Ada apa dengan tudung Sweetluv Fareeda?

Monday, April 04, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Ada apa dengan tudung Sweetluv Fareeda?

Terkesima sekejap tengok video viral yang tunjukkan perebutan, rempuhan, himpitan, jeritan dan macam-macam lagi yang tak sepatutnya berlaku semasa jualan tudung terbaru Sweetluv Fareeda di Bangi pada hari Sabtu yang lepas. Bukan hanya wanita, tapi lelaki pun turut berebut sama!


Berebut tudung Fareeda
Sumber: themalaymailonline


Saya ada lalu di depan butik Fareeda Bangi itu pada hari 'kejadian'. Saya dalam perjalanan balik ke KL dalam jam 3 petang lebih menghampiri pukul 4 petang. Tak pasti pukul berapa 'kejadian' itu berlaku. Tapi ketika saya memandu berdekatan butik Fareeda itu memang kelihatan banyak kenderaan yang park di tepi bahu jalan. Orang ramai berkumpul di luar butik tersebut. Saya agak macam biasalah mesti ada jualan hebat atau ada promosi tudung rekaan terbaru. Saya tak perasan ada kejadian rebut merebut sedang berlaku. Kalau tidak mungkin saya juga akan turun dari kereta untuk turut sibuk melihat sama dari dekat!

Sangat setuju dengan pelbagai pandangan yang mengkritik cara pengurusan jualan tudung tersebut. Nampak seperti tiada perancangan yang tersusun. Seperti tidak bersedia dengan orang ramai yang akan menyerbu. Padahal itu bukan pertama kali kejadian yang sama berlaku. Agak dikesalkan juga bila di dalam video tersebut pemilik butik kelihatan ketawa seakan-akan bangga dengan adegan perebutan itu :(

Mungkin juga pemiliknya nak sesuaikan suasana di butik itu dengan tagline di FB Fareeda sempena promosi tudung tersebut: Sweetluv Mengganas!

Mujur tiada insiden yang melibatkan kecederaan, pengsan atau sebagainya dalam perebutan itu.

Pertama kali menonton video itu apa yang terlintas di fikiran saya ialah senario yang sama di negara lain. Senario yang sama, rebut-merebut. Yang bezanya apa yang berlaku di negara lain ialah rebut-merebut makanan akibat kebuluran disebabkan keadaan negara mereka yang dilanda petang.

Tapi di tanahairku Malaysia yang terlintas ini, adegan rebut merebut yang berlaku adalah kerana berebut membeli tudung!

Sudah hilang kah rasa malu?
Tercabut sudah rasa malu dek kerana sehelai tudung?

Saya masih tertanya-tanya. Ada apa dengan tudung Sweetluv Fareeda?


0 comments: