Antara ditampar dan berdiri di luar kelas...

Thursday, July 28, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera...

Dah reda agaknya kan isu pelajar sekolah ditampar guru itu. Kalau ikutkan rentetan isu ini, mungkin dah sampai atau mungkin juga dah melebihi had kesabaran guru itu dalam menasihati pelajar perempuan tersebut. Sabar pun ada had nya.

Mendengarkan cerita dan keluhan jiran saya yang merupakan cikgu sekolah rendah dah cukup untuk saya bayangkan yang jadi cikgu zaman sekarang memang banyak cabarannya. Jauh bezanya dengan zaman sekolah saya dulu. Zaman sekolah saya dulu, paling teruk pun perangai pelajar di sekolah ialah ponteng sekolah, datang lambat ke sekolah, tak buat kerja rumah, langgar peraturan sekolah pakai stokin warna warni, simpan kuku panjang dan lain-lain perkara remeh kalau nak dibandingkan dengan perangai pelajar-pelajar sekarang.

beza pelajar dulu dan sekarang


Paling teruk pun hukuman yang dikenakan dulu pun ialah kena berdiri atas kerusi kalau tak siap kerja rumah, dipanggil berdiri depan pelajar lain dan disebut nama masa perhimpunan atau pun dipukul di tangan dengan pembaris panjang 15cm.

Secara peribadi, saya pernah juga kena hukuman di sekolah. Dihukum berdiri di luar kelas. Puncanya?

Bukan sebab saya tak buat kerja sekolah.
Bukan sebab saya simpan kuku panjang.
Bukan sebab saya pakai stokin warna warni.
Bukan sebab saya buat bising dalam kelas.
Bukan sebab saya ponteng sekolah.

Tapi puncanya ialah:

-Cikgu Matematik suruh buka buku teks Matematik mukasurat sekian sekian.
-Seorang demi seorang pelajar kena jawab soalan di mukasurat itu.
-Setiap orang kena jawab dengan suara yang kuat.
-Kalau cikgu tak dengar jawapan yang diberikan, pelajar itu kena berdiri di luar kelas.

Ya. Saya dihukum berdiri di luar kelas sebab suara terlalu perlahan masa jawab soalan cikgu.

"You go and stand outside!"

Tak mungkin saya lupa kata-kata cikgu itu.
Menggigil kaki tangan saya mendengar suara garang itu. Nak tak nak terpaksa juga lah saya melangkah keluar dan berdiri di luar kelas.

Mungkin memang salah saya juga. Cikgu dah pesan awal-awal, jawab soalan dengan kuat. Saya yang perasan suara saya dah cukup kuat tapi rupa-rupanya masih belum cukup kuat untuk cikgu itu dengar. Malu juga saya berdiri di luar kelas sepanjang satu jam itu. Cikgu-cikgu dan pelajar-pelajar lain yang lalu lalang pandang saya semacam saja.

:p

Sebagai seorang yang pemalu (:P) hukuman berdiri di luar kelas pada saya dikira dah cukup 'teruk'. Bagi pelajar zaman sekarang, hukuman berdiri di luar kelas itu bukan masalah besar agaknya bagi mereka. Dan seingat saya di sekolah saya dulu pun tak pernah ada kes disiplin yang teruk sampai pelajar kena gantung sekolah apa tah lagi ditampar oleh guru.

Zaman memang berubah dengan pantas. Pelajar dulu tak sama dengan pelajar sekarang. Beban tugas cikgu dulu tak sama dengan beban tugas cikgu sekarang. Pokok pangkalnya, punca terjadinya isu ini semestinya ditangani sebelum melarat menjadi lebih teruk lagi.

Rasa hormat pelajar hari ini (bukan semua) kepada guru semakin menipis. Guru tidak lagi dianggap sebagai insan yang banyak berjasa. Hari ini pelajar ditampar guru kerana masalah disiplinnya.  Esok lusa entah apa lagi yang akan berlaku antara pelajar dan guru kita?


0 comments: