Bila impian belum tercapai

Thursday, November 05, 2015 Ana 0 Comments

Assalamualaikum & salam sejahtera...

Apa cerita hari ini ya?

Pagi-pagi ini, menarik bila membaca nasihat Dr Azizan mengenai apa kita patut buat bila perkara yang kita inginkan belum tercapai.

Tips Dr Azizan ialah, ada 9S yang boleh kita buat:


1. SYUKUR
 - Memang betul. Lebih banyak kita bersyukur, lebih banyak nikmat yang akan diperolehi. Belajarlah bersyukur dengan perkara yang sedikit/kecil kerana seseorang yang tidak bersyukur dengan yang sedikit, pasti tidak akan bersyukur dengan nikmat yang banyak.
"Dan (ingatlah) ketika Tuhan mu memaklumkan, 'Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepada mu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat."

                                                                                                         Surah Ibrahim : 7

2. SEDEKAH
- Belum pernah berlaku lagi orang jatuh bankrap kerana bersedekah. Sedekah yang paling bagus ialah ketika kita sendiri dalam keadaan yang memerlukan. Bukan semua orang mampu buat begitu.
"Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan harta mereka (bersedekah) pada jalan Allah laksana sebiji (benih) yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, setiap tangkai ada seratus biji. Dan Allah akan melipatgandakan ganjaran-Nya kepada siapa yang disukai-Nya dan Tuhan itu Maha Luas pemberian-Nya dan Maha Mengetahui."
                                                                                                                         Surah Al Baqarah : 261


 3. SALAM
- Ini antara pesanan Ustaz Norhisyam dalam salah satu kuliahnya yang pernah saya hadiri. Katanya, apa kata kita mulakan amalam memberi salam ini dengan memberi salam (kepada orang yang ada) setiap kali kita masuk lif?
“Kamu tidak akan memasuki Syurga, sehingga kamu beriman, kamu tidak akan beriman (dengan sempurna) sehingga kamu saling berkasih sayang. Mahukah kamu aku tunjukkan sesuatu, apabila kamu melakukannya, kamu saling berkasih sayang? Sebarkan salam diantara kamu”

                                                                                                                      HR Muslim no. 54
 

4. SENYUM
"Senyum seindah suria, yang membawa cahaya...senyumlah dari hati...dunia mu berseri.......
Senyum umpama titian dalam kehidupan...ku tersenyum...kau tersenyum...kemesraan menguntum...." (maaf kalau salah lirik!)


 5. SUJUD
 -Perbanyakkan sujud memohon kepada Yang Maha Esa, terutama dalam sepertiga malam yang terakhir (nasihat untuk diri sendiri). Ya, bukan mudah nak bangun malam saat orang lain sedang lena dan berdengkur kan. Sangat memerlukan hati yang kuat untuk bangun malam ni. Saya pernah terbaca kata-kata :

"Jika anda tidak mampu bangun bermunajat dan memohon pada Allah pada sepertiga malam, maka ketahuilah yang anda bukan benar-benar mahu kan apa yang anda mahukan"
Maknanya apa yang kita inginkan itu sebenarnya bukan kita hendak sangat pun, sebab kita tak sanggup nak buat apa saja , termasuk berusaha bangun malam untuk capai impian tu!

 
6. SELAWAT
- Selawat ke atas Nabi s.a.w sekali dan Allah membalas selawat kita itu 10 kali ganda. Apa lagi yang lebih hebat daripada balasan kebaikan daripada Yang Maha Esa!
 

7. SUMBANG
- Bila kita memberi, kita akan lebih menghargai dan mengerti bahawa setiap insan saling memerlukan di antara satu sama lain. Jangan pernah jemu untuk memberi, kerana setiap pemberian anda, walaupun tidak nampak balasannya (bukanlah disuruh mengharapkan balasan untuk setiap pemberian) di dunia, yakinlah ia merupakan saham yang paling bernilai di akhirat nanti!
*** Contohnya anda boleh menyumbang dengan menaja pelajar yang terdiri daripada anak yatim dan pelarian Syria ini. Kita bantu insan lain capai impian, InsyaAllah impian kita juga akan dipermudahkan jalannya!


mari menaja pelajar anak yatim dan pelarian Syria



8. SERAH
- Bila dah berusaha sehabis baik, tiada apa lagi yang mampu kita lakukan melainkan berserah dan bertawakal.


9. SABAR
- Akhir sekali, sabar lah jika apa yang dihajati masih belum diperolehi. Sabar dan teruskan usaha. Mungkin ada lagi usaha yang belum kita buat. , yang kita terlepas pandang. InsyaAllah, akan ada pelangi selepas hujan nanti!








0 comments: