Macam-macam ada di hari raya!

Friday, July 22, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera...


Kawan-kawan semua masih dalam mood raya ke? Hari ini dah masuk hari ke-17 dalam bulan Syawal. Sempat lagi nak buat puasa sunat bulan Syawal dan sempat lagi nak buat rumah terbuka.



Semenjak hujung minggu yang pertama dalam bulan Syawal hingga minggu yang lalu, hujung minggu saya dipenuhi dengan aktiviti beraya. Samada saya yang pergi beraya ke rumah orang atau orang lain yang datang beraya ke rumah saya. Selain pengalaman soalan-soalan cepumas yang biasa ditanyakan ketika berkumpul sanak saudara waktu raya, antara pengalaman raya yang dapat saya perhatikan sepanjang aktiviti beraya kali ini adalah:

1. Di salah sebuah rumah yang saya pergi beraya, ada seorang nenek yang telah lanjut usia, lebih kurang umurnya 95 tahun. Terdengar perbualan nenek itu dengan salah seorang cicitnya, saya namakan cicitnya sebagai A:

Nenek : A, doakan nyang (kependekan untuk moyang) panjang umur ya....

A : Nyang nak panjang umur lagi ke? Umur Nyang kan dah 90 lebih!

Terkedu juga saya bila dengar jawapan A itu. Tak perlu kot nak jawab macam itu. Apa salahnya jika dijawab akan mendoakan saja moyangnya diberikan kesihatan yang baik..



2. Situasi ini berlaku di rumah jiran saya. Antara juadah yang dihidangkan jiran saya ketika itu ialah nasi impit dan kuah kacang, mihun dan karipap. Ada ramai juga tetamu yang duduk bersama saya dan tuan rumah ketika itu. Sambil makan-makan, salah seorang tetamu yang duduk di hadapan saya bertanyakan kepada tuan rumah mengenai karipap yang dihidangkan.

Tetamu : Karipap ni buat sendiri ke?

Saya sudah sedia maklum karipap itu adalah karipap frozen yang digoreng. Tuan rumah tersenyum-senyum dan mungkin cuba hendak bergurau lalu menjawab.

Tuan rumah : Iya, buat sendiri...

Belum sempat lagi tuan rumah hendak beritahu perkara sebenar, tetamu dah siap menyampuk...

Tetamu : Dah agak dah, tengok rupa pun dah tahu!

Err, dalam hati saya tertanya-tanya. "Dah agak dah" tuan rumah yang buat sebab rupa karipap itu nampak cantik  dan tetamu itu sedang memuji tuan rumah atau adakah "Dah agak dah" sebab rupa karipap itu nampak tidak berapa menarik maka tetamu sudah agak karipap itu tuan rumah yang buat dan bukan karipap yang dibeli?

Eh, kenapalah saya nak kena susah-susah fikir macam itu? Anggap saja tetamu itu sedang puji tuan rumah, kan senang!



3. Bayangkan anda pergi beraya ke rumah sanak saudara atau sahabat handai. Sedang duduk menjamu selera ada beberapa orang lagi datang beraya. Tetamu yang baru sampai itu beri salam dan masuk ke rumah lalu bersalam-salaman dengan semua (yang dibenarkan untuk bersalaman) yang ada di dalam rumah KECUALI anda. Eh, kenapa ya pilih-pilih orang pula hendak bersalam?


4.  Situasi yang keempat ini berdasarkan pengalaman yang diceritakan oleh sahabat saya. Anda buat rumah terbuka seca kecil-kecilan untuk makcik dan sepupu-sepupu anda sahaja. Jemputan ke rumah terbuka anda telah pun anda hantar melalui sms dan whatsapp. Ada yang membalas dan ada yang tidak membalas whatsapp anda meskipun telah ada dua tanda 'right'  berwarna biru menunjukkan whatsapp anda telah dibaca. Pada hari rumah terbuka diadakan, tiada seorang pun makcik dan sepupu yang datang ke rumah anda. Apa agaknya perasaan anda ketika itu? Sangka baik sajalah. Mungkin makcik dan sepupu sepapat anda itu terlalu sibuk hadiri 10 rumah terbuka yang lain dan tak perasan akan jemputan anda!


5. Situasi pada Syawal yang ke-15. Secara logiknya kebanyakan daripada kita telah mula berpuasa enam terutamanya di minggu kedua dan seterusnya di bulan Syawal. Jika anda sedang berpuasa enam, ada tetamu yang datang beraya ke rumah anda pada waktu petang, cukup tak jika sekadar menghidangkan air teh O dan kuih raya? Pada saya itu sudah mencukupi dan tetamu pun sepatutnya faham. Macam mana jika anda dah siap tuangkan teh O dalam dan silakan makan kuih raya yang ada tiba-tiba tetamu itu bertanya, "Cekodok tak ada ke?". Bukan tanya main-main ya, tanya dengan muka serius dan berulang kali.  Sebagai tuan rumah, hanya mampu senyum dan sengih saja lah.


6. Di musim raya ini pastinya bagi yang berjalan jauh, stesen minyak dan R&R menjadi tempat untuk melepaskan lelah.  Saya sempat berhenti di R&R Awan Besar pada Sabtu yang lalu ketika perjalanan menuju ke Shah Alam. Berhenti di tepi bahu jalan, satu perkara yang jelas kelihatan ialah deretan sampah sarap yang dibuang merata-rata. Sedang saya memerhatikan sampah seperti tin air, bekas snek dan air kotak yang berderet itu tiba-tiba dengan selamba satu kotak air minuman dicampak keluar dari kereta yang berhenti di hadapan saya. Memang sangat selamba tanpa rasa bersalah! Mungkin dah biasa buat begitu agaknya?



Hari Ahad ini InsyaAllah saya keluar beraya lagi. Mungkin boleh tambah lagi cerita pengalaman raya saya nanti!



0 comments: