Juara Terbuka Malaysia 2016: Tahniah Datuk Lee Chong Wei!
Assalamualaikum & salam sejahtera...
Tahniah Datuk Lee Chong Wei!
Chong Wei dengan mudahnya menewaskan pemain nombor satu dunia dari China, Chen Long dengan straight set 21-13, 21-18 dalam masa 42 minit untuk menjuarai Terbuka Malaysia 2016 di Stadium Malawati petang tadi.
Setelah sedikit hampa dengan kekalahan beregu campuran negara iaitu gandingan Chan Peng Soon dan Gan Yiu Ling di tangan beregu campuran Indonesia, akhirnya boleh juga tarik nafas lega bila tengok corak permainan Chong Wei yang menarik dan agresif. Saya jarang dapat tengok Chong Wei menang di aksi final. Selalunya bila saya tengok siaran langsung yang melibatkan Chong Wei, mesti Chong Wei kalah di tangan lawan dan selalunya lawan itu ialah Lin Dan. Kali ini puas hati dapat tonton kemenangan Chong Wei secara live ke atas Chen Long!
Chong Wei yang bermain pantas dan menyerang sejak awal permainan bijak membaca pergerakan Chen Long. Kawalan gelanggang yang kemas membuatkan hampir semua serangan Chen Long dapat dibalas oleh Chong Wei dan yang menariknya banyak juga mata yang dipungut oleh Chong Wei disebabkan oleh kesilapan Chen Long yang kerap membuat hantaran yang tersasar keluar dari gelanggang. Chen Long akhirnya hilang punca dan kekeringan idea untuk mengatasi Chong Wei.
Kemenangan ini ialah kejuaraan ke-11 Chong Wei dalam siri Super Premier Terbuka Malaysia. Dengan kemenangan itu, Chong Wei membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah USD41,250.
Ada sesuatu berlaku semasa majlis penyampaian hadiah kepada pemenang. Daripada yang ditonton di tv, saya dengar suara penonton macam tengah 'boo' seseorang. Dan tak mungkin penonton 'boo' Chong Wei kerana penonton yang ramai itu jugalah yang memberikan sorakan padu kepada Chong Wei semasa perlawanan berlangsung.
Siapa agaknya yang kena 'boo' itu ya?
Apa-apa pun, tahniah sekali lagi untuk Datuk Lee Chong Wei.
Agak-agaknya bila lah akan ada pelapis Chong Wei yang benar-benar mampu 'meniru' siri kejayaan Chong Wei?
0 comments: