemudian ada kuah. Memang mula-mula saya ingatkan bihun yang dimakan dengan kuah kari!


laksa sarawak yang sedaplaksa sarawak yang sedap


Tapi bila dah mula makan dan hirup kuahnya, memang sedap! Saya jenis yang jarang cuba menu yang baru dan yang saya tak pernah cuba (sebab itu lah baru sekarang tahu mengenai laksa Sarawak :P), tapi pertama kali rasa laksa Sarawak ini memang rasa nak makan lagi. Pertama kali makan laksa yang berkuahkan udang dan ayam. Beza betul dengan laksa yang selalu saya makan yang mana kuahnya daripada isi ikan kembung. Dulu rajin juga ke Laksa Shack untuk makan laksa asam @ laksa Penang, tapi sejak outlet Laksa Shack dah ditutup, tempat yang selalu diterjah untuk makan asam laksa ialah di Secret Recipe atau restoran JomBali. Sedap!

Laksa Sarawak yang dipesan dari atiefooddelivery dalam bekas kecil ini memang sedap dan cukup-cukup (just nice) bahagian makan untuk seorang. Sudah semestinya penyediaan hidangan laksa terbesar Sarawak yang mencipta rekod dalam Malaysia Book Of Records dan dilaporkan portal The Borneo Post mengambil masa 18 jam untuk dimasak dan dikatakan cukup untuk dimakan oleh 1,500 orang adalah suatu idea yang menarik sebab lebih ramai yang boleh nikmati kesedapan laksa Sarawak ini.

Ya, idea yang sangat menarik kalau hidangan laksa sebanyak itu diagih-agihkan untuk dimakan bersama-sama terutama bagi golongan yang kurang berkemampuan. Malangnya hidangan laksa sebanyak itu dilaporkan akan dibuang atas alasan tidak bersih untuk dimakan.

100 kg perencah laksa Sarawak
225 kg bihun
90 kg udang
1008 biji telur
90 kg tauge
90 kg isi ayam
(sumber : theborneopost.com)

Sayang betul! Pembaziran secara terang-terangan. Macam mana lah agaknya perancangan awal penganjur. Ada atau tidak dalam perancangan program ini untuk slot agihan laksa kepada orang ramai? Dengan bahan-bahan yang sebanyak itu, takkan lah penganjur hanya sasarkan untuk cipta rekod terbesar penyediaan hidangan tapi tak pastikan hidangan selamat untuk diagihkan juga? Jika teliti perancangannya sudah pasti satu lagi rekod dapat dicipta iaitu jamuan laksa Sarawak yang terbesar di Malaysia. Dan sekali pun laksa itu sudah tidak bersih untuk dimakan, langsung tak boleh diselamatkan lagi ke bahan-bahan dalam laksa tersebut?

Rekod paling banyak laksa Sarawak yang dibuang akan lebih diingati daripada rekod penyediaan mangkuk laksa Sarawak terbesar. Adakah kedua-dua 'rekod' ini akan direkodkan di Malaysia Book Of Records?

Ada tak sebarang cadangan nak ketatkan sikit syarat-syarat untuk sesuatu perkara atau aktiviti sebelum direkodkan dalam Malaysia Book Of Records?  Sekurang-kurangnya hanya rekodkan perkara yang memang betul-betul mencabar mental dan fizikal saja. Bukannya rekod sediakan hidangan laksa terbesar, rekod sediakan nasi dagang terpanjang, rekod mufin terpanjang dan perkara-perkara yang sewaktu dengannya.

Sudah habis idea kah rakyat Malaysia untuk cipta rekod?

:(


2 comments:

Deepavali dan I Am Muniandy

Saturday, October 29, 2016 Ana 0 Comments



Deepavali dan I Am Muniandy 



Assalamualaikum & salam sejahtera....

I Am Muniandy. Iklan Petronas (tonton di sini) sempena Deepavali yang disambut kaum India hari ini.

Objektif dan mesej utama iklan ini ialah jangan mudah menilai manusia hanya daripada luaran, Apa yang kita nampak di luar belum tentu itu lah yang mencerminkan diri sebenar seseorang.

Ok, dah bagus dah mesej yang nak disampaikan itu. Cuma iklannya nampak bersungguh-sungguh benar nak buat penonton salah anggap dengan individu-individu dalam iklan itu. Iklan ini nampak sangat terlalu mencuba.

iklan petronas i am muniandy


Babak beli peralatan di kedai hardware itu nampak terlalu beria-ia bagi seseorang yang nak beli alat untuk baiki pagar di rumah jagaan orang tua. Siap dengan gaya dan memek muka yang memang tak dapat nak dipersalahkan kalau ada orang yang salah faham dan sangka bukan-bukan. Tambah pula dengan babak pakai bandana tutup muka dan masuk senyap-senyap macam nak buat 'sesuatu' yang kurang baik lagaknya. Dalam suasana masyarakat hari ini yang macam-macam kes jenayah dilaporkan saban hari, memang tak dapat nak elak kalau ada persepsi negatif bila terserempak dengan orang yang bertingkahlaku yang macam itu.

i am muniandy iklan deepavali petronas


Tapi apa-apa pun, mesej yang disampaikan adalah jelas. Menilai orang lain hanya berdasarkan rupa dan penampilan luaran boleh merenggangkan hubungan sesama anggota masyarakat.  Mungkin boleh kalau kita nak menilai tapi jangan terlalu yakin dengan persepsi buruk kita itu selagi kita tak kenal dan tahu perkara yang sebenar (boleh ke macam ini?). Mungkin si A nampak berpakaian kusam dan kerjanya kumpul tin-tin kosong dan barangan terbuang dari tong sampah, tapi mana lah tahu sebenarnya dia ialah seorang ahli perniagaan yang berjaya dan itu cuma kerja 'sampingannya' saja? Mungkin sengaja nak alami sendiri bagaimana kehidupan pengumpul barang terbuang(ok, mungkin agak kurang logik contoh saya ini kan). Mungkin si B nampak kemas bergaya, berkot, bertali leher dan lagaknya seperti seorang usahawan kaya dan berjaya tapi realitinya ialah seorang penipu yang jalankan skim piramid yang haram dan salah di sisi undang-undang?


Iklan 'I Am Muniandy' ini masih tak boleh 'lawan' iklan 'Deepavali Boys' atau 'Boys In Da Hood' (tonton di sini) oleh Petronas, arahan Allahyarhamah Yasmin Ahmad pada tahun 2003 (kalau saya tak silap). Selamba seorang nenek yang 'menyekolahkan' cucu dan kawan cucunya yang terikut-ikut gaya barat dan lupa jati diri  mereka.

Grandma!
Muniandy! Muniandy Chinnadorai! What aren't you answering?
Who's this?
My friend.
What's your name?
Sam.
What Sam? Don't you have a proper name?
Muthusamy.
Huh?
My name is Muthusamy Karupiah!

:D

Selamat Menyambut Hari Deepavali!


0 comments:

Minyak masak seludup dan duit dalam kotak rokok...

Friday, October 28, 2016 Ana 0 Comments



Minyak masak seludup dan duit dalam kotak rokok...



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Salam hari Jumaat, salam sayyidul ayyam. Jom kita perbanyakkan berselawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad saw...

اللَّÙ‡ُÙ…َّ صَÙ„ِّ عَÙ„َÙ‰ Ù…ُØ­َÙ…َّدٍ ÙˆَعَÙ„َÙ‰ آلِ Ù…ُØ­َÙ…َّدٍ


Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.


Terkesima baca akhbar pagi ini. Cerita pasal sempadan negara yang dikawal penguatkuasa mudah bolos.

"Di Perlis, penyeludup campak kotak rokok berisi wang lepasi pemeriksaan di Perlis"

"Campak kotak rokok dan jalan. Hanya itu yang dipercayai perlu dilakukan penyeludup minyak masak bersubsidi untuk 'melepasi' pemeriksaan pihak berkuasa di Wang Kelian, Perlis"
(Sumber : Utusan.com.my)

Saya tak tahu kenapa tapi bila baca saja ayat di atas automatik saya rasa terhina. Saya bayangkan saya yang berada di tempat penguatkuasa itu. Saya sebagai penguatkuasa dan saya lepaskan lori yang dipandu oleh sindiket, tanpa buat sebarang pemeriksaan sebab pemandu lori itu dah campakkan 'habuan' saya dalam kotak rokok.

Minyak masak seludup dan duit dalam kotak rokok
Sumber: utusan.com.my


Rasa terhina sebab saya sebagai penguatkuasa yang diamanahkan untuk jaga sempadan negara, tapi saya butakan mata dan lepaskan penyeludup begitu saja. Buat-buat tak nampak dan buat-buat tak tahu apa yang ada dalam lori. Saya diberi kepercayaan tapi saya jadi macam harapkan pagar, pagar makan padi.

Rasa terhina sebab dah lah tak amanah, terima pula 'habuan' dengan cara macam itu. Cara itu macam 'sebab-kau-sanggup-khianati-amanah-nah-ambik-ni-kutip-habuan-kau-dalam-kotak-rokok!'

Minyak masak seludup dan duit dalam kotak rokok


Berapa agaknya paling banyak wang kertas yang boleh diisikan dalam sebuah kotak rokok?

20 keping duit RM100?

60 keping duit RM50?

Saya tak tahu nak agak saiz sekotak rokok.

Amanah, kepercayaan, tanggungjawab dan keselamatan negara lebih murah daripada nilai yang ada dalam kotak rokok itu?

Tak kisah lah dan peduli apa dengan rakyat Malaysia yang kekurangan bekalan minyak masak. Asalkan dapat keuntungan dua kali ganda bila dijual di negara jiran.
(Info: minyak masak bersubsidi 1 kg dijual dengan harga RM2.50 dan 2kg dengan harga RM6 hingga RM7.20 mengikut jenis. Harga sindiket? Minyak 1kg dan 2kg masing-masing dijual dengan harga RM4 dan RM10)


Rimas dan lemas dengan berita rasuah dan pecah amanah di sana sini yang dilaporkan hampir setiap hari. Ini bukan perkara baru. Tapi semakin lama semakin banyak jumlah yang terlibat, semakin banyak perkara yang di 'rasuah' dan di 'pecah amanahkan' dan semakin merebak ke pelbagai peringkat masyarakat. Puncanya? Kos hidup makin tinggi? Tamak haloba yang dah tak terkawal agaknya?

Duit, wang, harta dan kemewahan memang boleh menggelapkan mata. Gelap segelap-gelapnya!


0 comments:

Mangga muda dan peperiksaan akhir tahun...

Wednesday, October 26, 2016 Ana 0 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera...


Tinggal lebih kurang sebulan saja lagi sebelum sesi persekolahan untuk 2016 berakhir. Ada sekolah yang dah pun selesai peperiksaan akhir tahun dan ada yang baru bermula. Saya pun turut sama terasa 'demam' peperiksaan akhir tahun walaupun yang duduki peperiksaan itu bukannya saya tapi anak saudara saya yang belajar di tahun satu :P

"Mak Ngah, mangga muda tu masam ke manis?"

"Mangga muda? Mangga muda rasanya masam"

"Alaaa, semalam masa periksa Bahasa Melayu, abang jawab mangga muda rasa dia manis..."

"Tak apa lah, nak buat macam mana, dah tersilap..."

Begitulah soalan anak saudara saya yang mana soalan peperiksaan yang dijawabnya semalam teringat-ingat sampai ke hari esoknya.

peperiksaan akhir tahun


Melihat sukatan pelajaran anak-anak zaman ini memang jauh bezanya seperti langit dengan bumi berbanding zaman saya di tahun satu dulu (berpuluh-puluh tahun yang lepas!).  Tambahan pula soalan-soalan bukan lagi bersifat terus atau straight forward tapi memerlukan pelajar berfikir lebih dari apa yang tersurat selaras dengan pengaplikasian Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Memang besar cabarannya bagi pelajar-pelajar zaman sekarang. Seawal umur 4 tahun dah didaftarkan di tadika. Belajar di tadika selama 3 tahun sehingga mencapai usia 6 tahun. Di tadika pun sudah ada expectation yang tinggi daripada ibu bapa yang mengharap anak-anak kecil ini dah mahir membaca, mengira dan menulis serta dah bersedia untuk melangkah ke sekolah rendah. Kalau masih merangkak-rangkak mengeja dan membaca ketika berusia 5 tahun, anak akan dihantar ke kelas tuisyen. Samada kelas tuisyen secara peribadi di rumah atau kelas tambahan di tadika itu sendiri.

Memang sebelum ini saya rasa kelakar juga bila dengar ada kelas tuisyen untuk kanak-kanak sekolah rendah , apa tah lagi tadika. Tapi bila anak saudara saya yang berusia 5 tahun sendiri ikuti kelas tambahan di tadika nya setiap hari Selasa dan Khamis, dari jam 2 hingga 4 petang (tidak balik ke rumah dan bersambung dari waktu normal belajar di tadika iaitu dari pukul 8:30 pagi hingga 11 pagi) maka baru lah saya sedar yang sememangnya zaman sudah jauh banyak berubah.

Zaman tadika bukan lagi setakat zaman untuk main jongkang-jongkit dan gelongsor. Bukan lagi setakat zaman seronok nyanyi-nyanyi lagu 'Bapaku Pulang Dari Kota'. Bukan lagi setakat zaman seronok main kejar-kejar dengan kawan-kawan. Bukan lagi setakat zaman seronok main Play Doh dan mewarna gambar kucing dan layang-layang. Bukan lagi setakat zaman seronok main-main conteng tangan dengan water colour dan crayon.

Jika di zaman saya dulu, tuisyen hanya mula difikirkan setelah memasuki alam sekolah menengah. Jarang atau rasanya tak pernah pula saya dengar kawan-kawan saya yang hadiri kelas tuisyen semasa di sekolah rendah, ini kan pula semasa di tadika.

Jauh benar bezanya dengan sistem pendidikan di Jepun yang mana tiada sebarang peperiksaan untuk pelajar sekolah sehinggalah mereka berusia 10 tahun. Yang lebih ditekankan pada awal peringkat persekolahan ialah membina jati diri, pembentukan peribadi dan pendidikan moral. Teringat pula pada salah satu musim rancangan Fattabiouni yang disiarkan di tv AlHijrah mengenai masyarakat Jepun. Salah satunya ialah cara sistem persekolahan di sana yang unik. Antaranya ialah pengetua akan tunggu di pintu pagar sekolah setiap pagi untuk sambut kedatangan pelajar ke sekolah, pelajar-pelajar membersihkan sendiri kelas mereka, ada jadual giliran kumpulan pelajar yang bertugas untuk hidangkan makanan (makanan dimasak di sekolah), gosok gigi selepas makan di sekolah dan banyak lagi yang berjaya membentuk masyarakat Jepun yang tinggi tahap disiplin dan kebersihan nya.

Anak saudara saya duduki peperiksaan akhir tahun semasa di tahun satu pun saya dah terasa 'demamnya' macam mana agaknya kalau duduki UPSR, PT3  dan SPM nanti?

peperiksaan akhir tahun


Memang penting untuk lulus dalam peperiksaan, tapi lulus dalam peperiksaan itu bukanlah segala-galanya. Tidak lulus atau keputusan kurang baik bukan bererti dunia sudah berakhir ya!

Untuk adik-adik yang akan/sedang hadapi peperiksaan akhir tahun, selamat menduduki peperiksaan dan semoga dapat menjawab dengan tenang!




0 comments:

Hospital, tangki gas dan anak tangga eskalator yang tercabut.....

Tuesday, October 25, 2016 Ana 0 Comments



Hospital, tangki gas dan anak tangga eskalator yang tercabut.....



Assalamualaikum & salam sejahtera...

Al-Fatihah dan takziah buat keluarga mangsa yang terlibat dengan insiden kebakaran di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pagi tadi. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Meminta seseorang bersabar dengan dugaan yang menimpa memang mudah diucapkan tapi sangat sukar bagi yang menanggungnya.

Saya yakin dan percaya kakitangan hospital telah cuba sedaya upaya dan buat apa yang termampu untuk mengelakkan kehilangan nyawa dalam insiden ini. Jika benar punca insiden kebakaran disebabkan litar pintas, diharap agar sistem pendawaian hospital-hospital di seluruh negara dapat diperbaiki dan dipertingkatkan agar insiden yang sama tidak berulang kembali. Pastikan ada penyelenggaraan yang lebih kerap dari semasa ke semasa. Semoga ada hikmah di sebalik apa yang berlaku...

Selain satu lagi insiden melibatkan kehilangan nyawa di Johor Bahru iaitu seorang lelaki maut apabila tangki NGV meletup di sebuah stesen minyak di Mount Austin, Johor Bahru, kita juga dikejutkan dengan berita eskalator meletup di sebuah pusat membeli belah di Pandan Indah.

Malang tak berbau


Tergamam sekejap bila tengok rakaman bagaimana tiba-tiba tangga eskalator itu tercabut satu persatu selepas berlaku satu letupan kecil. Letupan kecil pun dah akibatkan kerosakan yang sebegitu teruk. Memang sangat-sangat bernasib baik tiada pengunjung yang sedang menaiki eskalator pada waktu kejadian, Kalau ada, macam mana? Terbayang pula insiden sekitar Julai tahun lepas. Si ibu yang maut ketika menaiki eskalator bersama anaknya di China setelah lantai eskalator itu tiba-tiba runtuh. Tertanya-tanya samada penyelenggaraan eskalator ada di buat di pusat beli belah Pandan Kapitol ini, Macam mana diselenggara hingga boleh berlaku insiden anak tangga eskalator tercabut dari pemegangnya ini? Atau mungkinkah kes ini disebabkan eskalator itu sudah terlalu lama tidak diselenggara?

eskalator meletup di pandan kapitol
Sumber : mynewshub.cc

Tengoklah gambar-gambar di atas. Kerosakan yang teruk diakibatkan oleh letupan kecil, nampak sangat menakutkan bagi saya! Tapi menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat,  mereka dimaklumkan mengenai insiden tersebut untuk direkodkan sahaja kerana pihak pengurusan kompleks telah pun membaiki eskalator itu (baca di sini), Oh, hanya untuk rekod dan tak perlu siasatan lanjut punca kejadian ke?  Saya saja yang melebih-lebih atau memang insiden ini hanya insiden kecil dan memang tak membahayakan pun?

Lepas ini bila naik eskalator di mana-mana nampaknya kena lah berjaga-jaga dan sedia untuk melompat selamatkan diri,,,

Malang memang tak berbau.

Tapi kita sebagai manusia yang berakal perlulah bertanggungjawab memastikan keadaan yang selamat dan tak ambil mudah dengan soal-soal begini.



0 comments:

Hari ini genap 19 tahun...

Tuesday, October 25, 2016 Ana 0 Comments


Hari ini genap 19 tahun...



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Hari ini genap 19 tahun pemergian arwah Mak Long saya.

Pada tarikh ini, 19 tahun yang lepas, lebih tepat lagi pada 25 Oktober 1997, selepas waktu Asar, saya telah kehilangan arwah Mak Long saya buat selama-lamanya. Mak Long saya mengidap kanser payudara, kanser yang paling ditakuti oleh golongan wanita.

penyakit kanser pembunuh nombor satu


Arwah Mak Long saya ialah orang yang banyak berkorban untuk orang lain. Semasa zaman remaja nya, arwah tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang tinggi selepas sekolah menengah demi memberi peluang buat adik-adiknya yang lain. Zaman itu zaman susah. Arwah Mak Long tugasnya bantu arwah nenek menjual kuih-muih. Pengorbanan Mak Long bukan setakat itu saja. Arwah Mak Long juga lah yang menjaga saya adik-beradik ketika kami masih kecil. Arwah Mak Long tidak berkahwin hingga ke akhir usianya..

Mak Long saya sakit tak lama. Atau itu lah yang saya sangka kan. Masih jelas lagi waktu itu saya masih menuntut di peringkat matrikulasi di UKM dan hujung minggu itu saya pulang ke rumah seperti biasa. Dalam beg dah siap saya beli kan 2 potong kek coklat, yang saya tahu merupakan kegemaran emak dan Mak Long saya. Setibanya di rumah, yang menanti terbaring di ruang tengah rumah ialah Mak Long saya. Beliau sudah tak mampu bergerak. Dan ketika itu lah baru saya tahu mengenai kanser yang dideritainya. Betapa selama ini Mak Long saya hanya berubat sendiri menggunakan minyak turut dan ubat-ubatan traditional. Betapa selama ini tiada seorang pun antara ahli keluarga yang perasan keadaan Mak Long saya. Betapa Mak Long saya telah sedaya upaya menyorokkan penyakit nya daripada kami....:(

Saat-saat akhir Mak Long ialah di katil di wad Hospital Kuala Lumpur walaupun pada mulanya beliau keberatan untuk ke hospital. Saat-saat akhir Mak Long sempat dikelilingi oleh adik-adik dan anak-anak saudara nya. Saat doktor berbangsa Cina itu datang menghampiri kami yang berkumpul di katil Mak Long, sememangnya hanya Tuhan yang tahu perasaan saya ketika itu.

"Saya minta maaf. Kami tak boleh buat apa-apa lagi...."

Mendengar kata-kata doktor itu rasa seperti dalam drama. Ya, dah banyak kali saya dengar dialog itu dalam drama tv. Bezanya pada waktu itu ia bukan lagi drama. Ia adalah kenyataan yang perlu diterima walau pun pahit. Membisikkan syahadah di telinga Mak Long saya bukan sesuatu yang berlaku dalam drama. Ia adalah realiti. Benar-benar berlaku. Dan walaupun  telah hampir 2 dekad berlalu, terasa seperti baru semalam Mak Long meninggal kan kami.

Pada hari itu, kek coklat kegemaran Mak Long itu tinggal tidak terusik...

Kehilangan Mak Long sememangnya memberikan kesan yang mendalam buat kami. Terutamanya kepada adik saya yang dapat dengan arwah, berubah menjadi terlalu kurus kering sehingga cengkung mukanya seperti orang yang dah lama sakit. Puas ke klinik tapi keadaan adik saya tetap sama. Hinggalah suatu hari kami ke sebuah klinik di Kg Baru. Doktor meminta untuk bercakap dalam bilik rawatan dengan adik saya seorang saja. Tak tahu lah apa yang dicakapkan oleh doktor itu, Alhamdulillah adik saya kembali berat badannya seperti sediakala tidak lama kemudian.


Baca juga :
Kanser hati dan perginya Pak Uda...

Apa saja yang berkaitan dengan kanser jika saya terbaca di media pasti akan mengingatkan saya pada arwah Mak Long. Pemergian Mak Long menyedarkan kami akan pentingnya untuk berjaga-jaga dalam soal pemakanan dan gaya hidup yang lebih sihat. Meskipun kanser payudara sehingga kini belum dapat dipastikan sebenar-benar puncanya, namun antara faktor yang sering dikaitkan dengan kanser ini ialah sejarah kanser dalam keluarga, faktor umur, genetik, berat badan berlebihan dan gaya hidup yang kurang aktif. Faktor genetik dan sejarah kanser dalam keluarga ialah perkara yang di luar kawalan. Jadi apa yang mampu dibuat ialah mengubah cara hidup yang lebih sihat walaupun kadang-kadang itu 'terbabas' juga dalam pengambilan makanan kurang berkhasiat secara berlebihan dan kurang aktif dalam kehidupan seharian.


Kanser merupakan pembunuh utama dan dijangka menjadi pembunuh lebih besar dengan peningkatan 54 peratus bagi kes baharu menjelang 2025 sekiranya ia tidak ditangani. (sumber: mstar.com.my)


Sumber : mstar.com.my


Mencegah lebih baik daripada mengubati.

Jom sama-sama kita lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala dan berubah ke arah gaya hidup yang lebih sihat...


0 comments:

Wallpaper, wallsticker dan deko-deko rumah baru...

Tuesday, October 25, 2016 Ana 0 Comments



Wallpaper, wallsticker dan deko-deko rumah baru...


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Deko Bersama Eric. Ada lagi ke rancangan ni?

Kalau tak silap rancangan ini mula bersiaran pada tahun 2000 dan pada mulanya dikenali dengan nama Casa Impian, Dulu-dulu saya suka sangat tonton rancangan Deko Bersama Eric sebab kagum dengan cara bagaimana suatu ruangan itu bertukar daripada 'kurang cantik' kepada ruang yang sangat cantik setelah di deko oleh pengacaranya, Eric Leong. Ditambah pula dengan gelagat Eric yang gila-gila dan menghiburkan itu. Kadang-kadang bukan banyak sangat pun yang dihias, cuma sekadar cat dinding, tukar lampu yang canggih sikit dan letak satu dua kerusi makan atau sofa yang baru, tukar langsir baru, dah terus nampak berseri-seri dan lain sangat rupanya ruang itu daripada keadaan asalnya.

Sebenarnya melalui rancangan Deko Bersama Eric ini baru saya tahu apa itu 'feature wall'. Dalam bahasa mudahnya ialah dinding yang berbeza warna atau corak (design) nya berbanding dinding-dinding lain dalam sesebuah rumah atau bilik. Cara mudah nak hasilkan satu feature wall ialah dengan cat feature wall dengan cat yang menonjol dari dinding-dinding yang lain. Atau pilihan lain ialah dengan menampal wallpaper atau wallsticker.

wallpaper dan wallsticker



Ada beza ke antara wallpaper dan wallsticker? Antara penerangan mudah yang saya jumpa ialah di blog 'Hana Flower & Wallpaper' (baca di sini).




Tiba-tiba teringat pasal Deko Bersama Eric ini sebenarnya sebab adik saya bakal berpindah ke rumah yang baru dibelinya di Sierra Ukay. Bukanlah rumah baru tapi dibeli daripada bekas pemilik lamanya iatu seorang foreigner yang telah pulang ke negara asalnya. Berbanding rumah yang betul-betul baru dengan rumah yang dibeli second hand, nak mengemas rumah second hand ini rasanya lebih banyak kerjanya. Atap bocor sana sini, car terkopek, pili tercabut dan macam-macam lagi yang perlu dibaiki sebelum boleh didiami, Dan selalunya bila nak masuk rumah baru ini semestinya ada satu perasaan serba serbi nak beli baru kan? Jadi daripada asalnya cuma nak baiki apa-apa yang rosak, terkopek dan tercabut, akhirnya senarai jadi bertambah dengan nak extend dapur lah, nak pasang lantai kayu lah hingga kepada cadangan nak buat swimming pool di luar rumah!

Pokok pangkalnya ialah ongkos @duit @bajet. Nak jadikan ruang sempit nampak luas? Nak jadikan ruang gelap nampak terang? Nak dekorasi rumah nampak moden? Nak dekorasi ala Inggeris? Nak dekorasi ala kampung?  Kalau ada duit semua boleh jadi kan!  Walaupun berbelanja untuk ubahsuai rumah ini adalah salah satu pelaburan untuk masa depan (ubahsuai rumah boleh tingkatkan nilai rumah), perlu juga berpada-pada dalam berbelanja dan tak terlalu ikut perasaan supaya tak membazir pada ubahsuai yang tak perlu.


Selamat berdeko-deko!

 

0 comments:

Jom tukar kad debit yang baru!

Monday, October 24, 2016 Ana 2 Comments



Jom tukar kad debit yang baru!


Assalamualaikum & salam sejahtera....


Kenapa kita perlu tukar kad debit/kad ATM kepada kad yang baru sebelum 1 Januari 2017?

"Apa yang ada dalam kad debit yang baru ni dik? Apa yang lain dengan kad yang ada sekarang ni? Kenapa nak kena tukar?"

"Apa yang lain ya? Yang lain nya dalam kad debit baru ni ialah kad baru ini ada Pay Wave. Nanti kalau nak bayar tak bayar guna kad debit tak payah nak insert kad dalam mesin cuma perlu wave je. Satu lagi kenapa kena tukar sebab ni arahan Bank Negara yang mana semua pemegang kad debit kena guna kad yang ada chip baru ni"


Lebih kurang macam itu lah jawapan yang diberi oleh staf yang bertugas semasa saya tukar kepada kad debit Bank Islam yang baru pada hari Sabtu lepas. Niat ke Bank Islam asalnya cuma nak gunakan ATM, tengok-tengok buka pula bahagian pejabat Bank Islam ini pada hari Sabtu. Selesai guna ATM, staf yang memang sedia berdiri dekat pintu bertanyakan samada saya dah tukar kepada kad debit Bank Islam yang baru. Bila saya geleng kepala, beliau terus cadangkan saya buat penukaran masa itu juga, Sekejap saja katanya, tak ambil banyak masa. Dan hasilnya, ini lah kad debit Bank Islam saya yang baru...

Tukar kepada kad debit yang baru


Sejak mesin pengeluaran wang (ATM) dicipta pada 1972 dan diperkenalkan penggunaannya di Malaysia pada awal 1990 ,  kad ATM telah melalui beberapa evolusi seiring dengan perubahan zaman. Kalau anda perasan, kad ATM yang mula-mula dahulu hanya dilengkapi dengan jalur magnetik (magnetik stripe) di belakang nya. Dalam magnetic stripe ini lah tersimpannya data seperti maklumat nombor kad, tarikh luput dan kod CVV. Untuk lebih ciri-ciri keselamatan, kad ATM telah berevolusi dengan satu penambahan ciri baru di samping jalur magnetik. EMV card atau kad pintar atau lebih dikenali sebagai kad cip telah diperkenalkan, di mana data di simpan dalam 'litar' yang diintegrasikan dalam cip pintar. EMV ialah singkatan bagi Europay, Mastercard dan Visa iaitu 3 syarikat yang mula memperkenalkan standard penggunaan kad cip ini.

Apa bezanya kad ATM dan kad debit? Lihat pada kad yang anda ada sekarang. Jika ada tertera logo Visa atau Mastercard maka itu adalah kad debit. Kad ini boleh berfungsi sebagai kad debit dan juga kad kredit.

Dengan adanya kad ATM dilengkapi cip, penggunaan kad ATM diperluaskan lagi menjadi kad debit, yang mana pengguna boleh menggunakan kad debit untuk membuat transaksi di mesin POS (Point Of Sales)  di mana-mana tempat yang menerima penggunaan kad debit. Contoh mudah ialah di pasaraya. Tapi pastikan baki akaun anda mencukupi sebelum menggunakan kad debit di mesin POS. Sesuai dengan namanya iaitu kad debit, maka transaksi yang anda buat menggunakan kad debit ini akan terus ditolak daripada baki simpanan anda di bank. Disebabkan kad debit ini boleh berfungsi sebagai kad debit dan kredit, maka pada masa sekarang ada dua cara pengesahan ketika transaksi. Jika anda memilih debit, maka anda akan diminta untuk masukkan PIN semasa membuat transaksi. Jika anda memilih kredit, maka pengesahan ialah melalui tandatangan pada resit bayaran. Selain mesin POS, kad debit juga boleh digunakan untuk membuat transaksi secara online.

Ada kah kad debit yang baru ini lebih baik atau lebih selamat? Melalui kaedah baru 'Pin & Pay' yang diwajibkan Bank Negara ini, kad debit yang baru akan mewajibkan penggunaan PIN menggantikan tandatangan yang digunapakai sekarang bagi transaksi di mesin POS, bagi semua transaksi yang menggunakan kad debit. PIN ini adalah nombor yang sama untuk transaksi ATM (contoh: keluarkan duit di mesin) dan POS (contoh: ketika bayar di kaunter pasaraya).

Walaupun penggunaan PIN ini akan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2017 nanti, perlu juga kita ingat yang bukan semua mesin POS 'bersedia' untuk menggunapakai kaedah PIN ini. Bagi kes begini, transaksi masih juga akan diproses tanpa perlu anda masukkan PIN dan anda perlu menurunkan tandatangan di resit setelah transaksi lengkap diproses. Sama juga kaedah nya jika anda buat transaksi di luar negara yang mana masih banyak negara yang belum menggunapakai PIN ini.

Baca juga:
Tukar kad debit Maybank dan CIMB yang baru....
Tukar kad debit Maybank yang baru dalam masa 2 minit!
Tukar kad debit baru melalui online dan kiosk, hanya untuk kad Maybank?


Setakat ini pada pengetahuan saya, selain pergi sendiri ke cawangan bank untuk membuat penukaran kad, hanya Maybank yang memberi kemudahan menukar kad kepada kad debit yang baru secara online. Login ke maybank2u.com.my dan pergi ke bahagian 'Card Management' untuk isi maklumat yang diperlukan. Setelah permohonan anda siap diproses, kad debit yang baru akan diposkan ke rumah anda dalam masa 14 hari bekerja. Mudah kan? Bagi lain-lain bank, penukaran perlu dibuat dengan pergi sendiri ke cawangan terdekat bank tersebut. Hanya perlu bawa kad pengenalan dan kad debit untuk penukaran.



Jom tukar kad debit yang baru!


2 comments:

Warna-warna pilihan hati...

Saturday, October 22, 2016 Ana 0 Comments




Warna-warna pilihan hati...



Assalamualaikum & salam sejahtera....


Petang semalam masa tengah 'khusyuk' tonton sesi pembentangan Bajet 2017 di tv, tiba-tiba anak saudara saya yang berusia 5 tahun bertanyakan satu soalan cepumas.

"Mak Ngah, kenapa orang laki dalam tv tu pakai baju kaler pink?" (sambil tangan tunjuk kat tv yang sedang siarkan Bajet 2017)

"Sebab dia suka warna pink lah tu. Kenapa adik tanya?"

"Laki mana boleh pakai kaler pink. Nampak macam pompuan"

"Err..."


Betul ke lelaki tak boleh dikaitkan dengan warna pink @ merah jambu? Saya pun kurang pasti dari mana anak kecil yang berusia 5 tahun dapat tahu pasal ketidaksesuaian antara lelaki dan warna pink.



Warna pink yang selalu dikaitkan dengan kelembutan, keceriaan dan mungkin sedikit sikap manja kebiasaannya digemari oleh golongan wanita. Jadi, hanya lelaki yang 'berani' (berani ke) saja sanggup untuk mengenakan pakaian yang berwarna pink. Jika ada lelaki yang mengenakan warna pink lembut mungkin masih boleh diterima oleh kebanyakan orang, tapi jika dari jauh 10 meter dah nampak warna baju pink yang terang benderang, err yang itu mungkin agak kurang sesuai.

Apa saja warna yang keterlaluan sememangnya kurang sesuai, begitu juga dengan warna. Selain warna pink, warna kuning yang terlampau terang juga memang menyakitkan mata. Warna kuning ialah warna yang dapat meningkatkan tenaga, menambahkan mood dan menaikkan semangat. Mungkin sebab itu juga bila lampu isyarat bertukar kepada kuning, kebanyakan pemandu menjadi lebih bersemangat untuk menekan pedal minyak dan memecut!

Sebut pasal lampu isyarat, saya percaya kita semua tahu apa maksudnya lampu isyarat warna kuning pada lampu isyarat yang berkelip-kelip kan? Atau ada yang masih belum tahu? Lampu kuning yang berkelip-kelip bermaksud berhati-hati. Anda ada pilihan untuk berhenti jika ada kenderaan lain yang menghalang laluan atau anda boleh teruskan perjalanan jika tiada kenderaan atau orang melintas jalan. Masih ada juga orang yang tak tahu mengenai isyarat ini. Seperti apa yang saya alami baru-baru ini ketika berhenti di lampu isyarat di simpang 4 berdekatan hotel Shangri La. Kereta di hadapan tak mahu bergerak meskipun lampu isyarat kuning berkelip-kelip dan tiada sebarang kenderaan di hadapan. Bunyi hon dah bersahut-sahutan di belakang tapi pemandu masih buat tak kisah. Penunggang motorsikal turut beri isyarat suruh jalan tapi dibalas dengan pemandu itu yang tunjukkan ke arah lampu isyarat merah (lampu isyarat kuning yang berkelip-kelip itu dia tak nampak pula!) maka sebab itu dia tak boleh jalan!


Seperti juga warna kuning, warna oren atau jingga serta warna merah juga dapat membangkitkan semangat dan rasa positif dalam diri. Warna oren juga dikatakan dapat mengurangkan stress dan sangat sesuai untuk meransang selera makan manakala warna merah melambangkan kekuatan, energi, keberanian dan menarik perhatian. Adakah sebab itu warna oren dan merah digunakan pada wajah baru Hospital Kuala Lumpur? Untuk bangkitkan semangat, rasa positif, kurangkan stress dan meransang selera makan?

warna merah dan oren gabungan yang serasi
Sumber : kkr.gov.my
Wajah baru Hospital Kuala Lumpur

Membawa mood tenang, sejuk, mendamaikan dan nampak lebih stabil, itu lah warna biru. Kalau saya yang in charge dalam pemilihan warna untuk wajah baru Hospital Kuala Lumpur ini, memang warna biru lah yang jadi pilihan saya disebabkan kesan yang menenangkan itu. Selain itu, warna biru juga menjadi pilihan syarikat ternama dalam logo syarikat mereka seperti Samsung, Mobil, Adidas, Maxis, IBM, Celcom, TM, Nokia malah media sosial paling popular, Facebook kerana warna biru dikatakan dapat memberi kesan kepercayaan dan profesionalisma.


warna biru dalam logo syarikat ternama
Warna biru dalam logo-logo syarikat


Warna hijau dikatakan sebagai warna yang paling harmoni.Warna hijau itu sendiri ialah gabungan dua warna primer iaitu biru dan kuning. Warna yang sinonim dengan alam semulajadi ini memberi efek yang mendamaikan dan menyenangkan. Kita pun selalu dengar nasihat 'pergilah-ke-tempat-tempat-dengan-pemandangan-menghijau-untuk-tenangkan-fikiran' kan. Selain itu warna hijau juga selalunya melambangkan sesuatu yang positif, seperti tanda lulus, tanda harga melonjak dalam pasaran saham dan tanda membenarkan sesuatu perkara (conthohnya macam dapat green light). Efek warna hijau yang menyenangkan yang paling jelas ialah warna hijau pada lampu isyarat. Memang 'menyenangkan' bila lampu isyarat bertukar kepada warna hijau kan.  'Tangan hijau' atau 'green fingers' pula ialah panggilan buat orang yang tanam apa sahaja pasti akan tumbuh dengan subur.  Dan bagi mereka yang menjaga pemakanan, pasti tidak asing lagi dengan teh hijau yang ada 1001 manfaat untuk kesihatan.




Merah, biru, hijau, kuning, pink, oren dan ratusan ribuan warna-warna yang wujud di alam ini setiap satunya ada keistimewaannya yang tersendiri di mata penggemarnya.

Apa pula warna kegemaran anda?


[Iklan] Apa kaitan antara warna dan amalan berdiet? Ada kaitan antara warna dan kediaman anda? Macam mana agaknya kehidupan manusia tanpa warna? Ketahui info-info menarik ini dalam buku 'Aura Personaliti Warna', dapatkannya di sini!








 

0 comments:

Apa yang menarik dalam Bajet 2017?

Friday, October 21, 2016 Ana 0 Comments



Apa yang menarik dalam Bajet 2017?



Assalamualaikum & salam sejahtera....


Bajet 2017 dah selamat dibentangkan petang tadi.

Sebagai rakyat yang hidup di 'zaman serba mencabar ini', pastinya yang ditunggu-tunggu setiap kali bajet dibentangkan ialah sebarang inisiatif yang dapat membantu mengurangkan kos sara hidup dan penambahbaikan dalam kualiti hidup seharian, Dalam kata mudahnya, yang dinanti-nantikan ialah apa-apa perkara dalam bajet yang dapat buka peluang untuk tambahkan pendapatan dan yang dapat kurangkan pemotongan pendapatan.

bajet 2017

Saya hanya sempat tonton siaran langsung bajet petang tadi lebih kurang jam 6 petang. Kebetulan ketika saat saya on kan tv itu, perkara pertama yang saya nampak ialah 'sesuatu' sedang berlaku di Dewan Rakyat dan separuh bahagian Dewan Rakyat telah kosong. Apa yang berlaku? Google saja, pasti banyak cerita di sebalik apa yang berlaku.


bajet 2017

Antara insentif menarik yang dapat saya tangkap ketika sesi pembentangan bajet tadi ialah:

1. Golongan B40 (kumpulan individu yang mempunyai isi rumah dengan pendapatan bulanan sehingga RM3,855), digalakkan menjadi pemandu Uber terutamanya yang memiliki kenderaan sendiri. Bagi tujuan ini, mereka yang tidak mempunyai kenderaan sendiri boleh lah gunakan bantuan BR1M sebagai bayaran pendahuluan dan rebat RM4,000 juga diberikan bagi pembelian kereta Proton Iriz.
---> Memang telah terbukti ramai yang berjaya tambah pendapatan dengan hanya memandu Uber secara secara sampingan /part time. Semakin bertambah lah pemandu Uber di jalan raya nampaknya. Terfikir pula apa kah nasib pemandu teksi selepas ini?


2. BR1M dinaikkan daripada RM1,000 dan RM1,050 kepada RM1,200 untuk pendapatan bulanan < RM3.000.  Bagi isi rumah dengan pendapatan RM3,000 hingga RM4,000, BR1M dinaiikkan daripada RM800 kepada RM900. Individu bujang berpendapatan bawah RM2,000, BR1M dinaikkan daripada RM400 kepada RM450.
---> Saya bukan tidak setuju dengan BR1M, tapi tertanya-tanya juga sampai bila kah BR1M akan diberi dan sampai bila mampu dinaikkan setiap kali bajet dibentangkan? Setiap kali sebut pasal BR1M, setiap kali itu juga lah saya akan teringat kata-kata 'Memberi pancing lebih baik daripada memberi ikannya' atau 'Give a man a fish and you will feed him for a day. Teach a man to fish and you feed him for a lifetime!'


3. Disebabkan kejatuhan harga minyak, kerajaan telah kehilangan kira-kira RM30 billion setahun daripada sumber cukai pendapatan, cukai korporat, royalti, dividen Petronas dan cukai Petroleum. Sementara itu, sehingga 19 Oktober 2016, sebanyak hampir RM30 billion telah berjaya dikutip melalui GST.
---> Angka yang menarik. Kehilangan RM30 billion dan  kutipan RM30 billion. Err...syukur ada GST....?


4. "Kepada penjawat awam, saya tahu tak tidur malam jika perkara ini tidak diumumkan. Bagai pucuk dicita, khabar gembira sudah pun mendatang
---> Hehehe...Perdana Menteri tahu setiap kali bajet, ini lah pengumuman yang sangat dinanti-nantikan penjawat awam. Bayaran khas sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam, manakala RM250 kepada para pesara Kerajaan. Bayaran ini akan diberi pada awal Januari 2017.



bajet 2017 - bayaran khas penjawat awam



5. Berita baik untuk wanita yang menyusukan anak dan ibu bapa yang mempunyai anak berumur 6 tahun dan ke bawah. Pelepasan cukai (setiap dua tahun sekali) hingga RM1,000 bagi pembelian peralatan menyusu bermula tahun taksiran 2017, dan pelepasan cukai hingga RM1,000 bagi ibu bapa yang hantar anak ke taman asuhan dan prasekolah berdaftar.
---> Ini memang berita baik terutamanya bagi ibu bapa yang mempunyai tanggungan yang ramai.


6. Selain bayaran khas untuk penjawat awam, sebenarnya banyak lagi bonus untuk penjawat awam dalam bajet kali ini. Antaranya ialah kemudahan cuti belajar dengan gaji dibayar penuh, pemberian cuti kuarantin bagi penjawat awam yang mempunyai anak yang sakit, kemudahan pembiayaan komputer kini diperluaskan kepada pembiayaan smartphone dan had pinjaman pembelian motorsikal dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000.
---> Rasanya ramai yang cemburu dengan macam-macam yang penjawat awam dapat setiap kali bajet dibentangkan!


Ramai juga yang wakil-wakil yang datang mendengar pembentangan bajet di Dewan Rakyat tadi. Antara yang turut kelihatan ialah imam dan bilal, anggota Rela, wira-wira yang memenangi pingat di sukan paralimpik yang lalu serta wakil-wakil anggota pasukan keselamatan yang mana turut menerima insentif dalam bajet kali ini. Kalau ikutkan kata-kata Perdana Menteri tadi, tak sangka Perdana Menteri pun tonton Abang Bomba:

"Bersama-sama kita juga pada petang berbahagia ini, wakil-wakil para veteran, pasukan perajurit juga anggota keselamatan, yang merupakan wira-wira bangsa dalam mempertahankan kedaulatan pertiwi. Nampaknya hanya Abang Bomba saja yang tak ada..."


bajet 2017
Teks penuh ucapan bajet 2017 boleh dirujuk di sini.

Di hujung pembentangan beliau, PM telah mengumumkan satu siri dialog nasional akan dilancarkan bagi 'memeta hala tuju negara atas kanvas yang baru'. Dialog nasional yang dikenali sebagai 'Transformasi Nasional 2050' atau TN50. TN50 akan dikendalikan oleh Kementerian Belia dan Sukan dan dinaungi oleh PM sendiri.

"TN50, inilah azimat kita mulai kini, biarlah legasi lama berlalu pergi. Harapan masa depan Malaysia kita baharui."
transformasi nasional 2050transformasi nasional 2050

Ada sesuatu yang menyentuh perasaan dalam ayat 'biarlah legasi lama berlalu pergi' itu. Adakah legasi itu merujuk kepada legasi yang membawa kepada terbina nya Menara Berkembar Petronas, Sepang, Putrajaya, Cyberjaya, Menara KL dan KLIA? 

Sudah tidak terpakaikah 9 cabaran strategik yang digariskan dalam Wawasan 2020?

Wawasan meningkat kemajuan
Tiada lagi kepincangan
Kemewahan rasa dirasai
Bersama kita nikmati

Wawasan 2020
Satu pandangan jauh
Bukan impian malah kenyataan
Bersama kita jayakan

Lagu Wawasan 2020 kini hanya tinggal kenangan.....


0 comments: