Rindu 'air biru' di bazar Ramadhan!

Saturday, April 30, 2016 Ana 0 Comments


Rindu 'air biru' di bazar Ramadhan!


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Pejam celik pejam celik, tinggal 32 hari saja lagi bulan Ramadhan akan menjelma. Semoga kita semua dipanjangkan usia untuk dipertemukan dengan Ramadhan yang mulia pada tahun ini, amin,,,

Kebetulan semasa memandu di Bandar Baru Bangi pada hari Rabu yang lepas, saya ternampak banner besar mengenai pendaftaran untuk tapak bazar Ramadhan telah dibuka, Mungkin telah lama banner itu di situ, saya saja yang baru perasan. Bagi para peniaga tentunya segala persiapan telah dibuat untuk memastikan tidak terlepas peluang berniaga di bazar Ramadhan. Saya masih ingat seorang sahabat yang sama-sama bekerja di pejabat dahulu sanggup mengambil cuti untuk menghadiri sesi cabutan undi tapak bazar Ramadhan oleh majlis perbandaran. Dan memang setiap tahun sahabat saya ini bersama-sama dengan suami dan rakan-rakan suaminya akan berniaga air di bazar Ramadhan.


bisnes air di bazar ramadhan
Sumber : myrujukan.com

Pada mulanya ramai kenalan di pejabat tidak percaya yang sahabat saya ini berniaga air di bazar Ramadhan. Sehinggalah ketika pejabat kami yang setiap tahun mengadakan jamuan 'raya open house' secara potluck mengagih-agihkan menu yang perlu dibawa oleh setiap seorang. Sahabat saya ini memilih untuk menyediakan minuman. Dan pada hari jamuan, memang balang air yang besar yang biasa digunakan oleh peniaga di pasar malam itu lah yang dibawa sahabat saya ini ke pejabat. Masa itu barulah semua orang percaya memang sahabat saya ini betul-betul berniaga di bazar Ramadhan selama ini!

Menurut sahabat saya ini, antara jenis air yang dijualnya ialah air tebu, air tembikai, air jagung dan satu lagi air biru yang saya lupa namanya. Seingat saya air yang berwarna biru tersebut ialah campuran beberapa jenis kordial dan perasa yang dicipta sendiri oleh sahabat saya. Air itu jugalah yang disediakannya semasa jamuan raya di pejabat dan memang mendapat sambutan hangat. Sampai sahabat saya itu kena standby di sebelah balang air nya yang sekejap saja sudah kosong itu!

Dari situ boleh nampak yang bisnes air di bazar Ramadhan memang boleh untung jika kena caranya. Bayangkan untuk jamuan di pejabat pun 'air adunan istimewa' itu sudah mendapat sambutan. tentu lah di bazar Ramadhan yang lebih ramai orang itu lebih-lebih lagi untung jualannya kan. Yang penting, perlu ada faktor penarik yang lain daripada yang lain, yang membezakan seorang penjual air daripada penjual air yang lain. Dan bagi kes sahabat saya ini, air biru istimewa itu lah yang menarik pelanggan ke gerainya!

Baca juga:
Ikan siakap bakar di bazar Ramadhan...


Bisnes air adakalanya memang kurang laku terutamanya di musim hujan. Biasalah untung rugi dalam bisnes, ditambah pula dengan fenomena El Nino yang menyumbang kepada kecelaruan cuaca kebelakangan ini. Bulan Ramadhan akan bermula pada 6/6/16 dan jika diikutkan laporan akhbar, musim panas dijangka akan berakhir pada Jun (awal atau pertengahan atau akhir Jun?) ini. Jadi, adakah bisnes air masih boleh meraih untung ketika itu?

Yang penting usaha, untung atau tidak , rezeki semua telah ditentukan Tuhan. Bagi yang berminat memulakan bisnes air sekarang atau di bulan Ramadhan nanti, mungkin boleh juga membaca artikel menarik dengan anggaran ringkas kiraan keuntungan di sini.  Atau boleh juga cuba ikuti panduan 'Bisnes Air Balang' yang disediakan oleh saudara Mizan Sulaiman. Panduan yang disediakan bukan hanya teori semata-mata tetapi penulis ebook panduan bisnes air ini sendiri telah berniaga air di bazar Ramadhan sejak tahun 2008 lagi. Teruja bila baca kisah beliau yang mendapat keuntungan lebih RM7,000 hasil berniaga air di bazar Ramadhan. Lebih menarik bila keuntungan tersebut diperolehi hanya dengan menjual 3 jenis air sahaja! Anda boleh ikuti lebih banyak panduan dan tips-tips hebat dari beliau dengan klik di sini. Turut dikongsikan beliau ialah resepi 8 jus yang terlaris di bazar Ramadhan.

Mungkin tahun ini saya akan 'turun padang' ke Shah Alam melihat sahabat saya itu berniaga air di bazar Ramadhan. Rindu pula nak minum 'air biru' yang special itu!

0 comments:

Kesan El Nino kepada manusia, haiwan dan alam sekitar

Friday, April 29, 2016 Ana 0 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera...

Alhamdulillah, kebelakangan ini kerap juga hujan di waktu petang kan. Di mulai dengan panas di waktu pagi, semakin terik di tengahari dan diikuti dengan hujan pada petangnya. Walaupun sekejap, sudah cukup untuk menyejukkan sedikit bahang cuaca panas melampau akibat fenomena El Nino ini.

El Nino bukan saja membawa bersamanya keadaan cuaca yang panas membahang tapi juga turut memberi kesan yang bukan sedikit kepada manusia, haiwan dan alam sekitar.

Antara kesannya kepada manusia ialah:
- Risiko terdedah kepada strok haba.
- Risiko terdedah kepada 'strok' wang ringgit @ strok dompet @ strok beg duit bila mana bil elektrik melambung tinggi kesan penggunaan aircond dan kipas yang lebih daripada kebiasaan.
- Risiko terdedah kepada rasa mudah naik angin @ cepat marah. Keadaan panas menambahkan stress dan kurangnya daya kawalan ke atas diri dalam keadaan marah,
- Risiko terdedah dengan ancaman haiwan berbisa yang keluar dari habitatnya untuk mencari tempat yang lebih sejuk.
- Risiko 'terpaksa' berjimat cermat menggunakan air atau mandi 2 hari sekali kerana catuan air akibat paras air di empangan yang kritikal.

bil elektrik naik mendadak ketika cuaca panas
Sumber : Utusan Malaysia


Antara kesannya kepada haiwan ialah:
- Haiwan dilanda stress bila terdedah dengan cuaca panas melampau. Pengeluaran hasil ternakan berkurangan dan penternak mengalami kerugian.
- Haiwan berdarah sejuk yang terkesan dengan cuaca panas mula keluar dari habitatnya untuk mencari tempat baru yang lebih selesa. Kesannya juga kepada manusia bila mana haiwan ini 'menceroboh' kawasan yang dihuni oleh manusia.
- Lebih masa diperlukan untuk menguruskan haiwan di zoo yang terkesan dengan cuaca panas melampau. Contohnya ialah gajah yang kebiasaannya dimandikan sebanyak 5 kali sehari kini dimandikan 10 kali sehari kerana tidak tahan cuaca panas!


ayam stress ketika cuaca panas
Sumber : Utusan Malaysia

kesan cuaca panas kepada haiwan
Sumber : Utusan Malaysia

ancaman ular ketika cuaca panas
Sumber : Utusan Malaysia



Antara kesannya kepada alam sekitar ialah:
- Berlakunya kekeringan air tasik sepertimana yang berlaku di Tasik Bukit Merah yang seterusnya menjejaskan aktiviti rekreasi dan pelancongan di tasik tersebut.
- Tanah menjadi kering kontang dan menjejaskan proses penanaman seperti padi dan buah mangga harumanis. Akibatnya pesawah kerugian berjuta-juta ringgit kerana jadual pengairan kerana kekurangan air di tasik manakala penanam mangga harumanis kerugian kerana banyak pokok tidak mengeluarkan bunga tetapi hanya mengeluarkan pucuk baru.
- Lebih tinggi risiko kebakaran hutan berlaku ketika cuaca panas sehingga menyumbang pula kepada masalah jerebu seperti yang berlaku pada 22/04/16 yang lalu.


Sebagaimana yang dilaporkan di akhbar tempatan, El Nino dijangka akan berakhir Jun ini (kalau tak silap sebelum ini dilaporkan El Nino akan berakhir pada Mac).Sehingga saat itu tiba, sama-sama lah kita bertabah menghadapi dugaan yang sementara ini dan teruskan berdoa mengharapkan yang terbaik.


0 comments:

Salam sayyidul ayyam. Jom banyakkan doa dan sedekah!

Friday, April 29, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera....


Salam hari Jumaat, salam sayyidul ayyam. Hari yang penuh berkat, hari mustajabnya doa.
Jom rebut peluang saat-saat doa mustajab antara 3 waktu berikut:

1. Waktu antara imam duduk di atas mimbar sehingga selesai solat Jumaat didirikan.
2. Waktu antara dua khutbah iaitu ketika imam sedang duduk di antara khutbah pertama dan khutbah kedua.
3. Waktu terakhir selepas Asar, iaitu selepas Asar hingga tenggelamnya matahari.

Jom sama-sama juga kita lebihkan bersedekah di hari yang mulia ini (pesanan untuk diri sendiri), Sama-sama kita biasakan bersedekah, sampai kan bila satu hari kita terlupa nak bersedekah, kita rasa macam ada yang tak kena, ada yang janggal dan tak selesa saja rasanya. Mungkin lebih kurang rasa gelisah macam dah lama tak baca update kat FB atau dah lama tak upload gambar kat IG? Sepatutnya kita rasa lebih gelisah daripada itu bila dah lama tak bersedekah ! :p






Tangan yang memberi itu lebih baik daripada yang menerima :) Lagipun tak akan dan tak pernah lagi kan kita dengar orang yang rajin bersedekah jatuh miskin? Mari kita kuatkan keyakinan yang semakin banyak kita beri, semakin banyak yang kita akan terima!



0 comments:

Lambakan rancangan hiburan @ program realiti yang merimaskan..

Tuesday, April 26, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera....


Ceria Popstar...
Kilauan Emas...
Gempak Superstar...
Dangdut Star..


Apa lagi 'star' atau 'kilauan' yang akan muncul selepas ini? Daripada senarai di atas, sudah cukup lengkap agaknya program hiburan untuk semua peringkat usia?

lambakan rancangan hiburan


Saya juga suka kan hiburan. Saya juga pernah jadi fanatik Akademi Fantasia sehingga sampai tahap sanggup AFUNDI suatu ketika dulu. Saya juga pernah tertonton Ceria Popstar. Saya juga follow dan tonton drama-drama di saluran Astro. Tapi sampai suatu peringkat, kadang-kadang itu saya terasa macam sudah berlebih-lebihan lambakan rancangan hiburan yang adakalanya buat saya tertanya-tanya 'adakah rakyat Malaysia sangat dahagakan hiburan hingga perlu diadakan rancangan hiburan atau program realiti yang macam tak jelas apa motifnya?'

Untuk siapa sebenarnya lambakan rancangan hiburan atau program-program realiti ini? Atas permintaan ramai kah? Untuk menaikkan rating stesen tv kah? Sebagai peluang menaikkan populariti seseorang peserta atau artis kah? Bila baca kata-kata Sharifah Amani mengenai trend sejak kebelakangan ini diadakan begitu banyak anugerah-anugerah yang lebih kepada mengangkat 'siapa yang popular' berbanding memberi anugerah kepada pengkarya dan karya yang benar-benar berkualiti, memang ada juga betulnya. Yang menang hanya dikenali kerana popularitinya dan bukan kerana berjaya memberi sumbangan atau mengangkat karya seni ke peringkat yang lebih tinggi. Kadang-kadang yang menang anugerah itu pun pelik (tapi suka!) kerana bukan saja terpilih sebagai calon tetapi dipilih juga sebagai pemenang!

Tidak dinafikan ada juga program realiti yang bermanfaat seperti yang terkini disiarkan, iaitu program Tahfiz Muda. Tak tahu kenapa, tapi saya selalu juga terfikir macam mana agaknya jika suatu hari peserta Dangdut Star bertembung dengan peserta Tahfiz Muda di Astro? Apa yang mungkin terlintas di hati peserta Dangdut Star? Ada rasa segan-segan, mungkin?

Semua di atas sekadar pendapat peribadi saya saja. Mungkin ada yang setuju dan mungkin ada yang tidak setuju, terpulang pada diri masing-masing. Hiburan sekadar kehendak atau salah satu keperluan hidup? Hiburan tidak salah asalkan tidak melampau sehingga terbit rasa merimaskan dan melemaskan, yang akhirnya akan melalaikan.



0 comments:

Bisnes homestay : Peluang menarik daripada syarikat produksi filem @ drama

Monday, April 25, 2016 Ana 0 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera...

Ada cerita menarik yang dikongsikan hari ini oleh sahabat saya si pemilik homestay.

Katanya ada sebuah syarikat produksi menghantar emel bertanyakan kesudiannya untuk menjadi penaja tempat penginapan bagi krew produksi sepanjang tempoh lebih kurang 2 minggu sebuah penggambaran dilakukan (saya tak ingat penggambaran filem atau drama pendek).

peluang menarik syarikat produksi untuk bisnes homestay


Menarik kan? Katanya tak sangka rumah kecilnya yang dijadikan homestay itu mendapat perhatian juga dari syarikat produksi!

Kata sahabat saya lagi, antara manfaat yang bakal diperolehi oleh si pemilik homestay jika sudi menaja tempat penginapan ialah logo syarikat (logo homestay) akan disertakan dalam bahagian penghargaan (kalau tak silap pemahaman saya menurut apa yang diceritakan) atau closing credits drama @ filem tersebut dan juga mendapat jemputan VVIP ke majlis pelancaran drama @ filem tersebut.

Glamour sekejap kan?

Jadi, sahabat saya menerima atau tidak pelawaan syarikat produksi itu?

Sahabat saya teruja tapi ada banyak perkara yang perlu difikirkan. Antara yang paling utama ialah pelawaan syarikat produksi itu adalah untuk menaja penginapan. Sebagai pengusaha homestay yang baru hendak bermula, mungkin agak sukar untuk menaja penginapan kerana dalam tempoh 2 minggu tersebut ada beberapa booking daripada pelanggan @ tetamu yang hendak menyewa homestay. Jika anda berada di tempat sahabat saya itu, antara menaja dan mendapat pendapatan dari sewaan, yang mana satu pilihan anda?

Walau bagaimanapun, tawaran menaja itu juga sebenarnya adalah satu peluang yang baik untuk lebih memperkenalkan homestay tersebut kepada orang ramai. Mungkin krew produksi yang menginap dii homestay tersebut selesa dan puas hati dengan keadaan homestay akan mencadangkan pula kepada rakan-rakan dari syarikat produksi yang lain untuk menginap di homestay tersebut. Atau mungkin juga bermula dengan menaja tempat penginapan untuk krew produksi, lama-kelamaan ada pula syarikat produksi yang berminat untuk membuat penggambaran di homestay itu sendiri. Bukankah ini satu peluang yang sangat menarik untuk memperkembangkan lagi bisnes homestay itu!

Anda pengusaha homestay? Klik di sini untuk ketahui tips-tips menguruskan homestay!
Tawaran menaja tempat penginapan itu membuka mata sahabat saya ini sebenarnya bahawa bisnes homestay mempunyai potensi untuk dimajukan. Dan yang lebih penting, tawaran tersebut menjadikan sahabat saya ini lebih bersemangat untuk menambahelok kemudahan-kemudahan yang disediakan di homestay nya itu.

Anda pengusaha bisnes homestay? Mulakan usaha anda untuk lebih menonjolkan kelebihan homestay anda sekarang.  Mana tahu satu hari nanti homestay anda pula yang terpilih sebagai tempat penggambaran salah satu bakal drama adaptasi novel yang laris bak pisang goreng panas kebelakangan ini!




0 comments:

Hanya orang gila yang tiada masalah. Betul ke?

Sunday, April 24, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera.....

Hampir 5 hari tinggalkan blog. Agak blur untuk mula tulis semula. Kenapa saya agak lama tak menulis di blog?

Biasalah, hidup memang akan sentiasa ada masalah. Siapa yang tak pernah ada masalah dalam hidup? Sungguh berbahagia lah orang itu. Saya pernah dengar orang kata, hanya orang gila yang tiada masalah. Betul ke? Mungkin betul juga. Sebab orang gila tak perlu fikir nak kerja cari rezeki, tak pernah kan kita nampak orang gila berniaga atau kerja di pejabat? Ada beza ya antara orang yang gila berniaga dengan orang gila yang berniaga. Orang gila tak perlu pening nak fikir pasal makan dan minum, Kan kita kadang-kadang nampak orang gila yang cari sisa makanan dalam tong sampah? Orang gila tak perlu fikir nak beli rumah yang semakin lama semakin naik harganya, kan kita selalu nampak orang gila tidur di lorong-lorong atau bawah jambatan?

Tapi kan, kalau betul lah orang itu gila, mesti orang itu tak boleh nak fikir / tak pernah fikir pasal cari sisa makanan untuk isi perut yang lapar, atau cari tempat teduh untuk berlindung kan? Sebab kalau dikatakan gila, mesti dah tak hiraukan keadaan diri sendiri, betul? Jadi orang gila yang kita nampak cari sisa makanan atau tidur berteduh di bawah jambatan itu rasanya masih waras dan boleh berfikir untuk jaga diri sendiri. Macam mana nak tahu orang itu betul-betul gila atau tidak? Kalau ikutkan 'takrifan' saya, kalau saya nampak orang yang tak terurus dengan baju compang camping berjalan tanpa arah tuju, perkara pertama yang saya buat ialah tengok kaki orang itu. Kenapa nak tengok kaki? Sebab pada saya, kalau orang itu masih pakai selipar atau kasut atau sebarang alas kaki, maknanya orang itu bukan betul-betul gila. Sebab dia masih tahu rasa sakit jalan atas jalan raya yang panas , jadi dia cari sesuatu untuk lindung kakinya. Boleh terima ke takrifan macam ni?

Ok, macam mana boleh termasuk cerita pasal orang gila pula ni?

Berbalik pada cerita hidup dan masalah. Setelah hidup berpuluh-puluh tahun (Alhamdulillah),  saya perasan yang kita akan jadi lebih matang dalam menangani masalah. Mungkin belum betul-betul bijak dalam uruskan masalah, tapi mungkin lebih baik daripada sebelumnya. Mungkin lebih berfikir panjang dalam mencari jalan keluar dari masalah. Semuanya bergantung pada pilihan kita. Ya, kita memang tak mampu nak kawal apa tindakan orang lain dan reaksi mereka dengan masalah yang timbul antara kita dan orang tersebut. Tapi jika kedua-dua pihak mengambil sikap berkeras dan sentiasa ingin menang, maka sampai ke sudah masalah tak akan selesai. If you argue with a fool, then two fools are arguing.

cari jalan keluar dari masalah dengan cara yang lebih matang


Mengalah tak semestilah kalah. Mengalah tak semestinya bermakna kita di pihak yang salah. Kadang kala dengan mengalah itu jalan penyelesaian kepada masalah akan lebih mudah dicapai.

If you are right, there is no need to get angry. And if you are wrong, you have no right to be angry.

Sometimes the hardest person for you to correct is yourself. There's no shame in being wrong, the shame is choosing to stay wrong.

Mungkin cuaca panas ini yang sebabkan orang lebih mudah naik angin, naik darah dan naik marah? (kasihan, cuaca pula yang jadi mangsa!)


0 comments:

Obesiti : Bangga atau derita?

Wednesday, April 20, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera...


Kartun di atas memang kelakar. Macam orang yang terlebih berat badan atau obes yang sedang berada dalam penafian (in denial). Dalam penafian atau nak sedapkan hati sendiri? Tak mengaku terlebih berat badan (fat) tapi anggap diri sebagai 'hot'. Tak tahu pula saya macam mana nak translate perkataan 'hot' itu ke dalam Bahasa Malaysia. Rasanya semua orang faham maksudnya kan!

Obes dan rakyat Malaysia berpisah tiada. Malaysia dikatakan mempunyai paling ramai rakyat yang obes di Asia Tenggara! Dan jika anda perasan, kerap kali juga dilaporkan di dada akhbar mengenai pihak bomba dan penyelamat yang terpaksa dipanggil untuk membantu mengeluarkan pesakit yang obes dari kediaman mereka.

Panggilan bomba pindah pesakit obes 250kg - Sinar Harian 31 Mac 2016-

Bomba dipanggil angkat pesakit obesiti -Berita Harian 20 Mac 2016-

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2015 mendapati 47.7 peratus rakyat dewasa Malaysia berlebihan berat badan atau obes. Lebih membimbangkan, tahap obesiti di Malaysia mencatat bacaan lebih tinggi iaitu 17.7 peratus berbanding peringkat global yang berada pada bacaan pada 13 peratus. - Astroawani.com

Punca obes memang ramai telah sedia maklum. Makan lebih dari yang diperlukan, kurang bersenam, makan lewat malam, kurang pengambilan makanan berkhasiat, dan ada juga yang disebabkan pengaruh genetik, persekitaran dan emosi. Cara mengatasi obesiti? Pun semua orang dah tahu. Amalkan gaya hidup sihat dengan pemakanan seimbang dan kekal aktif dalam kehidupan seharian (ok lah, memang nak amalkan tak semudah bercakap kan). Punca dah tahu, cara mengatasi pun dah tahu, jadi mengapa masih ramai yang obes?

Menjadi obes bukan lah satu kesalahan yang berat, apa yang penting ialah perlu ada kesedaran untuk berubah ke arah mencapai berat badan yang seimbang dan tahap kesihatan yang lebih baik. Berbangga menjadi obes pula bukan lah suatu perkara yang baik lebih-lebih lagi jika individu yang berbangga itu adalah seorang yang menjadi ikutan atau ada peminatnya. Dan menjadi obes juga boleh memberi kesan buruk jika kesedaran tidak dipupuk sejak usia kanak-kanak lagi. 

Bila telah sampai tahap obesiti yang serious dan perlu dibawa ke hospital dengan bantuan bomba atau menggunakan kren bila diserang penyakit, bimbang juga jika suatu hari nanti ada kes sebegini yang lewat dapat bantuan untuk ke hospital hingga mengakibatkan kematian.

Berat 60 kg dengan ketinggian 154cm? Berat badan ideal atau menuju ke arah obes? Saya pun tengah berusaha capai berat badan ideal. Tak nak jadi perasan 'hot' macam kartun di atas. Jom sama-sama kita mulakan gaya hidup yang lebih sihat mulai hari ini!


0 comments:

Alat elektrik yang mana 'kuat makan' elektrik?

Tuesday, April 19, 2016 Ana 2 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera....

Sambil kita sama-sama bertabah membayar bil elektrik yang naik tinggi mencanak sejak fenomena El Nino ini, jom kita sama-sama lihat jika ada langkah-langkah penjimatan yang boleh kita lakukan.

apa alat elektrik yang kuat makan elektrik

Apa alat elektrik yang paling banyak guna elektrik? Jika ditanyakan pada en google, ada yang kata aircond, ada yang kata water heater dan ada yang kata peti sejuk. Ada juga yang bagi tips kata lihat pada kadar Watt (W) yang dinyatakan untuk sesuatu alat elektrik, jika beribu-ribu Watt, maka memang kuat lah 'makan elektrik'. Jika ikutkan pengalaman sendiri, saya ada sebuah rumah yang mana satu-satunya alat elektrik yang terpasang di dalam rumah tersebut ialah peti sejuk. Alat-alat elektrik yang lain memang tidak digunakan @ jarang digunakan sebab saya pun memang jarang ke rumah tersebut. Dan sepanjang tempoh tersebut, bil elektrik untuk rumah itu ialah RM0, iaitu kosong, tak payah bayar bil elektrik!

Baru 2 bulan yang lepas saja saya telah membuat pemasangan automatik untuk 2 lampu di laman rumah. Lampu menggunakan sensor di mana lampu akan terpasang apabila keadaan sekitarnya didapati gelap. Dan untuk bulan lepas, bil elektrik saya telah ada amaunnya, RM22.35. Jadi, saya anggarkan untuk lampu terpasang dalam tempoh katakan dari pukul 7 malam hingga 7 pagi iaitu 12 jam, selama sebulan, bil elektrik yang dikenakan ialah RM22.35. Jadi, adakah ini bermakna lampu mentol itu lebih 'makan elektrik' berbanding dengan peti sejuk?


Baca juga:
Jimat elektrik dengan hanya mencabut plug soket?
5 cara jimat guna aircond di musim panas
Jimat elektrik dengan 7 langkah tdrastik!
Bil elektrik tinggi sebab MCB?

Pada sebulan yang lepas, rumah saya itu didiami oleh saudara yang tumpang menginap selama sebulan. Dalam tempoh sebulan itu, pastinya tv akan dipasang, dapur elektrik dan cerek elektrik akan digunakan, dan tentu sekali aircond akan digunakan. Dan bil elektrik untuk bulan tersebut ialah RM75. Adakah ini bermakna penggunaan elektrik untuk tv + dapur elektrik + cerek elektrik + aircond selama sebulan bersamaan RM50 lebih sahaja,  setelah ditolak anggaran penggunaan RM22 untuk lampu elektrik selama sebulan?

Jadi, alat elektrik yang mana kah kuat 'makan elektrik' sebenarnya?

Jawapan yang paling best sekali setelah di google ialah: Tak kira alat elektrik mana yang 'kuat makan elektrik', pokok pangkal nya ialah cara kita berjimat dalam menggunakan alat elektrik tersebut.

Kalau guna aircond dari malam hingga ke subuh dengan suhu di set ke 16 darjah Celsius, dan ditambah pula dengan pintu bilik atau tingkap yang terbuka, tak perlu nak terkejut bila terima bil elektrik yang melambung tinggi.

Kalau guna seterika untuk menggosok baju, antara tips nya ialah gosok kesemua baju yang hendak digosok sekali gus, bukannya gosok satu baju dan tutup suis seterika, kemudian on kan semula untuk menggosok baju yang lain. Ini kerana bila telah di off, seterika perlu 'bekerja keras' untuk jadi panas semula!

Water heater? Ada ke orang yang guna water heater di musim cuaca panas terik ini? Water heater secara logiknya antara barang yang kuat makan elektrik, Air yang sejuk mengalir dari tangki, keluar saja melalui water heater terus jadi panas. Bayangkan betapa 'kuat nya elektrik' yang diperlukan untuk panaskan air dalam tempoh yang sesekejap itu kan.


Jadi, apa-apa pun semuanya berbalik pada cara kita menjimatkan penggunaan elektrik dengan bijak. Di mana ada penjimatan di situ ada penurunan bil elektrik!




2 comments:

Sukar uruskan homestay?

Tuesday, April 19, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera...

Membaca entry saudara Eyriqazz baru-baru ini bertajuk 'Bisnes Homestay Yang Gagal' , mengenai projek homestay yang tak menjadi mengingatkan saya kepada keluhan seorang sahabat yang juga mengusahakan bisnes homestay.

Kawan saya ini mengeluh mengenai kesukarannya menguruskan homestay kerana jarak antara rumah kediaman dan homestay nya yang agak jauh. Dalam bulan lepas sahaja kawan saya ini terpaksa menolak dua tempahan homestay dari pelanggan @ tetamu. Kenapa? Kerana pelanggan tersebut call pada waktu petang dan hendak buat tempahan homestay pada malam hari yang sama. Jika kawan saya ini tinggal di sebelah homestay nya mungkin mudah untuk segera mengemas dan bersedia menyambut pelanggan tersebut. Jadi dengan berat hati terpaksa menolak. Anggap saja tiada rezeki.

Anda pengusaha homestay? Klik di sini untuk ketahui tips-tips menguruskan homestay!

Ada yang mencadangkan kawan saya ini mengupah jiran atau saudara yang tinggal berdekatan untuk mengemas homestay dan menguruskan proses check in dan check out melanggan @ tetamu homestay. Bukan tak percaya kan orang lain, cuma kawan saya lebih puas hati jika segala urusan dilakukannya sendiri. Iya lah, dia lebih tahu keadaan homestay nya, mana yang perlu dilap, mana yang perlu diberus, di mana nak letak alat itu dan ini, suis apa yang perlu dibiarkan on dan sebagainya.

Jadi terpaksa lah kawan saya ini berulang alik dari rumahnya ke homestay yang jarak perjalanan nya (sehala) mengambil masa 40 hingga 45 minit jika tiada kesesakan lalulintas. Jika sewa homestay nya untuk satu malam ialah RM300, mungkin untung bersih hanya lah RM150- RM200, setelah ditolak duit minyak dan perbelanjaan lain seperti makan dan minum.

Sampai bila agaknya mampu bertahan bisnes homestay 'jarak jauh' sebegini?

 

0 comments:

Kerja bertangguh tak akan menjadi!

Monday, April 18, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Kerja bertangguh tak akan menjadi. Pernah dengar kata-kata ini?

Betul ke kerja bertangguh tak akan menjadi? Mungkin betul dan mungkin juga tidak. Mungkin ada kerja yang bertangguh tapi hasilnya lebih baik (dengan syarat ada sesuatu usaha yang dilakukan semasa penangguhan itu untuk hasil yang lebih baik) dan mungkin juga ada kerja yang tak bertangguh dan siap pada masanya tapi hasil tak seperti yang diharapkan.

Kenapa ada orang yang suka bertangguh kerja (termasuklah saya!)? Banyak sebabnya, antaranya mungkin atas sebab-sebab berikut:

1. Bertangguh kerja sebab malas. Yang ini bahaya. Sikap malas kalau diturutkan memang apa kerja pun tak menjadi. Selain kerja tak siap, orang yang bertangguh kerja sebab malas juga akan dipandang negatif oleh orang lain. Orang akan mengelakkan daripada memberikan tugasan atau tanggungjawab kepada orang yang bersikap sebegini dan akhirnya akan merugikan individu itu sendiri.

Kerja bertangguh tak akan menjadi


2. Bertangguh kerja sebab harapkan orang lain akan selesaikan kerja tersebut. Yang ini pun bahaya. Tak bertanggungjawab namanya tu. Teringat kata-kata Dr Azizan Osman, lebih kurang begini bunyinya: Orang yang berjaya ialah orang yang melakukan sesuatu kerja sampai habis! Jangan mulakan sesuatu dan berhenti sekerat jalan.

3. Bertangguh kerja sebab tiada semangat atau motivasi sebagai pendorong untuk siapkan kerja tersebut. Sesetengah orang semangat buat kerja bila ada imbuhan yang dijanjikan, sesetengah orang semangat buat kerja bila ada orang yang menyokong dari belakang dan ada juga sesetengah orang yang semangat buat kerja bila ada cabaran atau desakan seperti ada dateline yang perlu dipatuhi. Semakin hampir dengan dateline barulah semakin semangat nak buat kerja. Contoh mudah ialah entry saya yang lepas mengenai sikap tunggu saat akhir untuk hantar borang cukai pendapatan.

Anda ada termasuklah dalam 3 golongan di atas (soalan untuk saya juga!)? Kalau ada, kena cepat-cepat insaf berubah (pesanan untuk diri sendiri) supaya tidak menjadi tabiat buruk yang sukar dibuang nanti!


0 comments:

Saya dah dapat balik cukai terlebih bayar, anda bila lagi?

Monday, April 18, 2016 Ana 0 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera....

Tinggal kurang dari 2 minggu sebelum tarikh akhir hantar Borang BE untuk tahun 2015, iaitu pada 20 April 2016. Anda bagaimana? Dah hantar Borang BE atau belum?

Jangan tunggu hingga saat-saat akhir, nanti kelam kabut dan kemungkinan besar berlaku kesilapan isi borang atau ada benda atau amaun yang tertinggal. Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, buat sesuatu perkara di saat-saat akhir seperti bayar saman dan hantar borang di saat-saat akhir itu adalah suatu kebiasaan. Mungkin ramai yang sukakan cabaran dan suasana mendesak, baru ada thrill dan semangat nak isi borang agaknya!

tarikh akhir hantar borang BE 30 april 2016


Saya dah pun submit e-filing pada 12 Mac 2016 yang lepas. Saya seronok isi borang BE atau e-filing ini, sebab setiap tahun cukai saya ada terlebih bayar. Untuk cukai terlebih bayar saya bagi tahun 2015, amaunnya agak banyak, jadi memang teruja lah nak tunggu dapat cukai terlebih bayar itu! Kalau ikutkan seorang sahabat yang lagi awal mengisi e-filing, iaitu pada 1 Mac 2016, bayaran balik cukai terlebih bayarnya diperolehi selepas 2 minggu. Jadi saya pun tunggu untuk tempoh yang sama, tapi selepas 2 minggu belum ada nampak bayang cukai terlebih bayar itu di akaun bank.

Baca juga : Dah hantar borang cukai pendapatan anda?

Disebabkan jarang check baki akaun di bank, saya pun tak perasan rupa-rupanya bayaran cukai terlebih bayar telah pun dimasukkan ke akaun bank saya pada 12 April 2016 yang lepas. Baru perasan selepas saya check akaun bank secara online semalam. Maknanya ambil masa sebulan juga untuk proses e-filing saya itu. Itu pun dah kira cepat prosesnya kan. Dan memang selama ini, seperti tahun-tahun yang lepas, LHDN selalunya akan masukkan wang cukai terlebih bayar ke dalam akaun bank terlebih dahulu, surat pemberitahuannya sampai kemudian. Jadi kena rajin-rajin lah check baki akaun di bank.

Bagi anda yang belum lagi hantar borang BE, jom mulakan mengisi borang tak kira lah secara manual atau e-filing mulai sekarang. Lagi cepat anda hantar kan lagi senang, lebih-lebih lagi bagi anda yang ada cukai terlebih bayar. Lagi cepat anda hantar, lagi cepatlah anda dapat bayaran balik cukai terlebih bayar itu. Boleh lah enjoy gunakan untuk tampung perbelanjaan yang sepatutnya!

Selamat mengisi borang BE!


0 comments:

Dr Zakir Naik : Daripada seorang yang gagap, kini mampu menarik puluhan ribu penonton di ceramahnya!

Sunday, April 17, 2016 Ana 0 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera....

Siapa baca artikel mengenai Dr Zakir Naik di akhbar Mingguan Malaysia hari ini? Artikel yang sangat menarik, rugi kalau tak baca. Artikel yang ditulis oleh saudara Tarmizi Abdul Rahim itu turut memuatkan info-info menarik yang diceritakan oleh protege kepada Dr Zakir Naik sendiri iaitu saudara Firdaus Wong.

info menarik dr zakir naik
Sumber : Mingguan Malaysia 17 April 2016
(klik gambar untuk baca lebih jelas)

info menarik dr zakir naik
Sumber : Mingguan Malaysia 17 April 2016
(klik gambar untuk baca lebih jelas)
 

Melihat kan ceramah umumnya yang dihadiri puluhan ribu masyarakat, memang saya tak sangka Dr Zakir Naik dulunya seorang yang gagap. Bermula memberi ceramah sebagai bidan terjun dengan menggantikan penceramah yang tidak hadir, ceramahnya yang disangkakannya akan bertahan hanya selama 20 - 30 minit itu akhirnya berlangsung selama 3 jam, tanpa sekali pun gagap! Teringat saya kepada kata-kata seorang ustaz di sebuah rancangan tv AlHijrah (tak ingat dah rancangan apa),
Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu."
[Muhammad, 47:7]

 
Daripada seorang yang gagap, kini berjaya memberikan ceramah yang menarik jumlah audiens yang luar biasa. Memang anugerah Allah untuk Dr Zakir Naik dalam usahanya untuk berdakwah.

info menarik dr zakir naik
Sumber : Mingguan Malaysia 17 April 2016
(klik gambar untuk baca lebih jelas)
 
Jamuan kenduri kahwin Dr Zakir Naik hanyalah air, sedikit kurma dan jamuan ringan.  Bukan tidak mampu tetapi beliau mahukan perbelanjaan kahwinnya digunakan untuk perbelanjaan aktiviti dakwahnya. Dan dengan status beliau sebagai ilmuwan terkenal dan berada di kedudukan ke-70 daripada senarai 500 The Most Influential Muslims In The World, siapa sangka kediaman Dr Zakir Naik di Mumbai hanyalah seluas rumah flat projek perumahan rakyat di negara kita.

info menarik dr zakir naik
Sumber : Mingguan Malaysia 17 April 2016
(klik gambar untuk baca lebih jelas)
info menarik dr zakir naik
Sumber : Mingguan Malaysia 17 April 2016
(klik gambar untuk baca lebih jelas)

Sungguh luar biasa individu ini, semoga usaha dakwahnya dapat diteruskan dan disebarkan oleh anak didik-anak didiknya di serata dunia!


0 comments:

Apa barang yang laku di musim panas?

Sunday, April 17, 2016 Ana 0 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera....

Apa barang yang laku di musim panas?

Selain daripada bisnes aiskrim yang semakin laku di musim panas, ada beberapa lagi barangan yang mendapat permintaan yang tinggi di musim panas ini.



bisnes air batu di musim panas

Air batu
Semestinya jualan air batu meningkat mendadak di musim panas ini. Bukan hanya restoran, warung di simpang jalan pun saya perhatikan sekarang menerima penghantaran air batu daripada pembekal sebanyak 2 kali sehari berbanding sebelum ini hanya sekali sehari.


khasiat minum air kelapa di musim panas


Air kepala kelapa
Selain air batu, sebenarnya semua yang berkaitan dengan air memang jadi permintaan ramai di musim panas ini. Terutamanya air kelapa muda yang dicampur sedikit perahan limau nipis dan ais dikatakan dapat menghilangkan keletihan dan mengembalikan kesegaran badan.


permintaan tinggi untuk kipas angin di musim panas


Kipas angin
Terbaca di akhbar semalam yang menyiarkan gambar seorang penjual barang-barang terpakai sedang membaiki kipas angin. Menurut peniaga tersebut, disebabkan cuaca panas terik yang berlarutan beberapa bulan ini,  ramai pelanggan yang mengunjungi kedainya untuk mendapatkan kipas angin pada harga yang murah. Selain kipas angin, peniaga itu juga turut menjual barang-barang elektrik yang lain pada harga bermula dari RM10 hingga RM300.


Aircond
Jiran sebelah rumah saya baru saja pasang aircond tambahan di rumahnya. Semalam pula, baru saja datang orang untuk servis dan tambah gas aircond di rumah jiran depan rumah saya. Mesti peniaga aircond tersenyum lebar sejak sepanjang fenomena El Nino ini.

Baca juga: 5 cara jimat guna aircond di musim panas



Baldi @ tong air
Di sesetengah tempat yang mengalami catuan air kerana paras air di empangan yang semakin surut, berkemungkinan catuan air akan dilakukan bagi mengelakkan paras air empangan terus turun ke paras kritikal. Teringat saya pada krisis air tahun 1997, memang tertekan sungguh waktu itu ke sana sini mencari sumber air selain menantikan pihak Syabas hantar lori tangki air. Pada masa sebeginilah harga tong air akan naik berkali-kali ganda daripada harga asalnya.


Cermin tinted @ cermin gelap 
Yang ini saya terfikir bila mata sedang berkerut-kerut tahan panas ketika memandu tengahari tadi. Bahang panas memang terasa walaupun dalam kereta pasang aircond semaksimum yang boleh. Mungkin boleh ditanyakan pada tauke kedai aksesori kereta sama ada permintaan untuk cermin tinted meningkat sejak kebelakangan ini. Kalau ada anak kecil memang lebih baik ada cermin tinted ini untuk keselesaan mereka, sebab ada sesetengah kereta saya lihat meletakkan kain yang diselit pada tingkap kereta untuk elakkan panas cahaya matahari.


Mungkin ada banyak lagi barang yang laku di musim panas ini kan. Dalam setiap yang negatif , ada juga terselit sesuatu yang positif. Dalam kepayahan dan ketidakselesaan mengharungi cuaca panas, ada juga peluang bisnes bagi mereka yang bijak mengambil kesempatan merebut peluang yang terbuka.





0 comments:

Anda pernah jadi mangsa pembuli jalan raya?

Saturday, April 16, 2016 Ana 0 Comments

Assalamualaikum & salam sejahtera...

Anda pernah kena buli?

Bila baca kes-kes buli di kalangan pelajar sekolah, saya teringat pada satu lagi jenis buli iaitu kes pembuli jalan raya.

Saya pernah jadi mangsa pembuli jalan raya suatu masa dulu. Sudah lah dilanggar nya bahagian belakang kereta saya hingga kemek, lepas itu diugutnya saya dengan perkara yang tak muhasabah.

stress punca jadi pembuli jalanraya?


Saya sempat juga periksa di JPJ nombor plat kereta Myvi yang melanggar saya itu. Dan bila disemak, memang kereta tersebut ada 9 saman yang tertunggak. Semuanya disebabkan kes memandu melebihi had laju. Memang jenis bawa kereta laju agaknya.

Bila difikirkan, kenapa agaknya ada jenis orang yang jadi pembuli di jalanraya? Banyak faktor yang menyebabkan orang menjadi pembuli jalanraya. Antaranya yang paling utama ialah stress dengan kesesakan lalulintas, Tapi mungkin juga rasa seronok bila tunjuk garang atau tunjuk kuasa di jalanraya? Bukan setakat lelaki saja yang jadi pembuli, dalam kes saya ini pembuli nya ialah seorang wanita! Tapi masih bersyukur sebab kes saya tidak seteruk kes pemandu wanita yang menggunakan stereng lock merosakkan kereta seorang warga emas dan satu lagi kes yang melibatkan seorang pemandu wanita yang melanggar kereta lain yang menghalang laluannya.

Pada mulanya pemandu Myvi itu setuju untuk bayar gantirugi kerosakan kereta saya dan mengakku ia berpunca dari kesilapannya menggunakan handphone semasa memandu. Katanya tak perlu lah report pada pihak polis, selesai kat luar saja. Saya yang tak pernah terlibat dengan kes macam ni setuju saja lah. Lepas balik ke rumah saya cuba hubungi semula pemandu tersebut tapi panggilan tak dijawabnya. Saya mula lah fikir yang pemandu itu cuba mengelakkan diri. Selepas banyak kali mencuba dan panggilan tidak dijawabnya, saya pun ambil keputusan untuk buat report polis. Dah agak lama selesai report polis baru lah pemandu itu call saya semula.

Dan yang tak bestnya ialah dia tak setuju dengan harga gantirugi yang saya minta iaitu RM500. Mahal sangat katanya, patutnya dalam RM200 atau RM300 saja. RM500 itu saya bukan petik dari langit, itu adalah anggaran yang dibuat oleh pakcik saya seorang mekanik. Pemandu Myvi itu minta saya bawa kereta saya ke bengkel di Negeri Sembilan boleh dapat murah katanya! Dia tak kira agaknya kos minyak saya nak pandu ke sana.

Akhirnya esoknya baru dia setuju untuk bayar RM500 itu. Dan yang paling dia marah ialah bila saya beritahu yang saya dah buat laporan polis. Macam-macam kutukan dan kata-kata kasar dalam SMS kepada saya. Pelik bila dia kata saya yang akan masalah nanti sebab saya yang buat laporan polis. Salah saya ke buat report polis bila pemandu itu tak jawab call saya?

Malas nak panjangkan cerita, akhirnya saya pulangkan saja RM500 kepada pemandu itu melalui m2u. Sms saya kepada dia pendek saja, 'nanti jawablah di akhirat!' Mungkin pemandu itu rasa bangga dapat membuli saya dan terlepas daripada membayar gantirugi, tapi bagi saya apa yang penting ialah saya rasa lebih senang hati! (Mungkin tak pemandu itu juga rasa senang hati? Terpulanglah!)



0 comments: