Minyak naik dan naik minyak....

Wednesday, November 02, 2016 Ana 0 Comments


Minyak naik dan naik minyak....


Assalamualaikum & salam sejahtera...

Harga minyak naik bukan perkara yang baru. Setiap awal bulan pasti kita akan 'teruja' nak tahu harga petrol dan diesel untuk bulan tersebut. Sebagai pengguna, memang tiada pengguna yang suka (atau ada juga kah pengguna yang suka?) bila harga minyak naik.

Setiap kali minyak naik, setiap kali itu juga lah pengguna akan naik minyak. Tapi itu saja lah, setakat naik minyak, setakat komen dan kutuk di media sosial. Setakat itu yang mampu pengguna lakukan. Dari dulu hingga sekarang, itu lah yang akan berlaku setiap kali harga minyak naik. Dan dari dulu hingga sekarang jugalah belum pernah lagi harga minyak diturunkan kesan daripada komen, kutukan dan rungutan secara beramai-ramai itu.

harga minyak naik


Kenapa orang marah sangat harga minyak naik? Mungkin sebab harga minyak boleh dianggap sebagai 'penghulu segala harga' barangan keperluan. Bila harga minyak naik maka tak lama lepas itu kebiasaannya berderet-deret lah pula timbul rungutan harga tambang bas sekolah naik, harga ayam naik sebab ayam naik lori ke pasar dan lori gunakan minyak,  harga barang itu dan ini naik. Daripada pengalaman saya, harga tosei pun naik ya! Saya ingat lagi tahun lepas bila harga petrol RON95 naik 0.25 sen daripada RM1.70 pada bulan Februari 2015 kepada RM1.95 pada bulan Mac 2015.  Maka harga tosei di restoran yang biasa saya kunjungi pun naik daripada RM1.50 kepada RM1.70. Tak lama lepas itu, lepas GST diperkenalkan pada April 2015, harga tosei pun naik lagi kepada RM1.80.

Dan bila harga minyak mulai turun daripada bulan Disember 2015 (RM1.95), Januari 2016 (RM1.85), Februari 2016 (RM1.75) hingga Mac 2016 (RM1.60) adakah harga tosei itu turut turun? Tak. Adakah harga barangan lain turut turun? Tidak. Memang betul kata netizen, yang selalunya turun di Malaysia ini hanyalah hujan. Harga barang? Jarang-jarang. Kadang-kadang.

Jadi jangan lah ada yang sinis perli-perli kata kenapa pengguna bising bila harga minyak naik tapi tak kata apa-apa bila harga minyak turun. Sebab yang turun hanya harga minyak. Harga barangan yang naik disebabkan harga minyak naik tetap kekal tak turun-turun.

Baca juga:
Harga minyak naik mulai 1 Oktober 2015...


Kenapa harga minyak di Malaysia naik bila harga minyak dunia turun dengan ketara? Confused, tapi tak tahu nak kata apa. Walaupun dah baca cara kiraan penentuan harga minyak yang YB Khairy Jamaludin (baca di sini) post di FB pada tahun 2014, saya yang kurang bijak ini masih keliru.

Kenaikan harga minyak adalah sesuatu yang luar daripada kawalan kita. Daripada merungut harga minyak naik, jom kita buat apa yang mampu kita buat.

Kurangkan memandu dan guna pengangkutan awam? Kalaulah sistem pengangkutan awam di negara ini sebegitu efisien, memang itu lah pilihan yang terbaik untuk elakkan kos harga minyak.

Kurangkan pandu laju, kurangkan beban dalam kereta, guna gear yang sesuai dan segala macam tips dan petua pemanduan yang akan diulang-ulang setiap kali harga minyak naik?

Kurangkan makan di luar nak elak harga barang yang naik sebab harga minyak naik?

Buat kerja sampingan untuk tambah pendapatan isi rumah?

Antara pendapat dan tips terbaik dalam menghadapi kenaikan harga itu dan ini ialah artikel tulisan Tuan Khairul Hakimin Muhammad, bertajuk 'Kenapa Mesti Merungut Jika Boleh Buat Pilihan?' (boleh dibaca di sini).

Rasa nak naik minyak bila minyak naik? Dulu , kini dan selamanya,  tak akan ada orang yang peduli pun!










0 comments: