Dilwale dan Shah Rukh Khan di hari raya...

Monday, July 11, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Fuh, tak sangka saya akan tonton Dilwale di hari raya ke-5 , malam raya ke-6 ini!

Dah lama juga tak tonton cerita Hindustan sebab rasa lama benar nak menunggu depan TV selama 3 jam. Malam ini entah macam mana sanggup pula mengadap tv walaupun ada lah juga beberapa kali tersengguk-sengguk mengantuk. Mungkin sebab rasa ingin tahu apa yang best sangat dengan cerita Dilwale sehingga ada beberapa orang kenalan saya menonton nya berulang kali di pawagam.

Sebaik saja tamat cerita, secara spontan keluar pertanyaan dari mulut saya, 'Dah habis dah?'

Rasa macam tak ada isi sangat jalan cerita filem Dilwale ini (peminat Dilwale jangan kecam saya!).

Secara peribadi, saya berpendapat ada banyak lagi cerita hero pujaan ramai Shah Rukh Khan yang lebih baik daripada Dilwale, seperti My Name Is Khan dan Happy New Year, sekadar menyebut beberapa contoh. Malah saya rasa filem yang juga gandingan Shah Rukh Khan-Kajol iaitu Dilwale Dulhania Le Jayenge lebih menarik daripada filem Dilwale. Dilwale mungkin menonjol dari segi sinematografi nya yang berlatarbelakangkan bumi Iceland yang sangat indah. Memang kagum dengan keindahan alam ciptaan Tuhan sampaikan mata saya macam dah tak nampak hero dan heroin menari-nari sebab mata hanya tertumpu pada latarbelakang yang sangat indah.

Sumber : thevocket.com

Selain daripada sinematografi yang mengagumkan itu, jalan cerita filem Dilwale ini adalah lebih kurang sama dengan filem-filem Hindustan yang lain. Babak-babak klise yang wajib seperti aksi bergaduh, konflik percintaan dan sisi gelap seperti edar dadah dan kumpulan kongsi gelap tidak ketinggalan. Watak Meera lakonan aktres Kajol sememangnya cantik sepanjang masa dan Shah Rukh Khan sebagai Raj @ Kali tidak banyak beza dengan lakonannya dalam filem-filem yang lepas. Cerita rekaan dengan watak Ramlal dan Pogo mengurangkan sedikit rasa bosan (kurang sikit lah) dengan kisah percintaan antara Meera-Raj dan Ishita-Veer ini. Watak jahat King si raja dadah ditamatkan dengan agak mudah. Saya ingatkan akan ada adegan yang lebih serius bila King mengamuk bekalan dadahnya dibakar oleh Veer. Tapi itu lah, semua konflik diatasi dengan mudah. Meera tahu hal sebenar di sebalik kematiannya juga dengan cara yang mudah, iaitu diberitahu oleh pembantu ayahnya (itu pun setelah bertahun-tahun dirahsiakan). Pendek kata, filem Dilwale ini tiada babak yang boleh dianggap benar-benar menonjol kecuali babak aksi (kadang-kadang ada nampak macam over sikit aksi Shah Rukh Khan dalam babak ini, tapi biasalah, ini kan filem Hindustan!) dan pemandangan indahnya.

Tonton filem Dilwale ini di tv pun saya sudah rasa mengantuk, tak pasti macam mana kalau saya tonton di pawagam. Mungkin lebih menarik? Mungkin sebab itu ramai yang tonton di pawagam berulang kali?

Bagi peminat setia Shah Rukh Khan - Kajol sudah semestinya wajib tonton di pawagam kan. Bagi yang tak berapa setia macam saya ini, tunggu saja lah disiarkan di tv! Tapi agak cepat juga filem Dilwale ini disiarkan di tv sebab baru saja Disember tahun lepas ditayangkan di pawagam.

Kata orang, selalunya filem yang tak laku saja akan disiarkan cepat di tv. Betul ke? Tapi kan, filem Boboiboy The Movie yang raih kutipan jutaan ringgit itu pun dah disiarkan di tv pada malam raya kedua yang lepas.

Sebuah lagi filem Hindustan yang bertajuk Bhajrangi Bhaijaan lakonan Salman Khan akan disiarkan di panggung Sabtu pada Sabtu ini. Filem yang memenangi anugerah Best Film Of The Year di Stardust Award 2016 ini dikatakan lari daripada kisah-kisah cinta yang biasa dipaparkan dalam filem-filem Hindustan selama ini.

Mampukah saya sekali lagi mengadap TV selama 3 jam untuk menonton sebuah lagi filem Hindustan di hari raya ini?


0 comments: