Kawalan harga barang sempena Krismas

Tuesday, December 15, 2015 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera...




Tengahari semalam saya ke KLCC bersama emak dan 2 orang anak saudara saya. Ramai sungguh orang di sana, tambahan pula masa itu adalah masa makan tengahari untuk pekerja pejabat.

KLCC pun dah lengkap dengan pelbagai hiasan untuk menyambut Krismas. Siap ada pokok Krismas sebesar alam berdekatan kawasan air pancut. Di lobi utama, ada rumah Krismas (saya tak tahu nak panggil apa hiasan itu). Saya tak sempat nak ambil gambar, al maklum lah bukan mudah nak ambil gambar sambil bawa 2 orang kanak-kanak yang terlebih aktif ini. Ada saja benda nak dibuat nya, jadi saya lupakan saja hasrat nak ambil gambar-gambar hiasan di KLCC ini.

Di Toys R' Us KLCC pun penuh dengan orang ramai yang beli belah barang permainan , mungkin sebagai hadiah Krismas agaknya. Saya pun pening nak mencari barangan permainan, sebab tujuan asalnya nak beli permainan Minecraft mini yang harga RM12 lebih itu, tapi dah habis, yang tinggal hanyalah yang mahal-mahal harga RM70 ke atas. Tiada rezeki lah tu namanya, dulu datang belum ada stok, datang kali kedua ini dah habis stok pula. Akhirnya beli mainan yang lain.

Sebut pasal Krismas, sempena Krismas ini kawalan harga akan dikenakan pada 16 jenis barangan, bermula 23 hingga 27 Disember ini (kenapa tidak untuk selama-lamanya ya? Kawalan harga hanya pada musim perayaan? Kalau bukan musim perayaan, harga tidak perlu dikawal ya?)

Antara makanan yang dikenakan kawalan harga ialah ayam hidup dengan harga maksimum RM5.80 sekilogram, ayam standard (RM7.30/kg), ayam super (RM8.10/kg), daging kambing tempatan bertulang (RM36/kg), daging kambing biri-biri import bertulang (RM21/kg), daging kambing biri-biri import tanpa tulang (RM26/kg), daging paha kambing biri-biri import bertulang (RM24/kg), telur ayam gred A (RM0.38 sebiji), gred B (RM0.37), gred C (RM0.36), tomato (RM4.50/kg) dan lada benggala hijau (RM9/kg

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin, penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit itu dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian untuk memastikan harga berpatutan bagi pengguna dan peniaga.


Katanya, peniaga digalakkan menjual barangan itu lebih rendah daripada harga maksimum jika peniaga memperolehnya dengan harga lebih rendah serta meletakkan tanda harga berwarna merah jambu untuk barangan berkenaan.

Macam tak mungkin saja peniaga akan jual barang lebih rendah daripada harga maksimum! Macam tak percaya pun ada. Rasanya, bagi kebanyakan peniaga, selagi boleh maksimum, harga maksimum itu lah yang akan dijualnya.

Kalau betul ada peniaga (ada, cuma sedikit bilangan, 1 dalam 1000 peniaga) yang akan jual barang dengan harga yang lebih rendah jika mereka boleh dapatkan barang itu dengan harga yang rendah, maka tidak perlu lagi lah sebarang penguatkuasaan atau pemantauan atau kawalan harga barangan ke atas peniaga kan. Sebab peniaga itu sendiri telah gunakan budi bicaranya dan bertolak ansur dalam harga jualan.

Rasanya kalau ada kawalan harga barang tapi harga naik lebih daripada harga maksimum pun rakyat Malaysia tidak ramai yang akan buat aduan kot? Rakyat Malaysia kan macam dah ter lali /  imun dengan apa -apa yang berkaitan harga naik ini. Macam dah tiada perasaan, dah redha dengan segala kenaikan harga!




0 comments: