Cerita viral, sinar kosmik dan padamkan handphone anda malam ini.....

Thursday, November 10, 2016 Ana 0 Comments


Cerita viral, sinar kosmik dan padamkan handphone anda malam ini.....



Assalamualaikum & salam sejahtera....


kenapa orang mudah percaya viral


Kenapa orang mudah percaya dengan berita di Internet dan sebarkan hingga jadi viral?

"Tonight from 12:30 am to 3:30 am cosmic rays entering earth from Mars. Pls switch off your mobile at night. Don't keep it with you & put it away while you are sleeping because they are too much dangerous rays. NASA informs BBC News. Pls spread this news"
Ini ialah salah satu 'hebahan' yang saya baca di group whatsapp emak saya (ya, saya selalu 'periksa' handphone emak saya dan sms, whatsapp2 yang diterima) petang tadi. Bila baca mesej di atas dan rasa macam tak logik, saya pun tanya en google. Menurut en google, mesej ini adalah hoax atau satu penipuan dan dah pernah disebarkan dan 'berlegar-legar' di kalangan orang ramai bermula daripada sebuah blog sekitar tahun 2008. Untuk mengukuhkan mesej ini dan buat orang lebih percaya, maka dikaitkan pula dengan NASA dan BBC. Mesej yang sama dikitar semula pada tahun 2012, 2013 dan 2014. Dan kini ia muncul kembali.

Antara hujah yang menyangkal kebenaran mesej ini ialah sinar kosmik hanya dipancarkan samada oleh bintang atau entiti yang sedang menghadapi tindak balas nuklear. Planet Marikh itu sendiri bukannya sejenis bintang yang boleh memancarkan radiasi yang merbahaya dan tidak pula sedang berhadapan dengan tindak balas nuklear. Boleh baca lebih lanjut di sini dan di sini.

Apa akan jadi kalau semua orang percaya kepada mesej viral ini? Mungkin akan timbul masalah jika ada kecemasan pada waktu handphone ditutup itu. Mungkin akan timbul keadaan panik tanpa sebab bila terlalu fikirkan sinar kosmik yang dikatakan terlalu bahaya itu. Atau mungkin juga jadi peluang keemasan buat pencuri pecah masuk rumah kerana tuan rumah tak akan dapat hubungi polis pada waktu tersebut?

Kenapa agaknya orang mudah sangat percaya dan sebarkan berita viral? Banyak sebab dan antaranya.....

Rasa hebat bila jadi orang yang pertama tahu dan sebarkan pada kawan-kawan dan ahli keluarga, walaupun berita itu belum sahih kebenarannya.

'Perlumbaan' untuk dapatkan Like yang banyak di FB.

Tak rasa bertanggungjawab untuk periksa kesahihan suatu berita sebelum di sebarluaskan. Paling malang bila si penyebar berita tak baca habis pun berita yang di viralkannya!

Berita yang diviralkan itu dikaitkan dengan badan-badan atau individu-individu yang boleh dipercayai.

Individu yang menyebarkan berita itu tiada banyak sumber untuk dijadikan rujukan. Seratus peratus sumber rujukan diperolehi dari media sosial.

Mudah emosi (marah, sedih, gembira, dll) dengan berita yang dibaca dan mahu disebarkan untuk orang lain turut rasa yang sama.


selidik sebelum  viral

Tapi bukan semua yang viral itu tidak baik. Yang paling baik saya lihat ialah bila berita kehilangan kanak-kanak diviralkan berjaya menemukan semula kanak-kanak itu dengan keluarganya, Juga berita viral seorang bapa yang menderita kanser berjaya ditemukan anaknya yang tinggal dengan bekas isterinya sebelum bapa tersebut meninggal dunia. Juga berita rakyat Malaysia yang jatuh sakit di luar negara dan menanggung kos rawatan yang tinggi berjaya dibawa pulang ke tanah air hasil berita yang diviralkan. Dan banyak lagi berita-berita viral yang beri kesan yang baik.

Contoh viral yang buruk? Yang paling banyak saya perasan ialah viral tentang seseorang selebriti telah meninggal dunia sedangkan beliau masih lagi sihat walafiat. Bukan sekali dua, tapi berkali-kali berita begitu diviralkan. Malah ada juga di FB yang turut membuat 'umpan' tajuk-tajuk atau status yang menggemparkan tapi bila di klik lain pula berita yang ditulis.

"Jom tengok wajah pelakon XXXX di saat-saat akhir di tali gantung. Anda tak akan percaya apa yang anda lihat!"

Siap diletakkan bacaan Al-Fatihah, sedangkan individu yang diviralkan itu masih belum dibicarakan pun kesalahannya di mahkamah. Ya, memang boleh 'buat duit' bila ramai yang klik pada tajuk panas yang anda tulis itu, tapi bila berita itu adalah tidak benar dan dah jadi fitnah, lebih baik fikirkan 'panas' yang akan menunggu di-sana nanti..

Terpulang pada individu untuk menilai baik dan buruk sesutau berita sebelum jari pantas nak tekan butang Share atau copy paste dari satu group ke satu group whatsapp!

Jadi, perlu tak nak off handphone antara jam 12:30 tengah malam ini hingga 3:30 pagi esok?

Tak perlu. Abaikan saja mesej itu.



0 comments: