Belajar untuk katakan tidak.....

Wednesday, November 30, 2016 Ana 0 Comments



Belajar untuk katakan tidak.....



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Tidak. Tak nak. Tak mahu.

Ringkas saja perkataannya tapi tak semudah itu untuk diucapkan.

Susah juga bila jadi orang yang payah nak tolak permintaan orang lain ini. Jika sudah terbiasa terima saja permintaaan orang, lama-kelamaan akan rasa macam orang ambil kesempatan pula ke atas kita. Maka akan bermula lah episod....

1. Kita jadi tempat meminjam wang. Jika benar-benar memerlukan mungkin boleh juga diusahakan dan dibantu sekali dua. Tapi bila kita sudah kerap pula jadi tukang pinjam wang sedangkan kegunaan untuk diri sendiri pun tak berapa nak cukup, maka sudah tiba masanya kita bertegas dan belajar untuk katakan TIDAK.

2. Kita akan jadi tempat 'pelupusan masalah'. Bila ada saja masalah, maka kita lah yang akan dicari orang. Contoh mudah ialah kerja di pejabat. Kadang kala niat asal kita hendak membantu meringankan beban tapi akhirnya beban itu diserahkan untuk kita pikul seorang diri sedangkan masalah itu asalnya tiada kaitan langsung dengan kita!Tak salah untuk membantu, tapi ada had dan batasnya dan perlu tahu bila masanya kita boleh tolong dan bila masanya untuk katakan TIDAK.

3. Kita akan mudah jatuh kasihan. Tengah duduk-duduk di restoran tunggu makanan yang dipesan sampai, seorang promoter datang ke meja kita menjual buku untuk kanak-kanak. Ataupun pen pelbagai warna. Ataupun buku-buku agama. Nak ditolak, rasa kasihan pula si penjual dah jalan dari meja ke meja tiada siapa yang membeli. Maka berlonggoklah di rumah kita dengan buku kanak-kanak, pen pelbagai warna dan buku agama yang kita belum sempat baca sekali pun. Semuanya sebab susah nak katakan TIDAK.

belajar untuk kata tidak

4. Kita akan kurang masa untuk diri sendiri, Kawan ajak window shopping hujung minggu, kita pun setuju walaupun malam sebelumnya kita kerja hingga lewat pagi. Kawan minta tolong kita gantikan dirinya untuk hadiri meeting, kita pun kata ok sedangkan kerja sendiri berlambak-lambak menunggu untuk disiapkan. Saya pernah disuruh gantikan boss untuk hadiri meeting di luar pejabat walaupun meeting itu sepatutnya beliau yang perlu hadir sebagai orang penting. Alasan si boss ialah beliau ada meeting lain yang 'lebih penting' di pejabat. Dalam kes ini memang susah lah nak kata kan TIDAK pada boss kan. Bila saya dah selesai meeting tersebut dan pulang semula ke pejabat, saya ternampak boss saya sedang 'menghadiri meeting yang lebih penting'  itu. 'Meeting yang lebih penting' itu rupa-rupanya ialah bantu hiaskan pejabat untuk sambut Gong Xi Fa Cai tidak lama lagi ketika itu. Oh, itu lebih penting rupa-rupanya!

5. Kita akan terjebak dengan perkara yang membuang masa. Contohnya panggilan dari syarikat yang entah dari mana dapat nombor handphone kita dan call untuk minta bantuan kita jawab survey, Atau pun call untuk promosikan produk baru, Terus saja katakan TIDAK kalau anda memang tak berminat. Saya pernah juga dihubungi hingga 4 kali oleh Astro untuk promosikan IPVR nya itu yang memang saya tak berminat. Setiap kali dihubungi saya akan kata tak berminat,  tapi bila dah kerap sangat dihubungi terlepas juga lah kata-kata 'Eh ini dah masuk kali ke-4 Astro call saya. Tak kan tak ada record kat Astro yang tunjukkan dah ada staff Astro call saya untuk promote benda ni?'

Penting sebenarnya untuk belajar jadi tegas dan katakan TIDAK ini. Lebih-lebih lagi kalau dalam situasi:

Seorang suami yang minta duit dari isteri untuk beli barang terlarang seperti dadah atau berjudi. Katakan saja TIDAK, tapi perlu juga berhati-hati dengan tindakan agresif si suami nanti.

Seorang suami yang ditahan di lokap kerana kesalahan memiliki dadah dan minta si isteri menjamin nya keluar dari lokap. Duit yang ada pada si isteri lebih diperlukan untuk perbelanjaan anak-anak. Maka kalau si isteri itu ada terniat untuk guna wang itu untuk jamin si suami tadi, maka si isteri perlu belajar kata TIDAK pada diri sendiri. (Ini adalah kisah sebenar seorang kenalan. Saya tak faham macam mana beliau boleh terfikir kepentingan si suami untuk keluar dari lokap melebihi keperluan anak-anaknya 😒😒😒)

Mulai hari ini, kenalpasti apa permintaaan yang boleh diterima dan yang perlu ditolak, Kena kuat semangat dan lebih bertgeas supaya tak mudah diambil kesempatan atas sikap baik hati kita itu. Tak perlu risau 'cakap-cakap belakang' bila kita menolak permintaan orang lain, sebab kita sendiri lebih tahu kemampuan kita untuk membantu.

Jom belajar untuk katakan TIDAK pada perkara yang tidak perlu......





0 comments:

Tukar kad debit baru melalui online dan kiosk, hanya untuk kad Maybank?

Tuesday, November 29, 2016 Ana 0 Comments


Tukar kad debit baru melalui online dan kiosk, hanya untuk kad Maybank?


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Kenapa hanya Maybank yang sediakan perkhidmatan tukar kad debit baru secara online dan kiosk?

Setakat ini hanya Maybank satu-satunya bank yang sediakan kemudahan tukar kad debit baru secara online dan melalui kiosk. Seorang sahabat ada forwardkan kepada saya rungutan seorang pelanggan CIMB yang 'musykil' kenapa bank tersebut tak sediakan kemudahan perkhidmatan tukar kad debit baru melalui kiosk dan online sebagaimana yang disediakan oleh Maybank.

Tukar kad debit baru maybank secara online & kiosk


Soalan itu hanya CIMB saja yang boleh jawab. Dan bagi pelanggan itu pula, perlu juga tahu bukan semudah itu bank nak sediakan kemudahan untuk pelanggan.

Baca juga:
Jom tukar kad debit yang baru!
Tukar kad debit Maybank dan CIMB yang baru....
Tukar kad debit Maybank yang baru dalam masa 2 minit!

Ambil masa juga untuk sediakan dokumentasi seperti user requirements, dokumen teknikal, pemilihan vendor untuk kiosk. Ambil masa untuk bangunkan (develop) atau coding untuk pastikan maklumat kad debit baru yang ditukar melalui online atau kiosk dikemaskini dengan betul dalam sistem bank. Ambil masa untuk jalankan pengujian (testing) yang berperingkat-peringkat. Jika ujian yang dijalankan oleh bahagian teknologi maklumat (IT) tidak lengkap atau ada masalah maka tak dapat nak diteruskan ke peringkat pengujian oleh user pula. Ambil masa juga untuk pastikan segala kemungkinan dan kebarangkalian masalah yang akan berlaku bila kemudahan itu digunakan oleh pelanggan telah dikenalpasti dan ada penyelesaiannya.

Lokasi kiosk ekspres kad debit Maybank
Lokasi kiosk ekspres kad debit Maybank

Contohnya, macam mana kalau pelanggan tengah buat permohonan tukar kad debit baru secara online di Maybank2u, tiba-tiba talian Internet nya terputus dan permohonan baru separuh jalan. Perlu tak buat permohonan semula? Adakah sistem bank juga telah diupdate separuh jalan? Ada data bertindih tak nanti?

Contohnya, macam mana kalau pelanggan tengah guna kiosk untuk tukar kad debit dan segala-galanya berjalan lancar sampailah ke langkah yang terakhir. Kiosk tiba-tiba ada masalah atau 'hang' dan kad debit baru yang dinanti-nantikan keluar dari slot kiosk tersebut tak muncul sampai ke sudah. Jika itu berlaki adakah kiosk masih mampu nak keluarkan resit untuk maklumkan pelanggan apa yang berlaku dan apa yang perlu dibuat?

** Contoh-contoh di atas ini hanya sekadar contoh ya...**

Tapi sebagai pelanggan, memang semestinya kita anggap itu kerja bank lah. Bank lah yang perlu pastikan dan rancang semuanya supaya dapat sediakan kemudahan terbaik untuk pelanggan pada waktunya. Pelanggan tak nak tahu apa yang diperlukan (apa yang berlaku di belakang tabir) untuk sediakan kemudahan itu. Pelanggan tak nak tahu pasal kakitangan yang perlu bersengkang mata di pada pagi-pagi buta seawal jam 12 tengah malam hingga 8 pagi untuk test kiosk sebelum boleh digunakan oleh pelanggan. Yang pelanggan nak tahu, kemudahan dah ada depan mata dan sedia untuk digunakan!


Baca juga:
Jom tukar kad debit yang baru!
Tukar kad debit Maybank dan CIMB yang baru....
Tukar kad debit Maybank yang baru dalam masa 2 minit!


Bila Maybank sediakan kemudahan alternatif seperti ini (tukar kad debit yang baru secara online dan kiosk), sememangnya ia adalah satu inisiatif yang bijak dan meletakkan pelanggan sebagai keutamaannya. Sesuai dengan slogannya 'Making every moment count' maka pelbagai cara digunakan untuk memastikan pelanggan dapat berurusan dengan cara yang paling cepat dan mudah.

Maybank - Making every moment count

Di zaman semuanya nak cepat, pantas dan segera ini, tak ramai orang ada kesabaran nak tunggu giliran di kaunter hanya untuk dapatkan sekeping kad. Mungkin juga sebagai bank yang mempunyai pelanggan yang paling ramai di Malaysia maka sudah semestinya 'wajib'  bagi Maybank untuk berfikir beberapa langkah jauh ke hadapan berbanding bank-bank yang lain.

"Baguihhnya Maybank buat mende ni...sempoii cut Q tkyah beratuq panjang2!
Alangkah bestnya kalo bank2 lain pun buat camgini kann!"

"Penukaran ATM kad di Menara Maybank guna mesin. Less than 1 miniute. Cepat. No queue."

Di atas ialah antara (yang saya jumpa di FB) kata-kata pemegang kad debit Maybank yang berpuas hati dengan kemudahan kiosk yang digunakan. Pastinya satu kepuasan yang tak terhingga buat mereka yang terlibat dalam menyediakan kiosk ini kerana dapat memudahkan urusan orang lain.


Moral of the story, lakukan sesuatu yang berbeza untuk bezakan kita dengan pesaing. Dalam kata mudahnya, fikir lah di luar kotak!


 

0 comments:

Piala AFF Suzuki 2016 : Malam ini, sejarah berulang kembali....

Saturday, November 26, 2016 Ana 0 Comments



Piala AFF Suzuki 2016 : Malam ini, sejarah berulang kembali....



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Malaysia 0 - Myanmar 1

Orang kata sejarah mungkin berulang, pasti berulang dan akan berulang.

Malam ini, sejarah telah membuktikan yang ia akan berulang.

malaysia gagal ke separuh akhir piala aff suzuki 2016


Pada perlawanan pertama peringkat kumpulan saingan Piala AFF Suzuki 2016 ini, peminat sukan bolasepak tanahair gembira dengan kemenangan sulung pasukan Harimau Malaysia menentang Kemboja. Di sana sini melaporkan yang Malaysia telah berjaya memecahkan kebuntuan untuk menang perlawanan pertama peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki semenjak kali terakhir memenangi perlawanan pertama iaitu menentang Laos pada tahun 2008.

Jadi sejarah memenangi perlawanan pertama telah berulang. Itu cerita ulangan sejarah yang gembira.


malaysia gagal ke separuh akhir piala aff suzuki 2016

malaysia gagal ke separuh akhir piala aff suzuki 2016



Kekalahan kepada Myanmar malam ini buatkan saya rasa nak tahu apa yang berlaku pada Piala AFF Suzuki edisi tahun 2008, lalu saya tanyakan pada en google.

Ada cerita sejarah yang gembira dan kadang kala kita (saya lah tu) terlupa sejarah juga ada cerita sedihnya.

Malam ini, sejarah sekali lagi berulang kembali. Malaysia tewas kepada Myanmar dengan jaringan
1-0 (jaringan David Htan pada minit ke 89) dan sekaligus melenyapkan impian Malaysia untuk ke separuh akhir. Sama seperti yang berlaku pada tahun 2008 bila mana Malaysia menang pada perlawanan pertama tetapi gagal ke peringkat separuh akhir. Malaysia di peringkat kumpulan pada tahun 2008 menang sekali dan kalah 2 kali, dengan perlawanan akhir peringkat kumpulan ketika itu Malaysia tewas kepada Thailand 3-0.

malaysia gagal ke separuh akhir piala aff suzuki 2016



Jadi untuk edisi akan datang, jangan menang perlawanan pertama kalau tak nak tersingkir di peringkat kumpulan?

Sumber : FB Team Malaysia

Tak ada rezeki untuk ke separuh akhir kali ini. Cuba lagi 2 tahun akan datang.

Baca juga:
Piala AFF Suzuki 2016: Harimau Malaysia ke separuh akhir atau pulang ke tanahair?
Piala AFF Suzuki 2016 : Langkah kanan Harimau Malaysia!


Harap-harap pada waktu itu Malaysia sudah ada team yang lebih kuat,  benteng pertahanan lebih kukuh dan tak kelam-kabut serta pemain-pemain yang tak mudah hilang bola.



0 comments:

Palestin, terbaik!

Saturday, November 26, 2016 Ana 0 Comments


Palestin, terbaik!



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Rumah anda diceroboh dan diganggu malah anda dihalau dari rumah sendiri. Suatu hari si penceroboh ditimpa musibah. Rumah anda yang telah dirampasnya kini sedang terbakar.

Rasa-rasanya anda akan tolong bantu padam api yang marak terbakar itu atau hanya akan melihat dari jauh?


Allahuakbar. Tak tahu kenapa sebak bila baca berita ini 😢😢😢.....

Sumber: bharian.com.my

Di saat ramai (termasuk saya) yang mengatakan kebakaran besar yang berlaku di Israel adalah balasan Tuhan terhadap penindasan ke atas Palestin selama ini, Palestin melakukan apa yang mungkin tak dijangka oleh Israel sendiri.


Empat pasukan bomba Palestin akan menyertai usaha memadam kebakaran terbabit. Seorang pegawai kanan Israel memaklumkan akhbar harian Haaretz bahawa Penyelaras Aktiviti Kerajaan Wilayah Israel akan memantau kerjasama antara anggota bomba Palestin dan Israel. (Sumber: bharian.com.my)

Baca juga:
Hebat menindas Palestin tapi kalah dengan api yang membakar...


Hati rakyat Palestin dan umat Islam seluruh dunia telah lama 'terbakar' dengan kekejaman Israel selama ini.

Palestin yang ditindas Israel sejak tahun 1948 sehingga kini boleh saja ketawa besar melihat api besar membakar penempatan haram Yahudi.

Tapi tidak. Palestin memilih untuk membalas kejahatan dengan kebaikan.

Palestin yang berjiwa besar.

Palestin, terbaik!

0 comments:

Hari Anugerah Cemerlang dan cuti sekolah yang panjang....

Friday, November 25, 2016 Ana 0 Comments



Hari Anugerah Cemerlang dan cuti sekolah yang panjang....



Assalamualaikum & salam sejahtera...

Scroll-scroll FB hari ini banyak gambar-gambar ibu bapa tersenyum gembira di majlis kecemerlangan dan penyampaian hadiah anak-anak mereka. Banyak sekolah yang ambil kesempatan hari terakhir persekolahan sesi 2016 hari ini untuk mengadakan majlis penyampaian hadiah.

Walaupun kedudukan dalam kelas agak menurun berbanding pertengahan semester yang lalu, anak saudara saya juga terima anugerah cemerlang untuk subjek Matematik, Pendidikan Islam dan Pelajaran Jawi di sekolahnya hari ini. Mak Ngah nya ini tumpang bangga! 😃😃😃😃

Tahniah buat ibu bapa dan anak-anak. Berjaya harungi satu tahun sesi persekolahan dengan pencapaian cemerlang. Bagi pelajar yang kurang cemerlang pada tahun ini, jangan putus asa, cuba lagi ya tahun hadapan!


Berakhirnya sesi persekolahan menandakan bermulanya cuti persekolahan selama 5 minggu. Lamanyaaa....Seronok bagi anak-anak tapi mungkin sedikit pening kepala buat ibu bapa. Selain 'acara' biasa balik kampung dan pergi melancong sekeluarga, apa lagi agaknya nak dibuat dalam masa 5 minggu itu?

jumpa upin dan ipin di MAHA 2016
Sumber : FB MAHA - Malaysia Agriculture, Horticulture & Agrotourism


1. Jumpa Ipin dan Ipin
- Bagi peminat watak animasi Upin dan Ipin, jangan ketinggalan untuk bertemu dengan si kembar ini di Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 yang akan bermula pada 1 Disember hingga 11 Disember nanti. Kali ini Upin dan Ipin nak ajak adik-adik mengenali tumbuh-tumbuhan dan aktiviti pertanian, Seronok ke? Kalau nak tahu kena lah saksikan sendiri keletah Upin dan Ipin di Kampung Durian Runtuh MAHA 2016!


jumpa upin dan ipin di MAHA 2016
Sumber : FB MAHA - Malaysia Agriculture, Horticulture & Agrotourism



2. Hadiri kem HOTS
- Cuti sekolah baru bermula tapi bagi pelajar yang rasa nak buat persediaan yang tersangat awal bagi hadapi peperiksaan yang banyak terapkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) tahun hadapan, boleh lah hadiri kem seperti Kem Super HOTS (High Order Thinking Skills) di Putrajaya ini.

aktiviti cuti sekolah



3. Summer Camp
- Walaupun sekarang musim hujan, Summer Camp masih lagi diadakan dan jadi pilihan ramai ibu bapa setiap kali menjelang musim cuti sekolah. Bersesuaian dengan keperluan anak-anak di zaman moden ini, Summer Camp kini bukan setakat kem motivasi yang berunsurkan ceramah tetapi juga menyelitkan pelbagai aktiviti seperti memanah, berenang, berkuda, smart solat, hafazan dan bahasa arab, pertahanan diri dan pelbagai lagi.


4. Kelas komputer
- Ini juga satu aktiviti alternatif yang menarik untuk anak-anak di musim cuti ini. Sesuai dengan subjek Koding yang akan diperkenalkan di sekolah bagi pelajar tahun tiga dan ke atas mulai tahun 2017, pihak Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia telah mengatur pelbagai aktiviti menarik yang berkaitan dengan komputer. Aktiviti yang akan diadakan bermula dari 5 Disember hingga 8 Disember itu ialah 'Fun With Microsoft', Bengkel Asas Robotik Lego', 'Teroka PC' dan 'Web Coding (PHP)'. Selain pelajar sekolah rendah dan menengah, aktiviti-aktiviti ini juga boleh disertai oleh ibu bapa dan para guru. Bagus lah anak-anak sekarang boleh mula mengenal koding di peringkat usia yang muda, tidak lah jadi macam saya yang baru nak kenal coding semasa ambil pengajian ijazah jurusan Sains Komputer di UKM dulu!


aktiviti cuti sekolah



5. Hari Keluarga
- Masa anak-anak bercuti ini lah kebanyakan ibu bapa pun turut sama ambil kesempatan untuk bercuti. Jadi alang-alang ambil cuti (selain dari pergi melancong sekeluarga), apa kata aturkan perhimpunan seluruh ahli keluarga, adik beradik, anak saudara, sepupu sepapat untuk satu hari keluarga yang meriah. Banyak tempat dan homestay di dalam negara yang menarik untuk kumpul ramai-ramai begini. Ada satu homestay yang sahabat saya share kan di FB baru-baru ini iaitu Masbro Village, Melaka. Cantik!

aktiviti cuti sekolah



Rancang dan manfaatkan cuti 5 minggu ini dengan sebaik-sebaiknya sebab pejam celik pejam celik nanti sekejap saja dah 'Back To School' semula!

Selamat Bercuti!


0 comments:

Etnik Rohingya, masih ada yang peduli?

Friday, November 25, 2016 Ana 0 Comments


Etnik Rohingya, masih ada yang peduli?



Assalamualaikum & salam sejahtera....


Salam hari Jumaat, salam sayyidul ayyam. Jom kita perbanyakkan berselawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad saw...

اللَّÙ‡ُÙ…َّ صَÙ„ِّ عَÙ„َÙ‰ Ù…ُØ­َÙ…َّدٍ ÙˆَعَÙ„َÙ‰ آلِ Ù…ُØ­َÙ…َّدٍ


Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.


Saya hanya mampu share info ini.


Berhimpun bantah kekejaman terhadap etnik rohingya


Kalau anda berada berdekatan bangunan Tabung Haji di Jalan Ampang hari ini, boleh lah turut serta dalam perhimpunan aman dan penyerahan memorandum di Kedutaan Myanmar bagi membantah kekejaman terhadap etnik Rohingya.

Perhimpunan akan diadakan selepas solat Jumaat. Perhimpunan bagi tujuan yang sama turut akan diadakan selepas solat Jumaat di Jakarta, Indonesia dan Bangkok, Thailand.

Semoga penyerahan memorandum ini dapat membuka mata kerajaan Myanmar yang tertutup (atau sengaja ditutup) terhadap apa yang berlaku kepada etnik Rohingya. Semoga perhimpunan ini dapat menyedarkan kerajaan Myanmar bahawa dunia masih peduli (walaupun mungkin agak terlewat atau tak cukup kuat suara bantahannya) akan nasib minoriti Islam di bumi Myanmar.

Sama-sama kita doakan semoga ada jalan keluar dan pengakhiran yang baik kepada penderitaan etnik Rohingya...


0 comments:

Hebat menindas Palestin tapi kalah dengan api yang membakar....

Thursday, November 24, 2016 Ana 0 Comments


Hebat menindas Palestin tapi kalah dengan api yang membakar....


Assalamualaikum & salam sejahtera....


Masuk hari ke-3, kebakaran besar yang berlaku di Israel masih belum berjaya dipadamkan.

Samada saya yang tak tengok berita di tv atau baca berita di suratkhabar, tapi rasanya berita mengenai kebakaran besar ini tak dilaporkan di media massa. Atau mungkin juga saya yang tak perasan.

Kebakaran 2 hari di tempat tinggal penduduk haram Yahudi. 
Selepas 2 hari kebakaran yang berlaku di Zikhron Ya'akov, penduduk haram Yahudi dibenarkan pulang semula ke rumah masing-masing. Puluhan trak bomba dan pesawat telah dikerahkan untuk memadam kebakaran tersebut. Cuaca kering dan angin kencang menyebabkan api susah dipadamkan. 
Benjamin Netanyahu dan Menteri Keselamatan Awam, Gilad Erdan telah memutuskan untuk meminta pertolongan Cyprus, Greece dan Itali untuk bantuan pesawat pemadam api dan mereka juga menimbang untuk meminta pertolongan dari Turki sebagai langkah berjaga-jaga.
(sumber : FB Aqsa Syarif)

Israel nak minta bantuan daripada Turki?

Kalau dilihat pada video kebakaran yang berlaku (klik di sini), memang nampak api yang menyambar pokok dan langit merah serta diselubungi asap itu nampak sangat menakutkan. Angin yang bertiup kencang menyemarakkan lagi api yang menyala dan memburukkan lagi keadaan.

kebakaran besar di israel
Sumber : FB Aqsa Syarif

kebakaran besar di israel
Sumber : FB The Palestinian Information Center

Semakin banyak kawasan yang terlibat dalam kebakaran besar ini.

kebakaran besar di israel
Sumber : FB The Palestinian Information Center

Punca sebenar kebakaran masih belum diketahui. Seperti biasa, Israel akan menyalahkan rakyat Palestin di atas apa yang berlaku.

Pelbagai reaksi netizen mengenai peristiwa kebakaran besar ini. Reaksi netizen terbahagi kepada 2 golongan. Golongan yang pertama yang tumpang simpati dan golongan kedua yang 'gembira' dan menyifatkan ia sebagai balasan ke atas penindasan rakyat Palestin.


"Era kewujudan negara Palestin sudah berakhir" - kata-kata Menteri Pendidikan Israel, Naftali Bennet selepas kemenangan Trump sebagai Presiden AS

"Penduduk Israel membuat aduan kepada saya mengenai bunyi bising yang datang dari masjid dan menyebabkan mereka ‘men­derita’ akibat keadaan tersebut" - kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang menyokong rang undang-undang supaya laungan azan di Palestin dibuat tanpa pembesar suara


Bila ingatkan balik kata-kata di atas, memang susah nak elak daripada 'termasuk' dalam golongan netizen yang memberikan reaksi yang kedua.

Baca juga:
Palestin, terbaik!

Peralatan perang yang canggih, perancangan perang yang 'hebat' dan kekejaman penindasan mampu diatur dengan 'begitu baik', tapi api yang membakar tak mampu nak dikawal dan dipadamkan?

Adakah kebakaran besar ini mampu sedarkan keangkuhan Israel bahawa ada yang lebih 'berkuasa' daripada mereka?


0 comments:

Manusia jenis apakah ini?

Thursday, November 24, 2016 Ana 2 Comments



Manusia jenis apakah ini?


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Kanak-kanak berusia 2 tahun didera hingga maut dan mayat disimpan dalam tong ikan hingga mereput.

Apa yang paling teruk atau 'dahsyat' sekali yang boleh dilakukan oleh seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun?

Sepahkan barang-barang mainan?
Pecahkan cawan?
Merengek minta beli kan itu dan ini?
Tak reti duduk diam dan suka bergaduh dengan adik beradiknya?
Buang air kecil atau besar merata-rata?
Nak berkepit dan manja-manja sepanjang masa hingga rimaskan si ibu bapanya?

Sumber : astroawani.com


Setakat usia 2 tahun, itu saja yang dapat saya fikirkan tahap kenakalan atau kesukaran nak menjaganya, Apa lagi agaknya hal-hal yang boleh menguji kesabaran ibu bapa atau si penjaga kanak-kanak seusia itu sehingga ke tahap maksimum? Apa lagi agaknya hal-hal yang boleh menaikkan kemarahan si ibu bapa atau penjaga sampai sanggup buat perkara yang di luar jangkaan?

Sampai sanggup anak itu dipukul, ditumbuk, disepak dan diterajang?
Sampai sanggup anak yang dah tak bernyawa itu dibalut dengan kain dan disimpan dalam tong ikan?
Dan mayat dibiarkan hingga lebih 2 minggu sehingga mereput?

Manusia jenis apakah ini?
Manusia atau haiwan kah yang lakukan perbuatan begini?

Hilang sudah perasaan keibuan hingga tak mampu nak buat apa-apa dan biar kan saja teman lelaki nya memperlakukan anak yang tak bernyawa itu sedemikian rupa? Sudah lah dibiarkan didera, jasad yang kaku itu disamakan seperti ikan yang disimpan dalam tong saja?

Dilaporkan si ibu dan teman lelakinya telah ditahan dan didapati positif dadah. Sampai begitu sekali kesan dadah terhadap si penagih. Habis hilang pertimbangan dan kewarasan akal fikiran, hanyut dalam dunia sendiri. Nyawa anak yang dikandung selama 9 bulan dan dibesarkan hingga 2 tahun dah tak bernilai apa-apa setelah akal tak mampu lagi hendak berfikir...

Tak tahu lah macam mana menggunungnya penyesalan si ibu setelah 'sedar' dan kembali ke alam nyata.

Tak mampu nak bayangkan bagaimana anak yang maut itu (juga kakaknya yang berusia 4 tahun yang juga kini kritikal akibat didera) menangis dan merayu mohon belas kasihan si penderanya. Menangis, menjerit dan merayu tapi masih dipukul, disepak, dan diterajang oleh pendera yang berhati binatang!

Tak mampu nak bayangkan...

😢😢😢😢😢

2 comments:

Piala AFF Suzuki 2016: Harimau Malaysia ke separuh akhir atau pulang ke tanahair?

Wednesday, November 23, 2016 Ana 0 Comments



Piala AFF Suzuki 2016: Harimau Malaysia ke separuh akhir atau pulang ke tanahair?



Assalamualaikum & salam sejahtera...

Malaysia 0 - 1 Vietnam

Teruk juga pemain Harimau Malaysia, Syazwan Zainon ditolak, disepak dan dikawal dalam perlawanan Piala AFF Suzuki 2016 Malaysia menentang Vietnam petang tadi.

Geram juga bila banyak tandukan dan sepakan oleh Amri Yahyah dan Hazwan Bakri yang tersasar tinggi melepasi tiang gol atau ditangkap kemas dalam dakapan penjaga gol Vietnam.

Kecewa juga bila banyak foul yang tak sepatutnya berlaku dan beri peluang sepakan percuma kepada Vietnam.

Baca juga:
Piala AFF Suzuki 2016 : Langkah kanan Harimau Malaysia!
Piala AFF Suzuki 2016 : Malam ini, sejarah berulang kembali....

Paling kecewa bila gol kemenangan Vietnam oleh Nguyen Trong Hoang pada minit ke 80 itu faktor penyumbangnya ialah pasukan pertahanan Malaysia yang terkial-kial nak buat clearance keluarkan bola dari kawasan sendiri. Hampir 4 hingga 5 kali sepak pun bola masih berlegar-legar di kawasan Malaysia. Ada betul juga kata pengulas. Pemain Malaysia ramai di kawasan tersebut tapi ramai yang jadi ballwatcher saja.

Bertambah-tambah kecewa bila lepas saja Vietnam mendahului dengan satu gol, bertambah banyak pula kekasaran yang dilakukan oleh pemain Malaysia. Makin bertambah pemain Malaysia dapat kad kuning termasuk Amri sendiri sebagai kapten pasukan. Nampak macam dah tertekan dan hilang fokus. Bola disepak tak sampai di kaki kawan sepasukan tapi sampai di kaki lawan.

Malaysia kalah kepada vietnam
Sumber : FB Team Malaysia

Pasukan Malaysia memerlukan kemenangan bila bertemu Myanmar pada hari Sabtu ini untuk mara ke separuh akhir.

Sempatkah (mampukah) Harimau Malaysia mengalahkan Myanmar dan sampaikan mesej protes dengan sikap pejam mata kerajaan Myanmar terhadap penindasan etnik Rohingya?

Atau adakah usul YB Khairy Jamaludin di mesyuarat kabinet esok untuk memanggil pulang pasukan Harimau Malaysia akan diluluskan lebih awal daripada itu?

Sama-sama kita tunggu dan lihat..

0 comments:

Amboi, baru darjah satu dah ada handphone!

Wednesday, November 23, 2016 Ana 0 Comments



Amboi, baru darjah satu dah ada handphone!


Assalamualaikum & salam sejahtera.....


Baru darjah satu dah ada handphone?

Beruntung sungguh anak-anak zaman ini. Baru darjah satu dah ada handphone. Bukan handphone biasa, tapi smartphone.

"Mak Ngah, malam nanti Abang hantar whatsapp ya!"

Seronok sungguh anak saudara saya (yang panggil dirinya Abang) yang baru beli smartphone Isnin yang lalu. Sekejap sekejap berbunyi handphone saya menandakan ada mesej baru masuk. Asyik betul hantar mesej whatsapp, macam jauh sangat pula, padahal ketika itu saya di dapur dan anak saudara saya itu ada di ruang tamu!

smartphone - keperluan atau kehendak
Sumber: samsung,com


Nostalgia pula kenangan lalu bila saya mula-mula ada handphone sendiri. Mula ada handphone sendiri bukannya ketika di tingkatan satu apa tah lagi ketika darjah satu. Seingat saya, saya mula ada handphone ketika berada di tahun 3 di universiti. Wah, beza sungguh dengan anak-anak zaman sekarang, macam langit dengan bumi.

Sebelum ada handphone itu, memang setiap malam bila nak call emak, maka akan setia lah saya berdiri dalam barisan panjang bersama-sama penghuni hostel kampus yang lain yang juga nak buat panggilan guna telefon awam (public phone). Barisan bertambah panjang bila telefon awam nya ada 3 tapi yang boleh guna cuma satu saja. Nak telefon mak punya pasal, sanggup beratur walaupun kadang kala sampai satu jam menunggu tiba giliran.  Ketika itu bekalan duit syiling memang sentiasa ada di samping guna kad prabayar Uniphonekad. Kalau 20 sen tu boleh bersembang dalam masa satu minit kalau tak silap.


telefon awam masih relevan
Sumber : sinarharian.com.my


Zaman sekarang ini susah dah nak jumpa telefon awam yang guna kad prabayar, kebanyakannya terima duit syiling saja, Telefon awam pun dah susah nak jumpa dah sebenarnya. Kalau ada pun dah tinggal pondok atau telefon yang dah tak berfungsi.  Zaman sekarang memang pelik kalau tak ada handphone kan. Budak darjah satu pun dah ada handphone!

Handphone pertama saya ialah Nokia 3210. Masa itu ada Nokia inipun rasa macam dah 'hebat' dah, Selain boleh main game 'Snake', antara hobi yang biasa dibuat dengan handphone ini ialah tukar-tukar ringtone. Cari kod ringtone dan gigih taip satu-satu dalam handphone. Kalau salah taip, sumbanglah bunyinya nanti. Budak-budak sekarang mana tahu apa maksud kod macam ini 32f2 32#d2 32f2 8#d2 32#d2 32#d2 kan!

Lepas Nokia 3210, beralih pula kepada Nokia 8210, kemudian Nokia 3230 dan akhirnya Nokia N96. Kenapa Nokia? Entah, mungkin sebab dah biasa dan selesa dengan handphone yang pertama maka kebanyakan handphone lama saya ialah Nokia. Saya pun bukan jenis yang suka bertukar-tukar handphone. Tukar hanya bila rosak dan tak boleh digunakan lagi. Sebab itu lah hingga tahun 2015 di saat kebanyakan orang dah gunakan Apple dan Samsung, saya masih lagi setia dengan N96. Hinggalah bila N86 itu 'tewas' setelah dimasuki air maka saya akhirnya beralih kepada Samsung sehingga ke hari ini.

"Malam ni aku buat group whatsapp, kau join tau. Nanti aku ajak kawan yang lain sekali ok?"

Amboi, memang kalah betul generasi saya dengan anak-anak zaman moden ni. Saya ingatkan pelik sangat lah bila anak saudara saya yang baru darjah satu itu dah ada handphone sendiri. Rupa-rupanya saya yang pelik (atau ketinggalan?) sebab ramai kawan-kawan sekelasnya pun dah ada handphone sendiri. Siap nak buat group whatsapp lagi. Siap rekod suara dan hantar kat whatsapp lagi. Siap rekod rancangan kartun di tv dan hantar video di whatsapp lagi. Memang saya penuh kekaguman betul dengan generasi Z ini!

Handphone dan manusia memang tak dapat nak dipisahkan, Selain fungsi utamanya untuk buat panggilan dan pesanan ringkas, handphone kini dah jadi mcam suatu perkara yang wajib dimiliki supaya tak ketinggalan dengan berita dunia dan perkembangan serta trend terkini. Tak dilupakan juga betapa 'wajibnya' untuk miliki handphone untuk berselfie! Maklum lah, zaman sekarang ini kan bila nak mula makan atau menjamu selera,  orang tak lagi mulakan dengan baca doa, tapi mulakan dengan 'pose' dengan makanan dan ambil gambar!

Eh, betul ke handphone dan manusia tak dapat nak dipisahkan? Kalau begitu, macam mana saya boleh saja survive dari zaman sekolah hingga ke tahun 3 di universiti tanpa handphone 'di sisi'? Alaaa,  itu zaman bila? Dulu lain sekarang lain! Kalau zaman ini tak ada handphone memang dipandang pelik sikit agaknya. Bukan setakat tak ada ada handphone akan dipandang pelik. Kalau ada handphone tapi handphone jenis Nokia 3310 pun orang pandang pelik juga!

Rasa macam nak cuba pula bagaimana rasanya satu hari tanpa handphone.....





0 comments:

Bijak ambil kesempatan!

Tuesday, November 22, 2016 Ana 0 Comments



Bijak ambil kesempatan!


Assalamualaikum & salam sejahtera.....

Ambil kesempatan atas peluang (untuk dapat kebaikan dengan cara yang betul) yang terbuka di depan mata dengan ambil kesempatan ke atas kesusahan orang lain dengan cara menindas adalah 2 perkara yang berbeza ya.



Bijak ambil kesempatan ialah seperti yang dilakukan oleh pelakon,pengacara dan businesswoman, Neelofa. Ambil kesempatan promosi tudung Naelofar Hijab secara tak langsung melalui demam peminat terhadap drama Suri Hati Mr Pilot.

Bijak ambil kesempatan ialah seperti yang dilakukan oleh pelakon dan penyanyi, Ayda Jebat.yang promosikan lagu terbarunya Nakal Nakal Nakal sebagai OST drama Awak Sangat Nakal. Sesebuah lagu, samada lagu itu sedap atau tidak, kalau dah dengar hampir setiap hari pasti akan melekat di hati dan terngiang-ngiang di telinga.

Bijak ambil kesempatan ialah seperti yang dilakukan oleh pelakon Nora Danish yang telah memperkenalkan rekaan tudung terbarunya, Rekaan pelik siap berzip di muka itu pastinya pelakon itu sedia maklum akan menjadi buah mulut mahu pun kritikan netizen. Tapi memang itu lah (buah mulut dan kritikan) yang secara tak langsung jadi promosi percuma untuk tudung pelik itu.

Bijak ambil kesempatan ialah seperti yang dilakukan oleh Uber For Tailor (baca lebih lanjut di sini). Khas untuk mereka yang tak pernah cukup masa untuk buat semua benda, Uber For Tailor sama konsepnya dengan Uber perkhidmatan teksi oleh orang awam itu. Sama seperti Uber kenderaan, anda hanya perlu buat panggilan dan tukang jahit akan datang ke rumah / tempat anda untuk buat ukuran baju. Ambil kesempatan atas masalah mereka yang tak cukup masa hendak ke kedai untuk tempah pakaian.

Bijak ambil kesempatan ialah seperti yang dilakukan oleh sebuah restoran makanan segera yang jadikan pasangan yang sedang popular ketika ini, Neelofa-Fattah untuk melakukan cabaran habiskan burger besar terbaru restoran tersebut dalam hanya 3 gigitan, Rasa-rasanya ramai tak yang terpengaruh ingin cuba cabaran tersebut setelah saksikan pelakon pujaan mereka melakukannya?

Bijak ambil kesempatan perlukan kemahiran. Kemahiran untuk hidu kesempatan / peluang yang datang, kemahiran untuk pantas bertindak sebelum peluang diambil orang lain, kemahiran untuk pastikan kesempatan itu diusahakan sebaik0baiknya hingga berjaya.

Jom kita latih diri untuk bijak ambil kesempatan!



0 comments:

Piala AFF Suzuki 2016 : Langkah kanan Harimau Malaysia!

Sunday, November 20, 2016 Ana 0 Comments



Piala AFF Suzuki 2016 : Langkah kanan Harimau Malaysia!



Assalamualaikum & salam sejahtera.....


Malaysia 3 - Kemboja 2

Permulaan yang baik dalam perlawanan pertama skuad Harimau Malaya Malaysia di perlawanan Piala AFF Suzuki petang tadi. Sempat juga saya tonton jaringan-jaringan gol oleh Syazwan Zainon dan kapten pasukan Amri Yahyah pada minit ke 37, 69 dan 80.  Nasib baik tak sempat saksikan gol kontroversi pasukan Kemboja pada minit ke 7 oleh Chan Vathanaka, kalau tak memang tak berhenti lah merungut-rungut tak puas hati dengan keputusan pengadil! Pemain dah offsaid, penjaga garisan pun dah angkat bendera tapi pengadil kata Gol!

Kemenangan dalam perlawanan pertama ini memecahkan kebuntuan pasukan Harimau Malaysia yang tak pernah menang perlawanan pertama Piala AFF Suzuki sejak 2008.  Harap-harap 'langkah kanan' ini mampu diteruskan hingga ke peringkat akhir! Selain 3 jaringan tersebut, ada banyak juga percubaan ke arah pintu gol lawan oleh pasukan Harimau Malaysia samada melalui tendangan terus, sepakan percuma atau sepakan sudut oleh Ahmad Hazwan Bakri, Darren Lok, Baddrol Bakhtiar dan Amri serta Syazwan sendiri.

Syazwan nampak begitu confident sekali depan pintu gol dan merembat dengan cantik hantaran jauh yang diterima daripada Irfan Fazail. Walaupun ada kekurangan di bahagian pertahanan (yang selalu buat penonton rasa cemas), secara keseluruhannya bagi saya yang tak pandai main bola ini perlawanan tadi boleh diberi pujian. Ada kerjasama antara pemain yang boleh ditingkatkan lagi.

Terus lupa kat Safiq Rahim! Err, kalau ada penalti nanti mesti ingat juga kat Safiq!


piala aff suzuki 2016
Saat-saat mendebarkan Syazwan hendak menjaringkan gol

piala aff suzuki 2016
Syazwan Zainon, hero jaringan pertama untuk Harimau Malaysia

piala aff suzuki 2016
Penyokong Malaysia yang setia menyokong. Ultras tak ada ke?

piala aff suzuki 2016
Sepakan percuma oleh Baddrol Bakhtiar pada minit ke 32

**tak berapa biasa nak tengok pasukan Harimau Malaysia dalam jersi baru ini sebab dah terbiasa dengan jersi belang hitam kuning dan jersi merah biru**


Sebaik saja Amri menjaringkan gol ketiga, saya terpaksa keluar rumah kerana ada urusan. Tak puas hati juga sebab tak dapat tonton hingga ke akhir perlawanan. Dalam masa yang sama cemas dan cuak sebab masa perlawanan separuh masa kedua masih berbaki 10 minit. Cuak juga sebab gaya Amri (berdiri macam patung di sebelah kereta di tepi padang!) meraikan jaringannya keduanya itu macam Malaysia dah menang pula. Macam yang kita semua sedia maklum, pasukan Harimau Malaysia ini selalunya hilang fokus di akhir-akhir perlawanan. Contoh 'kenangan pahit yang tak mungkin dilupakan' ialah kekalahan Malaysia di saat kita confident habis akan jadi juara di final Piala AFF Suzuki 2014 setelah mendahului 3-0 menentang Thailand. Gol-gol Thailand yang tiba di minit ke 82 dan 86 membuatkan ramai rakyat Malaysia terutamanya yang menonton secara live di Stadium Shah Alam menitiskan air mata ketika itu.

Petang tadi lega bila sambil pandu kereta sempat lagi check dapat tahu keputusan penuh perlawanan dari FB Harimau Malaya. Yes, Malaysia menang!

Baca juga:
Piala AFF Suzuki 2016: Harimau Malaysia ke separuh akhir atau pulang ke tanahair?
Piala AFF Suzuki 2016 : Malam ini, sejarah berulang kembali....

Perlawanan seterusnya ialah menentang Vietnam pada hari Rabu, 23 Nov jam 4:30 petang dan menentang tuan rumah Myanmar pada 26 Nov jam 7:30 petang yang akan disiarkan secara langsung di TV2. Vietnam telah berjaya menumpaskan Myanmar 2-1 dalam perlawanan hari ini.

Sebut pasal tuan rumah, Myanmar, ada beberapa cadangan di FB yang meminta Malaysia menarik diri daripada perlawanan Piala AFF ini sebagai tanda protes terhadap kekejaman terhadap bangsa Rohingya di Myanmar. Teringat pula saya pada filem Ola Bola yang mana ada cerita mengenai pasukan bola sepak negara menarik diri daripada Sukan Olimpik di Moscow pada tahun 1980 sebagai bantahan terhadap tuan rumah Soviet Union yang menyerang Afghanistan.

Setinggi mana sekalipun semangat saya nak tengok Harimau Malaysia menjulang Piala AFF Suzuki 2016, tapi jika pasukan negara tarik diri sebagai tanda protes terhadap kekejaman ke atas bangsa Rohingya, saya sangat-sangat setuju!

Apa-apa pun, jika Harimau Malaysia masih perlu meneruskan perjuangan di Piala AFF Suzuki 2016 ini, mungkin tak ada cara lain untuk sampaikan mesej protes penindasan terhadap bangsa Rohingya melalui medium sukan ini?

"Kita menang sama-sama, kita kalah sama-sama"

atau....

"Kita menang sama-sama, kita kalah tarik diri sama-sama"






0 comments: