Jus mangga, sandwich dan cupcake...
Assalamualaikum & salam sejahtera...
Zaman ini zaman orang berniaga. Berniaga lah apa saja (yang halal dan tak menyalahi undang-undang ya!), jika kena caranya pasti akan mendapat sambutan. Walaupun berniaga dalam talian semakin menjadi trend masakini, berniaga secara konvensional masih lagi menjadi pilihan sesetengah peniaga kecil.
Setiap hari memandu ke pusat bandar, pasti saya akan nampak kelibat insan-insan gigih yang menjaja secara kecil-kecilan dengan cara mereka sendiri.
Bermula di simpang hendak keluar ke jalan besar, di bawah kanopi berwarna kuning yang sederhana besarnya, kelihatan seorang peniaga setia menunggu bakal pelanggan membeli jus mangga yang nampak sangat menarik ketika cuaca panas terik. Kadangkala ada juga hari-hari di mana akak penjual jus mangga ini turut kelihatan menggoreng keropok lekor dalam kuali besar di bawah kanopinya. Jus mangga dan keropok lekor? Memang gandingan yang sesuai dan laku di kalangan pelajar sekolah dari sekolah kebangsaan dan sekolah agama yang terletak berdekatan.
Oh, lupa pula, Sebelum tiba di simpang ini, ada seorang remaja lelaki yang berniaga air soya dan tau fu fah. Sekali sekala ada juga dijual pau yang pelbagai jenis. Gerainya juga hanya di depan rumah, simple saja, hanya dipacakkan payung besar untuk melindungi dari panas dan hujan. Sebelum itu, di sebelah paginya, ketika orang ramai sibuk melalui jalan tersebut untuk ke pejabat atau hantar anak ke sekolah , tak perlu risau jika tak sempat nak bersarapan. Ada seorang adik lelaki yang tidak jauh dari remaja jual air soya tadi sedia menjual roti sandwich secara drive thru. Anda tak perlu turun dari kereta, hanya beritahu jenis sandwich yang anda mahu kan dan adik ini tadi akan hantar terus ke tingkap kereta anda. Cukup hanya dengan banner/bunting yang digantung pada pagar rumahnya untuk mengiklankan jenis-jenis sandwich yang dijualnya dan sebuah meja untuk meletakkan sandwich-sandwichnya, adik ini hanya perlu duduk menunggu saja pelanggan datang membeli,
Jika peniaga-peniaga yang saya sebutkan di atas berniaga dengan cara yang mudah (di depan rumah masing-masing) dan duduk di bawah redup payung, ada juga saya temui peniaga yang lebih gigih menjual barang jualannya, Pakcik yang seorang ini menjual kek cawan (cupcakes) dari kereta ke kereta tanpa kenal erti penat dan lelah. Lokasi jualan pakcik ini ialah di hadapan sekolah. Setiap hari pakcik ini akan berjalan dari satu kereta ke satu kereta, mengetuk cermin dan bertanyakan samada mahu membeli jualannya. Bijak juga idea pakcik ini kerana di kawasan sekolah memang ramai ibu bapa yang duduk di dalam kereta menunggu anak-anak mereka habis waktu sekolah. Beberapa kali juga saya lihat jualan pakcik ini laku dan mungkin dia mengambil lagi bekalan cupcake nya di suatu tempat simpanan, Kalau anda lihat dalam gambar di bawah, di tangan pakcik itu ada beberapa bungkusan plastik berisi kotak cupcake yang dijualnya.
Gigih kan?
Sebenarnya ramai juga peniaga-peniaga yang guna cara yang sama dan yang selalu saya jumpa ialah peniaga keropok dan kerepek. Kebiasaannya mereka ini menjual dari rumah ke rumah atau pun di tempat-tempat tertentu yang ramai orang seperti restoran atau pun stesen minyak.
Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih...(pesanan untuk diri sendiri)
0 comments: