Lampu LED dan nasi lemak RM1.50...

Tuesday, July 26, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera...

Duit memang satu keperluan, tapi duit bukan segala-galanya. Dalam urusan jual beli barangan atau perkhidmatan, meletakkan harga yang tinggi untuk produk atau khidmat yang disediakan mungkin boleh hasilkan keuntungan yang banyak, tapi bukan untuk jangka panjang. Dalam berniaga, hubungan yang baik dan kepercayaan pelanggan lebih penting supaya peniaga dapat menambah pelanggan tetap yang akan menggunakan perkhidmatannya berkali-kali malah direkomenkan kan pula kepada orang lain.

Tulis ayat macam bagus! Bukannya apa, peristiwa semalam membuatkan saya teringat kepada bagaimana satu khidmat yang sama tapi dengan dua harga yang berbeza (dah macam iklan Trivago!) boleh memberikan kesan yang berbeza dalam sesuatu urusniaga.

cari yang murah , jimat belanja


Semalam lampu di porch rumah saya tak menyala. Rupa-rupanya dari malam lagi dah terbakar dan 'tendang' salah satu fius di fius utama. Beli mentol di kedai hardware dan dengan yakinnya gantikan mentol yang terbakar itu. Sekali bila on kan suis, lampu tak menyala pun. Puas lah dipusing sana sini mentol itu, manalah tahu kalau-kalau bernasib baik mentol akan bernyala, tapi hampa. Terpaksalah telefon orang yang pakar, seorang tukang warga Indonesia bernama Hakimi yang selalu emak saya panggil bila perlu bantuan untuk hal-hal macam ini.

"Mentol ini ok makcik tapi transformernya udah rosak" (dalam slang Indonesia nya)

Sekali lagi saya ke kedai kali ini mencari transformer pula. Sampai 5 kedai saya pergi mencari namun hampa. Stok tak ada. Orang dah tak pakai transformer lama macam itu. Akhirnya terpaksa beli satu set lampu yang baru di sebuah kedai elektrik. Lampu LED jadi pilihan kerana lebih mudah untuk dipasang (kata tukang itu tadi).

"Berapa harga lampu LED in tauke?"

"RM135"

"Aiyaa, banyak mahal, tak boleh kasi kurang ke?"

Lepas tauke tekan-tekan nombor di kalkulator,

"Ok, saya kasi kurang jadi RM120, tak boleh kasi kurang lagi. You mau saya kasi tolong pasang sekali ka? Satu lampu saya charge upah RM50"

"RM50? Mahalnya!"

"Mestilah, saya punya pekerja kena pergi rumah you kasi buka itu lampu lama lepas itu pasang ini lampu baru, banyak kerja kena buat"

"Tak apa lah tauke, saya sudah ada orang boleh tolong pasang"

Petang itu juga Hakimi datang ke rumah untuk pasangkan lampu yang baru. Setelah siap dipasang baru emak saya teringat hendak bertanyakan upahnya.

"Berapa kena bayar ni Hakimi?"

"Makcik bagi RM20 saja lah"

Tugas nya sama saja, tanggalkan lampu yang lama dan pasangkan lampu yang baru. Tapi tauke kenakan harga RM50 manakala Hakimi cuma RM20. Rasa-rasanya khidmat siapa yang akan saya gunakan lagi jika ada masalah yang sama lagi selepas ini? Tauke atau Hakimi?

Sama juga dengan harga barang yang dijual di pasaraya. Macam mana sebuah pasaraya boleh menjual air kotak (satu pek 6 kotak) dengan harga RM9 sedangkan sebuah lagi pasaraya yang berdekatan boleh jual air kotak yang sama dengan harga yang jauh lebih rendah, RM7? Dan yang lebih pelik, ada sebuah lagi pasaraya yang iklankan di pasaraya itu sedang ada promosi untuk air kotak tersebut tapi harga promosi nya ialah RM8.

Macam mana sebungkus nasi lemak yang ikan bilisnya boleh dikira dengan jari (saya kira ada 3 ekor ikan bilis saja dalam satu bungkus), telur rebus sebelah, timun nipis dan tiada kacang pun boleh dijual dengan harga RM1.50 sedangkan sebuah lagi gerai menjual nasi lemak lengkap dengan telur rebus, timun, kacang dan ikan bilis yang lebih banyak juga dijual dengan harga yang sama?

nasi lemak yang ada 3 ekor ikan bilis saja


Dalam keadaan harga barang yang semuanya naik tiada yang turun ini, terpulanglah kepada kita sebagai pengguna dan pembeli untuk buat pilihan yang terbaik dan yang penting, lebih menjimatkan perbelanjaan, Bagi peniaga pula, terutama yang letakkan harga yang tinggi, mungkin boleh letakkan diri mereka sebagai pembeli dan lihat samada harga tinggi itu sesuai dan berbaloi dengan produk atau khidmat yang mereka sediakan,

Cakoi sedap yang saya selalu beli dengan harga RM2 untuk 5 keping cakoi kini dah tak sama macam dulu. Dulu cakoinya panjang dalam lebih kurang sejengkal. Kini dah tinggal tiga suku dari saiz asal. Harga masih sama. Dan saya masih beli cakoi itu kerana berbaloi dengan rasa dan lembut cakoi itu walaupun dah sejuk. Jadi bukan semua harga barang mahal atau naik itu tidak bagus. Jika berbaloi, pasti akan ada pembeli yang akan tetap membeli dan ulang membeli.

Apa-apa pun, jom kita jadi pengguna yang bijak!

.

0 comments: