Siapa nak duit raya?

Tuesday, July 12, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Salam 7 Syawal. Pejam celik pejam celik dah seminggu kita melangkah ke bulan Syawal. Anda semua masih dalam mood raya kah? Suasana raya masih terasa, kuih raya masih banyak terhidang di meja, baju raya masih belum habis digayakan di pejabat dan duit raya masih belum habis dikira berapa jumlah kesemuanya!

Sebut pasal duit raya yang paling gembira pastinya golongan kanak-kanak. Jika dua minggu yang lalu ramai di antara kita yang sibuk beratur panjang untuk tukar duit baru di bank, minggu ini sekali lagi akan kelihatan ramai yang beratur panjang untuk simpan duit raya kanak-kanak dalam bank.

siapa nak duit raya


Saya ada terbaca cerita yang sangat menarik di akhbar pagi tadi. Saudara Mokhtar Yusof dari Kuala Ibai, Kuala Terengganu yang berfikiran kreatif menggantikan pemberian duit raya dengan 'buku' raya. 'Buku raya'? Ya. Kanak-kanak yang datang beraya ke rumah beliau tidak diberi duit raya sebagaimana lazimnya, sebaliknya diberikan buku menggantikan duit raya.

Bagusnya idea saudara ini. Saya terfikir juga mungkin tak ada kanak-kanak yang terima buku raya ini merungut sebab tak dapat duit raya? Tapi menurut beliau, pemberian buku raya nya itu mendapat reaksi yang baik daripada kanak-kanak. Menurutnya, beliau memperuntukkan belanja yang lebih untuk pemberian buku raya ini berbanding duit raya. Namun kos atau belanja lebih tersebut tidak menjadi masalah buat beliau yang berharap inisiatifnya itu dapat menggalakkan budaya membaca di kalangan generasi muda.

buku ganti duit raya
Sumber : Utusan Malaysia


Betul juga. Jika diberi duit raya RM3, mungkin sekadar dibelanjakan untuk membeli aiskrim sebatang dua, tapi ilmu yang diperolehi daripada pemberian buku raya yang berharga RM3 tidak ternilai harganya, malah boleh pula ilmu itu disebar dan dikongsikan bersama.

Dalam dunia masakini yang mana generasi muda (bukan semua) telah didedahkan dengan suasana serba mementingkan wang dan kemewahan, mungkin sedikit sukar (namun tak mustahil!) untuk kita turut mencontohi usaha murni saudara Mokhtar Yusof ini. Mungkin kita akan dapat reaksi pelik (saya tengah bayangkan wajah pelik anak-anak saudara saya bila saya berikan buku raya dan bukannya duit raya nanti!) daripada yang menerima buku raya itu. Memang biasalah sesuatu yang luar daripada adat dan amalan kebiasaan akan dipandang pelik kan.

"Siapa nak duit raya??"
Terbayang-bayang ramai kanak-kanak (termasuklah mak atau ayah kanak-kanak!) akan berebut angkat tangan atau beratur depan si pemberi duit raya...

"Siapa nak buku raya??"
"Ha?"
Terbayang-bayang muka pelik kanak-kanak (termasuklah mak atau ayah kanak-kanak!) sambil dalam hati merungut tahun depan tak nak datang lagi rumah orang ni!

Yang mana jadi pilihan anda? Duit raya atau buku raya?

Tak kira lah duit raya atau buku raya, yang penting pemberian itu adalah ikhlas dari hati!

*Teringat zaman kanak-kanak dulu. Zaman saya masih ada dapat duit raya 50 sen. Masih ada kah yang dapat duit raya 50 sen pada hari ini?*

 

0 comments: