Obesiti : Bangga atau derita?

Wednesday, April 20, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera...


Kartun di atas memang kelakar. Macam orang yang terlebih berat badan atau obes yang sedang berada dalam penafian (in denial). Dalam penafian atau nak sedapkan hati sendiri? Tak mengaku terlebih berat badan (fat) tapi anggap diri sebagai 'hot'. Tak tahu pula saya macam mana nak translate perkataan 'hot' itu ke dalam Bahasa Malaysia. Rasanya semua orang faham maksudnya kan!

Obes dan rakyat Malaysia berpisah tiada. Malaysia dikatakan mempunyai paling ramai rakyat yang obes di Asia Tenggara! Dan jika anda perasan, kerap kali juga dilaporkan di dada akhbar mengenai pihak bomba dan penyelamat yang terpaksa dipanggil untuk membantu mengeluarkan pesakit yang obes dari kediaman mereka.

Panggilan bomba pindah pesakit obes 250kg - Sinar Harian 31 Mac 2016-

Bomba dipanggil angkat pesakit obesiti -Berita Harian 20 Mac 2016-

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2015 mendapati 47.7 peratus rakyat dewasa Malaysia berlebihan berat badan atau obes. Lebih membimbangkan, tahap obesiti di Malaysia mencatat bacaan lebih tinggi iaitu 17.7 peratus berbanding peringkat global yang berada pada bacaan pada 13 peratus. - Astroawani.com

Punca obes memang ramai telah sedia maklum. Makan lebih dari yang diperlukan, kurang bersenam, makan lewat malam, kurang pengambilan makanan berkhasiat, dan ada juga yang disebabkan pengaruh genetik, persekitaran dan emosi. Cara mengatasi obesiti? Pun semua orang dah tahu. Amalkan gaya hidup sihat dengan pemakanan seimbang dan kekal aktif dalam kehidupan seharian (ok lah, memang nak amalkan tak semudah bercakap kan). Punca dah tahu, cara mengatasi pun dah tahu, jadi mengapa masih ramai yang obes?

Menjadi obes bukan lah satu kesalahan yang berat, apa yang penting ialah perlu ada kesedaran untuk berubah ke arah mencapai berat badan yang seimbang dan tahap kesihatan yang lebih baik. Berbangga menjadi obes pula bukan lah suatu perkara yang baik lebih-lebih lagi jika individu yang berbangga itu adalah seorang yang menjadi ikutan atau ada peminatnya. Dan menjadi obes juga boleh memberi kesan buruk jika kesedaran tidak dipupuk sejak usia kanak-kanak lagi. 

Bila telah sampai tahap obesiti yang serious dan perlu dibawa ke hospital dengan bantuan bomba atau menggunakan kren bila diserang penyakit, bimbang juga jika suatu hari nanti ada kes sebegini yang lewat dapat bantuan untuk ke hospital hingga mengakibatkan kematian.

Berat 60 kg dengan ketinggian 154cm? Berat badan ideal atau menuju ke arah obes? Saya pun tengah berusaha capai berat badan ideal. Tak nak jadi perasan 'hot' macam kartun di atas. Jom sama-sama kita mulakan gaya hidup yang lebih sihat mulai hari ini!


0 comments: