Rasuah dan duit raya....

Saturday, July 30, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Rasuah.
Memang 'seronok' bila disogokkan depan mata dengan wang berjuta-juta.
Tapi seronokkah kalau wang berjuta itu datangnya dari sumber yang tak sah?

Serius kah gejala rasuah di Malaysia?

Entah lah.

Dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI)  yang dikeluarkan oleh Transparency International untuk tahun 2015, Malaysia berada di ranking ke 54 dunia, dengan skor 50 (makin tinggi skor menandakan sesebuah negara makin bebas dari rasuah) . Denmark berada di tempat pertama dengan skor sebanyak 91.

Jika diselak suratkhabar setiap hari pasti ada saja berita yang berkaitan dengan penangkapan individu yang terlibat dengan rasuah. Beri rasuah supaya tak disaman polis, terima rasuah untuk luluskan projek mega, rasuah untuk lepaskan pemeriksaan imigresen di KLIA,  malah dalam sukan juga tidak terkecuali dan kakitangan di kementerian sukan itu sendiri terpalit dengan gejala rasuah.

Sumber : sinarharian.com.my


Bila dah rasa tiada siapa yang memerhati segala tindak tanduk kita maka mudahlah seseorang itu terima rasuah. Mungkin lupa ada Maha Kuasa yang sentiasa memerhati.

Bila rasa tamak haloba dah menguasai diri maka soal soal halal haram ditolak ke tepi.

Rasuah daripada sekecil-kecilnya seperti "Kalau adik tolong ayah pergi kedai belikan rokok nanti ayah belanja aiskrim" sehingga lah sebesar-besar rasuah yang melibatkan juta malah berbillion-billion wang di peringkat pengurusan sesebuah organisasi mampu ditangani kalau nilai-nilai murni yang asas dipupuk sejak kecil lagi.

Pernah suatu hari ketika saya letakkan sampah di luar rumah, saya perhatikan sampah kelmarin masih belum diangkat oleh pekerja yang mengangkat sampah. Saya tengok tong sampah jiran-jiran yang lain dah kosong. Hanya ada dua tiga lagi jiran yang saya perhatikan tong sampahnya masih dipenuhi sampah tidak diangkat. Pelik juga. Sampah yang saya letakkan di dalam tong sampah siap diasingkan mengikut jenis. Kemas diikat. Tak bertabur dan tak berair. Tak ada sebab yang boleh menyebabkan pekerja angkat sampah tidak mengangkat dan buang sampah dari tong sampah saya.

Keesokannya, emak saya menunggu lori sampah datang untuk pastikan sampah kami tidak dibiarkan tidak diangkat lagi. Bila lori sampah menghampiri, emak saya pun bertanyakan sama ada pekerja tersebut terlepas pandang dan ter 'miss' sampah dari tong sampah kami untuk semalam dan kelmarin.

Pekerja tersebut tidak menjawab dan hanya bertanya kembali soalan berikut:

"Duit raya tak ada ka makcik?"

Adakah ini juga satu bentuk rasuah? Penyakit rasuah dah menjalar ke pelbagai peringkat masyarakat? Perlu diberikan duit raya baru sampah akan diangkat?

:(

Jika di peringkat kita sebagai rakyat marhaen pun gejala rasuah kecil-kecilan sudah merebak, tak dapat nak bayangkan cabaran yang dihadapi SPRM untuk membanteras rasuah di peringkat atasan....

“Kepada anak buahku, buatlah kerja dengan betul tanpa rasa takut dan gentar kerana di SPRM bukanlah tempat untuk pegawai-pegawai yang kecut, penakut dan gentar. 
"Peliharalah kebebasan SPRM mencegah rasuah, bukan satu kerja yang mudah banyak cabaran dan dugaan, hadapilah rintangan ini dengan penuh cekal dan tabah,” - Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull

:(



0 comments:

Nombor akaun pengguna di bil elektrik telah ditukar.....tanpa makluman....

Friday, July 29, 2016 Ana 7 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera....


Malam semalam saya login Maybank2u untuk bayar bil elektrik TNB.  Macam biasa saya akan semak betul-betul nombor akaun yang tertera di bil elektrik itu untuk pastikan yang saya pilih akaun TNB yang betul dalam senarai 'payee' yang telah saya daftarkan di di Maybank2u saya. Maklumlah, saya ada 2 bil elektrik yang perlu dibayar untuk 2 buah rumah.

nombor akaun di bil elektrik telah ditukar
Nombor akaun baru di bil elektrik TNB

nombor akaun di bil elektrik telah ditukar
Nombor akaun lama di bil elektrik TNB

Bila semak, tengok-tengok nombor akaun pengguna di bil TNB itu berbeza dengan yang tertera di Maybank2u. Eh, dah tukar pula ke nombor akaun TNB ini? Nombor akaun sebelum ini bermula dengan '012' dan ada 14 angka kesemuanya, sekarang dah tukar kepada bermula dengan '220' dengan 12 angka kesemuanya. Banyak kali juga lah saya semak bil itu, mencari-cari kalau-kalau ada disertakan sekali nombor akaun pengguna yang lama atau kalau-kalau ada pemberitahuan mengenai nombor akaun telah ditukar kepada nombor yang baru. Tapi tak jumpa apa-apa maklumat pun. Jadi saya pun tangguhkan dulu bayar bil elektrik di Maybank2u dan cadang untuk telefon TNB esoknya, Kalau teruskan juga bayar nanti bimbang bayaran termasuk salah akaun pula, dah satu hal nak minta refund dengan pihak bank.

Baca juga :
Kenapa saya tak dapat bil elektrik untuk bulan September?
Alat elektrik mana yang kuat makan elektrik?
Jimat elektrik dengan hanya mencabut plug soket?
5 cara jimat guna aircond di musim panas


Pagi tadi saya telefon TNB untuk dapatkan kepastian. Setelah 'dihiburkan' dengan suara rakaman yang berulang-ulang kali memberitahu 'semua pegawai kami sedang sibuk, sila tunggu sebentar' (lebih kurang macam itu lah ayatnya) dan menunggu hampir 10 minit, akhirnya dapat juga saya bercakap dengan staff TNB yang bertugas.

TNB : Ya Cik ada apa yang boleh saya bantu?

Saya : Saya nak tanya pasal nombor akaun di bil elekrik untuk bulan Julai. Saya tengok nombor akaun di bil elektrik saya ni dah lain.

TNB : Ya Cik, memang TNB ada buat penukaran kepada nombor akaun yang baru yang bermula dengan no '22' dan ada 12 digit.

Saya : Oh, ye ke. Ada apa-apa notis yang bagitahu pasal penukaran nombor akaun ni tak?

TNB : Oh, tak ada Cik. Kami hanya hantar bil kepada pengguna.

Saya : Tak ada notis? Habis tu kalau saya bayar bil di Maybank2u dan saya bayar kepada nombor akaun TNB yang lama macam mana?

TNB : Tak ada masalah Cik. Nombor akaun yang lama masih boleh digunakan untuk 3 bulan lagi Cik.

Saya : Makna nya lepas 3 bulan nanti TNB baru akan beri notis untuk maklumkan mengenai nombor akaun yang dah bertukar ni?

TNB : Yang itu tak pasti Cik, Kena periksa dengan stesen (samada saya yang salah dengar atau memang betul disebut stesen , saya tak pasti pula stesen apa yang dimaksudkan)

Saya : Macam mana kalau pengguna tu bayar bil elektrik setiap bulan guna auto billing? Nanti tak ada masalah ke sebab nombor akaun dah lain.

TNB : Buat masa ini TNB masih terima nombor akaun yang lama Cik.

Saya : Jadi saya kena tukar lah nombor akaun TNB di Maybank2u saya kepada nombor akaun yang baru kan?

TNB : Betul Cik.

Saya tak bertanya lebih lanjut selepas itu. Soalan saya mengenai masalah yang akan timbul jika guna auto billing itu pun macam tak terjawab.

Jadi kalau anda pun macam saya yang bayar bil secara online, perhatikan dan semak nombor akaun pengguna di bil elektrik anda, samada masih kekal nombor yang lama atau telah bertukar ke nombor baru. Lebih baik juga jika terus daftarkan nombor akaun pengguna yang baru ini di Maybank2u (contoh kalau anda guna Maybank2u) untuk elakkan masalah tersilap bayar ke nombor akaun lama nanti. Untuk pengguna auto billing, saya pun kurang pasti, adakah TNB yang akan uruskan dengan pihak bank untuk kemaskini nombor akaun pengguna kepada nombor baru atau pengguna sendiri yang kena uruskan dengan pihak bank.

Kesimpulannya, alangkah baiknya jika TNB ambil sedikit inisiatif untuk maklumkan kepada pengguna mengenai penukaran nombor akaun pengguna yang baru ini. Cetak saja satu baris pengumuman di bil elektrik yang dihantar kepada pengguna.Tak susah kan?



7 comments:

Hanya Pada-Mu.....

Friday, July 29, 2016 Ana 0 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera...


Hanya Pada-Mu
Akim & The Majistret



Dalam pekatnya malam aku terjaga
Dihimpit dosa tersimpuh ku menghadapMu

Inikah perasaan bila Kau menyapa
Baru ku sedari dari tidurku


Pantaskah aku ke sana tinggalkan semua
UntukMu


Hanya padaMu ku ingin kembali
Pintaku hanyalah ampunilah dosaku ini
Berilah daku keluasan kasih dan sayangMu
Jangan tinggalkanku sendiri
Ampunilah aku


Berapa banyak Kau beri tidak ku syukuri
Ku tetap berpaling menjauhiMu


Pantaskah aku ke sana tinggalkan semua
UntukMu


Hanya padaMu ku ingin kembali
Pintaku hanyalah ampunilah dosaku ini
Berilah daku keluasan kasih dan sayangMu
Jangan tinggalkanku sendiri
Ampunilah aku


Setiap nafas yang ku hela
Adalah dengan izinMu
Setiap rahmat yang Kau berikan
Takkan ku persiakan lagi


Hanya padaMu ku ingin kembali
Pintaku hanyalah ampunilah dosaku ini
Berilah daku keluasan kasih dan sayangMu
Jangan tinggalkanku sendiri
Ampunilah aku....




0 comments:

Drama Sayangku Kapten Mukhriz : Bersungguh-sungguh betul Dr Ariana ni!

Thursday, July 28, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Semalam dan beberapa hari minggu lepas saya ada ter tonton drama 'Sayangku Kapten Mukhriz' di slot Akasia. Drama Sayangku Kapten Mukhriz ini merupakan adaptasi longgar novel Anugerah Terindah karya Sophilea.

Apa itu adaptasi longgar? Saya pertama kali dengar perkataan ini sebenarnya. Bila di google, baru faham apa maksud adaptasi longgar ini.

Dalam konteks adaptasi longgar, penulis lakon layar dan pengarah hanya menggunakan situasi asal, idea cerita dan watak-watak untuk mencipta sebuah filem yang mempunyai sedikit persamaan dengan teks asal. (Sumber: sinarharian)

Jadi cerita asal dalam novel Anugerah Terindah ini hanya dijadikan asas dalam menerbitkan drama Sayangku Kapten Mukhriz dalam versi yang berbeza.

sayangku kapten mukhriz
Kapten Mukhriz ini kadang-kadang layan Dr Ariana, kadang-kadang tidak. Hmmm.....

Pertama kali menonton drama Sayangku Kapten Mukhriz, lakonan Raja Afiq sebagai Kapten Mukhriz atau Ustaz Mukhriz dan Niena Baharun sebagai Dr Ariana Dahlia ini , saya lihat seperti ada sesuatu yang lain daripada drama-drama adaptasi novel yang disiarkan sebelum ini. Seingat saya belum pernah lagi ada drama adaptasi novel yang pelakonnya menonjolkan kehidupan pasukan beruniform. Dan kalau sebut pasal drama dan pasukan beruniform, yang pertama sekali muncul di fikiran saya pasti lah drama Gerak Khas (tapi drama ini bukan adaptasi novel). Jadi bila drama Sayangku Kapten Mukhriz memilih kehidupan anggota TLDM sebagai latarbelakang drama ini, saya fikir pastinya drama ini menarik untuk ditonton.

Mungkin tak adil juga untuk saya komen lebih-lebih mengenai drama ini kerana saya tidak menonton setiap hari dan setakat ini hanya berpeluang menonton dua tiga episod sahaja. Tapi melalui dua tiga episod itu lah saya lihat hampir 99 peratus drama ini fokusnya kepada usaha-usaha Dr Ariana untuk memikat Kapten Mukhriz sahaja. Tak banyak sisi TLDM yang ditonjolkan. Rugi juga kerana tidak dimanfaatkan peluang penggambaran di pangkalan TLDM Lumut itu. Tapi mungkin juga saya yang tak menonton babak yang ada gambarkan kehidupan dan tugas kapten TLDM ini. Profesion watak Ariana sebagai doktor pun agak kurang menyerlah. Sebagai seorang doktor yang selalunya di dunia realiti digambarkan sebagai seorang yang sibuk, dalam drama ini nampak macam Dr Ariana ada banyak sangat masa lapang. Dan kebanyakan masa lapang itu gunanya untuk fikirkan tentang Kapten Mukhriz!

sayangku kapten mukhriz
Dr Ariana yang bersungguh-sungguh memikat Kapten Mukhriz!
Tapi tak ada apa nak dihairankan sangat sebenarnya sebab memang itulah trend jalan cerita kebanyakan drama adaptasi novel. Fokus utamanya masalah cinta. Tapi drama ini ialah adaptasi longgar. Macam mana agaknya cerita asal dalam novel Anugerah Terindah ini?  Nak tahu kena beli novel lah jawabnya.

Selamat menonton Sayangku Kapten Mukhriz!

Klik untuk tonton video OST Drama Sayangku Kapten Mukhriz : Anugerah Terindah (Black Hanifah)

#sayangkukaptenmukhriz
#anugerahterindah


0 comments:

Antara ditampar dan berdiri di luar kelas...

Thursday, July 28, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera...

Dah reda agaknya kan isu pelajar sekolah ditampar guru itu. Kalau ikutkan rentetan isu ini, mungkin dah sampai atau mungkin juga dah melebihi had kesabaran guru itu dalam menasihati pelajar perempuan tersebut. Sabar pun ada had nya.

Mendengarkan cerita dan keluhan jiran saya yang merupakan cikgu sekolah rendah dah cukup untuk saya bayangkan yang jadi cikgu zaman sekarang memang banyak cabarannya. Jauh bezanya dengan zaman sekolah saya dulu. Zaman sekolah saya dulu, paling teruk pun perangai pelajar di sekolah ialah ponteng sekolah, datang lambat ke sekolah, tak buat kerja rumah, langgar peraturan sekolah pakai stokin warna warni, simpan kuku panjang dan lain-lain perkara remeh kalau nak dibandingkan dengan perangai pelajar-pelajar sekarang.

beza pelajar dulu dan sekarang


Paling teruk pun hukuman yang dikenakan dulu pun ialah kena berdiri atas kerusi kalau tak siap kerja rumah, dipanggil berdiri depan pelajar lain dan disebut nama masa perhimpunan atau pun dipukul di tangan dengan pembaris panjang 15cm.

Secara peribadi, saya pernah juga kena hukuman di sekolah. Dihukum berdiri di luar kelas. Puncanya?

Bukan sebab saya tak buat kerja sekolah.
Bukan sebab saya simpan kuku panjang.
Bukan sebab saya pakai stokin warna warni.
Bukan sebab saya buat bising dalam kelas.
Bukan sebab saya ponteng sekolah.

Tapi puncanya ialah:

-Cikgu Matematik suruh buka buku teks Matematik mukasurat sekian sekian.
-Seorang demi seorang pelajar kena jawab soalan di mukasurat itu.
-Setiap orang kena jawab dengan suara yang kuat.
-Kalau cikgu tak dengar jawapan yang diberikan, pelajar itu kena berdiri di luar kelas.

Ya. Saya dihukum berdiri di luar kelas sebab suara terlalu perlahan masa jawab soalan cikgu.

"You go and stand outside!"

Tak mungkin saya lupa kata-kata cikgu itu.
Menggigil kaki tangan saya mendengar suara garang itu. Nak tak nak terpaksa juga lah saya melangkah keluar dan berdiri di luar kelas.

Mungkin memang salah saya juga. Cikgu dah pesan awal-awal, jawab soalan dengan kuat. Saya yang perasan suara saya dah cukup kuat tapi rupa-rupanya masih belum cukup kuat untuk cikgu itu dengar. Malu juga saya berdiri di luar kelas sepanjang satu jam itu. Cikgu-cikgu dan pelajar-pelajar lain yang lalu lalang pandang saya semacam saja.

:p

Sebagai seorang yang pemalu (:P) hukuman berdiri di luar kelas pada saya dikira dah cukup 'teruk'. Bagi pelajar zaman sekarang, hukuman berdiri di luar kelas itu bukan masalah besar agaknya bagi mereka. Dan seingat saya di sekolah saya dulu pun tak pernah ada kes disiplin yang teruk sampai pelajar kena gantung sekolah apa tah lagi ditampar oleh guru.

Zaman memang berubah dengan pantas. Pelajar dulu tak sama dengan pelajar sekarang. Beban tugas cikgu dulu tak sama dengan beban tugas cikgu sekarang. Pokok pangkalnya, punca terjadinya isu ini semestinya ditangani sebelum melarat menjadi lebih teruk lagi.

Rasa hormat pelajar hari ini (bukan semua) kepada guru semakin menipis. Guru tidak lagi dianggap sebagai insan yang banyak berjasa. Hari ini pelajar ditampar guru kerana masalah disiplinnya.  Esok lusa entah apa lagi yang akan berlaku antara pelajar dan guru kita?


0 comments:

Menakutkan.....

Wednesday, July 27, 2016 Ana 0 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera....

Setelah menonton rakaman aksi mencemaskan bas ekspres melanggar 10 buah kenderaan berhampiran terowong Menora pada 10 Julai yang lalu, hari ini kita dikejutkan dengan satu lagi 'adegan' yang selama ini saya sangkakan akan hanya saya tonton di filem atau drama tv sahaja.

Jika aksi bas ekspres itu mengingatkan saya pada filem 'Speed' lakonan Keanu Reeves, aksi tembakan yang mengakibatkan seorang lelaki maut ketika keretanya berhenti di lampu isyarat di Danau Kota berhampiran Setapak Central petang tadi adalah 'babak' yang biasa kita tonton dalam puluhan malah ribuan filem selama ini. Bezanya kali ini, aksi tembak ini bukan berlaku dalam filem.

Sebanyak 18 kelongsong dijumpai dengan 12 kesan tembakan di cermin kiri dan 4 kesan tembakan di cermin kanan. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dengan 10 tembakan yang menyebabkan kecederaan parah pada kepala, badan dan peha (sumber: SinarHarian).

Sungguh kejam.
Sungguh menakutkan.
Jalan itu ialah jalan yang biasa saya lalui untuk ke rumah saudara mara di Gombak.


Sumber : FB Orang Wangsa Maju

lelaki maut ditembak berdekatan setapak central
Sumber : sinarharian.com.my

Melihat kembali pada video rakaman kejadian tersebut jelas ia merupakan satu tindakan berani si penembak yang siap turun dari motorsikal yang dibonceng untuk melepaskan tembakan pada jarak dekat. Memang sangat berani kerana tindakan itu dilakukan di waktu siang terang benderang dengan orang ramai yang lalu lalang dan banyak kenderaan lain yang hampir dengan kereta si mangsa. Saya yang menonton rakaman pun berasa seram apa tah lagi pemandu kereta putih yang berada di belakang motorsikal si penembak yang saya lihat serta merta membelok ke lorong sebelah kiri untuk mengelakkan kejadian tidak dingini. Pastinya peristiwa yang tak mungkin dapat dilupakan oleh pemandu kereta putih itu bila melihat aksi tembak menembak berlaku secara langsung di depan mata!

Apa sudah jadi?

Jika tidak silap, hampir setiap bulan ada berita orang mati ditembak akan dilaporkan di dada akhbar. Insiden tembakan petang tadi merupakan insiden yang ketiga dalam bulan ini sahaja.

Tiga beranak mati ditembak di Batu Maung pada 13 Julai yang lalu,
Seorang wanita maut ditembak mati di Taman OUG pada 6 Julai yang lalu.
Setiausaha sebuah parti politik maut ditembak di Miri pada 21 Jun yang lalu.

Adakah senjata api kini begitu mudah diperolehi semudah membeli ikan di pasar?
Saya masih tinggal di Malaysia yang aman damai kah?

:(


0 comments:

Jus mangga, sandwich dan cupcake...

Wednesday, July 27, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera...

Zaman ini zaman orang berniaga. Berniaga lah apa saja (yang halal dan tak menyalahi undang-undang ya!), jika kena caranya pasti akan mendapat sambutan. Walaupun berniaga dalam talian semakin menjadi trend masakini, berniaga secara konvensional masih lagi menjadi pilihan sesetengah peniaga kecil.

berniaga online semakin popular

Setiap hari memandu ke pusat bandar, pasti saya akan nampak kelibat insan-insan gigih yang menjaja secara kecil-kecilan dengan cara mereka sendiri.

Bermula di simpang hendak keluar ke jalan besar, di bawah kanopi berwarna kuning yang sederhana besarnya, kelihatan seorang peniaga setia menunggu bakal pelanggan membeli jus mangga yang nampak sangat menarik ketika cuaca panas terik. Kadangkala ada juga hari-hari di mana akak penjual jus mangga ini turut kelihatan menggoreng keropok lekor dalam kuali besar di bawah kanopinya. Jus mangga dan keropok lekor? Memang gandingan yang sesuai dan laku di kalangan pelajar sekolah dari sekolah kebangsaan dan sekolah agama yang terletak berdekatan.

Oh, lupa pula, Sebelum tiba di simpang ini, ada seorang remaja lelaki yang berniaga air soya dan tau fu fah. Sekali sekala ada juga dijual pau yang pelbagai jenis. Gerainya juga hanya di depan rumah, simple saja, hanya dipacakkan payung besar untuk melindungi dari panas dan hujan. Sebelum itu, di sebelah paginya, ketika orang ramai sibuk melalui jalan tersebut untuk ke pejabat atau hantar anak ke sekolah , tak perlu risau jika tak sempat nak bersarapan. Ada seorang adik lelaki yang tidak jauh dari remaja jual air soya tadi sedia menjual roti sandwich secara drive thru. Anda tak perlu turun dari kereta, hanya beritahu jenis sandwich yang anda mahu kan dan adik ini tadi akan hantar terus ke tingkap kereta anda. Cukup hanya dengan banner/bunting yang digantung pada pagar rumahnya untuk mengiklankan jenis-jenis sandwich yang dijualnya dan sebuah meja untuk meletakkan sandwich-sandwichnya, adik ini hanya perlu duduk menunggu saja pelanggan datang membeli,

Jika peniaga-peniaga yang saya sebutkan di atas berniaga dengan cara yang mudah (di depan rumah masing-masing) dan duduk di bawah redup payung, ada juga saya temui peniaga yang lebih gigih menjual barang jualannya, Pakcik yang seorang ini menjual kek cawan (cupcakes) dari kereta ke kereta tanpa kenal erti penat dan lelah. Lokasi jualan pakcik ini ialah di hadapan sekolah. Setiap hari pakcik ini akan berjalan dari satu kereta ke satu kereta, mengetuk cermin dan bertanyakan samada mahu membeli jualannya. Bijak juga idea pakcik ini kerana di kawasan sekolah memang ramai ibu bapa yang duduk di dalam kereta menunggu anak-anak mereka habis waktu sekolah. Beberapa kali juga saya lihat jualan pakcik ini laku dan mungkin dia mengambil lagi bekalan cupcake nya di suatu tempat simpanan, Kalau anda lihat dalam gambar di bawah, di tangan pakcik itu ada beberapa bungkusan plastik berisi kotak cupcake yang dijualnya.

jual cupcake dari kereta ke kereta


pakcik gigih jual cupcake di luar kawasan sekolah


Gigih kan?

Sebenarnya ramai juga peniaga-peniaga yang guna cara yang sama dan yang selalu saya jumpa ialah peniaga keropok dan kerepek. Kebiasaannya mereka ini menjual dari rumah ke rumah atau pun di tempat-tempat tertentu yang ramai orang seperti restoran atau pun stesen minyak.

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih...(pesanan untuk diri sendiri)



0 comments:

Lampu LED dan nasi lemak RM1.50...

Tuesday, July 26, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera...

Duit memang satu keperluan, tapi duit bukan segala-galanya. Dalam urusan jual beli barangan atau perkhidmatan, meletakkan harga yang tinggi untuk produk atau khidmat yang disediakan mungkin boleh hasilkan keuntungan yang banyak, tapi bukan untuk jangka panjang. Dalam berniaga, hubungan yang baik dan kepercayaan pelanggan lebih penting supaya peniaga dapat menambah pelanggan tetap yang akan menggunakan perkhidmatannya berkali-kali malah direkomenkan kan pula kepada orang lain.

Tulis ayat macam bagus! Bukannya apa, peristiwa semalam membuatkan saya teringat kepada bagaimana satu khidmat yang sama tapi dengan dua harga yang berbeza (dah macam iklan Trivago!) boleh memberikan kesan yang berbeza dalam sesuatu urusniaga.

cari yang murah , jimat belanja


Semalam lampu di porch rumah saya tak menyala. Rupa-rupanya dari malam lagi dah terbakar dan 'tendang' salah satu fius di fius utama. Beli mentol di kedai hardware dan dengan yakinnya gantikan mentol yang terbakar itu. Sekali bila on kan suis, lampu tak menyala pun. Puas lah dipusing sana sini mentol itu, manalah tahu kalau-kalau bernasib baik mentol akan bernyala, tapi hampa. Terpaksalah telefon orang yang pakar, seorang tukang warga Indonesia bernama Hakimi yang selalu emak saya panggil bila perlu bantuan untuk hal-hal macam ini.

"Mentol ini ok makcik tapi transformernya udah rosak" (dalam slang Indonesia nya)

Sekali lagi saya ke kedai kali ini mencari transformer pula. Sampai 5 kedai saya pergi mencari namun hampa. Stok tak ada. Orang dah tak pakai transformer lama macam itu. Akhirnya terpaksa beli satu set lampu yang baru di sebuah kedai elektrik. Lampu LED jadi pilihan kerana lebih mudah untuk dipasang (kata tukang itu tadi).

"Berapa harga lampu LED in tauke?"

"RM135"

"Aiyaa, banyak mahal, tak boleh kasi kurang ke?"

Lepas tauke tekan-tekan nombor di kalkulator,

"Ok, saya kasi kurang jadi RM120, tak boleh kasi kurang lagi. You mau saya kasi tolong pasang sekali ka? Satu lampu saya charge upah RM50"

"RM50? Mahalnya!"

"Mestilah, saya punya pekerja kena pergi rumah you kasi buka itu lampu lama lepas itu pasang ini lampu baru, banyak kerja kena buat"

"Tak apa lah tauke, saya sudah ada orang boleh tolong pasang"

Petang itu juga Hakimi datang ke rumah untuk pasangkan lampu yang baru. Setelah siap dipasang baru emak saya teringat hendak bertanyakan upahnya.

"Berapa kena bayar ni Hakimi?"

"Makcik bagi RM20 saja lah"

Tugas nya sama saja, tanggalkan lampu yang lama dan pasangkan lampu yang baru. Tapi tauke kenakan harga RM50 manakala Hakimi cuma RM20. Rasa-rasanya khidmat siapa yang akan saya gunakan lagi jika ada masalah yang sama lagi selepas ini? Tauke atau Hakimi?

Sama juga dengan harga barang yang dijual di pasaraya. Macam mana sebuah pasaraya boleh menjual air kotak (satu pek 6 kotak) dengan harga RM9 sedangkan sebuah lagi pasaraya yang berdekatan boleh jual air kotak yang sama dengan harga yang jauh lebih rendah, RM7? Dan yang lebih pelik, ada sebuah lagi pasaraya yang iklankan di pasaraya itu sedang ada promosi untuk air kotak tersebut tapi harga promosi nya ialah RM8.

Macam mana sebungkus nasi lemak yang ikan bilisnya boleh dikira dengan jari (saya kira ada 3 ekor ikan bilis saja dalam satu bungkus), telur rebus sebelah, timun nipis dan tiada kacang pun boleh dijual dengan harga RM1.50 sedangkan sebuah lagi gerai menjual nasi lemak lengkap dengan telur rebus, timun, kacang dan ikan bilis yang lebih banyak juga dijual dengan harga yang sama?

nasi lemak yang ada 3 ekor ikan bilis saja


Dalam keadaan harga barang yang semuanya naik tiada yang turun ini, terpulanglah kepada kita sebagai pengguna dan pembeli untuk buat pilihan yang terbaik dan yang penting, lebih menjimatkan perbelanjaan, Bagi peniaga pula, terutama yang letakkan harga yang tinggi, mungkin boleh letakkan diri mereka sebagai pembeli dan lihat samada harga tinggi itu sesuai dan berbaloi dengan produk atau khidmat yang mereka sediakan,

Cakoi sedap yang saya selalu beli dengan harga RM2 untuk 5 keping cakoi kini dah tak sama macam dulu. Dulu cakoinya panjang dalam lebih kurang sejengkal. Kini dah tinggal tiga suku dari saiz asal. Harga masih sama. Dan saya masih beli cakoi itu kerana berbaloi dengan rasa dan lembut cakoi itu walaupun dah sejuk. Jadi bukan semua harga barang mahal atau naik itu tidak bagus. Jika berbaloi, pasti akan ada pembeli yang akan tetap membeli dan ulang membeli.

Apa-apa pun, jom kita jadi pengguna yang bijak!

.

0 comments:

Macam-macam ada di hari raya!

Friday, July 22, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera...


Kawan-kawan semua masih dalam mood raya ke? Hari ini dah masuk hari ke-17 dalam bulan Syawal. Sempat lagi nak buat puasa sunat bulan Syawal dan sempat lagi nak buat rumah terbuka.



Semenjak hujung minggu yang pertama dalam bulan Syawal hingga minggu yang lalu, hujung minggu saya dipenuhi dengan aktiviti beraya. Samada saya yang pergi beraya ke rumah orang atau orang lain yang datang beraya ke rumah saya. Selain pengalaman soalan-soalan cepumas yang biasa ditanyakan ketika berkumpul sanak saudara waktu raya, antara pengalaman raya yang dapat saya perhatikan sepanjang aktiviti beraya kali ini adalah:

1. Di salah sebuah rumah yang saya pergi beraya, ada seorang nenek yang telah lanjut usia, lebih kurang umurnya 95 tahun. Terdengar perbualan nenek itu dengan salah seorang cicitnya, saya namakan cicitnya sebagai A:

Nenek : A, doakan nyang (kependekan untuk moyang) panjang umur ya....

A : Nyang nak panjang umur lagi ke? Umur Nyang kan dah 90 lebih!

Terkedu juga saya bila dengar jawapan A itu. Tak perlu kot nak jawab macam itu. Apa salahnya jika dijawab akan mendoakan saja moyangnya diberikan kesihatan yang baik..



2. Situasi ini berlaku di rumah jiran saya. Antara juadah yang dihidangkan jiran saya ketika itu ialah nasi impit dan kuah kacang, mihun dan karipap. Ada ramai juga tetamu yang duduk bersama saya dan tuan rumah ketika itu. Sambil makan-makan, salah seorang tetamu yang duduk di hadapan saya bertanyakan kepada tuan rumah mengenai karipap yang dihidangkan.

Tetamu : Karipap ni buat sendiri ke?

Saya sudah sedia maklum karipap itu adalah karipap frozen yang digoreng. Tuan rumah tersenyum-senyum dan mungkin cuba hendak bergurau lalu menjawab.

Tuan rumah : Iya, buat sendiri...

Belum sempat lagi tuan rumah hendak beritahu perkara sebenar, tetamu dah siap menyampuk...

Tetamu : Dah agak dah, tengok rupa pun dah tahu!

Err, dalam hati saya tertanya-tanya. "Dah agak dah" tuan rumah yang buat sebab rupa karipap itu nampak cantik  dan tetamu itu sedang memuji tuan rumah atau adakah "Dah agak dah" sebab rupa karipap itu nampak tidak berapa menarik maka tetamu sudah agak karipap itu tuan rumah yang buat dan bukan karipap yang dibeli?

Eh, kenapalah saya nak kena susah-susah fikir macam itu? Anggap saja tetamu itu sedang puji tuan rumah, kan senang!



3. Bayangkan anda pergi beraya ke rumah sanak saudara atau sahabat handai. Sedang duduk menjamu selera ada beberapa orang lagi datang beraya. Tetamu yang baru sampai itu beri salam dan masuk ke rumah lalu bersalam-salaman dengan semua (yang dibenarkan untuk bersalaman) yang ada di dalam rumah KECUALI anda. Eh, kenapa ya pilih-pilih orang pula hendak bersalam?


4.  Situasi yang keempat ini berdasarkan pengalaman yang diceritakan oleh sahabat saya. Anda buat rumah terbuka seca kecil-kecilan untuk makcik dan sepupu-sepupu anda sahaja. Jemputan ke rumah terbuka anda telah pun anda hantar melalui sms dan whatsapp. Ada yang membalas dan ada yang tidak membalas whatsapp anda meskipun telah ada dua tanda 'right'  berwarna biru menunjukkan whatsapp anda telah dibaca. Pada hari rumah terbuka diadakan, tiada seorang pun makcik dan sepupu yang datang ke rumah anda. Apa agaknya perasaan anda ketika itu? Sangka baik sajalah. Mungkin makcik dan sepupu sepapat anda itu terlalu sibuk hadiri 10 rumah terbuka yang lain dan tak perasan akan jemputan anda!


5. Situasi pada Syawal yang ke-15. Secara logiknya kebanyakan daripada kita telah mula berpuasa enam terutamanya di minggu kedua dan seterusnya di bulan Syawal. Jika anda sedang berpuasa enam, ada tetamu yang datang beraya ke rumah anda pada waktu petang, cukup tak jika sekadar menghidangkan air teh O dan kuih raya? Pada saya itu sudah mencukupi dan tetamu pun sepatutnya faham. Macam mana jika anda dah siap tuangkan teh O dalam dan silakan makan kuih raya yang ada tiba-tiba tetamu itu bertanya, "Cekodok tak ada ke?". Bukan tanya main-main ya, tanya dengan muka serius dan berulang kali.  Sebagai tuan rumah, hanya mampu senyum dan sengih saja lah.


6. Di musim raya ini pastinya bagi yang berjalan jauh, stesen minyak dan R&R menjadi tempat untuk melepaskan lelah.  Saya sempat berhenti di R&R Awan Besar pada Sabtu yang lalu ketika perjalanan menuju ke Shah Alam. Berhenti di tepi bahu jalan, satu perkara yang jelas kelihatan ialah deretan sampah sarap yang dibuang merata-rata. Sedang saya memerhatikan sampah seperti tin air, bekas snek dan air kotak yang berderet itu tiba-tiba dengan selamba satu kotak air minuman dicampak keluar dari kereta yang berhenti di hadapan saya. Memang sangat selamba tanpa rasa bersalah! Mungkin dah biasa buat begitu agaknya?



Hari Ahad ini InsyaAllah saya keluar beraya lagi. Mungkin boleh tambah lagi cerita pengalaman raya saya nanti!



0 comments:

Salam penghulu segala hari....jom kita banyakkan bersedekah hari ini!

Friday, July 22, 2016 Ana 0 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera..


Salam hari Jumaat , salam sayyidul ayyam....

Selain memperbanyakkan selawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad saw di hari Jumaat ini, jom kita sama-sama memperbanyakan bersedekah tak kira dalam apa jua bentuk sekalipun. Jom kita teruskan amalan bersedekah yang kita lakukan sebanyak-banyaknya di bulan Ramadhan yang lalu.

:)

Bila terasa berat hendak memberi, ingat kan dalam hati (pesanan untuk diri saya sendiri juga) yang segala apa yang kita miliki hanyalah pinjaman dari Yang Maha Esa. Malu saja kan nak kedekut-kedekut, bukan kepunyaan kita pun! Dalam rezeki yang kita perolehi, ada bahagiannya yang telah tertulis untuk orang lain. Kita hanya sebagai perantara untuk berkongsi dan menyampaikan rezeki iti kepada pemiliknya...

rezeki dari Allah
Sumber : Jakim Cawangan Sabah

Harta yang kita miliki bukan boleh dibawa ke dalam kubur bila kita meninggal dunia nanti. 'Harta' yang sebenarnya kepunyaan kita ialah harta yang kita sedekahkan ke jalan Allah, yang bakal menjadi bekalan kita di akhirat sana...

Jom kita banyakkan bersedekah!

:)

0 comments:

Rumah yang tiada sofa, peti ais dan mesin basuh.....

Thursday, July 21, 2016 Ana 2 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera...

Saya ikuti juga cerita yang viral di FB mengenai seorang selebriti yang mengamalkan cara hidup sederhana. Menurut beliau, rumahnya tiada sofa, tiada peti ais dan tiada mesin basuh.


rumah ku syurga ku


Tak ada sofa di rumah? Tak pelik sangat. Saya pernah berkunjung ke rumah seorang makcik yang sama-sama hadiri kursus haji dengan saya dan emak. Rumah makcik itu di Wangsa Maju. Memang tiada sofa pun di rumahnya. Kami hanya duduk makan bersila di lantai.

Tak ada peti ais di rumah? Setakat ini saya belum jumpa lagi rumah yamg tiada peti ais.Kalau tak ada peti ais, kat mana saya nak simpan aiskrim sumi yang sedap itu?

Tak ada mesin basuh di rumah? Sekali lagi tak rasa hairan. Sebab kedai dobi layan diri 24 jam dibuka di sana sini. Kalau tanya pendapat saya, membasuh pakaian di kedai dobi 24 jam ini agak membuang masa sebab kena duduk di situ menunggu dan tak boleh nak buat aktiviti lain.

Macam mana kalau tak ada televisyen di rumah? Tak pasti pula saya selebriti ini ada televisyen atau tidak di rumahnya. Tak perlu juga lah saya sibuk-sibuk nak ambil tahu kan. :P Teringat pula pada seorang kawan saya di sekolah menengah dulu. Beliau akan mengeluh cerita kan perkara yang tidak disukainya setiap kali menyambut raya. Kata kawan saya itu, setiap kali hari raya pertama, kawan ayahnya bersama ahli keluarga yang ramai akan datang berziarah ke rumahnya. Dan setiap kali kedatangan kawan ayahnya itu juga lah, kawan saya dan adik-adiknya tak dapat nak tonton televisyen. Pakcik itu akan minta televisyen di rumah kawan saya ini dipadamkan Tak nak anak-anaknya terpengaruh dengan cerita di televisyen itu katanya. Katanya lah.

Hidup secara sederhana tiada salahnya. Cuma mungkin yang dipersoalkan dan agak janggal ialah bila mana rumah tiada kelengkapan rumah tetapi handphone selebriti ini lengkap dengan kelengkapan untuk mengambil selfie dan upload ke FB. Bagi orang seperti saya, perkara macam ini nampak sedikit pelik. Handphone untuk selfie dan upload gambar ke media sosial lebih penting daripada kelengkapan rumah? Mungkin saya yang tak nampak apa yang tersirat di sebalik apa yang cuba dilakukan oleh selebriti ini. Mungkin lah.

Terpulang lah pada pendirian masing-masing. Setiap yang bernyawa dikurniakan akal untuk menimbang buruk baiknya keputusan yang diambil dalam hdup. Jika selebriti ini dan keluarganya bahagia dan selesa dengan pilihannya, siapa lah kita nak sibuk-sibuk mempertikaikannya.

Semoga apa yang kita pilih untuk lakukan pada hari ini tidak akan membuatkan kita menyesal tak sudah di kemudian hari....







2 comments:

Caj parkir di KL naik...syukurlah masih murah berbanding tempat lain....

Tuesday, July 19, 2016 Ana 0 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera....


Kadar parkir di KL naik 150 peratus,
Punca kadar dinaikkan : "Satu-satunya" cara untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar dan menggalakkan orang ramai untuk berkongsi kereta.

"Kami mahu mengosongkan seberapa banyak tempat letak kereta di bandar dan menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam atau berkongsi kereta ke bandar.
"Saya tahu ia akan menjadi sangat tidak popular, tetapi ia perlu dilakukan kerana lalu lintas di Kuala Lumpur penuh sesak,'' kata Amin Nordin.
(sumber : mstar.com.my)


Kata Datuk Bandar, kadar parkir tersebut adalah lebih murah berbanding negara Asean yang lain. Saya perasan ayat macam ini (bandingkan dengan negara lain) selalu digunapakai setiap kali ada kenaikan harga (macam harga minyak), bagi menunjukkan kadar kenaikan tersebut "adalah sedikit sahaja dan tak seberapa".

kadar parkir naik 150 peratus


Saya cuba juga untuk google bagaimana cara bandar-bandar besar lain seperti Tokyo, London, Paris, New York dan Singapura mengatasi kesesakan lalu lintas. Dan memang betul, salah satu cara yang diambil oleh bandar-bandar utama ini ialah dengan mengurangkan tempat letak kereta percuma atau murah. Cara yang lain ialah dengan mengenakan caj kesesakan, iaitu kenderaan persendirian yang masuk ke jalan-jalan utama pada waktu puncak dan sesak akan dikenakan bayaran.

Tapi dalam banyak-banyak cara saya rasa yang paling akan mendapat tempat di hati orang ramai ialah memperbaiki mutu pengangkutan awam. Bila pengangkutan awam efisien (seperti di Tokyo) maka tak ada alasan lain untuk pengguna jalanraya masih tetap 'tabah' untuk meredah kesesakan jalan raya.

Saya dah lama tak guna pengangkutan awam, jadi tak dapat nak cerita efisien atau tidak pengangkutan awam di Malaysia hari ini. Betul ke pengangkutan awam dah bertambah baik? Kalau betul kenapa masih ramai yang tak nak guna pengangkutan awam?

Tapi bukan susah pun nak tahu. Bila buka saja FB Rapid KL, masih banyak komen dan rungutan daripada pengguna perkhidmatan ini.

Orang ramai kini seperti tersepit. Nak pandu kereta ke pusat bandar, terpaksa mengadap jalanraya sesak dan caj parkir dah mahal. Nak guna pengangkutan awam, bersedialah dengan kemungkinan masalah tren lewat atau masalah teknikal atau masalah brek atau masalah sistem kawalan tren dan pelbagai masalah lagi.

Ada juga logiknya dikenakan caj parkir lebih mahal untuk kurangkan kesesakan jalan raya di pusat bandar. Tapi ada juga logiknya pendapat seorang pengguna jalanraya yang ditemuramah di berita tengahari tadi. Naikkan caj parkir adalah logik untuk mengurangkan kenderaan yang memasuki pusat bandar Kuala Lumpur, tapi agak sukar diterima bila mana caj parkir di kawasan-kawasan pinggir bandar seperti Wangsa Maju, Cheras dan Setiawangsa turut dinaikkan. Kebanyakan mereka yang memandu kenderaan di kawasan pinggir bandar ini adalah mereka yang mempunyai urusan-urusan seperti urusan di bank, urusan bertemu kawan dan lepak di restoran mamak, hantar baju di kedai dobi mahupun singgah membeli ubat di farmasi yang terdapat di pusat perniagaan di pinggir bandar ini, Adakah untuk melaksanakan urusan-urusan harian begini juga perlu menggunakan pengangkutan awam atau berkongsi kereta bagi mengelak caj parkir yang mahal?

kadar parkir naik 150 peratus


Membaca tajuk berita di Astroawani,com "Kesulitan menggunakan perkhidmatan awam bukan tanggungjawab DBKL" membuatkan saya menggeleng kepala. Bila membaca isi kandungan berita membuatkan saya rasa tidak percaya apa yang saya baca.

Rasa pelik juga bila membacanya. Mula-mula katanya naikkan caj parkir dengan alasan untuk galakkan orang awam guna pengangkutan awam atau kongsi kereta. Ya, memang betul pengangkutan awam bukan di bawah tanggungjawab DBKL, tapi dengan begitu mudah kah buat kenyataan 'untuk galakkan guna perkhidmatan awam. dan kemudian 'pass baton' kepada pihak yang kendalikan pengangkutan awam? Sebegitu mudah keluarkan kenyataan? Tidak ada kah sebarang penyelarasan di antara badan-badan yang berkaitan atau sekurang-kurangnya perbincangan diadakan sebelum membuat sesuatu keputusan?

Kata Datuk Bandar, kenaikan daripada 80 sen kepada RM2 sejam adalah masih murah....


Syukurlah masih murah berbanding tempat lain......








0 comments:

Kanser hati dan perginya Pak Uda...

Monday, July 18, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Setelah kehilangan Mak Long saya yang meninggal dunia 19 tahun yang lalu disebabkan kanser, semalam Pak Uda pula meninggal dunia setelah berjuang dengan kanser hati sejak bulan Mac yang lalu.

Kanser hati.

(Saya terus teringat kepada Almarhum Tunku Abdul Jalil yang mengidap penyakit yang sama)

Apa yang menyebabkan kanser hati? Banyak maklumat yang boleh didapati jika di Google mengenai punca kanser hati. Sejenis kanser yang dikatakan kurang 'popular' jika dibandingkan dengan jenis kanser yang lain.

berjuang melawan kanser hati


Emak saya sempat bertanyakan sedikit kepada Mak Uda mengenai tanda-tanda awal kanser hati yang dihidapi arwah Pak Uda. Menurut Mak Uda, arwah Pak Uda pada mulanya hanya terasa sakit pada ulu hati yang disangkanya disebabkan oleh penyakit gastrik. Beberapa kali juga ubat gastrik dimakan namun sakit tetap tidak hilang. Setelah beberapa kali dipujuk, akhirnya arwah Pak Uda bersetuju untuk membuat pemeriksaan ujian darah di hospital. Dan keputusan ujian darah tersebut sangat mengejutkan. Doktor mengesahkan Pak Uda mengidap kanser hati tahap empat.

:(

Berdasarkan keputusan ujian darah itu, salah satu elemen/bahan/unsur protein (saya kurang jelas nama yang disebutkan oleh Mak Uda) yang terdapat dalam hati arwah Pak Uda terlalu tinggi kandungan/bacaannya berbanding orang yang normal. Bacaan yang normal ialah 5 tetapi ujian darah arwah Pak Uda menunjukkan bacaan 1300. Melihatkan keputusan ujian darah itu, doktor bertanyakan empat soalan kepada Pak Uda:
1. Adakah Pak Uda merokok?
2. Adakah Pak Uda mengambil minuman beralkohol?
3. Adakah ada di kalangan ahli keluarga yang menginap kanser?
4. Adakah Pak Uda pernah membuat pemindahan darah?

Semua jawapan Pak Uda untuk soalan-soalan di atas ialah 'Tidak'.

Emak dan saya hanya membiarkan Mak Uda bercerita dan kami bertanyakan satu dua soalan sahaja, bimbang mengundang semula rasa sedih di hati Mak Uda. Menurut Mak Uda, semuanya berlaku dengan begitu pantas sejak keputusan ujian darah diketahui pada awal bulan April. Semenjak itu tahap kesihatan Pak Uda mulai merosot, selera makan berkurang menyebabkan tubuh Pak Uda semakin kurus. Sehingga lah semalam, apabila Pak Uda menghembuskan nafasnya yang terakhir di samping Mak Uda dan anak-anaknya tatkala hujan lebat membasahi bumi jam 6.30 petang.

Baca juga :
Travelling Beruang tiba di kemuncaknya....


Dikenali sebagai seorang yang menyenangkan di kalangan saudara mara dan sahabat handai, pemergian Pak Uda pastinya amat dirasai oleh semua yang mengenalinya. Sudah tentu ketiadaan beliau akan jelas ketara bila mana diadakan kenduri kendara di kawasan perumahan nya kerana beliau merupakan seorang yang handal memasak dan sering mengetuai kerja-kerja memasak dalam setiap kenduri yang diadakan.

"Allahumma firlahu warhamhu wa`afihi wa`fu`anhu" - "Ya Allah, ampunilah dosanya, berilah rahmatMu ke atasnya, sejahtera dan maafkanlahnya."

Semoga rohnya akan dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Amin....

 

0 comments:

MH17, 17 Julai dan saya...

Sunday, July 17, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Hari ini 17 Julai 2016, persamaan 12 Syawal 1437 Hijrah.

Hari ini genap 2 tahun tragedi pesawat MAS MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine.

Dalam suasana kita masih meraikan Syawal ini, saya tak dapat nak bayangkan perasaan waris mangsa yang terlibat dalam tragedi tersebut. Pastinya kenangan beraya bersama orang tersayang yang telah pergi dengan cara yang tragis adalah sesuatu yang bukan mudah untuk dilupakan.

Tahun lepas mungkin lebih sukar. Tarikh 17 Julai pada tahun lepas jatuh pada 1 Syawal. Bayangkan perasaan waris mangsa menyambut ketibaan Syawal dengan genapnya setahun peristiwa MH17 berlaku.

:(

Sehingga ke hari ini, keadilan untuk mangsa masih diperjuangkan. Pihak yang bersalah masih belum menerima hukuman yang setimpal. Siasatan demi siasatan hanya menceritakan apa yang berlaku, bagaimana pesawat ditembak dan cebisan-cebisan pesawat yang tinggal dicantumkan semula. Waris mangsa masih menunggu persoalan yang utama: Siapa yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17? Bila mereka yang tidak berhati perut ini akan diheret ke muka pengadilan?

mh17 dalam ingatan
Sumber : Google


MH17 yang merupakan pesawat Boeing 777 memulakan penerbangan pertamanya pada 17 Julai 1997. Ditembak jatuh pada 17 Julai 2014, genap umur pesawat tersebut 17 tahun.

:(

Hari ini telah genap 2 tahun tragedi MH17 berlalu namun ingatan apabila membuka TV pada pagi 17 Julai 2014 dan melihat berita di tv yang menyiarkan gambar pesawat di tempat nahas tidak mungkin akan saya lupakan sampai bila-bila.

Hari ini telah genap 2 tahun tragedi M17 berlalu namun ingatan dan air mata yang mengalir apabila melihat siaran langsung ketibaan satu persatu jenazah mangsa tragedi MH17 di tv tidak mungkin akan dilupakan.

Hari ini telah genap 2 tahun tragedi MH17 berlalu namun bukan mudah untuk melupakan wajah-wajah pilu anak yang kehilangan ibu atau bapa, isteri yang kehilangan suami, suami yang kehilangan isteri, ibu bapa yang kehilangan anak serta nenek yang kehilangan anak, menantu dan cucu dalam sekelip mata.

Semoga mereka semua tabah menghadapi ketentuan-Nya.

Baca juga:
Penerbangan Terakhir MH19...

Saya berkongsi satu perkara yang sama dengan MH17.
Satu perkara yang akan membuatkan saya sama sekali tidak akan lupakan tragedi yang menyayat hati ini.

Tahun yang berbeza, tapi tarikh yang sama.

17 Julai.
Saya dan MH17 berkongsi tarikh lahir yang sama. Buat MH17, tarikh itu jugalah tarikh ia 'pergi' meninggal kan kita semua bersama 298 orang penumpang yang dibawanya...

Ya. Mulai 2014 sehingga ke tahun-tahun yang akan datang (jika panjang umur), tarikh 17 Julai memberi 2 perasaan yang berbeza untuk saya.
Gembira masih diberi peluang bernafas di muka bumi ini dan sedih mengingatkan nasib yang menimpa MH17...

MH17 akan sentiasa di ingatan...

0 comments:

Bhajrangi Bhaijaan lebih menarik daripada Dilwale!

Saturday, July 16, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera...


Hari ini saya pergi beraya ke Shah Alam. Agak kecewa sebab rasa macam tak berpeluang nak tengok cerita Bhajrangi Bhaijaan nanti. Tengok tu, awal-awal lagi dah salah tujuan. Nak pergi rumah orang untuk berjaya atau nak tengok cerita Hindustan?

:p

Kalau dari awal tak dapat tengok tak apa juga. Ini dah tengok sekerat jalan kemudiannya tv ditukar ke saluran lain...

Setibanya saya di rumah tuan rumah saya 'berjaya' memegang remote control tv. Dapat lah juga saya tengok permulaan filem ini yang ditayangkan di Astro Citra saluran 134. Bila masuk waktu Zohor saya pun segera lah tunaikan solat. Waktu itu cerita Bhajrangi Bhaijaan ini dah sampai babak Shahida ditinggalkan keretapi dan tengah tengok orang ramai menari sambil selfie-selfie itu bersama hero nya, Salman Khan. Dalam cerita Hindustan, memang babak yang saya kurang minat ialah babak joget-joget dan nyanyi-nyanyi ini. Lama juga lah babak Salman Khan joget-joget itu. Selesai solat, remote tv dah bertukar tangan dan saluran tv pun dah bertukar lain. Saluran kartun.

:(

Jeling-jeling jam tunggu pukul 2 petang. Mana lah tahu kalau-kalau ada yang 'terbuka hati' nak tukar kembali ke astro citra atau ke saluran tv3 yang akan tayangkan Bhajrangi Bhaijaan di slot Panggung Sabtu. Hampa juga nampaknya. Majoriti berminat dengan saluran kartun.

:(

Apa yang menariknya filem Bhajrangi Bhaijaan ini sampai saya beria-ia nak tonton? Rasanya saya terpengaruh dengan komen-komen di media sosial yang mengatakan filem menarik, lain dari yang lain, jalan cerita sedih sampai kena sediakan berkotak-kotak tisu untuk menontonnya dan macam-macam lagi komen-komen yang positif. Memang saya terpengaruh dengan komen-komen ini rasanya sebab saya bukan suka sangat tonton lakonan Salman Khan yang saya rasa selalunya berlakon tak best dan 'over'. Dan tak dapat juga tonton lakonan bersahaja dan ekspresi hebat pelakon cilik Harshaali Malhotra yang memegang watak Shahida @ Munni.

Bila jam dah tunjukkan pukul 2.30 petang saya pun tak berharap lagi. Nampaknya saya akan kekal beranggapan Salman Khan ini tak best sebab tak dapat tonton lakonannya dalam Bhajrangi Bhaijaan ini.

Tapi tiba-tiba bila jam menghampiri pukul 3 petang, harapan saya kembali bernyala. Ada 'penyelamat' yang tukar saluran tv kembali ke saluran tv3 astro citra!

Jadi saya dapatlah tengok Bhajrangi Bhaijaan dari pukul 1 hingga 1.30 petang dan dari pukul 3 hingga 4 petang. Tak tahu apa yang berlaku dari jam 1.30 hingga 3 petang.

Tak apa lah. Tunggu saja lah ulangan nya lagi nanti untuk tonton filem penuh. Kalau ada lah ulangannya.




Menonton filem ini untuk satu setengah jam pun dah cukup menyentuh perasaan. Lakonan super hebat Harshaali Malhotra, pelakon kanak-kanak yang agak mirip dengan Aaisyah, anak Che Ta itu. Pelakon dewasa yang berlakon dengan dialog yang berjela-jela pun belum tentu dapat mengusik kalbu penonton dengan lakonan yang berkesan. Ini kan pula tugas berat melakonkan watak tanpa dialog yang dilakonkan oleh seorang pelakon kanak-kanak. Memang boleh dapat anugerah pelakon terbaik!




Bhajrangi Bhaijaan lebih hebat daripada filem Dilwale. Jauh lebih seronok menonton Bhajrangi Bhaijaan berbanding Dilwale. Sinematografi dalam filem Dilwale lebih kepada hendak menggambarkan keindahan bumi Iceland dan tidak berkaitan dengan jalan cerita Dilwale itu sendiri. Filem Bhajrangi Bhaijaan menggambarkan keindahan bumi Sonamarg, Kashmir yang berkaitan dengan kehidupan Shahida dan keluarganya. Memang sangat indah. Terus rasa teringin nak ke Pakistan.





Antara babak yang mengusik jiwa ialah babak Shahida bertemu semula dengan ibunya dan babak di bahagian akhir di mana Shahida boleh bercakap ketika bertemu Bhajrangi yang hendak menyeberang sempadan kembali ke India. Nak ulas lebih-lebih pun tak pandai. Lagipun saya tak tonton filem ini secara keseluruhannya kan. :(




Baca juga:
Dilwale dan Shah Rukh Khan di hari raya...

Harap-harap akan ada ulangan filem Bhajrangi Bhaijaan ini lagi!



0 comments: